Monday, January 16, 2017

BEZA PERTEMUAN CINTA YANG SEKALI DENGAN PERTEMUAN SELAMA 23 TAHUN

BEZA PERTEMUAN CINTA YANG SEKALI DENGAN PERTEMUAN SELAMA 23 TAHUN

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Tidak sama! Darjat para nabi sesama mereka ada  perbezaannya. Firman Allah:

تِلْكَ الرُّسُلُ فَضَّلْنَا بَعْضَهُمْ عَلَى بَعْضٍ مِنْهُمْ مَنْ كَلَّمَ اللَّهُ وَرَفَعَ بَعْضَهُمْ دَرَجَاتٍ

Ertinya: Mereka itulah para Rasul yang Kami lebihkan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain (dengan kelebihan yang tertentu). Antara mereka ada yang Allah berkata-kata dengannya, dan ditinggikanNya (pangkat) sebahagian daripada mereka beberapa darjat kelebihan (al-Baqarah [2:253]).

Semua  nabi mulia dan tinggi darjatnya, tetapi yang paling mulia adalah nabi kita Rasulullah SAW. Banyak sekali nass yang menunjukkan kemuliaan Rasulullah SAW berbanding para nabi yang lain dari berbagai sudut. Walaupun begitu, dalam nota kali ini saya akan ulas sudut kemuliaan baginda berdasarkan “CARA TURUNNYA” kitab kebanggaan kita semua iaitu al-Quran. Sabda Rasulullah SAW:

مَا مِنْ الْأَنْبِيَاءِ نَبِيٌّ إِلَّا أُعْطِيَ مَا مِثْلهُ آمَنَ عَلَيْهِ الْبَشَرُ وَإِنَّمَا كَانَ الَّذِي أُوتِيتُ وَحْيًا أَوْحَاهُ اللَّهُ إِلَيَّ فَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ أَكْثَرَهُمْ تَابِعًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Ertinya: Setiap nabi diberikan tanda kenabian (mukjizat) yang ditunjukkan kepada manusia agar manusia boleh beriman dengannya. Sesungguhnya kelebihan (mukjizat) yang diberikan kepadaku adalah wahyu (al-Quran) yang diberikan padaku. Aku berharap agar aku menjadi nabi yang memiliki pengikut paling ramai pada hari kiamat kelak (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Asas pertama yang perlu kita faham adalah, semua kitab Allah “DITURUNKAN” dari langit. Ia menggambarkan ketinggian Pemilik kitab serta isi kandungannya. Bahkan Nabi Musa AS dan Rasulullah SAW dijemput ke tempat tinggi - Gunung Tur Sinai (al-A’raf [7:142 – 145]) dan Bukit Cahaya, Mekah di Gua Hira’ - untuk menerima wahyu pertama.

Cuma yang membezakan semua kitab langit adalah cara ia diturunkan, sama ada diturunkan “SEKALIGUS” atau “SECARA BERANSUR-ANSUR.” Allah menyebut kitab silam iaitu Tawrat, Zabur dan Injil diturunkan sekaligus, manakala al-Quran diturunkan secara beransur-ansur. Ia difahami dari penggunaan perkataan – أنزل   (ANZALA) iaitu TURUN SEKALIGUS dan نزّل   (NAZZALA) TURUN BERANSUR-ANSUR dalam ayat ini:

نَزَّلَ عَلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ مُصَدِّقًا لِمَا بَيْنَ يَدَيْهِ وَأَنْزَلَ التَّوْرَاةَ وَالْإِنْجِيلَ

Ertinya: Dia (Allah) MENURUNKAN (SECARA BERANSUR-ANSUR) kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci (Al-Quran) dengan mengandungi kebenaran, yang mengesahkan isi Kitab Suci yang terdahulu dan Dia juga yang MENURUNKAN (SECARA SEKALIGUS) Kitab Taurat dan Injil (Ali ‘Imran [3:3]).

Juga firmanNya:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا آمِنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَالْكِتَابِ الَّذِي نَزَّلَ عَلَى رَسُولِهِ وَالْكِتَابِ الَّذِي أَنْزَلَ مِنْ قَبْلُ وَمَنْ يَكْفُرْ بِاللَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا بَعِيدًا

Ertinya: Wahai orang yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan RasulNya, dan kepada Kitab Al-Quran yang telah DITURUNKAN (SECARA BERANSUR-ANSUR) kepada RasulNya (Muhammad SAW), dan juga kepada Kitab Suci yang telah diturunkan (SECARA SEKALIGUS) sebelum itu. Dan sesiapa yang kufur ingkar kepada Allah, para malaikatNya, kitabNya, para rasulNya dan juga Hari Akhirat, maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh (al-Nisa’ [4:136]).

Apa istimewanya jika sebuah kitab diturunkan secara beransur-ansur berbanding yang turunnya sekaligus? Memang ada perbezaan yang nyata! Para ulama biasanya mengulas hikmah ini secara panjang lebar namun saya suka membawa sudut lain yang mungkin jarang kita dengar.

Begini logiknya……

Bagi kitab silam yang turunnya sekaligus, bermakna pertemuan Jibril AS yang mewakili Allah dengan para nabi tertentu “BERLAKU HANYA SEKALI SAHAJA”, manakala kitab yang turunnya sepanjang masa (selama 23 tahun) bermakna pertemuan Jibril AS dengan Rasulullah SAW “BERLAKU SEUMUR HIDUP KENABIAN BAGINDA.” Boleh dikatakan baginda SAW seumpama anak bongsu yang begitu isitimewa dan dilebih-manjakan selama 23 tahun oleh Allah. Adakah anda nampak beza antara PERTEMUAN CINTA YANG SEKALI dengan PERTEMUAN BERTERUSAN DALAM CINTA?

Pastinya Rasul yang selalu dibelai, diperhati dan ditatang sepanjang masa oleh Allah melalui perantara KALAMNYA yang agung jauh lebih mulia dari rasul yang disampaikan wahyunya sekaligus pada waktu itu sahaja. Subhanallah! Lihatlah betapa mulianya Rasulullah SAW.

Setelah nampak sudut istimewa al-Quran berbanding kitab silam, sepatutnya iman kita segera tersentak seraya berkata:

“Aduhai! Rugi sungguh jika aku tidak mengambil kesempatan untuk turut merasa belai manja Allah kepada Rasulullah SAW melalui kitab yang diturunkan selama 23 tahun ini.”

Apa tunggu lagi! Marilah kita sama-sama selami kitab istimewa ini, pasti kita akan turut mabuk terkena tempias cinta Allah dan Rasulullah SAW.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...