Sunday, December 18, 2016

BERSELAWATLAH KEPADA RASULULLAH SEBAGAIMANA ALAM TINGGI SENANTIASA BERSELAWAT KEPADA BAGINDA

BERSELAWATLAH KEPADA RASULULLAH SEBAGAIMANA ALAM TINGGI SENANTIASA BERSELAWAT KEPADA BAGINDA

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Rasulullah SAW adalah insan hebat lagi disayang oleh penghuni alam tinggi dari kalangan para malaikat. Jumlah malaikat pula tak terhingga ramainya dan mereka "SENANTIASA" berselawat atau mendoakan kesejahteraan kepada baginda tanpa putus:

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

Ertinya: Sesungguhnya Allah dan malaikatNya (di alam yang tinggi) senantiasa berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); wahai orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya (al-Ahzab [33:56]).

Selawat itu banyak dimensi maknanya. Jika ia datang dari Allah kepada makhlukNya ia bermaksud limpahan rahmat dan pujian Allah kepada mereka atas segala ketataan. Jika datang dari para malaikat ia bermaksud lantunan doa pengampunan kepada orang beriman. Banyak sekali ayat yang menunjukkan betapa Allah dan para malaikat "berselawat" iaitu mendoakan kesejahteraan serta pengampunan kepada orang beriman. Anda boleh rujuk (al-Baqarah  [2:156-157] dan (al-Ahzab [33:43]).

Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى مَيَامِنِ الصُّفُوفِ

Ertinya: Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya senantiasa berselawat (melimpahkan rahmat atau mendoakan pengampunan) kepada saf kanan (dalam solat berjemaah) (Sunan Abu Dawud & Sunan Ibn Majah) (Hadith ini dinilai Dhaif atau lemah oleh sesetengah ahli hadith).

Jika selawat datang dari baginda SAW untuk umatnya, ia bermaksud doa kesejahteraan dan pengampunan. Firman Allah:

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِمْ بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَهُمْ ۗ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Ertinya: Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan "DOAKAN LAH UNTUK MEREKA", kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui (al-Tawbah [9:103]).

Sahabat Rasulullah yang bernama Abdullah bin Abi Awfa meriwayatkan baginda biasa mendoakan para memberi zajat dengan lafaz “selawat” atau doa:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَتَاهُ قَوْمٌ بِصَدَقَتِهِمْ قَالَ اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى آلِ فُلَانٍ فَأَتَاهُ أَبِي بِصَدَقَتِهِ فَقَالَ اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى آلِ أَبِي أَوْفَى

Ertinya:  Apabila sebuah kaum datang membawa sedekah (zakat) mereka kepada Rasulullah SAW, baginda akan berdoa “Ya Allah! Berselawatlah (berikanlah keberkatan serta kesejahteraan) kepada keluarga si fulan. Ayahku pun datang membawa sedekahnya, baginda lalu berdoa “Ya Allah! Berikan keberkatan kepada keluarga Abi Awfa (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Memang Rasulullah SAW sangat istimewa kepada alam tinggi yang didiami para malaikat. Ia nyata dalam banyak situasi. Malaikat penjaga setiap langit segera membuka pintu langit apabila mengetahui Jibril bersama baginda ketika peristiwa Mi’raj. Panjang sekali hadith tersebut, di sini saya turunkan secebis darinya:

فَانْطَلَقَ بِي جِبْرِيلُ حَتَّى أَتَى السَّمَاءَ الدُّنْيَا فَاسْتَفْتَحَ فَقِيلَ مَنْ هَذَا قَالَ جِبْرِيلُ قِيلَ وَمَنْ مَعَكَ قَالَ مُحَمَّدٌ قِيلَ وَقَدْ أُرْسِلَ إِلَيْهِ قَالَ نَعَمْ قِيلَ مَرْحَبًا بِهِ فَنِعْمَ الْمَجِيءُ جَاءَ فَفَتَحَ

Ertinya: Jibril membawaku bertolak bersamanya sehingga tiba langit yang paling dekat (langit pertama). Jibril meminta agar pintunya dibuka. Lalu dikatakan (oleh malaikat penjaga langit): Siapakah kamu? Jibril memperkenalkan dirinya. Ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril menjawab: Muhammad. Malaikat penjaga bertanya: Adakah dia sudah diutuskan? Jibril menjawab: Iya. Malaikat penjaga langit pertama lalu berkata: Selamat datang kepadanya, sungguh dia tetamu yang terbaik, lalu pintu langit segera dibuka…(Sahih al-Bukhari).

Di akhirat kelak, pintu syurga juga hanya dibuka oleh malaikat penjaga syurga setelah Rasulullah SAW menyapa:

آتِي بَابَ الْجَنَّةِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَأَسْتَفْتِحُ فَيَقُولُ الْخَازِنُ مَنْ أَنْتَ فَأَقُولُ مُحَمَّدٌ فَيَقُولُ بِكَ أُمِرْتُ لَا أَفْتَحُ لِأَحَدٍ قَبْلَكَ

Ertinya: Aku mendatangi pintu syurga pada hari kiamat kelak, lalu aku mengetuknya. Penjaga syurga bertanya: Siapakah tuan? Aku menjawab: Aku adalah Muhammad, lalu malaikat tersebut menjawab: Aku diarahkan agar tidak membuka pintu syurga kepada sesiapa pun sebelum kamu (Sahih Muslim).

Selawat makhluk langit yang mendiami alam tinggi kepada Rasulullah SAW berlaku secara berterusan tanpa putus sehingga kiamat. Ia difahami dari lafaz - يصلون – pada ayat 56 surah al-Ahzab di atas. Ia bermaksud “SENANTIASA BERSELAWAT SECARA BERTERUSAN” dalam pemahaman bahasa Arab. Oleh itu, umat Islam yang mendiami alam rendah di bumi seharusnya mencontohi amalan makhluk alam tinggi dalam berselawat kepada baginda selagi hayat dikandung badan.  Semoga selawat kita kepada baginda membuka lorong luas untuk kita bertemu baginda di telaga Kawthar kelak.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...