Sunday, January 22, 2017

DALAM RIBUT UDARA HANYA ALLAH TEMPAT BERGANTUNG

DALAM RIBUT UDARA HANYA ALLAH TEMPAT BERGANTUNG

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Gentar, resah, risau! Semuanya berkecamuk dalam minda. Itulah perasaan yang saya alami petang ini (21 Januari 2017) ketika dalam pesawat Malindo Air, OD 1240 dari Subang ke Kota Bharu. Pesawat kami bertolak 1.40 petang dari Subang dan dijangka tiba di Kota Bharu pada jam 2.45 petang.

Pada jam 2.40 petang  pilot memberikan arahan:

"Cabin crew...prepare for landing."

Setelah hampir 10 minit masih belum  kelihatan wajah bumi Kelantan dari tingkap pesawat. Yang nampak hanya awan memutih. Gegaran demi gegaran berlaku dengan kerap. Pada jam 3.05 petang pilot memberikan pengumuman

"Kita berada 10 batu ke arah Selatan Kota Bharu. Kita terpaksa menangguhkan pendaratan kerana keadaan cuaca yang buruk. Kami jangka akan mendarat dalam masa 10 atau 20 minit akan datang."

Saya jenguk dari tingkap pesawat, kelihatan air laut! Gegaran demi gegaran semakin kerap berlaku. Mungkin  pesawat kami berlegar di sekitar laut berdekatan lapangan terbang. Pada waktu itu hanya doa kepada Allah yang dipanjatkan. Selepas selamat mendarat pada jam 3.30 petang, segera pujian dan syukur dipanjatkan pada Allah.

Apa yang saya rasa ketika tergantung dalam RIBUT UDARA tadi banyak disebut Allah. Semoga perkongsian ini menyedarkan kita semua betapa "HANYA ALLAH TEMPAT KITA BERGANTUNG"...

Firman Allah:

قُلْ مَنْ يُنَجِّيكُمْ مِنْ ظُلُمَاتِ الْبَرِّ وَالْبَحْرِ تَدْعُونَهُ تَضَرُّعًا وَخُفْيَةً لَئِنْ أَنْجَانَا مِنْ هَٰذِهِ لَنَكُونَنَّ مِنَ الشَّاكِرِينَ

Ertinya: Katakanlah: "Siapakah yang menyelamatkan kamu dari bencana di darat dan di laut? (Ketika) kamu berdoa merayu kepadaNya dengan merendah diri (secara terbuka) dan secara bersembunyi, (dengan berkata): "Demi sesungguhnya jika Allah selamatkan kami dari bencana ini nescaya menjadilah kami dari orang yang bersyukur" (al-An'am [6:63]).

Juga firmanNya:

أَمَّنْ يُجِيبُ الْمُضْطَرَّ إِذَا دَعَاهُ وَيَكْشِفُ السُّوءَ وَيَجْعَلُكُمْ خُلَفَاءَ الْأَرْضِ ۗ أَإِلَٰهٌ مَعَ اللَّهِ ۚ قَلِيلًا مَا تَذَكَّرُونَ

Ertinya: Atau siapakah yang memperkenankan doa orang yang menderita apabila dia berdoa kepadaNya, dan yang menghapuskan kesusahan, serta menjadikan kamu pengganti (umat yang telah lalu) mendiami dan menguasai bumi? Adakah sebarang tuhan yang lain bersama Allah? Amat sedikit di antara kamu yang mengingati (nikmat Allah itu) (al-Naml [27:62]).

Juga firman Allah:

وَهُوَ الَّذِي فِي السَّمَاءِ إِلَٰهٌ وَفِي الْأَرْضِ إِلَٰهٌ ۚ وَهُوَ الْحَكِيمُ الْعَلِيمُ

Ertinya: Dan (ingatlah), Allah jualah Tuhan yang berhak disembah di langit, dan Dia lah Tuhan yang berhak disembah di bumi; dan Dia lah jua Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui (al-Zukhruf [43:84]).

Allah adalah TUHAN kita, sama ada kita mahu mengaku dengan RELA atau TERPAKSA:

أَفَغَيْرَ دِينِ اللَّهِ يَبْغُونَ وَلَهُ أَسْلَمَ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ طَوْعًا وَكَرْهًا وَإِلَيْهِ يُرْجَعُونَ

Ertinya: Patutkah sesudah (mengakui dan menerima perjanjian) itu, mereka mencari lain dari ugama Allah? Padahal kepadaNyalah tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, sama ada dengan sukarela ataupun terpaksa, dan kepadaNya lah mereka dikembalikan (Ali 'Imran [3:83]).

Sepanjang masa kita wajib  kembali kepada Allah tanpa mengira waktu SUKAR atau SENANG. Cuma sesekali Allah memberi kita "secubit ujian" dalam bentuk RIBUT UDARA ATAU DARAT bagi menjentik jiwa kita agar tahu dan sedar bahawa DIA MEMANG WUJUD DAN ADA.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...