Wednesday, January 18, 2017

NABI SULAYMAN MENCARI HUD-HUD YANG MEMILIKI "RADAR PENGESAN AIR"

NABI SULAYMAN MENCARI HUD-HUD YANG MEMILIKI "RADAR PENGESAN AIR"

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Selasa (al-Naml [27:20]) pada 5 Mei 2015. Antara isunya rahsia mengapa nabi Sulayman AS mencari Hud-hud dalam senarai burung.

Mengapa Hud-Hud yang dicari? Mengapa tidak helang, pipit, gagak, merpati atau merak? Itu soalan yang selalu berlegar dalam kepala saya sejak sekian lama setiap kali membaca kisah nabi Sulayman AS dan burung Hud-hud dalam surah al-Naml. Firman Allah:

وَتَفَقَّدَ الطَّيْرَ فَقَالَ مَا لِيَ لَا أَرَى الْهُدْهُدَ أَمْ كَانَ مِنَ الْغَائِبِينَ

Ertinya: Dan (setelah itu) Nabi Sulaiman memeriksa kumpulan burung (yang turut serta dalam tenteranya) lalu berkata: "Mengapa aku tidak melihat burung belatuk? Adakah ia dari mereka yang tidak hadir? (al-Naml [27:20]).

Alhamdulillah akhirnya jawapan itu saya temui setelah menelaah kitab Tafsir al-Quran. Rupanya Hud-hud adalah jurutera air dan dikurniai kemahiran mencari air. Nabi Sulayman AS setelah sampai ke satu tempat bersama iringan rakyatnya yang terdiri dari berbagai spesis sangat memerlukan air. Di saat itu biasanya baginda akan memanggil burung Hud-hud yang mampu terbang dan mengesan kedudukan “AIR YANG TERPENDAM” dalam bumi (Tafsir al-Tabari).

Teori tersebut seakan dikukuhkan lagi oleh kata-kata Hud-hud ketika melaporkan perihal kerosakan akidah penduduk Saba’ yang menyembah matahari:

وَجَدْتُهَا وَقَوْمَهَا يَسْجُدُونَ لِلشَّمْسِ مِنْ دُونِ اللَّهِ وَزَيَّنَ لَهُمُ الشَّيْطَانُ أَعْمَالَهُمْ فَصَدَّهُمْ عَنِ السَّبِيلِ فَهُمْ لَا يَهْتَدُونَ (24) أَلَّا يَسْجُدُوا لِلَّهِ الَّذِي يُخْرِجُ الْخَبْءَ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَيَعْلَمُ مَا تُخْفُونَ وَمَا تُعْلِنُونَ (25)

Ertinya: Hud-hud berkata: "Aku dapati raja perempuan itu dan kaumnya sujud kepada matahari dengan meninggalkan ibadat menyembah Allah, dan Syaitan pula memperelokkan pada pandangan mereka perbuatan (syirik) mereka, lalu menghalangi mereka dari jalan (yang benar); oleh itu mereka tidak beroleh petunjuk, - "(Mereka dihalangi oleh Syaitan) supaya mereka tidak sujud menyembah “ALLAH YANG MENGELUARKAN BENDA YANG TERSEMBUNYI DI LANGIT DAN (TERPENDAM) DALAM BUMI,” dan yang mengetahui apa yang kamu rahsiakan serta apa yang kamu zahirkan (al-Naml[27:24-25]).

Hud-hud menyebut kuasa Allah yang mampu mengeluarkan “BENDA YANG TERPENDAM DALAM BUMI.” Dalam satu tafsiran kepada perkataan الخبء  , Sa’id ibn al-Musayyab menyebut ia bermaksud “AIR.” Oleh itu ia agak selari dengan riwayat yang menyebut kelebihan Hud-hud yang mampu mengesan air dalam bumi (Tafsir Ibn Kathir).

Walau bagaimanapun, kisah Hud-hud yang memiliki “RADAR PENGESAN AIR” tergolong dalam kategori riwayat Israiliyyat (riwayat bersumber dari Ahli Kitab) yang tidak dapat dipastikan kesahihannya. Boleh jadi benar atau salah. Oleh itu, “dakwaan” ini ia perlu disukat dengan pembuktian saintifik. Samalah perihalnya kemampuan sesetengah haiwan yang dikurniai deria khas mampu melihat malaikat atau syaitan sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

إِذَا سَمِعْتُمْ صِيَاحَ الدِّيَكَةِ فَاسْأَلُوا اللَّهَ مِنْ فَضْلِهِ فَإِنَّهَا رَأَتْ مَلَكًا وَإِذَا سَمِعْتُمْ نَهِيقَ الْحِمَارِ فَتَعَوَّذُوا بِاللَّهِ مِنْ الشَّيْطَانِ  فَإِنَّهُ رَأَى شَيْطَانًا

Ertinya: Apabila kamu mendengar kokokan ayam, maka mohonlah kepada Allah akan kurniaanNya kerana “AYAM ITU TELAH MELIHAT MALAIKAT,” manakala apabila kamu mengengar rengekan keldai, maka mintalah perlindungan dengan Allah daripada (kejahatan) syaitan kerana “KELDAI ITU TELAH MELIHAT SYAITAN” (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Inilah salah satu cara laluan ilmu dibuka oleh al-Quran. Seharusnya Muslim yang membaca al-Quran berfikir tentang hikmah dan rahsia di sebalik setiap bicara al-Quran. Tambah teguh jika teori yang dikesan di sebalik ayat al-Quran dibuktikan secara saintifik. Jika beginilah gayanya interaksi umat Islam dengan al-Quran, barulah al-Quran mampu menjawab segala masalah yang mereka hadapi.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...