Saturday, November 5, 2016

MUSA BIJAK KERANA TIDAK MENDEDAHKAN JANJI KEMENANGAN

MUSA BIJAK KERANA TIDAK MENDEDAHKAN JANJI KEMENANGAN

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Selasa (al-Qasas [28:35]) pada  3 November 2015.

Musa AS memang tahu semenjak hari pertama pelantikannya lagi tentang keputusan akhir perjuangannya. "Menang dengan gemilang."

Selepas dilantik dan disokong dengan pelantikan Harun, Allah menjanjikan baginda akan berjaya dalam pertembungannya melawan Fir'awn:

قَالَ سَنَشُدُّ عَضُدَكَ بِأَخِيكَ وَنَجْعَلُ لَكُمَا سُلْطَانًا فَلَا يَصِلُونَ إِلَيْكُمَا بِآَيَاتِنَا أَنْتُمَا وَمَنِ اتَّبَعَكُمَا الْغَالِبُونَ (35)

Ertinya:  Allah berfirman: "Kami akan menguatkan tenaga dan daya-usahamu dengan saudaramu (Harun), dan Kami akan memberikan kuasa kemenangan kepada kamu berdua oleh itu mereka tidak akan sampai kepada maksud membahayakan atau mengalahkan kamu. DENGAN MEMBAWA AYAT KETERANGAN KAMI ITU, KAMU BERDUA SERTA PENGIKUT KAMU AKAN MENANG" (al-Qasas [28:34-35]).

Soalannya, mengapa Musa tidak memberitahu Bani Isra'il janji kemenangan dari Allah kepada pengikutnya? Sedangkan semua tahu janji Allah bukan seperti janji kosmetik setengah ahli politik. Janji Allah "PASTI DITEPATI!"

Dalam situasi lain, ketika menenangkan Bani Isra'il yang sedang cemas kerana diancam  bunuh oleh Fir'awn, baginda masih menyembunyikan rahsia kemenangan mereka dengan LAFAZ HARAPAN tanpa kepastian:

قَالُوا أُوذِينَا مِنْ قَبْلِ أَنْ تَأْتِيَنَا وَمِنْ بَعْدِ مَا جِئْتَنَا ۚ قَالَ عَسَىٰ رَبُّكُمْ أَنْ يُهْلِكَ عَدُوَّكُمْ وَيَسْتَخْلِفَكُمْ فِي الْأَرْضِ فَيَنْظُرَ كَيْفَ تَعْمَلُونَ

Ertinya: Mereka berkata: "Kami telah dianiaya dan diperhambakan (oleh Firaun) sebelum engkau datang kepada kami dan sesudah engkau datang kepada kami". Nabi Musa menjawab: "MUDAH-MUDAHAN TUHAN KAMU AKAN MEMBINASAKAN MUSUH KAMU DAN MENJADIKAN KAMU KHALIFAH DI BUMI, kemudian Ia akan memerhati bagaimana pula perbuatan kamu?" (al-A'raf [7:129]).

Inilah bukti kebijaksanaan baginda sebagai seorang Rasul dan ketua. Jika pada hari pertama langkah perjuangan diatur sudah dikhabarkan janji kemenangan, pasti langkah Bani Isra'il akan longlai. Bila digesa agar lebih cergas dan laju, pasti dialog mereka:

" Buat apa perlu bersusah! Allah sudah menjanjikan kemenangan kepada kita. Lebih baik kita berehat sahaja menanti kemenangan ajaib ini."

Apabila keputusan akhir disembunyikan maka pengikut baginda akan lebih bersedia sepanjang masa. Hubungan mereka dengan Allah lebih rapat kerana doa senantiasa meniti pada bibir mereka.

Ini juga bukti lain bagaimana para rasul adalah manusia yang sangat saintifik. Mereka faham janji kemenangan berkait rapat dengan usaha ikhtiar, doa dan tawakkal.  Itulah hukum alam atau Sunnatullah yang perlu dilalui oleh penghuni alam semesta.

Rasulullah SAW juga dalam banyak situasi patuh kepada sunnatullah. Contohnya, baginda tetap berusaha mengambil langkah persediaan untuk memenangi perang Badar walaupun sudah mendapat janji kemenangan atau "cek kosong" sebelum tercetusnya perang lagi:

وَإِذْ يَعِدُكُمُ اللَّهُ إِحْدَى الطَّائِفَتَيْنِ أَنَّهَا لَكُمْ وَتَوَدُّونَ أَنَّ غَيْرَ ذَاتِ الشَّوْكَةِ تَكُونُ لَكُمْ وَيُرِيدُ اللَّهُ أَنْ يُحِقَّ الْحَقَّ بِكَلِمَاتِهِ وَيَقْطَعَ دَابِرَ الْكَافِرِينَ

Ertinya: Dan (ingatlah) ketika Allah menjanjikan kepada kamu salah satu dari dua angkatan, menjadi untuk kamu (menghadapinya), sedang kamu suka kiranya (angkatan perniagaan) bukan angkatan (perang) yang mempunyai kekuatan itu yang dijadikan untuk kamu (menghadapinya). Padahal Allah menghendaki untuk menetapkan yang benar (ugama Islam) dengan KalimahNya, dan untuk membinasakan kaum yang kafir seluruhnya; (al-Anfal [8:7]).

Janji salah satu dari 2 angkatan dalam ayat ini adalah kemenangan ke atas salah satu dari 2 pasukan Musyrikin Quraysh. Ini kerana perancangan awal Rasulullah SAW keluar dari Madinah adalah untuk menggempur kafilah dagang Abu Sufyan yang kekuatannya kurang dari 100 orang. Setelah tahu bakal digempur, Abu Sufyan melencong ke arah laluan yang lebih selamat dan mengerah bantuan dari Abu Jahal di Mekah.  Sedang elok Abu Sufyan melepasi buruan Rasulullah dan 313 para sahabat, Abu Jahal sudah sampai ke kawasan Badar.

Pertembungan 313 dengan 1000 tentera sangat berat sebelah, tetapi jaminan kemenangan sudah dijamin. Lalu apa tindakan Rasulullah SAW? Duduk melangut menunggu kemenangan? Tidak sama sekali! Baginda mengatur strategi dan berdiri menghadap kiblat mengangkat tangan berdoa pasrah kepada Allah agar diberikan kemenangan sehingga jatuh kain yang menutup bahu baginda:

اللَّهُمَّ أَنْجِزْ لِي مَا وَعَدْتَنِي ، اللَّهُمَّ آتِنِي مَا وَعَدْتَنِي ، اللَّهُمَّ إِنْ تُهْلِكْ هَذِهِ الْعِصَابَةَ مِنْ أَهْلِ الإِسْلامِ لا تُعْبَدْ فِي الأَرْضِ

Ertinya: Ya Allah! Tunaikan padaku apa yang Engkau janjikan. Ya Allah! Berikan padaku apa yang Engkau janjikan. Ya Allah! Jika golongan ini dari orang Islam dimusnahkan (pada hari ini), Engkau tidak akan disembah lagi di bumi (Sahih Muslim & Sunan al-Tirmidhi).

Berikutan doa baginda itu, Allah menurun ayat berikut:

إِذْ تَسْتَغِيثُونَ رَبَّكُمْ فَاسْتَجَابَ لَكُمْ أَنِّي مُمِدُّكُمْ بِأَلْفٍ مِنَ الْمَلَائِكَةِ مُرْدِفِينَ

Ertinya; (Ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan kepada tuhan kamu, lalu Ia perkenankan permohonan kamu (dengan firmanNya): "Sesungguhnya Aku akan membantu kamu dengan seribu (bala tentera) dari malaikat yang datang berturut-turut (al-Anfal [8:9]).

Kedua Rasul pilihan Allah ini adalah manusia paling bijaksana dan tahu kebenaran janji Allah. Mereka tidak meletakkan janji serta harapan kosong melebihi kemampuan pengikutnya, sebaliknya mengajar agar berusaha sedaya mampu, berdoa dan berserah kepada Allah.

Apa pengajaran penting untuk kita? Berusahalah dan usah hanya berharap keajaiban dalam hidup kerana keajaiban sebenar adalah bijaknya kita merancang, berusaha, berdoa, berserah  dan redha dengan keputusan Allah. Yakinlah bahawa janji Allah itu benar.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...