Friday, December 16, 2016

KEYAKINAN ABU DHAR RA KEPADA JANJI RASULULLAH SAW SEHINGGA AKHIR HAYATNYA

KEYAKINAN ABU DHAR RA KEPADA JANJI RASULULLAH SAW SEHINGGA AKHIR HAYATNYA

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

Bayangkan! Jika kita yang hanya membaca hadith baginda sudah dapat merasai aura hebat dari Rasulullah SAW, pastinya para sahabat baginda itu lebih dalam cinta dan kenalnya dengan Rasulullah SAW. Mereka pernah menghirup oksigen yang sama dengan Rasulullah, berkeringat dijamah matahari bersama Rasulullah dan pernah duduk selantai Masjid Nabawi dengan baginda. Inilah sebabnya cakap dan pandangan mereka diiktiraf sebagai sumber rujukan dalam Islam. Menurut takrifan para ulama,’ sahabat nabi adalah orang yang pernah bertemu dengan Rasulullah SAW, beriman kepada baginda dan meninggal dunia dalam Islam.

Keyakinan para sahabat kepada Rasulullah SAW adalah keyakinan hakiki kerana bicara baginda adalah bicara wahyu. Apa yang disebut dan diramal baginda benar-benar berlaku. Nota kali ini mengajak kita semua melihat keyakinan sahabat Rasulullah yang bernama Jundub bin Junadah atau dikenali sebagi Abu Dhar al-Ghifari. Ramalan Rasulullah terhadapnya terbukti menjadi kenyataan.

Dalam perjalanan meredah panas padang pasir pada tahun ke 9 Hijri ke medan perang Tabuk, Abu Dhar antara orang yang agak ketinggalan ke belakang kerana untanya yang lemah. Menyedari dirinya sudah jauh ketinggalan dari posisi Rasulullah, beliau memikul barangnya sendiri dan memecut langkahnya menyusul Rasulullah SAW. Setelah baginda duduk berehat seketika di sebuah tempat kelihatan Abu Dhar tiba keseorangan. Pada waktu itu Rasulullah SAW bersabda:

رحم الله أبا ذر يمشي وحده ، ويموت وحده ، ويبعث وحده

Ertinya: Allah merahmati Abu Dhar. Dia sedang berjalan seorang diri, matinya pun seorang diri dan bangkitnya juga seorang diri (Mustadrak al-Hakim, sesetengah ulama hadith menilai hadith ini sebagai lemah – rujuk Tahdhib al-Tahdhib).

Pada zaman khalifah ‘Uthman bin ‘Affan, beliau terlibat dalam salah faham kecil tentang tafsiran ayat 34 surah al-Tawbah dengan Mu’awiyah bin Abu Sufyan.  Pandangan Abu Dhar dalam isu itu agak ketat dan warak. Berikutan itu beliau dirujuk kepada Khalifah ‘Uthman. Bagi meredakan salah faham itu, Sayyidina ‘Uthman menasihatkan Abu Dhar tinggal di sebuah tempat terpencil berhampiran Madinah. Abu Dhar kemudiannya memilih untuk memencilkan diri di al-Rabadhah. Ketika saat hampir wafatnya Abu Dhar, telah berlaku peristiwa yang ajaib:

عَنْ أُمِّ ذَرٍّ قَالَتْ لَمَّا حَضَرَتْ أَبَا ذَرٍّ الْوَفَاةُ قَالَتْ بَكَيْتُ فَقَالَ مَا يُبْكِيكِ قَالَتْ وَمَا لِي لَا أَبْكِي وَأَنْتَ تَمُوتُ بِفَلَاةٍ مِنْ الْأَرْضِ وَلَا يَدَ لِي بِدَفْنِكَ وَلَيْسَ عِنْدِي ثَوْبٌ يَسَعُكَ فَأُكَفِّنَكَ فِيهِ قَالَ فَلَا تَبْكِي وَأَبْشِرِي فَإِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا يَمُوتُ بَيْنَ امْرَأَيْنِ مُسْلِمَيْنِ وَلَدَانِ أَوْ ثَلَاثَةٌ فَيَصْبِرَانِ أَوْ يَحْتَسِبَانِ فَيَرِدَانِ النَّارَ أَبَدًا وَإِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَيَمُوتَنَّ رَجُلٌ مِنْكُمْ بِفَلَاةٍ مِنْ الْأَرْضِ يَشْهَدُهُ عِصَابَةٌ مِنْ الْمُؤْمِنِينَ وَلَيْسَ مِنْ أُولَئِكَ النَّفَرِ أَحَدٌ إِلَّا وَقَدْ مَاتَ فِي قَرْيَةٍ أَوْ جَمَاعَةٍ وَإِنِّي أَنَا الَّذِي أَمُوتُ بِفَلَاةٍ وَاللَّهِ مَا كَذَبْتُ وَلَا كُذِبْتُ

Ertinya: Ummu Dhar (Isteri kepada Abu Dhar al-Ghifari) menceritakan ketika Abu Dhar hampir meninggal dunia aku menangis. Setelah itu Abu Dhar bertanya: “Apa yang menyebabkan kamu menangis?” Aku menjawab: “Apa lagi mampu menghalangku dari menangis kerana engkau bakal meninggal dunia di sebuah tempat terpencil sedangkan aku tiada tenaga (pembantu) untuk mengkebumikanmu. Aku juga tiada pakaian untuk mengkafankanmu.” Abu Dhar dengan yakin berkata: “Aku pernah mendengar Rasulullah bersabda (kepada sekumpulan sahabatnya termasuk diriku) – Seorang antara kamu akan meninggal dunia di sebuah tempat terpencil, lalu dia akan disaksikan (diuruskan) oleh sekumpulan orang beriman. (Setakat ingatanku) Tiada seorang pun dari orang yang mendengar sabda Rasulullah itu melainkan sudah mati sama ada di bandar atau dalam kumpulan manusia. OLEH ITU (AKU FAHAM SABDA RASULULLAH ITU) BAHAWA AKULAH ORANGNYA YANG AKAN MATI DI TEMPAT TERPENCIL (SEBAGAIMANA YANG DISEBUT OLEH RASULULLAH ITU). DEMI ALLAH, AKU TIDAK BERDUSTA ATAS PERKARA INI DAN AKU JUGA TIDAK DITIPU (OLEH RASULULLAH SAW DALAM JANJINYA ITU) (Musnad Ahmad).

Setelah itu Abu Dhar mengarahkan isterinya melihat orang yang mungkin lalu lalang berhampiran tempat mereka. Isterinya keluar tetapi tidak menemui sesiapapun kerana musim haji sudah berlalu. Setelah itu dia kembali menemui Abu Dhar. Ketika dia duduk bersama dengan Abu Dhar, tiba-tiba sekumpulan lelaki menghampiri mereka dan bertanya siapakah lelaki yang sedang nazak tersebut. Setelah mengetahui beliau adalah Abu Dhar al-Ghifari seorang sahabat Rasulullah SAW, rombongan tersebut segera datang untuk membantu pengebumiannya. Sebelum meninggal dunia Abu Dhar meletakkan syarat bahawa orang yang bakal menguruskan pengkebumiannya tidak pernah memegang apa-apa jawatan atau tidak terlibat dengan urusan manusia. Hampir semua ahli rombongan itu pernah terlibat dengan urusan kepimpinan dalam masyarakat kecuali seorang lelaki. Lelaki tersebut akhirnya menguruskan pengkebumian Abu Dhar al-Ghifari (Mustadrak al-Hakim & Sahih Ibn Hibban).

Soalnya mengapa Abu Dhar meletakkan syarat tidak mahu diuruskan oleh sesiapa yang pernah terlibat dengan urusan kepimpinan dalam masyarakat? Ini bukti kewarakan beliau yang luar biasa. Beliau tidak mahu dirinya terpalit dengan sebarang syubhah atau penyelewengan yang mungkin pernah berlaku pada mereka ketika mereka memegang amanah kepimpinan.

Subhanallah! Hebat sekali keyakinan Abu Dhar RA terhadap janji Rasulullah SAW tentang keadaan wafatnya. Semoga kisah ini menjadi tauladan dan pedoman buat kita semua betapa generasi sahabat adalah generasi yang hebat dalam bimbingan wahyu. Kisah ini juga sepatutnya menjadi pembuka mata kita semua betapa janji dan kata Rasulullah SAW itu adalah kalam wahyu yang disuluh Allah.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...