Thursday, January 19, 2017

TIADA YANG HIDUP DI BUMI JIKA ALLAH TERUS MENGHUKUM

TIADA YANG HIDUP DI BUMI JIKA ALLAH TERUS MENGHUKUM
Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Jumaat (Fatir [35:42]) pada 24 April 2015. Antara isunya adalah bukti keluasan rahmat Allah apabila tidak segera menghukum manusia atas kedegilan mereka.

Jika binatang, pokok, bukit bukau dan segala macam makhluk di bumi ini boleh berbicara sudah pasti mereka akan beristighfar panjang setiap kali manusia melakukan kejahatan atau mempamerkan kerakusan mereka. Apa tidaknya tempias kejahatan manusia selalu sahaja terpencar kepada mereka. Berapa banyak haiwan, pokok kayu dan bukit bukau menjadi mangsa apabila manusia menunjukkan bakat “syaitan” dalam diri mereka. Jika “kelab penyokong Iblis” dibuka keahliannya, sudah pasti manusia seperti ini terus terpilih menjadi ahli majlis tertinggi atau presidennya.

Bukan setakat rakus, sesetengah manusia juga sangat biadab. Sanggup mereka memperleceh serta mempersenda Allah dengan berdoa agar segera dihujani azab oleh Allah:

وَإِذْ قَالُوا اللَّهُمَّ إِنْ كَانَ هَذَا هُوَ الْحَقَّ مِنْ عِنْدِكَ فَأَمْطِرْ عَلَيْنَا حِجَارَةً مِنَ السَّمَاءِ أَوِ ائْتِنَا بِعَذَابٍ أَلِيمٍ (32) وَمَا كَانَ اللَّهُ لِيُعَذِّبَهُمْ وَأَنْتَ فِيهِمْ وَمَا كَانَ اللَّهُ مُعَذِّبَهُمْ وَهُمْ يَسْتَغْفِرُونَ (33)

Ertinya: Dan (ingatlah) ketika mereka (kaum musyrik Makkah) berkata: "Wahai tuhan kami! Jika betul (Al-Quran) itu ialah yang benar dari sisimu, maka hujanilah kami dengan batu dari langit, atau datangkanlah kepada kami azab seksa yang tidak terperi sakitnya". Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka, SEDANG ENGKAU (WAHAI MUHAMMAD) ADA DI ANTARA MEREKA; DAN ALLAH TIDAK AKAN MENYEKSA MEREKA SEDANG MEREKA BERISTIGHFAR (MEMINTA AMPUN) (al-Anfal [8:32-33]).
Mereka yang dimaksudkan ayat ini adalah beberapa tokoh Musyrikin Mekah. Pun begitu, mereka masih beruntung kerana doa biadab mereka terhalang dek wujudnya Rasulullah SAW di Mekah dan konsistennya para sahabat beristighfar kepada Allah. 2 faktor inilah yang sebenarnya menyelamatkan mereka dari hujanan azab Allah dari langit.

Walau manusia rakus, zalim dan jahat, Allah sangat luas RahmatNya. Allah tidak segera menghukum manusia sebaliknya memberikan mereka peluang berubah. FirmanNya:
وَلَوْ يُؤَاخِذُ اللَّهُ النَّاسَ بِمَا كَسَبُوا مَا تَرَكَ عَلَى ظَهْرِهَا مِنْ دَابَّةٍ وَلَكِنْ يُؤَخِّرُهُمْ إِلَى أَجَلٍ مُسَمًّى فَإِذَا جَاءَ أَجَلُهُمْ فَإِنَّ اللَّهَ كَانَ بِعِبَادِهِ بَصِيرًا

Ertinya: Dan kalaulah Allah mengirakan kesalahan manusia serta terus menyeksa mereka disebabkan amal-amal jahat yang mereka telah kerjakan, tentulah la tidak membiarkan tinggal di muka bumi sesuatu makhluk yang bergerak; akan tetapi (dia tidak bertindak dengan serta merta, bahkan) Ia memberi tempoh kepada mereka hingga ke suatu masa yang tertentu; kemudian apabila sampai tempoh mereka (maka Allah akan membalas masing-masing dengan adilnya), kerana sesungguhnya Allah sentiasa Melihat keadaan hamba-hambaNya (Fatir [35:45]).

Keluasan rahmatNya diulang sebut dalam ayat lain:

وَرَبُّكَ الْغَفُورُ ذُو الرَّحْمَةِ لَوْ يُؤَاخِذُهُمْ بِمَا كَسَبُوا لَعَجَّلَ لَهُمُ الْعَذَابَ بَلْ لَهُمْ مَوْعِدٌ لَنْ يَجِدُوا مِنْ دُونِهِ مَوْئِلًا

Ertinya: Dan Tuhanmu Maha Pengampun, lagi melimpah-limpah rahmatnya. Jika Ia mahu menyeksa mereka (di dunia) disebabkan apa yang mereka telah usahakan, tentulah Ia akan menyegerakan azab itu menimpa mereka; (tetapi Ia tidak berbuat demikian) bahkan ditentukan bagi mereka satu masa yang mereka tidak sekali-kali akan dapat sebarang tempat perlindungan, yang ialah daripadanya (al-Kahfi[18:58]).

Apabila melihat ayat di atas, saya sukar untuk percaya teori sesetengah “filem dan majalah mistik Melayu” yang seakan meletakkan sifir bahawa hukuman dapat dilihat kepada pesalahnya sejurus nyawa tercabut dari badan. Ada yang didakwa bertukar menjadi babi, mayatnya segera menjadi busuk bergerutu dihurung ulat dan sebagainya. Memang perkara ini boleh berlaku dengan izin Allah, namun menggambarkannya sebagai suatu kelaziman dengan nisbah yang besar sangat tidak tepat.

Jika cerita mistik mayat bertukar rupa itu direka untuk mengejar “rating penonton dan pembaca atau menginsafkan manusia”, ketahuilah bahawa sejarah penciptaan hadith palsu perosak agama juga berpunca dari niat yang sama. Agama adalah hak mutlak Allah dan jangan cuba terlebih pandai dari Allah menokok tambah agamaNya.

Sepatutnya manusia bersyukur di atas keluasan Rahmat Allah dalam bentuk penangguhan hukuman seperti yang dijanjikanNya. Jadikan ia suatu motivasi dan harapan untuk kembali kepada Allah apabila tersalah langkah.  Berikan harapan kerana harapan yang menghidupkan jiwa dan hati yang berdosa:

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَى أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
Ertinya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (al-Zumar [39:53]).

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...