Thursday, December 8, 2016

MAKSUD SEBENAR "ZIKIR ADALAH IBADAH YANG PALING BESAR"

MAKSUD SEBENAR “ZIKIR ADALAH IBADAH YANG PALING BESAR”

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Dhuha Selasa (al-‘Ankabut [29:45]) pada 2 Disember 2014. Antara isunya maksud sebenar perkataan ZIKIR kepada Allah adalah jauh lebih besar.

Pernah saya terdengar ada orang mengajak kawannya memasuki amalan kumpulannya dengan kata promosi:

“Ayuhlah ikut aku masuk kumpulan zikir itu. Nanti kamu akan dilatih berzikir ribuan kali KERANA ZIKIR ADALAH IBADAH YANG PALING BESAR sebagaimana firman Allah!”

Lalu rangkap terakhir ayat ini dibaca - وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ - dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar.

Dalam pengajian tafsir al-Quran, pemahaman SIYAQ atau KONTEKS sebenar sesuatu ayat sangat penting agar maksud sebenar kalam Allah ini tidak terpesong ke lain. Jika ia tidak dijaga, nantinya “itik menyudu air”  difaham pula “ayam patuk padi”, sudahnya lain yang disampaikan Allah, lain pula dipetik. 

Lalu apakah pula maksud sebenar ZIKIR YANG LEBIH BESAR dalam ayat itu? Tidak lain, untuk menjelaskan maksud sebenar, WAJIB kita melihat ayat itu dari pangkal. Umpamanya kita pasti kebingungan berfikir  bagaimana SPIDERMAN tiba-tiba mampu melekat di dinding jika terus melompat kepada sequel SPIDERMAN 3 tanpa melihat pangkal cerita SPIDERMAN 1. Allah menjelaskan:

اتْلُ مَا أُوحِيَ إِلَيْكَ مِنَ الْكِتَابِ وَأَقِمِ الصَّلَاةَ إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ

Ertinya: Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan DIRIKANLAH SEMBAHYANG (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah (utamanya adalah DENGAN SOLAT) adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan (al-‘Ankabut[29:45]).

Terdapat beberapa makna perkataan ZIKIR (MENGINGATI ALLAH) ADALAH LEBIH BESAR;

1) Tadabbur al-Quran dan solat yang terdapat dalamnya segala macam bacaan dan pergerakan mengingati Allah jauh lebih besar dari ibadat lain (Tafsir al-Munir). Tadabbur al-Quran mampu membuahkan iman, manakala solat adalah sangat besar nilainya kerana ia langsung tidak boleh ditinggalkan melainkan atas sebab lupa, tertidur atau hilang akal. Solat juga menjadi rukun Islam yang menyempurnakan Iqrar syahadah kepada Allah.

2) Ingatan Allah terhadapmu dengan segala rahmatNya jauh lebih besar berbanding ingatanmu terhadapNya dengan amal ibadah yang kamu lakukan (Tafsir Ibn Kathir).

Pendapat ini juga sangat logik kerana apalah sangat nilai ingatan serta ibadah kita kepada Allah jika mahu dibandingkan dengan segala ni’mat dan rahmat Allah kepada kita. Usah bicara banyak, solat 5 waktu kita lakukan tanpa 100% khusyuk itu pun belum dapat membalas jasa Allah meminjamkan sebuah jantung yang memberikan kita hidup. Apatah lagi ni’mat lain yang diberikan secara percuma.

Pasti kita terkejut jika suatu hari Allah menghantar kita bil oksigen, bil matahari, bil Graviti, bil hujan dan sebagainya yang perlu dibayar dengan ibdah setiap saat. Pasti kita tak akan termampu membayar segala bil tersebut. Sungguh! Ingatan Allah kepada kita dengan segala ni’mat dan rahmatNya, jauh lebih besar nilainya dari ingatan kita kepada Allah yang sangat "ciput." Insaflah wahai Abdullah Bukhari.

Walau bagaimanapun, dalam kaedah Usul Tafsir dan Usul Fiqh, para ulama menegaskan suatu kaedah yang sungguh melapangkan dada iaitu - العبرة بعموم اللفظ لا بخصوص السبب - Pengajaran yang diambil daripada sesuatu ayat adalah berdasarkan maknanya yang umum bukan semata-mata bergantung kepada sebab penurunannya yang khusus.

Dengan kaedah ini sebarang ayat yang diturunkan dengan suatu sebab  yang khusus pada zaman Rasulullah SAW masih boleh digunakan pada zaman lain jika isi  kandungannya mempunyai kaitan dengan isu yang hendak disentuh. Dalam konteks ayat di atas, masih benar jika dikata sebarang zikir kepada Allah jauh lebih besar berbanding perkara lain.

Pun begitu, kita tetap perlu utamakan makna sebenar sesuatu ayat sebelum membawanya ke arah lain. Dalamilah al-Quran serta hayatilah solat terlebih dahulu sebelum nak sibukkan diri dengan zikir lain. Bukan apa, dibimbangi dikejarnya tembaga sehingga terlepas yang emas. Rugi dan sungguh rugi!


* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...