Saturday, January 14, 2017

KAD DEBIT TANPA LIMIT DALAM SYURGA?

KAD DEBIT TANPA LIMIT DALAM SYURGA?

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Dhuha, Masjid Ibnu Sina, Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur (Ghafir [40:40]) pada 10 Januari 2017. Antara isunya adalah kehebatan ni’mat syurga yang tiada batasan.

“Ini kad debit yang beta hadiahkan pada kamu. Kamu berhak pakai dengan bebas tanpa batasan.”  Jelas sang raja kepada rakyat kesayangannya.

“Benar Tuanku? Kalau saya pakai untuk beli rumah bernilai 300 juta sekalipun Tuanku tak kisah?” Si rakyat kecil cuba bergurau dengan sang raja.

“Sila! Semuanya akan beta tanggung dan bayar. Usahkan jumlah 300 juta, kalau kamu pakai sejumlah 2.6 billion sekalipun, beta akan bayar bagi pihak kamu kerana beta memang sayangkan kamu. Kekayaan beta langsung tidak terjejas dengan perbelanjaan kamu.” Penegasan sang raja ini pasti akan menyebabkan si rakyat kecil jatuh pengsan.

Dialog di atas hanyalah suatu “ANALOGI MUSTAHIL” yang cuba saya bawa bagi memahamkan kita semua makna firman Allah dalam nota kali ini. Dialog yang dibawa Allah dalam surah Ghafir ini adalah nasihat lelaki beriman dalam kalangan bangsa Fir’awn kepada kaumnya agar segera beriman kepada Allah:

مَنْ عَمِلَ سَيِّئَةً فَلَا يُجْزَى إِلَّا مِثْلَهَا وَمَنْ عَمِلَ صَالِحًا مِنْ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَأُولَئِكَ يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ يُرْزَقُونَ فِيهَا بِغَيْرِ حِسَابٍ

Ertinya: "Sesiapa yang mengerjakan sesuatu perbuatan jahat maka dia tidak dibalas melainkan dengan kejahatan yang sebanding dengannya; dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh - dari lelaki atau perempuan - sedang dia beriman, maka mereka itu akan masuk Syurga; MEREKA BEROLEH REZEKI DALAM SYURGA ITU DENGAN TIDAK DIHITUNG (Ghafir [40:40]).

Allah sengaja menggunakan perkataan “REZEKI TANPA HITUNGAN ATAU AUDIT” dalam ayat ini sebagai suatu “pemangkin rasa” bagi kita semua mencapai ni’mat syurga. Hebat! Ahli syurga bebas meni’mati atau menggunakan apa sahaja ni’mat syurga tanpa bimbang kehabisan kouta atau kelayakan.

Kelebihan tersebut sangat berbeza dengan realiti hidup di dunia. Ni'mat dan kelebihan  duniawi ada kouta atau auditnya. Jika sebarang “KUASA” atau “INSENTIF DUNIAWI” disalah guna melebihi kelayakan atau kouta, maka si fulan itu akan disiasat pihak berkuasa dan menerima padahnya.

Banyak sekali Allah menyatakan kouta ni’mat syurga tidak akan putus, antaranya:

وَأَصْحَابُ الْيَمِينِ مَا أَصْحَابُ الْيَمِينِ (27) فِي سِدْرٍ مَخْضُودٍ (28) وَطَلْحٍ مَنْضُودٍ (29) وَظِلٍّ مَمْدُودٍ (30) وَمَاءٍ مَسْكُوبٍ (31) وَفَاكِهَةٍ كَثِيرَةٍ (32) لَا مَقْطُوعَةٍ وَلَا مَمْنُوعَةٍ (33)

Ertinya: Dan puak kanan, - alangkah bahagianya keadaan puak kanan itu?  Mereka bersenang-lenang di antara pohon bidara yang tidak berduri. Dan pokok pisang yang tersusun rapi buahnya,  Dan naungan yang tetap terbentang, Dan air yang sentiasa mengalir,  Serta buah-buahan yang banyak, YANG TIDAK PUTUS-PUTUS DAN TIDAK PULA TERLARANG MENDAPATNYA, (al-Waqi’ah [56:27-33]).

Juga firman Allah:

مَثَلُ الْجَنَّةِ الَّتِي وُعِدَ الْمُتَّقُونَ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ أُكُلُهَا دَائِمٌ وَظِلُّهَا تِلْكَ عُقْبَى الَّذِينَ اتَّقَوْا وَعُقْبَى الْكَافِرِينَ النَّارُ (35)

Ertinya: Sifat Syurga yang dijanjikan kepada orang yang bertaqwa itu ialah air sungainya sentiasa mengalir di sekitar tamannya; MAKANANNYA KEKAL TIDAK PUTUS DAN NAUNGANNYA SENTIASA TEDUH. Itulah kesudahan usaha orang yang bertaqwa, sedang kesudahan usaha orang yang kafir pula ialah neraka (al-Ra’du [13:35]).

Tambah manis, segala ganjaran ni’mat syurga ini diperolehi dengan rahmat dan kasih sayang Allah. Rahmat Allah pula sentiasa terbuka untuk hambaNya:

قَالَ عَذَابِي أُصِيبُ بِهِ مَنْ أَشَاءُ وَرَحْمَتِي وَسِعَتْ كُلَّ شَيْءٍ فَسَأَكْتُبُهَا لِلَّذِينَ يَتَّقُونَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَالَّذِينَ هُمْ بِآيَاتِنَا يُؤْمِنُونَ

Ertinya: …………………. "Allah berfirman: "AzabKu akan Aku timpakan kepada sesiapa yang Aku kehendaki, dan RAHMATKU MELIPUTI SEGALA SESUATU; MAKA AKU AKAN TENTUKANNYA UNTUK ORANG YANG BERTAQWA, DAN YANG MEMBERI ZAKAT, SERTA ORANG YANG BERIMAN KEPADA AYAT KAMI (al-A’raf [7:156]).

Jika ke syurga dengan rahmat Allah, maka apa pula fungsinya amalan? Apakah kita tak perlu beramal? Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa amalan yang ikhlas dan betul (menepati Sunnah) menjadi sebab TERCURAHNYA KASIH SAYANG ALLAH.

Bukti lain keluasan Rahmat Allah yang menjadi pelincir laluan kita ke syurga adalah MUDAHNYA MENGUMPUL GANDAAN PAHALA BERBANDING DOSA. Firman Allah:

مَنْ جَاءَ بِالْحَسَنَةِ فَلَهُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا وَمَنْ جَاءَ بِالسَّيِّئَةِ فَلَا يُجْزَى إِلَّا مِثْلَهَا وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ

Ertinya: Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), MAKA BAGINYA (BALASAN) SEPULUH KALI GANDA (DARI KEBAIKAN) YANG SAMA DENGANNYA; dan sesiapa yang membawa amal kejahatan, maka dia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya; sedang mereka tidak dianiaya (sedikitpun) (al-An’am [6:160]).

Juga firman Allah:

مَنْ جَاءَ بِالْحَسَنَةِ فَلَهُ خَيْرٌ مِنْهَا وَمَنْ جَاءَ بِالسَّيِّئَةِ فَلَا يُجْزَى الَّذِينَ عَمِلُوا السَّيِّئَاتِ إِلَّا مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Ertinya: Sesiapa yang datang membawa amal baik (pada hari akhirat) MAKA BAGINYA BALASAN YANG LEBIH BAIK DARIPADANYA; dan sesiapa yang datang membawa amal jahat, maka mereka yang melakukan kejahatan tidak di balas melainkan dengan apa yang mereka kerjakan (al-Qasas [28:84]).

Setelah faham betapa hebatnya ni’mat tanpa batasan syurga serta mudahnya laluan kita ke sana, maka “BODOH BENAR” orang yang masih malas berusaha kepadanya. Mereka yang malas saya umpamakan seperti seorang lelaki yang rela mati kelaparan kerana malas bergerak ke dapur mengambil makanan lazat lagi berzat di bawah tudung saji yang sudah sedia terhidang. Jangan jadi bodoh! Beramallah segera kerana saya tidak rela mati bodoh!

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...