Friday, March 24, 2017

MASA MUDAMU ADALAH "EMAS" WAHAI PENGHAFAZ AL-QURAN

MASA MUDAMU ADALAH "EMAS" WAHAI PENGHAFAZ AL-QURAN

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

“BERAPA JUZUK SEHARI AIMAN ULANG?"

"2 Juzuk! Bila dah kahwin terasa masa semakin suntuk." Jawan Aiman sambil tersenyum.

Itulah hakikat yang biasa melanda para penghafaz al-Quran. Semalam (23 Mac 2017) semasa menunggu giliran untuk ujian bertulis calon Tauliah mengajar di Selangor (Bangunan MAIS,  Shah Alam) saya bertemu Ustaz Aiman anak kepada kawan lama saya Dr. Shafie Mohd Amin.

Dr Shafie mempunyai latar belakang yang sangat unik. Bekas akauntan profesional yang menghafaz al-Quran lalu mencipta kaedah menghafaz yang dipraktikkan pada semua anak beliau yang seramai 13 orang. Kemantapan hafazan anak-anak beliau sangat luar biasa.

Saya pernah bertugas bersama Dr Shafie menjadi imam terawih jemputan (khatam 30 juzuk) di Masjid al-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail selama 2 tahun berturut-turut (1997-1998).

Masih segar dalam ingatan, Dr Shafie selalu membawa anak-anaknya bersama ke Masjid dengan Honda Accord lama berwarna merah. Saya selalu buat semakan surah yang akan dibaca dengan anak-anak beliau yang bernama Hajar dan Rabe'a. Pada waktu itu, seronok melihat gelagat Aiman yang baru berusia 7 tahun duduk pada satu penjuru Masjid menghafaz al-Quran.

Dalam menghafaz al-Quran, disiplin ulangan sangat penting bagi mengekalkan hafazan. Fenomena lupa hafazan pada para penghafaz al-Quran adalah sangat biasa. Cara untuk mengelakkan "MUSIBAH LUPA AL-QURAN YANG PERNAH DIHAFAZ" adalah dengan selalu membuat ulangan.  Benarlah sabda Rasulullah SAW:

إِنَّمَا مَثَلُ صَاحِبِ الْقُرْآنِ كَمَثَلِ الْإِبِلِ الْمُعَقَّلَةِ إِنْ عَاهَدَ عَلَيْهَا أَمْسَكَهَا وَإِنْ أَطْلَقَهَا ذَهَبَتْ…. وَإِذَا قَامَ صَاحِبُ الْقُرْآنِ فَقَرَأَهُ بِاللَّيْلِ وَالنَّهَارِ ذَكَرَهُ وَإِذَا لَمْ يَقُمْ بِهِ نَسِيَهُ

Ertinya: Perumpamaan para penghafaz al-Quran adalah seperti unta yang ditambat. Sekiranya dia berterusan menambatnya unta itu dapat dipegang dan sekiranya unta itu dilepaskan maka ia akan lari meninggalkan tuannya….apabila penghafaz al-Quran bangun solat dan membacanya pada waktu siang dan malam, dia akan mengingati (hafazannya) manakala jika dia mengabaikannya, dia akan lupakan hafazannya (Sahih al-Bukhari dan Muslim).

Pesan saya pada DIRI SENDIRI DAN PARA PENGHAFAZ AL-QURAN di luar sana; "Al-Quran yang kita hafaz adalah tanggungjawab kita. Gunakan peluang yang ada untuk mengulang hafazan. Jangan tidur atau leka, jangan berdalih dan jangan malas.” Waktu muda adalah zaman emas bagi para penghafaz al-Quran. Apabila usia semakin meningkat dengan segala tanggungjawab baru, kita akan merindui zaman muda “KETIKA MASA TERLALU BANYAK KITA BAZIRKAN.”

Marilah kita berdoa agar diberi kekuatan untuk terus menjaga hafazan dan termasuk dalam golongan KETIGA ayat ini:

ثُمَّ أَوْرَثْنَا الْكِتَابَ الَّذِينَ اصْطَفَيْنَا مِنْ عِبَادِنَا فَمِنْهُمْ ظَالِمٌ لِنَفْسِهِ وَمِنْهُمْ مُقْتَصِدٌ وَمِنْهُمْ سَابِقٌ بِالْخَيْرَاتِ بِإِذْنِ اللَّهِ ذَلِكَ هُوَ الْفَضْلُ الْكَبِيرُ (32)

Ertinya: Kemudian Kami jadikan Al- Quran itu diwarisi oleh orang yang Kami pilih dari kalangan hamba Kami; maka antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengindahkan ajaran Al-Quran), dan ada yang bersikap sederhana, :DAN ADA PULA YANG MENDAHULUI  (ORANG LAIN) DALAM BERBUAT KEBAIKAN (BERINTERAKSI DENGAN AL-QURAN) DENGAN IZIN ALLAH." Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah semata-mata). (Fatir[35:32]).

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...