Tuesday, January 31, 2017

LANGIT DAN BUMI ADALAH TENTERA ALLAH YANG SANGAT PATUH

LANGIT DAN BUMI ADALAH TENTERA ALLAH YANG SANGAT PATUH

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Rabu (Hud [11:44]) pada  9 September 2015. Antara isunya adalah fungsi langit dan bumi dalam hukuman kepada kaum nabi Nuh AS yang bongkak dan kufur.

“Indah dan penuh misteri.”

Itulah ungkapan paling tepat yang dapat digambarkan ketika berbaring di tengah malam menghadap langit. Bukan setakat langit, bumi juga tak mampu dijelajahi manusia dan diketahui segala rahsianya walau sudah bertahun mendiaminya. Saban hari ada sahaja khazanah flora dan fauna bumi ditemui oleh manusia yang rajin. Penemuan baru kedua spesis itu jelas menunjukkan betapa lautan ilmu Allah itu memang tidak bertepi.

Kedua makhluk Allah yang bernama langit dan bumi ini “pernah dan akan sentiasa” menjadi tentera Allah untuk mengajar manusia yang degil. Keduanya tampil garang ketika menghukum kaum Nuh yang bongkak. FirmanNya:

فَدَعَا رَبَّهُ أَنِّي مَغْلُوبٌ فَانْتَصِرْ (10) فَفَتَحْنَا أَبْوَابَ السَّمَاءِ بِمَاءٍ مُنْهَمِرٍ (11) وَفَجَّرْنَا الْأَرْضَ عُيُونًا فَالْتَقَى الْمَاءُ عَلَى أَمْرٍ قَدْ قُدِرَ (12)

Ertinya: Lalu dia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: Sesungguhnya aku ini dikalahkan (oleh kaumku yang ingkar), oleh itu menangkanlah daku (terhadap mereka)! Maka Kami bukakan pintu langit, dengan menurunkan hujan yang mencurah. Dan Kami jadikan bumi memancarkan mata air (di sana sini), lalu bertemulah air (langit dan bumi) itu untuk (melakukan) satu perkara yang telah ditetapkan (al-Qamar[54:10-12]).

Keduanya sangat patuh kepada Allah. Apabila diarahkan mencurahkan atau memuntahkan air, mereka bertindak tanpa gagal. Mereka juga segera berhenti apabila arahan lain tiba dari Allah:

وَقِيلَ يَا أَرْضُ ابْلَعِي مَاءَكِ وَيَا سَمَاءُ أَقْلِعِي وَغِيضَ الْمَاءُ وَقُضِيَ الْأَمْرُ وَاسْتَوَتْ عَلَى الْجُودِيِّ وَقِيلَ بُعْدًا لِلْقَوْمِ الظَّالِمِينَ

Ertinya: Dan (setelah binasanya kaum kafir itu) diperintahkan kepada bumi dan langit dengan berkata: "WAHAI BUMI TELANLAH AIRMU, dan WAHAI LANGIT BERHENTILAH DARI CURAHAN HUJANMU". Dan (ketika itu) surutlah air, serta terlaksanalah perintah (Allah) itu. Dan bahtera Nabi Nuh itupun berhenti di atas gunung "Judi" serta diingatkan (kepada kaum kafir umumnya bahawa): "Kebinasaanlah akhirnya bagi orang yang zalim" (Hud[11:44]).

Dalam peristiwa lain, kedua makhluk ini terkejut besar mendengar kebiadaban manusia menyekutukan Allah:

وَقَالُوا اتَّخَذَ الرَّحْمَنُ وَلَدًا (88) لَقَدْ جِئْتُمْ شَيْئًا إِدًّا (89) تَكَادُ السَّمَوَاتُ يَتَفَطَّرْنَ مِنْهُ وَتَنْشَقُّ الْأَرْضُ وَتَخِرُّ الْجِبَالُ هَدًّا (90) أَنْ دَعَوْا لِلرَّحْمَنِ وَلَدًا (91)

Ertinya: Dan mereka yang kafir berkata: "(Allah) Ar-Rahman, mempunyai anak." Demi sesungguhnya, kamu telah melakukan satu perkara yang besar salahnya!  LANGIT NYARIS-NYARIS PECAH DISEBABKAN (ANGGAPAN MEREKA) YANG DEMIKIAN, DAN BUMI PULA NYARIS TERBELAH, SERTA GUNUNG-GANANG PUN NYARIS RUNTUH RANAP, - Kerana mereka mendakwa mengatakan: (Allah) Ar-Rahman mempunyai anak (Maryam [19:88-91]).

Kepatuhan kedua makhluk hebat ini bukan hanya berlaku pada zaman nabi Nuh AS, tetapi berlaku seawal penciptaan keduanya lama sebelum kelahiran  manusia:

ثُمَّ اسْتَوَى إِلَى السَّمَاءِ وَهِيَ دُخَانٌ فَقَالَ لَهَا وَلِلْأَرْضِ اِئْتِيَا طَوْعًا أَوْ كَرْهًا قَالَتَا أَتَيْنَا طَائِعِينَ

Ertinya: Kemudian Dia menunjukkan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit sedang langit itu masih berupa asap; lalu Dia berfirman kepadanya dan kepada bumi: "Turutlah kamu berdua akan perintahKu, sama ada dengan sukarela atau dengan paksa!" Keduanya menjawab: "Kami berdua sedia menurut - patuh dengan sukarela" Fussilat([41:11]).

Pernah Bani Salamah mengadu kepada Rasulullah SAW jauhnya jarak kampong mereka dari Masjid Nabawi. Mereka berhasrat untuk berpindah berhampiran masjid Nabawi agar cepat mereka sampai sejurus azan dikumandang. Pindah berdekatan juga mengurangkan penat dan memendekkan langkah mereka yang menapak “MEMIJAK BUMI.” Baginda SAW berpesan bahawa setiap langkah ditulis sebagai pahala. Semakin panjang langkah mereka ke Masjid, semakin panjanglah senarai pahala mereka. Bumi turut menjadi saksi pada setiap langkah yang mereka atur kepada kebaikan.  (Sunan al-Tirmidhi, Musnad Ahmad, Mustadrak al-Hakim). Allah lalu menurunkan ayat ini:

إِنَّا نَحْنُ نُحْيِي الْمَوْتَى وَنَكْتُبُ مَا قَدَّمُوا وَآَثَارَهُمْ وَكُلَّ شَيْءٍ أحْصَيْنَاهُ فِي إِمَامٍ مُبِينٍ

Ertinya: Sesungguhnya Kami menghidupkan orang-orang yang mati, “DAN KAMI TULISKAN SEGALA YANG MEREKA TELAH KERJAKAN SERTA SEGALA KESAN TAPAK KAKI (PERKATAAN DAN PERBUATAN) YANG MEREKA TINGGALKAN. Dan (ingatlah) setiap sesuatu kami catitkan satu persatu dalam Kitab (ibu Suratan) yang jelas nyata (Yasin [36:12]).

Selepas ini jika tergerak mahu melakukan onar atau dosa kepada Allah, timbulkan rasa malu kepada sang langit yang menaungi ubun-ubun kita dan sang bumi yang memberikan belakangnya sebagai tempat kita berpijak. Keduanya senantiasa wujud sebagai saksi. Jangan sampai keduanya bertindak menghukum kita sebagaimana nasib malang yang pernah menimpa kaum nabi Nuh.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

Sunday, January 29, 2017

MAYAT HAFIZ AL-QURAN TIDAK REPUT DIMAKAN BUMI?

MAYAT HAFIZ AL-QURAN TIDAK REPUT DIMAKAN BUMI?

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Intisari kuliah maghrib (AJAIBNYA MENGHAFAZ AL-QURAN) di Masjid Tun Abdul Razak, Tepoh, Perlis pada 19 Januari 2017, bersempena Majlis Penutup Pertandingan menghafaz al-Quran peringkat negeri Perlis.

Banyak cerita kita dengar, tapi adakah semua cerita itu benar? Adakah semua kepercayaan itu bersendikan dalil? Adakah benar mayat penghafaz al-Quran tidak reput dimakan bumi selepas mereka mati?

Sukar menjawab soalan ini. Setakat ilmu saya yang sedikit ini, tiada pula saya jumpa dalil khusus membenarkan dakwaan itu. Tambahan pula tiada juga para pengkaji yang berani “mengorek kubur” para hafiz al-Quran untuk membuktikan dakwaan itu. Jika ada yang berani berbuat demikian, ia jelas melanggar norma kemanusiaan dan hukum syarak.

Setakat pemerhatian saya, tubuh manusia semuanya akan hancur kecuali satu bahagian yang dipanggil – عجب الذنب  - TULANG EKOR/COCCYX. Sabda Rasulullah SAW:

كُلُّ ابْنِ آدَمَ يَأْكُلُهُ التُّرَابُ إِلَّا عَجْبَ الذَّنَبِ مِنْهُ خُلِقَ وَفِيهِ يُرَكَّبُ

Ertinya: Setiap (bahagian jasad) anak Adam akan dimakan oleh bumi (tanah selepas mereka mati) melainkan TULANG EKOR, daripadanya manusia dicipta dan padanya mereka akan disusun semula (dihidupkan) (Sahih Muslim).

Walaupun begitu, terdapat pengecualiaan khusus yang melibatkan jasad para nabi. Ia ditegaskan oleh Rasulullah SAW:

إِنَّ مِنْ أَفْضَلِ أَيَّامِكُمْ يَوْمَ الْجُمُعَةِ فِيهِ خُلِقَ آدَمُ وَفِيهِ قُبِضَ وَفِيهِ النَّفْخَةُ وَفِيهِ الصَّعْقَةُ فَأَكْثِرُوا عَلَيَّ مِنْ الصَّلَاةِ فِيهِ فَإِنَّ صَلَاتَكُمْ مَعْرُوضَةٌ عَلَيَّ قَالَ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَكَيْفَ تُعْرَضُ صَلَاتُنَا عَلَيْكَ وَقَدْ أَرِمْتَ يَقُولُونَ بَلِيتَ فَقَالَ إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ حَرَّمَ عَلَى الْأَرْضِ أَجْسَادَ الْأَنْبِيَاءِ

Ertinya: “Sesungguhnya sebaik-baik hari kamu adalah hari Jumaat. Pada hari ini Adam diciptakan dan dimatikan. Pada hari ini juga ditiupkan sangkakala (tanda kiamat). Maka perbanyakkan selawat kepadaku kerana semua selawat kamu dibentangkan padaku.” Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah bagaimana selawat kami itu boleh dibentangkan padamu sedangkan kamu sudah hancur.” Rasulullah menjawab: “SESUNGGUHNYA ALLAH MENGHARAMKAN JASAD PARA NABI KEPADA BUMI” (Sunan Abu Dawud dan al-Nasa’i)

Selain itu, ada juga kisah yang menyatakan jasad orang yang mati syahid turut dijaga Allah:

عَنْ جَابِرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ لَمَّا حَضَرَ أُحُدٌ دَعَانِي أَبِي مِنْ اللَّيْلِ فَقَالَ مَا أُرَانِي إِلَّا مَقْتُولًا فِي أَوَّلِ مَنْ يُقْتَلُ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَإِنِّي لَا أَتْرُكُ بَعْدِي أَعَزَّ عَلَيَّ مِنْكَ غَيْرَ نَفْسِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَإِنَّ عَلَيَّ دَيْنًا فَاقْضِ وَاسْتَوْصِ بِأَخَوَاتِكَ خَيْرًا فَأَصْبَحْنَا فَكَانَ أَوَّلَ قَتِيلٍ وَدُفِنَ مَعَهُ آخَرُ فِي قَبْرٍ ثُمَّ لَمْ تَطِبْ نَفْسِي أَنْ أَتْرُكَهُ مَعَ الْآخَرِ فَاسْتَخْرَجْتُهُ بَعْدَ سِتَّةِ أَشْهُرٍ فَإِذَا هُوَ كَيَوْمِ وَضَعْتُهُ هُنَيَّةً غَيْرَ أُذُنِهِ

Ertinya: Jabir bin Abdullah RA mengatakan: “Menjelang perang Uhud, ayahku memanggilku pada waktu malam lalu berkata; Aku rasa akan menjadi orang pertama yang gugur dalam kalangan sahabat Rasulullah SAW. Sungguh aku tidak meninggalkan seorangpun yang lebih aku sayangi selain kamu di samping Rasululullah. Sesungguhnya aku memiliki hutang maka lunasilah, dan bersikap baiklah kepada semua saudara perempuanmu. Keesokan harinya memang dia menjadi orang yang pertama gugur dan dia dikebumikan bersama seorang syahid yang lain dalam satu kubur. Hatiku merasa kurang senang membiarkan ayahku berkongsi kubur dengan orang lain. SELEPAS 6 BULAN AKU MEMBONGKAR KUBURNYA DAN MENGELUARKANNYA. JASADNYA MASIH UTUH SEPERTI KETIKA AKU MENGUBURKANNYA MELAINKAN SEDIKIT KECACATAN PADA TELINGANYA (Sahih al-Bukhari).

Kemuliaan yang Allah kurniakan kepada orang yang mati syahid secara tidak langsung disinggung Allah oleh firmanNya:

وَلَا تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ قُتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَمْوَاتًا بَلْ أَحْيَاءٌ عِنْدَ رَبِّهِمْ يُرْزَقُونَ

Ertinya: Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki; (Ali ‘Imran [3:169]).

Kalau begitu kemuliaannya bagi orang yang mati syahid, bagaimana pula para penghafaz al-Quran? Mari kita lihat beberapa janji kemuliaan kepada mereka. Sabda Rasulullah:

عَنْ أَبِي مُوسَى الْأَشْعَرِيِّ قَالَ  قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ مِنْ إِجْلَالِ اللَّهِ إِكْرَامَ ذِي الشَّيْبَةِ الْمُسْلِمِ وَحَامِلِ الْقُرْآنِ غَيْرِ الْغَالِي فِيهِ وَالْجَافِي عَنْهُ وَإِكْرَامَ ذِي السُّلْطَانِ الْمُقْسِطِ

Ertinya: Sesungguhnya antara cara mengangungkan Allah adalah dengan memuliakan orang tua Muslim dan PENGHAFAZ AL-QURAN YANG TIDAK BERLEBIH PADA (MEMBACANYA HANYA UNTUK TAJWID TANPA BERAMAL ATAU TADABBUR MAKNANYA) DAN TIDAK MENINGGALKAN BACAANNYA (KERANA SIBUK MEMBACA TAFSIR). Juga memuliakan pemimpin yang adil (Sunan Abu Dawud).

Juga sabda baginda:

إِنَّ لِلَّهِ عَزَّ وَجَلَّ أَهْلِينَ مِنْ النَّاسِ وَإِنَّ أَهْلَ الْقُرْآنِ أَهْلُ اللَّهِ وَخَاصَّتُهُ

Ertinya: Allah mempunyai ramai manusia pilihanNya. Sesungguhnya (antara) manusia pilihan Allah (Ahlullah) yang sangat istimewa adalah ahli al-Quran (para penghafaz al-Quran atau orang yang mendalami serta menghayatinya) (Sunan Ibn Majah dan Musnad Ahmad).

Kesimpulannya, tiada nass yang jelas mengatakan jasad orang yang mati syahid atau para penghafaz al-Quran tidak akan hancur dimakan bumi. Walaupun begitu, Allah mampu melakukan apa sahaja bagi menyerlahkan kemuliaan sesetengah hamba pilihanNya. Boleh sahaja Allah selaku Tuhan alam semesta mengarahkan agar si ulat, bakteria dan segala mikro-organisme yang biasa membaham mayat agar kenal dan menjauhi jasad para kekasihnya. Lalu pada saat itu, jasad mereka ini kebal dari fitrah pereputan dan santapan makhluk dalam kubur.

Apa yang lebih penting bagi para penghafaz al-Quran bukannya mengejar “nama, pangkat atau KELEBIHAN JASAD TIDAK DIMAMAH BUMI”, sebaliknya mencari redha Allah agar “LEGASI ILMU ATAU PAHALA MEREKA TIDAK HANCUR DIMAMAH ZAMAN. Bagaimana caranya? Sebarkan isi al-Quran, ramaikan murid, banyakkan karya atau jasa ilmu, gandakan usaha MENJAGA HAFAZAN. Insya Allah, jika ini yang dilakukan, para penghafaz al-Quran yang sudah meninggal dunia akan terus hidup bersama Kalam suci Tuhan ini sehingga akhir zaman.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

NABI MUSA AS YANG LEBIH MULIA PUN SANGAT BERADAB DENGAN GURUNYA...APATAH LAGI KITA

NABI MUSA AS YANG LEBIH MULIA PUN SANGAT BERADAB DENGAN GURUNYA..APATAH LAGI KITA

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Kisah pengembaraan nabi Musa AS bertemu Khidir yang disebut oleh al-Quran dalam surah al-Kahf (ayat 60-82) mengandungi pengajaran adab menuntut ilmu yang amat bernilai.

Pada suatu hari, ketika nabi Musa AS sedang berkhutbah kepada Bani Isra’il baginda ditanya siapakah orang yang paling berilmu. Baginda mengakui bahawa orang itu adalah dirinya. Baginda kemudiannya ditegur Allah kerana tidak mengembalikan sifat PALING BERILMU kepada Allah. Allah kemudiannya mewahyukan kepada nabi Musa AS bahawa ada seorang lelaki yang lebih berilmu darinya di tempat pertemuan 2 laut. Berikutan itu, nabi Musa keluar dengan muridnyanya Yusya’ bin Nun untuk mencari lelaki tersebut dan menuntut ilmu darinya (Sahih al-Bukhari).

Antara adab menuntut ilmu yang boleh difahami dari kisah pengembaraan ilmu baginda adalah:

1)Manusia perlu merendah diri apabila menuntut ilmu. Sikap Musa keluar mencari Khidir jelas menunjukkan sikap rendah diri baginda.

2)Ilmu perlu dicari dan bukan datang mencari penuntutnya. Langkah Musa keluar mencari Khidir jelas menunjukkan kemuliaan ilmu. Sikap memanggil guru datang ke rumah mengajar (tanpa alasan yang munasabah seperti kekangan sakit) sebenarnya bertentangan dengan adab menuntut ilmu yang disebut Allah dalam kisah ini. Adab menuntut ilmu sangat difahami oleh Musa dengan katanya: "Aku tidak akan berhenti berjalan sehingga aku sampai di tempat pertemuan dua laut itu atau aku berjalan terus bertahun-tahun" (ayat 60).

3)Dalam menuntut ilmu, persediaan fizikal dan mental mesti dibuat secukupnya. Walaupun nabi Musa AS dikurniai mukjizat yang istimewa, baginda tetap membawa bekal makanan untuk perjalanannya (ayat 61-62). Perkara ini boleh dikiaskan kepada persediaan para penuntut ilmu dengan bekalan kewangan sepanjang tempoh menuntut ilmu.

4)Sikap sabar amat penting dalam menuntut ilmu kerana para penuntut ilmu pasti akan berhadapan dengan berbagai Cabaran. Cabaran yang dihadapi oleh nabi Musa sebelum sampai ke tempat Khidir adalah gangguan syaitan yang menjadikan muridnya lupa memberitahu tempat kehilangan ikan bekalan mereka secara ajaib (ayat 63-64).

5)Murid harus beradab dengan guru dengan meminta izin untuk menuntut ilmu. Murid juga harus patuh kepada syarat yang diberikan oleh guru (ayat 66-78).

6)Guru seharusnya memberi penjelasan kepada sebarang kekeliruan yang timbul dalam proses pembelajaran. Di akhir pengembaraan mereka Khidir menerangkan kepada rahsia semua tindakannya  (ayat 79-82).

SEMOGA BERMANAFAAT!

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

Saturday, January 28, 2017

RAHMAT RASULULLAH SAW MENGHALANG ANGIN AZAB

RAHMAT RASULULLAH SAW MENGHALANG ANGIN AZAB

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Adakalanya ia menjadi teman pembantu manusia yang sangat baik dan kadangkala ia boleh menjadi musuh pemusnah yang sangat dahsyat. Itulah hakikat satu makhluk Allah yang bernama Angin. Ia boleh menjadi teman pembawa rahmat sebagaimana firman Allah:

وَمِنْ آيَاتِهِ الْجَوَارِ فِي الْبَحْرِ كَالْأَعْلَامِ (32) إِنْ يَشَأْ يُسْكِنِ الرِّيحَ فَيَظْلَلْنَ رَوَاكِدَ عَلَى ظَهْرِهِ إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِكُلِّ صَبَّارٍ شَكُورٍ (33)

Ertinya: Dan antara tanda kekuasaanNya ialah kapal (yang besar tinggi) seperti gunung, belayar laju merempuh lautan. JIKA DIA KEHENDAKI, DIA MENGHENTIKAN TIUPAN ANGIN, MAKA TINGGALAH KAPAL ITU TERAPUNG DI MUKA LAUTAN. Sesungguhnya yang demikian mengandungi tanda (yang besar pengajarannya) bagi setiap seorang (mukmin) yang sentiasa bersikap sabar, lagi sentiasa bersyukur (al-Syura [42:32-33]).

Apabila angin diarahkan menjadi komando pemusnah, manusia akan menjadi kerdil seperti semut sebagaimana bencana yang menimpa kaum ‘Ad:

كَذَّبَتْ عَادٌ فَكَيْفَ كَانَ عَذَابِي وَنُذُرِ (18) إِنَّا أَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ رِيحًا صَرْصَرًا فِي يَوْمِ نَحْسٍ مُسْتَمِرٍّ (19) تَنْزِعُ النَّاسَ كَأَنَّهُمْ أَعْجَازُ نَخْلٍ مُنْقَعِرٍ (20)

Ertinya: (Demikian juga) kaum ‘Ad telah mendustakan Rasulnya (lalu mereka dibinasakan); maka perhatikanlah, bagaimana buruknya azabku dan kesan amaranKu! SESUNGGUHNYA KAMI TELAH HANTAR KEPADA MEREKA ANGIN RIBUT YANG KENCANG, pada hari nahas yang berlanjutan; Yang menumbangkan manusia gugur bergelimpangan, seolah-olah mereka batang pohon kurma yang terbongkar (al-Qamar [54:18-20]).

Dalam perang Ahzab yang berlaku pada tahun kelima Hijri, Rasulullah SAW dan umat Islam Madinah digoncang keras oleh serangan musuh yang mengepung Madinah. Allah kemudiannya menghantar angin kencang lagi sejuk yang memporak perandakan kepungan musuh. Akibatnya mereka pulang dengan kecewa mengigit jari tidak mencapai hasrat di hati. Firman Allah:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ جَاءَتْكُمْ جُنُودٌ فَأَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ رِيحًا وَجُنُودًا لَمْ تَرَوْهَا وَكَانَ اللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرًا (9)

Ertinya: Wahai orang yang beriman, kenangkanlah nikmat Allah yang dilimpahkanNya kepada kamu. Semasa kamu didatangi tentera bersekutu, LALU KAMI HANTARKAN KEPADA MEREKA ANGIN RIBUT (YANG KENCANG) serta angkatan tentera (dari malaikat) yang kamu tidak dapat melihatnya. Dan (ingatlah) Allah sentiasa melihat apa yang kamu lakukan (al-Ahzab [33:9]).

Apabila mengenang kejahatan serta busuk hati pihak musuh yang tidak putus-putus menyusahkan Rasulullah SAW dan Islam, kita mungkin terfikir mengapa tidak Allah musnahkan terus para musuh baginda SAW dengan renggutan ribut seperti kaum ‘Ad? Biar sahaja semua anggota tentera bersekutu menjadi bangkai bergelimpangan seperti pokok kurma putus pucuk?

Alhamdulillah! Soalan ini  dijawab kemas oleh Imam Ibn Kathir ketika mengulas ayat 25 surah al-Ahzab. Beliau berkata:

ولولا أن جعل الله رسوله رحمة للعالمين، لكانت هذه الريح عليهم أشد من الريح العقيم على عاد، ولكن قال الله تعالى: وَمَا كَانَ اللَّهُ لِيُعَذِّبَهُمْ وَأَنْتَ فِيهِمْ وَمَا كَانَ اللَّهُ مُعَذِّبَهُمْ وَهُمْ يَسْتَغْفِرُونَ

Ertinya: Kalaulah Allah tidak menjadikan RasulNya ini sebagai (pembawa) Rahmat untuk sekelian alam (termasuklah rahmat kepada orang yang tidak beriman seperti anggota pasukan bersekutu), sudah pasti angin ribut yang melanda mereka akan menjadi lebih dahsyat daripada angin ribut yang pernah memusnahkan kaum ‘Ad. Akan tetapi ia tidak berlaku kerana Allah berfirman: DAN ALLAH TIDAK SEKALI-KALI AKAN MENYEKSA MEREKA, SEDANG ENGKAU (WAHAI MUHAMMAD) ADA DI ANTARA MEREKA; dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedang mereka beristighfar (meminta ampun) (al-Anfal [8:33]) (Tafsir Ibn Kathir).

Subhanallah! Inilah antara kelebihan Rasulullah SAW yang tidak kita sedari. Kasih dan cinta Allah kepada baginda menjadi sebab terhalangnya azab dari jatuh menjunam kepada penduduk bumi. Ya Allah! Berikan kami rasa cinta taat dan kepada RasulMu agar cinta itu menjadi sebab kami mendapat cintaMu dan kemuliaan di akhirat kelak. Firman Allah:

قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ (31) قُلْ أَطِيعُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَإِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْكَافِرِينَ (32)

Ertinya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Katakanlah (wahai Muhammad): "Taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Oleh itu, jika kamu berpaling (menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang kafir (Ali ‘Imran [3:31-32]).

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

Monday, January 23, 2017

Bad Cough plus Fever

When I had fever and coughing very badly over the weekend and it got worst today, Khairulzaman and Sofiyah took me to KPJ Kajang.  Laling arrived when I was examined by the MO at the Yellow Zone in ER.

I was then put on drip and sent to my room on the fifth floor. Laling stayed with me during the night. 

Sunday, January 22, 2017

DALAM RIBUT UDARA HANYA ALLAH TEMPAT BERGANTUNG

DALAM RIBUT UDARA HANYA ALLAH TEMPAT BERGANTUNG

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Gentar, resah, risau! Semuanya berkecamuk dalam minda. Itulah perasaan yang saya alami petang ini (21 Januari 2017) ketika dalam pesawat Malindo Air, OD 1240 dari Subang ke Kota Bharu. Pesawat kami bertolak 1.40 petang dari Subang dan dijangka tiba di Kota Bharu pada jam 2.45 petang.

Pada jam 2.40 petang  pilot memberikan arahan:

"Cabin crew...prepare for landing."

Setelah hampir 10 minit masih belum  kelihatan wajah bumi Kelantan dari tingkap pesawat. Yang nampak hanya awan memutih. Gegaran demi gegaran berlaku dengan kerap. Pada jam 3.05 petang pilot memberikan pengumuman

"Kita berada 10 batu ke arah Selatan Kota Bharu. Kita terpaksa menangguhkan pendaratan kerana keadaan cuaca yang buruk. Kami jangka akan mendarat dalam masa 10 atau 20 minit akan datang."

Saya jenguk dari tingkap pesawat, kelihatan air laut! Gegaran demi gegaran semakin kerap berlaku. Mungkin  pesawat kami berlegar di sekitar laut berdekatan lapangan terbang. Pada waktu itu hanya doa kepada Allah yang dipanjatkan. Selepas selamat mendarat pada jam 3.30 petang, segera pujian dan syukur dipanjatkan pada Allah.

Apa yang saya rasa ketika tergantung dalam RIBUT UDARA tadi banyak disebut Allah. Semoga perkongsian ini menyedarkan kita semua betapa "HANYA ALLAH TEMPAT KITA BERGANTUNG"...

Firman Allah:

قُلْ مَنْ يُنَجِّيكُمْ مِنْ ظُلُمَاتِ الْبَرِّ وَالْبَحْرِ تَدْعُونَهُ تَضَرُّعًا وَخُفْيَةً لَئِنْ أَنْجَانَا مِنْ هَٰذِهِ لَنَكُونَنَّ مِنَ الشَّاكِرِينَ

Ertinya: Katakanlah: "Siapakah yang menyelamatkan kamu dari bencana di darat dan di laut? (Ketika) kamu berdoa merayu kepadaNya dengan merendah diri (secara terbuka) dan secara bersembunyi, (dengan berkata): "Demi sesungguhnya jika Allah selamatkan kami dari bencana ini nescaya menjadilah kami dari orang yang bersyukur" (al-An'am [6:63]).

Juga firmanNya:

أَمَّنْ يُجِيبُ الْمُضْطَرَّ إِذَا دَعَاهُ وَيَكْشِفُ السُّوءَ وَيَجْعَلُكُمْ خُلَفَاءَ الْأَرْضِ ۗ أَإِلَٰهٌ مَعَ اللَّهِ ۚ قَلِيلًا مَا تَذَكَّرُونَ

Ertinya: Atau siapakah yang memperkenankan doa orang yang menderita apabila dia berdoa kepadaNya, dan yang menghapuskan kesusahan, serta menjadikan kamu pengganti (umat yang telah lalu) mendiami dan menguasai bumi? Adakah sebarang tuhan yang lain bersama Allah? Amat sedikit di antara kamu yang mengingati (nikmat Allah itu) (al-Naml [27:62]).

Juga firman Allah:

وَهُوَ الَّذِي فِي السَّمَاءِ إِلَٰهٌ وَفِي الْأَرْضِ إِلَٰهٌ ۚ وَهُوَ الْحَكِيمُ الْعَلِيمُ

Ertinya: Dan (ingatlah), Allah jualah Tuhan yang berhak disembah di langit, dan Dia lah Tuhan yang berhak disembah di bumi; dan Dia lah jua Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui (al-Zukhruf [43:84]).

Allah adalah TUHAN kita, sama ada kita mahu mengaku dengan RELA atau TERPAKSA:

أَفَغَيْرَ دِينِ اللَّهِ يَبْغُونَ وَلَهُ أَسْلَمَ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ طَوْعًا وَكَرْهًا وَإِلَيْهِ يُرْجَعُونَ

Ertinya: Patutkah sesudah (mengakui dan menerima perjanjian) itu, mereka mencari lain dari ugama Allah? Padahal kepadaNyalah tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, sama ada dengan sukarela ataupun terpaksa, dan kepadaNya lah mereka dikembalikan (Ali 'Imran [3:83]).

Sepanjang masa kita wajib  kembali kepada Allah tanpa mengira waktu SUKAR atau SENANG. Cuma sesekali Allah memberi kita "secubit ujian" dalam bentuk RIBUT UDARA ATAU DARAT bagi menjentik jiwa kita agar tahu dan sedar bahawa DIA MEMANG WUJUD DAN ADA.

Saturday, January 21, 2017

Cucu in the House

When hubby and I returned from our Kursus Haji, our grandson was at home greeting us with his parents. Alhamdullillah.

Friday, January 20, 2017

USAH DIUBAH AYATNYA WALAU SEPATAH KATA

USAH DIUBAH AYATNYA WALAU SEPATAH KATA

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Saya beriman dengan konsep “ILMU TAK AKAN HABIS DIKONGSI. ILMU YANG DIKONGSI AKAN BERTAMBAH SUBUR.” Malam ini (14 Januari 2015), ketika asyik menulis Adab Tidur Rasulullah SAW bagi isi “BUKU KELIMA” saya berkaitan “MIMPI”, saya terjumpa satu hadith yang menarik isinya.

Pada suatu hari Rasulullah SAW mengajar al-Bara’ bin ‘Azib RA adab dan doa sebelum tidur. Sabda baginda SAW:

إِذَا أَتَيْتَ مَضْجَعَكَ فَتَوَضَّأْ وُضُوءَكَ لِلصَّلَاةِ ثُمَّ اضْطَجِعْ عَلَى شِقِّكَ الْأَيْمَنِ ثُمَّ قُلْ اللَّهُمَّ أَسْلَمْتُ وَجْهِي إِلَيْكَ وَفَوَّضْتُ أَمْرِي إِلَيْكَ وَأَلْجَأْتُ ظَهْرِي إِلَيْكَ رَغْبَةً وَرَهْبَةً إِلَيْكَ لَا مَلْجَأَ وَلَا مَنْجَا مِنْكَ إِلَّا إِلَيْكَ اللَّهُمَّ آمَنْتُ بِكِتَابِكَ الَّذِي أَنْزَلْتَ وَبِنَبِيِّكَ الَّذِي أَرْسَلْتَ فَإِنْ مُتَّ مِنْ لَيْلَتِكَ فَأَنْتَ عَلَى الْفِطْرَةِ وَاجْعَلْهُنَّ آخِرَ مَا تَتَكَلَّمُ بِهِ قَالَ فَرَدَّدْتُهَا عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَمَّا بَلَغْتُ اللَّهُمَّ آمَنْتُ بِكِتَابِكَ الَّذِي أَنْزَلْتَ قُلْتُ وَرَسُولِكَ قَالَ لَا وَنَبِيِّكَ الَّذِي أَرْسَلْتَ

Ertinya: Apabila engkau mendatangi tempat tidurmu, maka berwudhuklah seperti wudhuk solat kemudian berbaringlah pada bahagian kanan badanmu dan berdoalah: “Ya Allah! Aku tundukkan diriku padaMu, dan aku serahkan urusanku padaMu. Aku juga sandarkan belakangku padaMu secara rela (mengharap rahmatMu) dan secara gerun pada (azab dan kemurkaanMu). Tiada yang mampu mengelak dan bebas (dari azabMu) melainkan dengan bersandar padaMu. Ya Allah, aku sudah beriman dengan kitabMu yang telah Engkau turunkan, aku juga sudah beriman dengan nabiMu yang telah Engkau utuskan.” Rasulullah kemudiannya bersabda: “Jika engkau mati pada malam itu, maka engkau dikira mati dalam fitrah. Oleh itu, jadikanlah doa ini sebagai kata-kata terakhir yang engkau ucapkan sebelum tidurmu.” (al-Bara’) berkata: Aku lalu mengulangi doa tersebut di hadapan Rasulullah. Apabila sampai kepada lafaz “Ya Allah, aku sudah beriman dengan kitabMu yang telah Engkau turunkan…..” Aku menambah LAFAZ DAN RASULMU (BERSAMA PERKATAAN NABIMU). Rasulullah SAW membetulkan lafazku dengan sabdanya: “TIDAK (BEGITU), (CUKUP DENGAN LAFAZ) DAN NABIMU YANG ENGKAU UTUSKAN (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Perhatian saya tertumpu pada bahagian akhir hadith ini, bagaimana Rasulullah SAW mencegah al-Bara’ dari menambah perkataan “RASULMU” beriring dengan lafaz “NABIMU.” Persoalannya mengapa tambahan yang benar ini dicegah oleh Rasulullah SAW? Terdapat beberapa jawapan dari pengulas hadith ini (Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari). Antara yang paling bernas adalah:

- Boleh jadi lafaz zikir dan doa ini memang muktamad bersandarkan “WAHYU” dan mempunyai “KADAR PAHALA TETAP” yang tidak wajar ditokok tambah.

- Boleh jadi lafaz doa tersebut mempunyai “RAHSIA (KEMAQBULAN)” yang tiada pada lafaz lain.

- Boleh jadi Rasulullah SAW menegah penambahan perkataan RASULMU beiring dengan lafaz NABIMU bertujuan membezakan baginda yang berjawatan NABI berbanding para malaikat yang hanya berjawatan “RASUL atau UTUSAN UNTUK SESUATU TUGASAN.”

اللَّهُ يَصْطَفِي مِنَ الْمَلَائِكَةِ رُسُلًا وَمِنَ النَّاسِ إِنَّ اللَّهَ سَمِيعٌ بَصِيرٌ

Ertinya: Allah memilih utusan-utusanNya dari malaikat dan dari manusia; sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui (al-Hajj [22:75]).

Sejurus itu juga saya teringat kemurkaan Allah kepada Bani Isra’il yang memandai-mandai mengubah perkataan yang WAJIB MEREKA GUNAKAN ketika melangkah masuk gerbang Bayt al-Maqdis. Akibat “kreativiti dan kecerdikan tidak bertempat” mereka itu, Allah langsung mengazab mereka:

وَإِذْ قِيلَ لَهُمُ اسْكُنُوا هَذِهِ الْقَرْيَةَ وَكُلُوا مِنْهَا حَيْثُ شِئْتُمْ وَقُولُوا حِطَّةٌ وَادْخُلُوا الْبَابَ سُجَّدًا نَغْفِرْ لَكُمْ خَطِيئَاتِكُمْ سَنَزِيدُ الْمُحْسِنِينَ (161) فَبَدَّلَ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْهُمْ قَوْلًا غَيْرَ الَّذِي قِيلَ لَهُمْ فَأَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ رِجْزًا مِنَ السَّمَاءِ بِمَا كَانُوا يَظْلِمُونَ (162)

Ertinya: Dan (ingatlah) ketika dikatakan kepada mereka: "Tinggalah dalam bandar ini dan makanlah dari makanannya apa sahaja yang kamu sukai, DAN BERDOALAH DENGAN BERKATA: ` (WAHAI TUHAN KAMI), GUGURKANLAH (DOSA KAMI) ', dan masuklah melalui pintu (bandar) itu dengan tunduk merendah diri, supaya Kami mengampunkan dosa-dosa kamu. Kami akan menambah (balasan) bagi orang-orang yang berbuat kebaikan". MAKA ORANG-ORANG YANG ZALIM DI ANTARA MEREKA MENUKARKAN PERINTAH ITU DENGAN PERKATAAN YANG TIDAK DIKATAKAN KEPADA MEREKA. OLEH ITU, KAMI TURUNKAN AZAB DARI LANGIT MENIMPA MEREKA, DENGAN SEBAB KEZALIMAN YANG MEREKA LAKUKAN (al-A’raf [7:161]).

Ada masanya sebarang lafaz yang khusus dibiarkan tanpa bertambah. Kenapa? Ada hikmahnya tersendiri yang hanya Allah maha mengetahui. Selain itu, kita juga tidak lebih pandai berbanding Rasulullah SAW.

Sekian sebuah perkongsian dari insan kerdil ini..Allahu A'lam!

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

Thursday, January 19, 2017

TIADA YANG HIDUP DI BUMI JIKA ALLAH TERUS MENGHUKUM

TIADA YANG HIDUP DI BUMI JIKA ALLAH TERUS MENGHUKUM
Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Jumaat (Fatir [35:42]) pada 24 April 2015. Antara isunya adalah bukti keluasan rahmat Allah apabila tidak segera menghukum manusia atas kedegilan mereka.

Jika binatang, pokok, bukit bukau dan segala macam makhluk di bumi ini boleh berbicara sudah pasti mereka akan beristighfar panjang setiap kali manusia melakukan kejahatan atau mempamerkan kerakusan mereka. Apa tidaknya tempias kejahatan manusia selalu sahaja terpencar kepada mereka. Berapa banyak haiwan, pokok kayu dan bukit bukau menjadi mangsa apabila manusia menunjukkan bakat “syaitan” dalam diri mereka. Jika “kelab penyokong Iblis” dibuka keahliannya, sudah pasti manusia seperti ini terus terpilih menjadi ahli majlis tertinggi atau presidennya.

Bukan setakat rakus, sesetengah manusia juga sangat biadab. Sanggup mereka memperleceh serta mempersenda Allah dengan berdoa agar segera dihujani azab oleh Allah:

وَإِذْ قَالُوا اللَّهُمَّ إِنْ كَانَ هَذَا هُوَ الْحَقَّ مِنْ عِنْدِكَ فَأَمْطِرْ عَلَيْنَا حِجَارَةً مِنَ السَّمَاءِ أَوِ ائْتِنَا بِعَذَابٍ أَلِيمٍ (32) وَمَا كَانَ اللَّهُ لِيُعَذِّبَهُمْ وَأَنْتَ فِيهِمْ وَمَا كَانَ اللَّهُ مُعَذِّبَهُمْ وَهُمْ يَسْتَغْفِرُونَ (33)

Ertinya: Dan (ingatlah) ketika mereka (kaum musyrik Makkah) berkata: "Wahai tuhan kami! Jika betul (Al-Quran) itu ialah yang benar dari sisimu, maka hujanilah kami dengan batu dari langit, atau datangkanlah kepada kami azab seksa yang tidak terperi sakitnya". Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka, SEDANG ENGKAU (WAHAI MUHAMMAD) ADA DI ANTARA MEREKA; DAN ALLAH TIDAK AKAN MENYEKSA MEREKA SEDANG MEREKA BERISTIGHFAR (MEMINTA AMPUN) (al-Anfal [8:32-33]).
Mereka yang dimaksudkan ayat ini adalah beberapa tokoh Musyrikin Mekah. Pun begitu, mereka masih beruntung kerana doa biadab mereka terhalang dek wujudnya Rasulullah SAW di Mekah dan konsistennya para sahabat beristighfar kepada Allah. 2 faktor inilah yang sebenarnya menyelamatkan mereka dari hujanan azab Allah dari langit.

Walau manusia rakus, zalim dan jahat, Allah sangat luas RahmatNya. Allah tidak segera menghukum manusia sebaliknya memberikan mereka peluang berubah. FirmanNya:
وَلَوْ يُؤَاخِذُ اللَّهُ النَّاسَ بِمَا كَسَبُوا مَا تَرَكَ عَلَى ظَهْرِهَا مِنْ دَابَّةٍ وَلَكِنْ يُؤَخِّرُهُمْ إِلَى أَجَلٍ مُسَمًّى فَإِذَا جَاءَ أَجَلُهُمْ فَإِنَّ اللَّهَ كَانَ بِعِبَادِهِ بَصِيرًا

Ertinya: Dan kalaulah Allah mengirakan kesalahan manusia serta terus menyeksa mereka disebabkan amal-amal jahat yang mereka telah kerjakan, tentulah la tidak membiarkan tinggal di muka bumi sesuatu makhluk yang bergerak; akan tetapi (dia tidak bertindak dengan serta merta, bahkan) Ia memberi tempoh kepada mereka hingga ke suatu masa yang tertentu; kemudian apabila sampai tempoh mereka (maka Allah akan membalas masing-masing dengan adilnya), kerana sesungguhnya Allah sentiasa Melihat keadaan hamba-hambaNya (Fatir [35:45]).

Keluasan rahmatNya diulang sebut dalam ayat lain:

وَرَبُّكَ الْغَفُورُ ذُو الرَّحْمَةِ لَوْ يُؤَاخِذُهُمْ بِمَا كَسَبُوا لَعَجَّلَ لَهُمُ الْعَذَابَ بَلْ لَهُمْ مَوْعِدٌ لَنْ يَجِدُوا مِنْ دُونِهِ مَوْئِلًا

Ertinya: Dan Tuhanmu Maha Pengampun, lagi melimpah-limpah rahmatnya. Jika Ia mahu menyeksa mereka (di dunia) disebabkan apa yang mereka telah usahakan, tentulah Ia akan menyegerakan azab itu menimpa mereka; (tetapi Ia tidak berbuat demikian) bahkan ditentukan bagi mereka satu masa yang mereka tidak sekali-kali akan dapat sebarang tempat perlindungan, yang ialah daripadanya (al-Kahfi[18:58]).

Apabila melihat ayat di atas, saya sukar untuk percaya teori sesetengah “filem dan majalah mistik Melayu” yang seakan meletakkan sifir bahawa hukuman dapat dilihat kepada pesalahnya sejurus nyawa tercabut dari badan. Ada yang didakwa bertukar menjadi babi, mayatnya segera menjadi busuk bergerutu dihurung ulat dan sebagainya. Memang perkara ini boleh berlaku dengan izin Allah, namun menggambarkannya sebagai suatu kelaziman dengan nisbah yang besar sangat tidak tepat.

Jika cerita mistik mayat bertukar rupa itu direka untuk mengejar “rating penonton dan pembaca atau menginsafkan manusia”, ketahuilah bahawa sejarah penciptaan hadith palsu perosak agama juga berpunca dari niat yang sama. Agama adalah hak mutlak Allah dan jangan cuba terlebih pandai dari Allah menokok tambah agamaNya.

Sepatutnya manusia bersyukur di atas keluasan Rahmat Allah dalam bentuk penangguhan hukuman seperti yang dijanjikanNya. Jadikan ia suatu motivasi dan harapan untuk kembali kepada Allah apabila tersalah langkah.  Berikan harapan kerana harapan yang menghidupkan jiwa dan hati yang berdosa:

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَى أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
Ertinya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (al-Zumar [39:53]).

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

Wednesday, January 18, 2017

NABI SULAYMAN MENCARI HUD-HUD YANG MEMILIKI "RADAR PENGESAN AIR"

NABI SULAYMAN MENCARI HUD-HUD YANG MEMILIKI "RADAR PENGESAN AIR"

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Selasa (al-Naml [27:20]) pada 5 Mei 2015. Antara isunya rahsia mengapa nabi Sulayman AS mencari Hud-hud dalam senarai burung.

Mengapa Hud-Hud yang dicari? Mengapa tidak helang, pipit, gagak, merpati atau merak? Itu soalan yang selalu berlegar dalam kepala saya sejak sekian lama setiap kali membaca kisah nabi Sulayman AS dan burung Hud-hud dalam surah al-Naml. Firman Allah:

وَتَفَقَّدَ الطَّيْرَ فَقَالَ مَا لِيَ لَا أَرَى الْهُدْهُدَ أَمْ كَانَ مِنَ الْغَائِبِينَ

Ertinya: Dan (setelah itu) Nabi Sulaiman memeriksa kumpulan burung (yang turut serta dalam tenteranya) lalu berkata: "Mengapa aku tidak melihat burung belatuk? Adakah ia dari mereka yang tidak hadir? (al-Naml [27:20]).

Alhamdulillah akhirnya jawapan itu saya temui setelah menelaah kitab Tafsir al-Quran. Rupanya Hud-hud adalah jurutera air dan dikurniai kemahiran mencari air. Nabi Sulayman AS setelah sampai ke satu tempat bersama iringan rakyatnya yang terdiri dari berbagai spesis sangat memerlukan air. Di saat itu biasanya baginda akan memanggil burung Hud-hud yang mampu terbang dan mengesan kedudukan “AIR YANG TERPENDAM” dalam bumi (Tafsir al-Tabari).

Teori tersebut seakan dikukuhkan lagi oleh kata-kata Hud-hud ketika melaporkan perihal kerosakan akidah penduduk Saba’ yang menyembah matahari:

وَجَدْتُهَا وَقَوْمَهَا يَسْجُدُونَ لِلشَّمْسِ مِنْ دُونِ اللَّهِ وَزَيَّنَ لَهُمُ الشَّيْطَانُ أَعْمَالَهُمْ فَصَدَّهُمْ عَنِ السَّبِيلِ فَهُمْ لَا يَهْتَدُونَ (24) أَلَّا يَسْجُدُوا لِلَّهِ الَّذِي يُخْرِجُ الْخَبْءَ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَيَعْلَمُ مَا تُخْفُونَ وَمَا تُعْلِنُونَ (25)

Ertinya: Hud-hud berkata: "Aku dapati raja perempuan itu dan kaumnya sujud kepada matahari dengan meninggalkan ibadat menyembah Allah, dan Syaitan pula memperelokkan pada pandangan mereka perbuatan (syirik) mereka, lalu menghalangi mereka dari jalan (yang benar); oleh itu mereka tidak beroleh petunjuk, - "(Mereka dihalangi oleh Syaitan) supaya mereka tidak sujud menyembah “ALLAH YANG MENGELUARKAN BENDA YANG TERSEMBUNYI DI LANGIT DAN (TERPENDAM) DALAM BUMI,” dan yang mengetahui apa yang kamu rahsiakan serta apa yang kamu zahirkan (al-Naml[27:24-25]).

Hud-hud menyebut kuasa Allah yang mampu mengeluarkan “BENDA YANG TERPENDAM DALAM BUMI.” Dalam satu tafsiran kepada perkataan الخبء  , Sa’id ibn al-Musayyab menyebut ia bermaksud “AIR.” Oleh itu ia agak selari dengan riwayat yang menyebut kelebihan Hud-hud yang mampu mengesan air dalam bumi (Tafsir Ibn Kathir).

Walau bagaimanapun, kisah Hud-hud yang memiliki “RADAR PENGESAN AIR” tergolong dalam kategori riwayat Israiliyyat (riwayat bersumber dari Ahli Kitab) yang tidak dapat dipastikan kesahihannya. Boleh jadi benar atau salah. Oleh itu, “dakwaan” ini ia perlu disukat dengan pembuktian saintifik. Samalah perihalnya kemampuan sesetengah haiwan yang dikurniai deria khas mampu melihat malaikat atau syaitan sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

إِذَا سَمِعْتُمْ صِيَاحَ الدِّيَكَةِ فَاسْأَلُوا اللَّهَ مِنْ فَضْلِهِ فَإِنَّهَا رَأَتْ مَلَكًا وَإِذَا سَمِعْتُمْ نَهِيقَ الْحِمَارِ فَتَعَوَّذُوا بِاللَّهِ مِنْ الشَّيْطَانِ  فَإِنَّهُ رَأَى شَيْطَانًا

Ertinya: Apabila kamu mendengar kokokan ayam, maka mohonlah kepada Allah akan kurniaanNya kerana “AYAM ITU TELAH MELIHAT MALAIKAT,” manakala apabila kamu mengengar rengekan keldai, maka mintalah perlindungan dengan Allah daripada (kejahatan) syaitan kerana “KELDAI ITU TELAH MELIHAT SYAITAN” (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Inilah salah satu cara laluan ilmu dibuka oleh al-Quran. Seharusnya Muslim yang membaca al-Quran berfikir tentang hikmah dan rahsia di sebalik setiap bicara al-Quran. Tambah teguh jika teori yang dikesan di sebalik ayat al-Quran dibuktikan secara saintifik. Jika beginilah gayanya interaksi umat Islam dengan al-Quran, barulah al-Quran mampu menjawab segala masalah yang mereka hadapi.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

Monday, January 16, 2017

Bukit Malawati

After we had our breakfast at Cyberjaya yesterday morning, hubby suggested that we go to Kuala Selangor to shop fresh seafood. So off we went.

At the market I waited in the car whilst hubby and our two daughters did their seafood shopping. Actually I was exhausted after the run yesterday morning. So I rested in the car. Hehee....

Then after wondering why they took so long, I got out of the car to look for them in the market. That was when I heard meow-ing sounds coming from the drain near the entrance to the market. It was a little kitten which had fallen into the drain. The drain was quite deep. But I slowly lowered myself into the drain and picked up the little kitten. It was easy going down into the drain, but then when I wanted to get out of the drain...😰😰😰 I had difficulty climbing out. There was no ledge whatever for me to climb out! Imagine having to hop slightly and then one leg up on the ground and push myself out of the drain. When I finally stood up the kitten was nowhere to be seen.

Anyway, after we did our marketing, we went to Bukit Malawati since kak ngah have never been up there.  On weekends we were not allowed to drive up Bukit Malawati, so we have to take the tram. It was a jolly ride.

I have been up Bukit Malawati a few times but on weekdays, so it was a nice surprise to find a lot of grey looking monkeys at the top of Bukit Malawati during my trip this time around. We had a great time feeding the monkeys. There are a few hawkers selling groundnuts, bananas, carrot and vegetables to feed the monkeys. 

Please do not feed them rotten vegetables. Pity them. 

In shaa Allah on my next visit I will bring them bananas since they like it so much. But, the hawkers sold unripe bananas for us to feed the monkeys and they ate it. So I guess I too have to bring unripe bananas too. Wonder if they like apples too...


BEZA PERTEMUAN CINTA YANG SEKALI DENGAN PERTEMUAN SELAMA 23 TAHUN

BEZA PERTEMUAN CINTA YANG SEKALI DENGAN PERTEMUAN SELAMA 23 TAHUN

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Tidak sama! Darjat para nabi sesama mereka ada  perbezaannya. Firman Allah:

تِلْكَ الرُّسُلُ فَضَّلْنَا بَعْضَهُمْ عَلَى بَعْضٍ مِنْهُمْ مَنْ كَلَّمَ اللَّهُ وَرَفَعَ بَعْضَهُمْ دَرَجَاتٍ

Ertinya: Mereka itulah para Rasul yang Kami lebihkan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain (dengan kelebihan yang tertentu). Antara mereka ada yang Allah berkata-kata dengannya, dan ditinggikanNya (pangkat) sebahagian daripada mereka beberapa darjat kelebihan (al-Baqarah [2:253]).

Semua  nabi mulia dan tinggi darjatnya, tetapi yang paling mulia adalah nabi kita Rasulullah SAW. Banyak sekali nass yang menunjukkan kemuliaan Rasulullah SAW berbanding para nabi yang lain dari berbagai sudut. Walaupun begitu, dalam nota kali ini saya akan ulas sudut kemuliaan baginda berdasarkan “CARA TURUNNYA” kitab kebanggaan kita semua iaitu al-Quran. Sabda Rasulullah SAW:

مَا مِنْ الْأَنْبِيَاءِ نَبِيٌّ إِلَّا أُعْطِيَ مَا مِثْلهُ آمَنَ عَلَيْهِ الْبَشَرُ وَإِنَّمَا كَانَ الَّذِي أُوتِيتُ وَحْيًا أَوْحَاهُ اللَّهُ إِلَيَّ فَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ أَكْثَرَهُمْ تَابِعًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Ertinya: Setiap nabi diberikan tanda kenabian (mukjizat) yang ditunjukkan kepada manusia agar manusia boleh beriman dengannya. Sesungguhnya kelebihan (mukjizat) yang diberikan kepadaku adalah wahyu (al-Quran) yang diberikan padaku. Aku berharap agar aku menjadi nabi yang memiliki pengikut paling ramai pada hari kiamat kelak (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Asas pertama yang perlu kita faham adalah, semua kitab Allah “DITURUNKAN” dari langit. Ia menggambarkan ketinggian Pemilik kitab serta isi kandungannya. Bahkan Nabi Musa AS dan Rasulullah SAW dijemput ke tempat tinggi - Gunung Tur Sinai (al-A’raf [7:142 – 145]) dan Bukit Cahaya, Mekah di Gua Hira’ - untuk menerima wahyu pertama.

Cuma yang membezakan semua kitab langit adalah cara ia diturunkan, sama ada diturunkan “SEKALIGUS” atau “SECARA BERANSUR-ANSUR.” Allah menyebut kitab silam iaitu Tawrat, Zabur dan Injil diturunkan sekaligus, manakala al-Quran diturunkan secara beransur-ansur. Ia difahami dari penggunaan perkataan – أنزل   (ANZALA) iaitu TURUN SEKALIGUS dan نزّل   (NAZZALA) TURUN BERANSUR-ANSUR dalam ayat ini:

نَزَّلَ عَلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ مُصَدِّقًا لِمَا بَيْنَ يَدَيْهِ وَأَنْزَلَ التَّوْرَاةَ وَالْإِنْجِيلَ

Ertinya: Dia (Allah) MENURUNKAN (SECARA BERANSUR-ANSUR) kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci (Al-Quran) dengan mengandungi kebenaran, yang mengesahkan isi Kitab Suci yang terdahulu dan Dia juga yang MENURUNKAN (SECARA SEKALIGUS) Kitab Taurat dan Injil (Ali ‘Imran [3:3]).

Juga firmanNya:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا آمِنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَالْكِتَابِ الَّذِي نَزَّلَ عَلَى رَسُولِهِ وَالْكِتَابِ الَّذِي أَنْزَلَ مِنْ قَبْلُ وَمَنْ يَكْفُرْ بِاللَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا بَعِيدًا

Ertinya: Wahai orang yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan RasulNya, dan kepada Kitab Al-Quran yang telah DITURUNKAN (SECARA BERANSUR-ANSUR) kepada RasulNya (Muhammad SAW), dan juga kepada Kitab Suci yang telah diturunkan (SECARA SEKALIGUS) sebelum itu. Dan sesiapa yang kufur ingkar kepada Allah, para malaikatNya, kitabNya, para rasulNya dan juga Hari Akhirat, maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh (al-Nisa’ [4:136]).

Apa istimewanya jika sebuah kitab diturunkan secara beransur-ansur berbanding yang turunnya sekaligus? Memang ada perbezaan yang nyata! Para ulama biasanya mengulas hikmah ini secara panjang lebar namun saya suka membawa sudut lain yang mungkin jarang kita dengar.

Begini logiknya……

Bagi kitab silam yang turunnya sekaligus, bermakna pertemuan Jibril AS yang mewakili Allah dengan para nabi tertentu “BERLAKU HANYA SEKALI SAHAJA”, manakala kitab yang turunnya sepanjang masa (selama 23 tahun) bermakna pertemuan Jibril AS dengan Rasulullah SAW “BERLAKU SEUMUR HIDUP KENABIAN BAGINDA.” Boleh dikatakan baginda SAW seumpama anak bongsu yang begitu isitimewa dan dilebih-manjakan selama 23 tahun oleh Allah. Adakah anda nampak beza antara PERTEMUAN CINTA YANG SEKALI dengan PERTEMUAN BERTERUSAN DALAM CINTA?

Pastinya Rasul yang selalu dibelai, diperhati dan ditatang sepanjang masa oleh Allah melalui perantara KALAMNYA yang agung jauh lebih mulia dari rasul yang disampaikan wahyunya sekaligus pada waktu itu sahaja. Subhanallah! Lihatlah betapa mulianya Rasulullah SAW.

Setelah nampak sudut istimewa al-Quran berbanding kitab silam, sepatutnya iman kita segera tersentak seraya berkata:

“Aduhai! Rugi sungguh jika aku tidak mengambil kesempatan untuk turut merasa belai manja Allah kepada Rasulullah SAW melalui kitab yang diturunkan selama 23 tahun ini.”

Apa tunggu lagi! Marilah kita sama-sama selami kitab istimewa ini, pasti kita akan turut mabuk terkena tempias cinta Allah dan Rasulullah SAW.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...