Wednesday, March 22, 2017

ALLAH TUHAN YANG MEMBERI SAYA REZEKI - BUKAN KAMU

ALLAH TUHAN YANG MEMBERI SAYA REZEKI - BUKAN KAMU

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Jumaat (Fatir [35:2]) pada 20 Mac 2015. Antara isunya, Allah adalah pemegang kuasa Mutlak di alam ini. Tiada siapa yang mampu menghalang pemberianNya atau melolosi musibah dariNya.

“Hmm! Projek ini mahal dan persaingannya banyak. Jika awak dapat projek ni makan sampai ke cicit pun tak habis. Kalau awak nak projek ni, awak kena hulur sedikit “sedekah siswa” pada saya sebab saya yang meluluskan projek ini. Tak banyak pun saya mahu cuma 5 %. Ini bukan rasuah tapi kos perkhidmatan. Awak tolong saya, saya tolong awak.”

Pernah seorang murid saya bercerita ketika syarikatnya baru bertapak, beliau digoda oleh seseorang yang kononnya berkuasa meluluskan sebuah projek. Alhamdulillah Tawhid murid saya ini seteguh gunung. Dengan tenang dijawabnya:

“Saya percaya Allah adalah Satu-satunya Tuhan Pemberi rezeki dan “bukannya awak.” Jika semenjak azali ditulis bahawa projek ini milik saya, tanpa sogok awak dengan apa-apa pun saya pasti akan dapat projek ini. Jika ditulis semenjak azali bahawa projek ini bukan milik saya, walau saya sumbat sebanyak mana sekalipun rasuah dalam mulut awak, saya tak akan dapat projek ini. Bahkan kalau dapat pun selepas saya sumbat perut awak dengan rasuah, hasil keuntungan projek tak akan ke mana. Boleh hangus terbakar, boleh hilang dirompak, boleh licin dijoli. Mudahnya, saya serahkan borang seperti biasa dan berserah kepada Allah sebagai YANG MAHA PEMBERI REZEKI.”

Hidup adalah ujian. Orang yang tak makan gaji dan berniaga sendiri sangat tinggi ujiannya apabila berurusan dengan manusia yang berbagai warna imannya. Ada sesetengah manusia lupa bahawa kuasa dan hidup mereka hanyalah pinjaman Allah. Jika mahu ditarik, mudah sahaja Allah bertindak. Ada yang langsung tersungkur diserbu SPRM, ada yang disentap kesihatannya dengan strok, ada yang merudum jatuh dirundung rugi. Sebagai orang beriman dengan iman sejati, ayat ini wajib dipahat kemas di hati:

مَا يَفْتَحِ اللَّهُ لِلنَّاسِ مِنْ رَحْمَةٍ فَلَا مُمْسِكَ لَهَا وَمَا يُمْسِكْ فَلَا مُرْسِلَ لَهُ مِنْ بَعْدِهِ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

Ertinya: “APA JUA JENIS RAHMAT YANG DIBUKAKAN OLEH ALLAH KEPADA MANUSIA, MAKA TIDAK ADA SESUATUPUN YANG DAPAT MENAHANNYA; DAN APA JUA YANG DITAHAN OLEH ALLAH MAKA TIDAK ADA SESUATUPUN YANG DAPAT MELEPASKANNYA SESUDAH ITU.” Dan (ingatlah) Dia lah sahaja yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana (Fatir [35:2]).

Juga ayat ini:

وَإِنْ يَمْسَسْكَ اللَّهُ بِضُرٍّ فَلَا كَاشِفَ لَهُ إِلَّا هُوَ وَإِنْ يُرِدْكَ بِخَيْرٍ فَلَا رَادَّ لِفَضْلِهِ يُصِيبُ بِهِ مَنْ يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ وَهُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Ertinya: “DAN JIKA ALLAH MENGENAKAN ENGKAU DENGAN SESUATU YANG MEMBAHAYAKAN, MAKA TIADA SESIAPA PUN YANG AKAN DAPAT MENGHAPUSKANNYA MELAINKAN DIA; DAN JIKA IA MENGHENDAKI ENGKAU BEROLEH SESUATU KEBAIKAN, MAKA TIADA SESIAPAPUN YANG AKAN DAPAT MENGHALANGI LIMPAH KURNIANYA.” Allah melimpahkan kurniaNya itu kepada sesiapa yang dikendakiNya dari hamba-hambaNya, dan Dia lah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (Yunus [10:107]).

Bukan setakat ayat di atas, Rasulullah SAW selalu mewiridkan doa yang sama maknanya setiap kali selesai solat:

لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ اللَّهُمَّ لَا مَانِعَ لِمَا أَعْطَيْتَ وَلَا مُعْطِيَ لِمَا مَنَعْتَ وَلَا يَنْفَعُ ذَا الْجَدِّ مِنْكَ الْجَدُّ

Ertinya: Tiada Tuhan yang patut disembah, melainkan hanya Allah satu-satunya. Tidak ada sekutu bagiNya, milikNya seluruh kerajaan dan pujian, dan Dia berkuasa di atas segala-galanya. WAHAI, ALLAH! TIADA YANG SANGGUP MENGHALANG PEMBERIANMU. DAN TIADA PULA YANG SANGGUP MEMBERIKAN APA YANG ENGKAU HALANG. TIADA MANAFAATNYA DI HADAPANMU KEKAYAAN ORANG KAYA (Sahih al-Bukhari dan Muslim).

Logiknya, solat yang dilakukan seumur hidup dalam kitaran 5 kali sehari dengan iringi wirid tersebut bertujuan mengingatkan semua Muslim bahawa Allah adalah Tuhan sebenar alam ini. Jangan pula tersilap menyembah “Tuhan yang lain” dalam bentuk pelulus tender atau majikan di pejabat. Ya Allah selamatkan umat Islam dari “MUSIBAH SYIRIK PEMBERI REZEKI” ini.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...