Friday, November 18, 2016

NABI IBRAHIM AS DOAKAN KEAMANAN KERANA TAHU TEORI EKONOMI?

NABI IBRAHIM AS DOAKAN KEAMANAN KERANA TAHU TEORI EKONOMI?

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Rabu (Ibrahim [14:35]) pada 16 November 2016. Antara isunya adalah rahsia doa nabi Ibrahim yang meminta keamanan berpanjangan bagi Mekah.

“Tuan! Negara itu sedang bergolak sekarang dek perbalahan kaum. Ramai yang mati dibunuh dengan kejam. Banyak rumah penduduk tempatan hangus dibakar, mayat bergelimpangan di jalanan. Banyak sekali barang keperluan musnah dalam krisis ini. Sebagai sebuah syarikat pembekal barangan keperluan harian, saya cadangkan kita ambil peluang ini dengan membuka sebuah pasar raya di negara tersebut bagi menampung kekurangan penduduk tempatan. Kaya kita nanti dengan serbuan orang tempatan yang kelaparan mahu membeli barang keperluan.”

Mata Encik Toshiba (watak rekaan) segera terbeliak luas apabila mendengar cadangan seorang kaki tangan bawahannya. Kebijaksanaannya sebagai pemilik sebuah pasar raya tersohor langsung tercabar. Lantas tanpa tunggu dia segera menempelak kebodohan orang bawahannya:

“Apa kamu cakap? Buka perniagaan di sana? Kamu nak perniagaan kita lingkup? Silap haribulan, perkerja aku dan pasar raya kita turut hangus jadi mangsa.”

Aman, damai dan selamat adalah antara “rukun utama” dalam ilmu ekonomi. Para pelabur yang bijak akan memilih lokasi yang selamat untuk memulakan perniagaan kerana mereka tahu tanpa keamanan dan keselamatan, perniagaan mereka akan lingkup. Ini adalah maklumat yang difahami semua tanpa perlu mendalami ijazah ekonomi di mana-mana Universiti.

Rupanya perkara ini sudah disebut al-Quran melalui lidah nabi Ibrahim AS yang mendoakan keamanan Mekah SEBELUM dan SELEPAS pembinaan Ka’abah. Firman Allah:

وَإِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ رَبِّ اجْعَلْ هَذَا بَلَدًا آمِنًا وَارْزُقْ أَهْلَهُ مِنَ الثَّمَرَاتِ مَنْ آمَنَ مِنْهُمْ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ قَالَ وَمَنْ كَفَرَ فَأُمَتِّعُهُ قَلِيلًا ثُمَّ أَضْطَرُّهُ إِلَى عَذَابِ النَّارِ وَبِئْسَ الْمَصِيرُ

Ertinya: Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: "WAHAI TUHANKU! JADIKANLAH (NEGERI MAKKAH) INI, NEGERI YANG AMAN SENTOSA, DAN BERIKANLAH REZEKI DARI BERBAGAI JENIS BUAH-BUAHAN KEPADA PENDUDUKNYA, iaitu orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka". Allah berfirman:" (Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga ia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya (dengan menyeretnya) ke azab neraka, dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali" (al-Baqarah [2:126]).

Doa ini diucapkan baginda “SEBELUM PEMBINAAN KA’ABAH.” Manakala selepas siap membina Ka’abah baginda sekali lagi mendoakan keamanan Mekah. Ia direkodkan Allah dalam firmanNya yang lain:

وَإِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ رَبِّ اجْعَلْ هَذَا الْبَلَدَ آمِنًا وَاجْنُبْنِي وَبَنِيَّ أَنْ نَعْبُدَ الْأَصْنَامَ

Ertinya: Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: "WAHAI TUHANKU! JADIKANLAH NEGERI MAKKAH INI NEGERI YANG AMAN, dan jauhkanlah daku dan anakku dari perbuatan menyembah berhala (Ibrahim [14:35]).

Bagaimana kita dapat bezakan kedua doa nabi Ibrahim AS itu dipanjatkan “SEBELUM dan SELEPAS” pembinaan Ka’abah? Inilah fungsi Bahasa Arab dalam menjelaskan makna sesuatu ayat al-Quran. Jika kita perhatikan, perkataan - بَلَدًا  - NEGERI INI  pada surah al-Baqarah disebut TANPA HURUF ALIF dan LAM. Dalam kaedah Bahasa Arab ia dinamakan Nakirah/tidak dikenali), manakala pada surah Ibrahim perkataan yang sama disebut dengan HURUF ALIF dan LAM - الْبَلَدَ. Sebarang perkataan yang disertai kedua huruf itu membawa maksud yang lebih pasti atau dinamakan Ma’rifah/dikenali.

Dalam surah al-Baqarah, Mekah belum dikenali sebagai negeri pemilik Ka’abah kerana ia belum dibina. Buktinya dalam ayat berikut (al-Baqarah 127-129) baru disebut nabi Ibrahim dan Isma’il membina Ka’abah. Dalam surah Ibrahim pula Mekah sudah dikenali sebagai negeri pemilik Ka’abah dan itulah sebabnya perkataan NEGERI INI disertakan huruf ALIF dan LAM yang membawa makna lebih jelas (Tafsir al-Munir).

Berbalik kepada isu aman. Doa baginda sebelum dan selepas pembinaan Ka’abah yang mengharapkan agar Mekah sentiasa aman jelas menunjukkan kebijaksanaan baginda tentang teori ekonomi. Tanpa keamanan apalah gunanya rumah Allah yang tersergam indah. Ternyata doa keramat baginda itu dimakbulkan Allah. Berikutan itu Mekah terus disirami keamanan  oleh Allah. Isu negeri Mekah yang aman ini berulang kali disebut Allah dalam al-Quran bagi menjentik jiwa Musyrikin Quraysh agar bersyukur dan beriman kepada Allah, antaranya:

أَوَلَمْ يَرَوْا أَنَّا جَعَلْنَا حَرَمًا آمِنًا وَيُتَخَطَّفُ النَّاسُ مِنْ حَوْلِهِمْ أَفَبِالْبَاطِلِ يُؤْمِنُونَ وَبِنِعْمَةِ اللَّهِ يَكْفُرُونَ

Ertinya: Dan tidakkah mereka melihat dan memerhatikan bahawa KAMI TELAH MENJADIKAN (MAKKAH, NEGERI MEREKA) TANAH SUCI YANG DIHORMATI, LAGI AMAN; SEDANG ORANG RAMAI YANG TINGGAL (DALAM DAERAH) DI SEKELILING MEREKA SENTIASA DICULIK (UNTUK DITAWAN ATAU DIBUNUH) ? Oleh itu, patutkah mereka percaya kepada perkara yang salah, dan kufur ingkar akan ni’mat Allah? (al-‘Ankabut [29:67]).

Kesan MAKBULNYA DOA MOHON KEAMANAN nabi Ibrahim itu juga telah mendorong rezeki dan PELABURAN ASING masuk mencurah-curah ke Mekah sebagaimana firman Allah:

وَقَالُوا إِنْ نَتَّبِعِ الْهُدَى مَعَكَ نُتَخَطَّفْ مِنْ أَرْضِنَا أَوَلَمْ نُمَكِّنْ لَهُمْ حَرَمًا آمِنًا يُجْبَى إِلَيْهِ ثَمَرَاتُ كُلِّ شَيْءٍ رِزْقًا مِنْ لَدُنَّا وَلَكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لَا يَعْلَمُونَ

Ertinya: Dan mereka (yang kafir pada zaman Rasulullah) berkata (memberi alasan): "Kalau kami menyertaimu menurut petunjuk yang engkau bawa itu, nescaya kami dengan serta merta ditangkap dan diusir dari negeri kami (oleh golongan yang menentang)". Mengapa mereka (berkata demikian)? BUKANKAH KAMI TELAH MELINDUNGI MEREKA DAN MENJADIKAN (NEGERI MAKKAH) TEMPAT TINGGAL MEREKA SEBAGAI TANAH SUCI YANG AMAN, YANG DIBAWA KEPADANYA HASIL TANAMAN DARI SEGALA JENIS, SEBAGAI REZEKI PEMBERIAN DARI SISI KAMI? (Benar, Kami telah menjadikan semuanya itu), tetapi kebanyakan mereka tidak memikirkan perkara itu untuk mengetahuinya (serta bersyukur) (al-Qasas [28:57]).

Walaupun Allah menceritakan kisah berkaitan Mekah dalam ayat di atas, prinsip kepentingan KEAMANAN dan KESTABILAN sesebuah negara tetap relevan untuk semua negara umat Islam pada semua zaman. Umat Islam perlu mempertahankan keamanan dan kestabilan politik yang mereka miliki. Mereka tidak sepatutnya menjadi “KAPAK BERWARNA KUNING ATAU MERAH” yang meruntuhkan kedua ni’mat tersebut.

Ingat! Meruntuhkan sesuatu jauh lebih mudah dari membina. Sebuah keamanan dan kestabilan merentas jalan dan masa yang panjang untuk dibina. Apabila ia musnah, proses membinanya semula mungkin memakan masa yang lebih panjang. Nasib malang umat Islam Iraq dan Syiria wajib kita jadikan iktibar. Kita tidak pasti bila agaknya “mendung darah” kedua negara itu akan berakhir. Berdoalah kepada Allah seperti apa yang dilakukan nabi Ibrahim AS dalam kisah di atas agar Malaysia sentiasa aman.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...