Friday, February 3, 2017

BEGINI CARANYA ALLAH MENJAGA AL-QURAN

BEGINI CARANYA ALLAH MENJAGA AL-QURAN

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Masih segar dalam ingatan ketika melangkah masuk ke Institut Pengajian Tahfiz al-Quran (nama lama DARUL QURAN, JAKIM) pada tahun 1993, logo pada Insititut kami adalah firman Allah ini:

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ

Ertinya: “SESUNGGUHNYA KAMILAH” yang menurunkan Al-Quran, dan “SESUNGGUHNYA KAMILAH JUA YANG MENJAMIN UNTUK MENJAGANYA” (dari sebarang perubahan, penambahan atau pengurangan isinya) (al-Hijr[15:9]).

Setelah menjadi pelajar IPTQ, barulah saya tahu bahawa jumlah ayat al-Quran menurut riwayat Kufah yang menjadi mazhab orang Malaysia adalah “6236” ayat dan bukannya “6666.” Maklumat ini saya perolehi dari “ILMU FAWASIL” iaitu ilmu khusus cara mengira ayat al-Quran.

Setelah mempelajari ilmu “RASM ‘UTHMANI”, baru saya tahu bahawa satu rukun utama bacaan al-Quran yang sahih adalah membaca mengikut tulisan atau Rasm ‘Uthmani. Kaedah penulisan Rasm ‘Uthmani pula bukan seperti tulisan “dengar dan tulis” sebagaimana yang biasa dibuat orang Arab. Ada banyak kaedah penulisan ayat al-Quran yang kami pelajari seperti penulisan yang mengugurkan atau menambah huruf Alif. Juga menulis huruf Ta’ secara tersimpul atau terbuka.

Setelah mempelajari ilmu “DHABT AL-QURAN”, baru saya tahu rupanya tanda baris dan titik ayat al-Quran adalah inovasi para ulama selepas zaman Rasulullah SAW yang melengkapkan “BUNYI HURUF AL-QURAN.” Sebelum munculnya ilmu ini, al-Quran dibaca dalam “rasa” orang Arab tanpa tanda baris atau titik huruf.

Setelah mempelajari Ilmu “QIRA’AT” (ilmu tentang tata cara membaca al-Quran), baru saya tahu rupanya riwayat yang digunapakai orang Malaysia adalah Riwayat Imam Hafs murid kepada Imam ‘Asim iaitu seorang ulama Qira’at dari Kufah. Baru saya tahu rupanya adalah lagi 10 riwayat yang lain dalam cara baca al-Quran.

Apa kaitan antara ayat tema IPTQ di atas dengan semua bidang ilmu yang saya sebut itu? Sangat kuat kaitannya kerana segala ilmu itu adalah hasil limpahan ilham Allah kepada para ulama’ silam. Ia menjadi wasilah atau cara mengekalkan ketulenan dan keaslian al-Quran. Bayangkan apa akan jadi jika al-Quran sampai kepada kita dalam bentuk yang sama seperti zaman Rasulullah SAW dan sahabat? Tanpa nombor ayat, tanpa baris, tanpa titik dan sebagainya? Sudah pasti al-Quran akan hilang pupus bersama zaman.

Segala ilmu yang saya nyatakan itu hanyalah “beberapa titis halus” ilmu Allah yang “dipercikkan” kepada umat Islam bagi membantu pengekalan al-Quran. Aduhai! Sedikit sekali ilmu manusia. Benar sekali kata Khidir kepada nabi Musa AS dalam kembara ilmu mereka:

فَلَمَّا رَكِبَا فِي السَّفِينَةِ جَاءَ عُصْفُورٌ فَوَقَعَ عَلَى حَرْفِ السَّفِينَةِ فَنَقَرَ فِي الْبَحْرِ نَقْرَةً أَوْ نَقْرَتَيْنِ قَالَ لَهُ الْخَضِرُ يَا مُوسَى مَا نَقَصَ عِلْمِي وَعِلْمُكَ مِنْ عِلْمِ اللَّهِ إِلَّا مِثْلَ مَا نَقَصَ هَذَا الْعُصْفُورُ بِمِنْقَارِهِ مِنْ الْبَحْرِ

Ertinya: Apabila mereka berdua menaiki kapal, datanglah seekor burung bertenggek di hujung kapal lalu menyelamkan paruhnya sekali atau dua kali (ke dalam laut untuk meminum air). Khidir berkata: WAHAI MUSA, TIDAKLAH BERKURANG (TIDAK LUAK) ILMU ALLAH BERBANDING ILMUKU DAN ILMUMU MELAINKAN IA SEPERTI SELAMAN PARUH SI BURUNG (ILMU MANUSIA) DENGAN AIR LAUT KESELURUHANNYA (BANDINGAN ILMU ALLAH) (Sahih al-Bukhari).

Tidak cukup dengan segala ilmu alat yang dinyatakan di atas, Allah juga menggerakkan jiwa umat Islam untuk berterusan menghafaz al-Quran sampai kiamat. Fenomena pertumbuhan Sekolah Tahfiz yang semakin rancak dewasa kini juga termasuk dalam mekanisme pengekalan al-Quran yang difitrahkan Allah.

Jika kita atau anak-anak kita terlibat dalam arus bersama al-Quran, kita sepatutnya rasa bangga kerana dipilih Allah dalam projek pengekalan al-Quran sehingga akhir zaman. Jika belum terlibat secara terus, masih belum terlambat untuk ikut sekali melalui sumbangan dana, tenaga dan pemikiran.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...