Wednesday, March 15, 2017

3 TONGGAK ASAS TARBIAH LUQMAN AL-HAKIM

3 TONGGAK ASAS TARBIAH LUQMAN AL-HAKIM

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Dhuha Selasa (Luqman [31:13-15]) pada 10 Mac 2015. Antara isunya adalah nasihat Luqman kepada anaknya agar berpegang kepada 3 asas utama kejayaan manusia di dunia dan akhirat

Bukan semua manusia beruntung namanya disebut oleh Allah dalam al-Quran. Pastinya individu yang diabadikan namanya dalam kitab Allah memiliki keistimewaan tersendiri. Bicara tentang pendidikan anak akan pincang jika nama Luqman tidak disebut bersama. Apa tidaknya, Allah seakan memberi “tauliah langit” kepada beliau dengan menamakannya sebagai “PROFESSOR” dalam “Universiti Tarbiah Luqman al-Hakim.” Sukatan pelajaran Universiti Luqman sangat luas, tapi nota ini hanya akan menyebut 3 tonggak utama sahaja iatu (1) Tawhid kepada Allah, (2) berbuat baik kepada ibu bapa dan (3) mencontohi jalan manusia pilihan. Firman Allah:

وَإِذْ قَالَ لُقْمَانُ لِابْنِهِ وَهُوَ يَعِظُهُ يَا بُنَيَّ لَا تُشْرِكْ بِاللَّهِ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ (13) وَوَصَّيْنَا الْإِنْسَانَ بِوَالِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ وَهْنًا عَلَى وَهْنٍ وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ أَنِ اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ إِلَيَّ الْمَصِيرُ (14) وَإِنْ جَاهَدَاكَ عَلَى أَنْ تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا وَاتَّبِعْ سَبِيلَ مَنْ أَنَابَ إِلَيَّ ثُمَّ إِلَيَّ مَرْجِعُكُمْ فَأُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ (15)

Ertinya: Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:" Wahai anak kesayanganku, (1) “JANGANLAH ENGKAU MEMPERSEKUTUKAN ALLAH (DENGAN SESUATU YANG LAIN), SESUNGGUHNYA PERBUATAN SYIRIK ITU ADALAH SATU KEZALIMAN YANG BESAR". Dan (2) KAMI WAJIBKAN MANUSIA BERBUAT BAIK KEPADA KEDUA IBU BAPANYA; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau - dengan fikiran sihatmu - tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaulah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. (3) “DAN TURUTLAH JALAN ORANG-ORANG YANG RUJUK KEMBALI KEPADAKU (DENGAN TAUHID DAN AMAL-AMAL YANG SOLEH).” Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan (Luqman [31:13-15]).

Allah sewajibnya disembah tanpa sedikit pun pemesongan syirik kerana Dia menjadi sebab kewujudan kita di dunia. Ibu bapa pula wajib ditaati (dalam urusan yang tidak bercanggah dengan kehendak Allah) kerana mereka menjadi sebab kelahiran kita di dunia. Gandingan antara penyembahan mutlak kepada Allah dan berbuat baik kepada ibu bapa seakan kembar yang selalu diiring sebut dalam al-Quran (al-Baqarah[2:83], al-Nisa’[4:36], al-An’am[6:151] dan al-Isra’ [17:22-24]).

Pun begitu, ibu tetap menjuarai carta “berbuat baik” kerana kesusahan ibu berganda berbanding bapa. Kesukaran ibu merangkumi zaman mengandung dan menyusu.  Ia merentas masa sehingga 30 bulan:

وَوَصَّيْنَا الْإِنْسَانَ بِوَالِدَيْهِ إِحْسَانًا حَمَلَتْهُ أُمُّهُ كُرْهًا وَوَضَعَتْهُ كُرْهًا وَحَمْلُهُ وَفِصَالُهُ ثَلَاثُونَ شَهْرًا

Ertinya: Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. “SEDANG TEMPOH MENGANDUNGNYA BESERTA DENGAN TEMPOH MENCERAIKAN SUSUNYA IALAH DALAM MASA TIGA PULUH BULAN” (al-Ahqaf[46:15]).

Menarik sekali ayat di atas, memang terbukti secara saintifik bahawa tempoh minimum kandungan seorang wanita adalah 6 bulan setelah ditolak tempoh susuan selama 2 tahun atau 24 bulan (al-Baqarah[2:233]).

Selepas menjaga hak Allah dan ibu bapa, Luqman meminta agar anaknya senantiasa mengikut jalan manusia pilihan yang terdiri dari para Rasul, nabi dan orang soleh. Mengapa? Ini kerana mereka adalah “produk Allah” yang sudah terbukti berjaya mencapai kejayaan sebenar di dunia dan akhirat. Rasulullah SAW sendiri menegaskan perkara ini dalam sabda keramatnya:

مَثَلُ الْجَلِيسِ الصَّالِحِ وَالْجَلِيسِ السَّوْءِ كَمَثَلِ صَاحِبِ الْمِسْكِ وَكِيرِ الْحَدَّادِ لَا يَعْدَمُكَ مِنْ صَاحِبِ الْمِسْكِ إِمَّا تَشْتَرِيهِ أَوْ تَجِدُ رِيحَهُ وَكِيرُ الْحَدَّادِ يُحْرِقُ بَدَنَكَ أَوْ ثَوْبَكَ أَوْ تَجِدُ مِنْهُ رِيحًا خَبِيثَةً

Ertinya: Perumpamaan kawan yang baik dan kawan yang jahat adalah seperti berkawan dengan penjual minyak wangi atau tukang besi. Berkawan dengan penjual minyak wangi akan menjadikanmu membeli darinya atau terkena tempias wangiannya. Berkawan dengan tukang besi pula sama ada akan membakar badan atau pakaianmu atau juga menempiaskan baunya yang busuk kepada badanmu (Sahih al-Bukhari dan Muslim)

Demikianlah 3 tonggak utama atau subjek wajib yang perlu dihadam oleh sesiapa yang mahu mencapai kejayaan dalam Universiti Tarbiah Luqman al-Hakim. Kejayaan ini bukan sahaja menjamin bahagia duniawi tetapi berkekalan sehingga syurga. Semoga sekelumit perkongsian tentang rahsia tarbiah Luqman ini mendorong kita untuk lebih mentadabbur falsafah tarbiah Islam dari surah Luqman.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...