Thursday, March 9, 2017

TIADA HASAD PADA IBU BAPA

TIADA HASAD PADA IBU BAPA

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Rabu (Yusuf [12:4-5]) pada 3 Februari 2016. Antara isunya adalah tiada hasad dengki pada ibu bapa terhadap anak mereka.

Kasih ibu bapa tiada sempadan dan tiada nilai. Apa sahaja sanggup dilakukan demi kebahagiaan anak-anak. Walau mereka kelihatan tegas dan garang, tapi itulah “bahasa sayang” mereka yang hanya difahami oleh anak-anak setelah mereka bergelar ibu bapa kelak. Sucinya hubungan ibu bapa dan anak-anak daripada hasad dengki rupanya disinggung halus oleh Allah dalam kisah nabi Yusuf AS dan ayahnya Ya’qub AS:

إِذْ قَالَ يُوسُفُ لِأَبِيهِ يَا أَبَتِ إِنِّي رَأَيْتُ أَحَدَ عَشَرَ كَوْكَبًا وَالشَّمْسَ وَالْقَمَرَ رَأَيْتُهُمْ لِي سَاجِدِينَ (4) قَالَ يَا بُنَيَّ لَا تَقْصُصْ رُؤْيَاكَ عَلَى إِخْوَتِكَ فَيَكِيدُوا لَكَ كَيْدًا إِنَّ الشَّيْطَانَ لِلْإِنْسَانِ عَدُوٌّ مُبِينٌ (5)  

Ertinya: (Ingatlah peristiwa) ketika Nabi Yusuf berkata kepada bapanya: "Wahai ayahku! Sesungguhnya aku mimpi melihat 11 bintang dan matahari serta bulan; aku melihat mereka tunduk memberi hormat kepadaku". Bapanya berkata:" Wahai anakku! JANGANLAH ENGKAU CERITAKAN MIMPIMU KEPADA SAUDARAMU, KERANA AKU KHUATIR MEREKA AKAN MENJALANKAN SESUATU RANCANGAN JAHAT TERHADAPMU. Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia (Yusuf [12:4-5]).

Mimpi Yusuf bukan calang-calang maksudnya. Ia menggambarkan betapa baginda akan menjadi seorang insan hebat pada kemudian hari. Bukan setakat itu sahaja, adik beradiknya yang 11 orang itu juga akan tunduk hormat padanya. 11 bintang itu adalah kiasan kepada 11 adik beradiknya, manakala matahari yang menjadi sumber cahaya adalah kiasan kepada ayahandanya. Sang bulan yang menyerap sinaran matahari pula kiasan kepada bondanya.

Ketika melihat ayat ini, ada yang kritis bertanya mengapa pula matahari dan bulan diletak di belakang sang bintang. Bukankah elok jika ianya diletak di hadapan sebelum sebutan 11 bintang. Bijak sekali jawapan Imam al-Razi. Itu tanda keagungan ibu bapa dalam sebuah keluarga. Ia disokong sebuah ayat yang menceritakan keagungan Jibril dan Mika’il berbanding semua malaikat (Tafsir al-Razi):

مَنْ كَانَ عَدُوًّا لِلَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَرُسُلِهِ وَجِبْرِيلَ وَمِيكَالَ فَإِنَّ اللَّهَ عَدُوٌّ لِلْكَافِرِينَ

Ertinya: Sesiapa memusuhi Allah (dengan mengingkari segala petunjuk dan perintahNya) dan memusuhi para malaikatNya dan RasulNya, khasnya “MALAIKAT JIBRIL DAN MIKAIL”, (maka dia akan diseksa oleh Allah) kerana sesungguhnya Allah adalah musuh bagi orang kafir (al-Baqarah  [2:98]).

Andaian Imam al-Razi ada benarnya. Lihat sahaja ketika majlis besar diatur, orang bawahan biasanya tiba dahulu untuk mempersiapkan segala keperluan. Orang besar yang terhormat biasanya muncul setelah semuanya siap.

Ya’qub AS berpesan agar mimpi hebat Yusuf tidak dikhabarkan kepada saudaranya kerana baginda sudah mencium bau hasad yang sangat kuat pada mereka. Inilah kehebatan firman Allah, tepat dan benar. Hasad antara adik beradik memang mudah berlaku tetapi sukar bahkan seakan mustahil berlaku antara ibu bapa dan anak-anak.  Bukan sekali Allah menegaskan perkara ini. 2 anak Adam berbunuhan kerana hasad si abang terhadap adiknya:

وَاتْلُ عَلَيْهِمْ نَبَأَ ابْنَيْ آَدَمَ بِالْحَقِّ إِذْ قَرَّبَا قُرْبَانًا فَتُقُبِّلَ مِنْ أَحَدِهِمَا وَلَمْ يُتَقَبَّلْ مِنَ الْآَخَرِ قَالَ لَأَقْتُلَنَّكَ قَالَ إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ اللَّهُ مِنَ الْمُتَّقِينَ

Ertinya: Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) 2 orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil):" Sesungguhnya aku akan membunuhmu!". (Habil) menjawab: " Allah hanya menerima (korban) dari orang yang bertaqwa; (al-Ma’idah [5:27]).

Ia juga disinggung halus ketika Allah mengutarakan isu Faraidh atau harta warisan. Bandingkan 2 firman Allah ini:
مِنْ بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصِي بِهَا أَوْ دَيْنٍ

Ertinya: ….….(PEMBAHAGIAN ITU) IALAH SESUDAH DISELESAIKAN WASIAT YANG TELAH DIWASIATKAN OLEH SI MATI, DAN SESUDAH DIBAYARKAN HUTANGNYA. (al-Nisa’[4:11]).

Juga firman Allah dalam ayat seterusnya:

وَإِنْ كَانَ رَجُلٌ يُورَثُ كَلَالَةً أَوِ امْرَأَةٌ وَلَهُ أَخٌ أَوْ أُخْتٌ فَلِكُلِّ وَاحِدٍ مِنْهُمَا السُّدُسُ فَإِنْ كَانُوا أَكْثَرَ مِنْ ذَلِكَ فَهُمْ شُرَكَاءُ فِي الثُّلُثِ مِنْ بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصَى بِهَا أَوْ دَيْنٍ غَيْرَ مُضَارٍّ

Ertinya: ……. Dan jika si mati yang diwarisi itu, lelaki atau perempuan, yang tidak meninggalkan anak atau bapa, dan ada meninggalkan seorang saudara lelaki (seibu) atau saudara perempuan (seibu) maka bagi setiap seorang dari keduanya ialah 1/6. Kalau pula mereka (saudara yang seibu itu) lebih dari seorang, maka mereka bersekutu pada 1/3 (dengan mendapat sama banyak lelaki dengan perempuan), "SESUDAH DITUNAIKAN WASIAT YANG DIWASIATKAN OLEH SI MATI, DAN SESUDAH DIBAYARKAN HUTANGNYA; WASIAT YANG TERSEBUT HENDAKNYA TIDAK MENDATANGKAN MUDARAT (KEPADA WARIS-WARIS)” (al-Nisa’[4:12]).

Ayat pertama (ayat 11) merujuk isu pewarisan dari ibu bapa kepada anak-anak, manakala ayat kedua (ayat 12) merujuk kepada pewarisan sesama adik beradik. Perhatikan hujung kedua ayat tentang wasiat tersebut. Pada hujung ayat 11, Allah tidak menyebut perkataan wasiat yang memberikan mudarat kepada ahli waris, tetapi pada hujung ayat 12 Allah menyebut larangan wasiat dengan tujuan memberi mudarat. Mengapa? Kemungkinan ibu bapa sengaja mewasiatkan harta melebihi hak anak-anak (kerana hasadkan mereka) sangat jarang berlaku. Berbeza dengan pewarisan adik beradik yang tidak memiliki waris lain, mereka mungkin menyimpan dendam hasad kepada saudara mereka. Oleh itu, mereka sengaja mewasiatkan harta mereka kepada pihak lain melebihi hak saudara sendiri.

Subhanallah! Hebat sekali cara Allah menggambarkan kasih sayang ibu bapa kepada anak-anak. Oleh itu, sebagai anak-anak kita wajib mentaati dan mencintai ibu bapa sepenuh jiwa. Rasa cinta kepada mereka juga akan semakin mendasar setelah kita sendiri bergelar ibu bapa dan merasai peritnya membesarkan anak.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...