Sunday, January 29, 2017

MAYAT HAFIZ AL-QURAN TIDAK REPUT DIMAKAN BUMI?

MAYAT HAFIZ AL-QURAN TIDAK REPUT DIMAKAN BUMI?

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Intisari kuliah maghrib (AJAIBNYA MENGHAFAZ AL-QURAN) di Masjid Tun Abdul Razak, Tepoh, Perlis pada 19 Januari 2017, bersempena Majlis Penutup Pertandingan menghafaz al-Quran peringkat negeri Perlis.

Banyak cerita kita dengar, tapi adakah semua cerita itu benar? Adakah semua kepercayaan itu bersendikan dalil? Adakah benar mayat penghafaz al-Quran tidak reput dimakan bumi selepas mereka mati?

Sukar menjawab soalan ini. Setakat ilmu saya yang sedikit ini, tiada pula saya jumpa dalil khusus membenarkan dakwaan itu. Tambahan pula tiada juga para pengkaji yang berani “mengorek kubur” para hafiz al-Quran untuk membuktikan dakwaan itu. Jika ada yang berani berbuat demikian, ia jelas melanggar norma kemanusiaan dan hukum syarak.

Setakat pemerhatian saya, tubuh manusia semuanya akan hancur kecuali satu bahagian yang dipanggil – عجب الذنب  - TULANG EKOR/COCCYX. Sabda Rasulullah SAW:

كُلُّ ابْنِ آدَمَ يَأْكُلُهُ التُّرَابُ إِلَّا عَجْبَ الذَّنَبِ مِنْهُ خُلِقَ وَفِيهِ يُرَكَّبُ

Ertinya: Setiap (bahagian jasad) anak Adam akan dimakan oleh bumi (tanah selepas mereka mati) melainkan TULANG EKOR, daripadanya manusia dicipta dan padanya mereka akan disusun semula (dihidupkan) (Sahih Muslim).

Walaupun begitu, terdapat pengecualiaan khusus yang melibatkan jasad para nabi. Ia ditegaskan oleh Rasulullah SAW:

إِنَّ مِنْ أَفْضَلِ أَيَّامِكُمْ يَوْمَ الْجُمُعَةِ فِيهِ خُلِقَ آدَمُ وَفِيهِ قُبِضَ وَفِيهِ النَّفْخَةُ وَفِيهِ الصَّعْقَةُ فَأَكْثِرُوا عَلَيَّ مِنْ الصَّلَاةِ فِيهِ فَإِنَّ صَلَاتَكُمْ مَعْرُوضَةٌ عَلَيَّ قَالَ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَكَيْفَ تُعْرَضُ صَلَاتُنَا عَلَيْكَ وَقَدْ أَرِمْتَ يَقُولُونَ بَلِيتَ فَقَالَ إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ حَرَّمَ عَلَى الْأَرْضِ أَجْسَادَ الْأَنْبِيَاءِ

Ertinya: “Sesungguhnya sebaik-baik hari kamu adalah hari Jumaat. Pada hari ini Adam diciptakan dan dimatikan. Pada hari ini juga ditiupkan sangkakala (tanda kiamat). Maka perbanyakkan selawat kepadaku kerana semua selawat kamu dibentangkan padaku.” Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah bagaimana selawat kami itu boleh dibentangkan padamu sedangkan kamu sudah hancur.” Rasulullah menjawab: “SESUNGGUHNYA ALLAH MENGHARAMKAN JASAD PARA NABI KEPADA BUMI” (Sunan Abu Dawud dan al-Nasa’i)

Selain itu, ada juga kisah yang menyatakan jasad orang yang mati syahid turut dijaga Allah:

عَنْ جَابِرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ لَمَّا حَضَرَ أُحُدٌ دَعَانِي أَبِي مِنْ اللَّيْلِ فَقَالَ مَا أُرَانِي إِلَّا مَقْتُولًا فِي أَوَّلِ مَنْ يُقْتَلُ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَإِنِّي لَا أَتْرُكُ بَعْدِي أَعَزَّ عَلَيَّ مِنْكَ غَيْرَ نَفْسِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَإِنَّ عَلَيَّ دَيْنًا فَاقْضِ وَاسْتَوْصِ بِأَخَوَاتِكَ خَيْرًا فَأَصْبَحْنَا فَكَانَ أَوَّلَ قَتِيلٍ وَدُفِنَ مَعَهُ آخَرُ فِي قَبْرٍ ثُمَّ لَمْ تَطِبْ نَفْسِي أَنْ أَتْرُكَهُ مَعَ الْآخَرِ فَاسْتَخْرَجْتُهُ بَعْدَ سِتَّةِ أَشْهُرٍ فَإِذَا هُوَ كَيَوْمِ وَضَعْتُهُ هُنَيَّةً غَيْرَ أُذُنِهِ

Ertinya: Jabir bin Abdullah RA mengatakan: “Menjelang perang Uhud, ayahku memanggilku pada waktu malam lalu berkata; Aku rasa akan menjadi orang pertama yang gugur dalam kalangan sahabat Rasulullah SAW. Sungguh aku tidak meninggalkan seorangpun yang lebih aku sayangi selain kamu di samping Rasululullah. Sesungguhnya aku memiliki hutang maka lunasilah, dan bersikap baiklah kepada semua saudara perempuanmu. Keesokan harinya memang dia menjadi orang yang pertama gugur dan dia dikebumikan bersama seorang syahid yang lain dalam satu kubur. Hatiku merasa kurang senang membiarkan ayahku berkongsi kubur dengan orang lain. SELEPAS 6 BULAN AKU MEMBONGKAR KUBURNYA DAN MENGELUARKANNYA. JASADNYA MASIH UTUH SEPERTI KETIKA AKU MENGUBURKANNYA MELAINKAN SEDIKIT KECACATAN PADA TELINGANYA (Sahih al-Bukhari).

Kemuliaan yang Allah kurniakan kepada orang yang mati syahid secara tidak langsung disinggung Allah oleh firmanNya:

وَلَا تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ قُتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَمْوَاتًا بَلْ أَحْيَاءٌ عِنْدَ رَبِّهِمْ يُرْزَقُونَ

Ertinya: Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki; (Ali ‘Imran [3:169]).

Kalau begitu kemuliaannya bagi orang yang mati syahid, bagaimana pula para penghafaz al-Quran? Mari kita lihat beberapa janji kemuliaan kepada mereka. Sabda Rasulullah:

عَنْ أَبِي مُوسَى الْأَشْعَرِيِّ قَالَ  قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ مِنْ إِجْلَالِ اللَّهِ إِكْرَامَ ذِي الشَّيْبَةِ الْمُسْلِمِ وَحَامِلِ الْقُرْآنِ غَيْرِ الْغَالِي فِيهِ وَالْجَافِي عَنْهُ وَإِكْرَامَ ذِي السُّلْطَانِ الْمُقْسِطِ

Ertinya: Sesungguhnya antara cara mengangungkan Allah adalah dengan memuliakan orang tua Muslim dan PENGHAFAZ AL-QURAN YANG TIDAK BERLEBIH PADA (MEMBACANYA HANYA UNTUK TAJWID TANPA BERAMAL ATAU TADABBUR MAKNANYA) DAN TIDAK MENINGGALKAN BACAANNYA (KERANA SIBUK MEMBACA TAFSIR). Juga memuliakan pemimpin yang adil (Sunan Abu Dawud).

Juga sabda baginda:

إِنَّ لِلَّهِ عَزَّ وَجَلَّ أَهْلِينَ مِنْ النَّاسِ وَإِنَّ أَهْلَ الْقُرْآنِ أَهْلُ اللَّهِ وَخَاصَّتُهُ

Ertinya: Allah mempunyai ramai manusia pilihanNya. Sesungguhnya (antara) manusia pilihan Allah (Ahlullah) yang sangat istimewa adalah ahli al-Quran (para penghafaz al-Quran atau orang yang mendalami serta menghayatinya) (Sunan Ibn Majah dan Musnad Ahmad).

Kesimpulannya, tiada nass yang jelas mengatakan jasad orang yang mati syahid atau para penghafaz al-Quran tidak akan hancur dimakan bumi. Walaupun begitu, Allah mampu melakukan apa sahaja bagi menyerlahkan kemuliaan sesetengah hamba pilihanNya. Boleh sahaja Allah selaku Tuhan alam semesta mengarahkan agar si ulat, bakteria dan segala mikro-organisme yang biasa membaham mayat agar kenal dan menjauhi jasad para kekasihnya. Lalu pada saat itu, jasad mereka ini kebal dari fitrah pereputan dan santapan makhluk dalam kubur.

Apa yang lebih penting bagi para penghafaz al-Quran bukannya mengejar “nama, pangkat atau KELEBIHAN JASAD TIDAK DIMAMAH BUMI”, sebaliknya mencari redha Allah agar “LEGASI ILMU ATAU PAHALA MEREKA TIDAK HANCUR DIMAMAH ZAMAN. Bagaimana caranya? Sebarkan isi al-Quran, ramaikan murid, banyakkan karya atau jasa ilmu, gandakan usaha MENJAGA HAFAZAN. Insya Allah, jika ini yang dilakukan, para penghafaz al-Quran yang sudah meninggal dunia akan terus hidup bersama Kalam suci Tuhan ini sehingga akhir zaman.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...