Saturday, March 11, 2017

KHUTBAH AL-HAJAH YANG MENGISLAMKAN DHIMAD BIN THA'LABAH AL-AZDI..

KHUTBAH AL-HAJAH YANG MENGISLAMKAN DHIMAD BIN THA'LABAH AL-AZDI..

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Malam ini (9 Mac 2014) tidur agak lewat menyiapkan rencana untuk Majalah al-Ustaz. Walaupun lewat, ia sangat berbaloi kerana penemuan sebuah kisah yang sangat ajaib menunjukkan kehebatan LAFAZ PUJIAN KEPADA ALLAH dan Rasulullah SAW dalam menyampaikan dakwah.

Kisahnya begini:

Dhimad bin Tha’labah al-Azdi berasal dari Azdi iaitu sebuah tempat di Yaman. Beliau terkenal dengan kesarjanaan serta kebolehannya merawat berbagai jenis sakit seperti gila. Ketika sampai di Mekah, beliau terdengar penduduk Mekah menuduh Rasulullah SAW seorang yang terkena penyakit gila. Dhimad berjumpa Rasulullah dan menawarkan khidmatnya sebagai tabib yang mampu merawat sakit gila. Rasulullah kemudiannya membuka bicara dengan lafaz pujian kepada Allah yang berbunyi:

إِنَّ الْحَمْدَ لِلَّهِ نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِينُهُ مَنْ يَهْدِهِ اللَّهُ فَلَا مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَا هَادِيَ لَهُ
وَأَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ

Ertinya: Sesungguhnya segala puji bagi Allah. Kami memuji serta meminta pertolongan dariNya. Sesiapa yang Allah berikan petunjuk, maka tiada siapa yang dapat menyesatkannya. Dan sesiapa yang Allah sesatkan, maka tiada siapa yang dapat memberinya petunjuk. Aku bersaksi bahawa tiada tuhan selayaknya disembah melainkan Allah, satu-satuNya tanpa sekutu. Dan bahawa sesungguhnya Muhammad adalah hamba dan pesuruhNya.

Setelah mendengar permulaan ucapan baginda SAW itu, Dhimad begitu terpesona dan meminta Rasulullah SAW mengulanginya sebanyak 3 kali. Setelah itu, Dhimad mengakui banyak mengembara menuntut ilmu serta mendengar perkataan para pawang, ahli sihir, penyair dan sebagainya, namun beliau tidak pernah mendengar kata-kata seindah perkataan Rasulullah SAW itu. Sejurus selepas itu, beliau memeluk Islam (Sahih Muslim, Kitab al-Jum’ah/Bab Meringankan Solat dan Khutbah).

Ini adalah lafaz yang sangat istimewa dan perlu digunakan dalam sebarang ucapan hajat yang hendak dilakukan seperti Public Speaking, Peminangan dan sebagai.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...