Friday, December 30, 2016

INGAT KRISMAS INGAT SURAH MARYAM?

INGAT KRISMAS INGAT SURAH MARYAM?
Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Semua nabi termasuk Isa AS adalah watak kesayangan umat Islam. Jika ada sesiapa yang mencela atau menafikan kemuliaan mereka, maka akidahnya akan runtuh menyembah dasar neraka. Beriman kepada semua nabi dan Rasul adalah rukun Iman yang wajib ditegakkan semua Muslim. Jika satu daripadanya dicabut, maka rumah Islam akan tersungkur tanpa nilai. Firman Allah:

قُولُوا آمَنَّا بِاللَّهِ وَمَا أُنْزِلَ إِلَيْنَا وَمَا أُنْزِلَ إِلَى إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَاقَ وَيَعْقُوبَ وَالْأَسْبَاطِ وَمَا أُوتِيَ مُوسَى وَعِيسَى وَمَا أُوتِيَ النَّبِيُّونَ مِنْ رَبِّهِمْ لَا نُفَرِّقُ بَيْنَ أَحَدٍ مِنْهُمْ وَنَحْنُ لَهُ مُسْلِمُونَ

Ertinya: Katakanlah (wahai orang yang beriman): "Kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang diturunkan kepada kami (Al-Quran), dan kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dan Nabi Ishak dan Nabi Yaakub serta anak-anaknya, dan juga kepada apa yang diberikan kepada Nabi Musa (Taurat) dan Nabi Isa (Injil), dan kepada apa yang diberikan kepada para nabi dari Tuhan mereka; kami tidak membezakan antara seseorang dari mereka (sebagaimana yang kamu - Yahudi dan Nasrani - membezakannya); dan kami semua adalah Islam (berserah diri, tunduk taat) kepada Allah semata-mata" (al-Baqarah [2:136]).

Umat Islam sangat mencintai Nabi Isa AS. Baginda dipuji dengan gelaran Rasul Ulul Azmi atau Utusan Allah yang sangat teguh keazamannya dalam dakwah (al-Ahzab [33:7], al-Syura [42:13] dan al-Ahqaf [46:35]). Pada tempat lain, al-Quran membela nabi Isa AS dengan cara yang lebih unik ketika baginda dicaci orang Yahudi sebagai anak luar nikah:

إِنَّا أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ كَمَا أَوْحَيْنَا إِلَى نُوحٍ وَالنَّبِيِّينَ مِنْ بَعْدِهِ وَأَوْحَيْنَا إِلَى إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَاقَ وَيَعْقُوبَ وَالْأَسْبَاطِ وَعِيسَى وَأَيُّوبَ وَيُونُسَ وَهَارُونَ وَسُلَيْمَانَ وَآتَيْنَا دَاوُودَ زَبُورًا

Ertinya: Sungguhnya Kami telah memberikan wahyu kepadamu (wahai Muhammad), sebagaimana Kami telah memberikan wahyu kepada Nabi Nuh, dan Nabi-nabi yang diutus kemudian daripadanya; dan Kami juga telah memberikan wahyu kepada Nabi Ibrahim, dan Nabi Ismail, dan Nabi Ishak, dan Nabi Yaakub, serta Nabi-nabi keturunannya, DAN NABI ISA, dan Nabi Ayub, dan Nabi Yunus, dan Nabi Harun, dan Nabi Sulaiman; dan juga Kami telah memberikan kepada Nabi Daud: Kitab Zabur (al-Nisa’ [4:163]).

Susun atur (kronologi) zaman para nabi dalam ayat ini kelihatan agak janggal kerana Allah meletakkan kedudukan nama nabi Isa AS selepas anak-anak nabi Ya’qub, sedangkan baginda diutuskan jauh selepas zaman mereka. Allah sebagai Tuhan yang Maha Bijaksana pasti mempunyai sebab yang kukuh dalam penyusunan ini.

Subhanallah! Rupanya Allah mahu membela serta mengangkat nama baginda seiring dengan para nabi Bani Israil (bermaksud anak-anak nabi Ya’qub AS) yang lain. Pembelaan ini dibuat kerana Bani Isra’il sezaman baginda menuduh baginda sebagai anak luar nikah (rujuk ayat 156 surah al-Nisa’) (Tafsir al-Alusi dan Tafsir Fath al-Qadir oleh Imam al-Syawkani). Seolah Allah mahu menempelak mereka secara sinis:

“Jangan sesekali kamu mencela nabi Isa AS sebagai anak luar nikah atau menafikan kenabiannya kerana Aku sendiri memuliakannya serta meletakkan namanya sejurus nama anak keturunan nabi Ya’qub yang lain!”

Menjelang 25 Disember setiap tahun penganut agama Kristian bergembira dengan kelahiran nabi Isa AS yang dipercayai sebagai anak Tuhan. Persoalannya, adakah benar 25 Disember tarikh lahir baginda? Allah sahaja yang Maha Mengetahui kesahihannya. Walaupun begitu, al-Quran memang menyebut dengan jelas kisah kelahiran baginda:

فَأَتَتْ بِهِ قَوْمَهَا تَحْمِلُهُ قَالُوا يَامَرْيَمُ لَقَدْ جِئْتِ شَيْئًا فَرِيًّا (27) يَاأُخْتَ هَارُونَ مَا كَانَ أَبُوكِ امْرَأَ سَوْءٍ وَمَا كَانَتْ أُمُّكِ بَغِيًّا (28) فَأَشَارَتْ إِلَيْهِ قَالُوا كَيْفَ نُكَلِّمُ مَنْ كَانَ فِي الْمَهْدِ صَبِيًّا (29) قَالَ إِنِّي عَبْدُ اللَّهِ آتَانِيَ الْكِتَابَ وَجَعَلَنِي نَبِيًّا (30) وَجَعَلَنِي مُبَارَكًا أَيْنَ مَا كُنْتُ وَأَوْصَانِي بِالصَّلَاةِ وَالزَّكَاةِ مَا دُمْتُ حَيًّا (31) وَبَرًّا بِوَالِدَتِي وَلَمْ يَجْعَلْنِي جَبَّارًا شَقِيًّا (32) وَالسَّلَامُ عَلَيَّ يَوْمَ وُلِدْتُ وَيَوْمَ أَمُوتُ وَيَوْمَ أُبْعَثُ حَيًّا (33) ذَلِكَ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ قَوْلَ الْحَقِّ الَّذِي فِيهِ يَمْتَرُونَ (34) مَا كَانَ لِلَّهِ أَنْ يَتَّخِذَ مِنْ وَلَدٍ سُبْحَانَهُ إِذَا قَضَى أَمْرًا فَإِنَّمَا يَقُولُ لَهُ كُنْ فَيَكُونُ (35) وَإِنَّ اللَّهَ رَبِّي وَرَبُّكُمْ فَاعْبُدُوهُ هَذَا صِرَاطٌ مُسْتَقِيمٌ (36)

Ertinya: Kemudian baliklah dia (Maryam) kepada kaumnya dengan mendokong anaknya. Mereka (Bani Isra’il) pun menempelaknya dengan berkata: Wahai Maryam! Sesungguhnya engkau telah melakukan suatu perkara yang besar salahnya!" Wahai saudara perempuan Harun (gelaran sempena mengingat kesolehan Maryam yang diibaratkan seperti kesolehan nabi Harun), bapamu bukanlah seorang yang buruk akhlaknya, dan ibumu pula bukanlah seorang perempuan jahat!" Maka Maryam segera mengisyarat kepada anaknya. Mereka berkata (dengan hairannya): "Bagaimana kami boleh berkata-kata dengan seorang yang masih kanak-kanak dalam buaian?"  Dia (Nabi Isa AS) menjawab:" Sesungguhnya aku ini hamba Allah; Dia telah memberikan kepadaku Kitab (Injil), dan Dia telah menjadikan daku seorang Nabi.
Dan Dia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada, dan diperintahkan daku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup."  Serta (diperintahkan daku) taat dan berbuat baik kepada ibuku, dan Dia tidak menjadikan daku seorang yang sombong takbur atau derhaka. Dan segala keselamatan serta kesejahteraan dilimpahkan kepadaku pada hari aku diperanakkan dan pada hari aku mati, serta pada hari aku dibangkitkan hidup semula (pada hari kiamat)". Yang demikian sifatnya itulah Isa anak lelaki Maryam. Keterangan yang tersebut ialah keterangan yang sebenar-benarnya, yang mereka ragu-ragu dan berselisihan padanya. Tiadalah layak bagi Allah mempunyai anak. Maha Sucilah Dia. Apabila Dia mahu menetapkan jadinya sesuatu perkara, maka Dia hanya berfirman kepada perkara itu: "Jadilah engkau", lalu ia terus jadi (atau wujud). Dan sesungguhnya Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu maka sembahlah kamu akan Dia inilah jalan yang betul - lurus " (Maryam [19:27-36]).

Menurut al-Quran, Maryam AS dikurniai keajaiban atau “karamah” mengandungkan nabi Isa. Sejurus selepas dilahirkan, Allah turut mengurniakan “IRHAS” (keajaiban yang menjadi petanda kenabian) kepada nabi Isa yang berbicara ketika bayi. Bicara baginda itu bertujuan membela kesucian ibunya serta membawa mesej Allah yang jauh lebih logik dari “khurafat lelaki berjanggut putih menunggang rusa terbang dari Kutub Utara pada malam Krismas.” Berikut adalah beberapa matlamat kelahiran nabi Isa AS menurut al-Quran:

- Nabi Isa AS adalah hamba Allah dan bukannya anak Tuhan. Perkara ini turut ditegaskan baginda dalam ayat lain (al-Ma’idah [5:72 dan 117]). Oleh itu, semua manusia wajib meluruskan akidah mereka dengan hanya bertuhankan Allah.

- Nabi Isa AS akan dilantik menjadi Rasul dan diberikan Kitab Injil sebagai pembimbing manusia zamannya. Antara misi dan isi utama ajaran baginda adalah memberi khabar gembira tentang kelahiran nabi Muhammad SAW sebagai nabi akhir zaman yang akan melengkapkan ajaran baginda (al-Saff [61:6]). Oleh itu, semua manusia selepas zaman nabi Isa AS wajib beriman kepada al-Quran.

- Nabi Isa AS adalah manusia yang penuh berkat. Berkat bermaksud KEBAIKAN YANG BANYAK. Selepas diutuskan, nabi Isa membawa banyak kebaikan kepada manusia dengan membawa mereka mengenal Allah. Umat Islam perlu memiliki keberkatan ini dengan menjadi sebab Islam tersebar.

- Nabi Isa berpesan agar solat dan zakat sentiasa ditunaikan. Kedua perkara ini menjadi isi syariat semua nabi. Kegagalan menunaikan kedua ini akan menjadikan manusia jahat (Maryam [19:59]).

- Berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Arahan ini juga menjadi intisari para Rasul sebelum nabi Isa AS (al-Baqarah [2:83]).

Semoga kedatangan hari Krismas bukan hanya menjadi hari cuti tidak berisi bagi kita, sebaliknya menjadi tarikh mendekatkan kita semua kepada surah Maryam yang mengisahkan betapa baginda adalah pembawa rahmat kepada seluruh manusia seperti saudara baginda atau Rasulullah SAW.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...