Sunday, January 29, 2017

NABI MUSA AS YANG LEBIH MULIA PUN SANGAT BERADAB DENGAN GURUNYA...APATAH LAGI KITA

NABI MUSA AS YANG LEBIH MULIA PUN SANGAT BERADAB DENGAN GURUNYA..APATAH LAGI KITA

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Kisah pengembaraan nabi Musa AS bertemu Khidir yang disebut oleh al-Quran dalam surah al-Kahf (ayat 60-82) mengandungi pengajaran adab menuntut ilmu yang amat bernilai.

Pada suatu hari, ketika nabi Musa AS sedang berkhutbah kepada Bani Isra’il baginda ditanya siapakah orang yang paling berilmu. Baginda mengakui bahawa orang itu adalah dirinya. Baginda kemudiannya ditegur Allah kerana tidak mengembalikan sifat PALING BERILMU kepada Allah. Allah kemudiannya mewahyukan kepada nabi Musa AS bahawa ada seorang lelaki yang lebih berilmu darinya di tempat pertemuan 2 laut. Berikutan itu, nabi Musa keluar dengan muridnyanya Yusya’ bin Nun untuk mencari lelaki tersebut dan menuntut ilmu darinya (Sahih al-Bukhari).

Antara adab menuntut ilmu yang boleh difahami dari kisah pengembaraan ilmu baginda adalah:

1)Manusia perlu merendah diri apabila menuntut ilmu. Sikap Musa keluar mencari Khidir jelas menunjukkan sikap rendah diri baginda.

2)Ilmu perlu dicari dan bukan datang mencari penuntutnya. Langkah Musa keluar mencari Khidir jelas menunjukkan kemuliaan ilmu. Sikap memanggil guru datang ke rumah mengajar (tanpa alasan yang munasabah seperti kekangan sakit) sebenarnya bertentangan dengan adab menuntut ilmu yang disebut Allah dalam kisah ini. Adab menuntut ilmu sangat difahami oleh Musa dengan katanya: "Aku tidak akan berhenti berjalan sehingga aku sampai di tempat pertemuan dua laut itu atau aku berjalan terus bertahun-tahun" (ayat 60).

3)Dalam menuntut ilmu, persediaan fizikal dan mental mesti dibuat secukupnya. Walaupun nabi Musa AS dikurniai mukjizat yang istimewa, baginda tetap membawa bekal makanan untuk perjalanannya (ayat 61-62). Perkara ini boleh dikiaskan kepada persediaan para penuntut ilmu dengan bekalan kewangan sepanjang tempoh menuntut ilmu.

4)Sikap sabar amat penting dalam menuntut ilmu kerana para penuntut ilmu pasti akan berhadapan dengan berbagai Cabaran. Cabaran yang dihadapi oleh nabi Musa sebelum sampai ke tempat Khidir adalah gangguan syaitan yang menjadikan muridnya lupa memberitahu tempat kehilangan ikan bekalan mereka secara ajaib (ayat 63-64).

5)Murid harus beradab dengan guru dengan meminta izin untuk menuntut ilmu. Murid juga harus patuh kepada syarat yang diberikan oleh guru (ayat 66-78).

6)Guru seharusnya memberi penjelasan kepada sebarang kekeliruan yang timbul dalam proses pembelajaran. Di akhir pengembaraan mereka Khidir menerangkan kepada rahsia semua tindakannya  (ayat 79-82).

SEMOGA BERMANAFAAT!

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...