Sunday, November 6, 2016

MALAM, MELATONIN, CAHAYA BIRU DAN AL-QURAN

MALAM, MELATONIN, CAHAYA BIRU DAN AL-QURAN

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

(Rencana ditulis dengan bimbingan Dr. Zabri bin Kamarudin, Pakar Ophthalmology, Hospital Selayang).

(Petikan kuliah Maghrib bertajuk “Aduhai Malam” di Masjid Ibn Sina, Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur pada Khamis 3 November 2016).

“Cermin mata Encik Abdullah ini memiliki penapis komponen biru dalam cahaya. Komponen biru itu sebenarnya tidak bagus untuk mata kita. Ia boleh menghalang pengeluaran hormon Melatonin dalam otak. Hormon Melatonin pula membantu kita untuk rasa mengantuk. Komponen biru dalam cahaya biasanya keluar dari peralatan eletronik seperti telefon pintar dan gadget moden. Mudah-mudahan cermin ini membantu Encik Abdullah berasa mengantuk apabila tiba masanya.”

Melopong saya mendengar penjelasan Encik Rahazli, Pegawai Optometris yang membuat cermin mata saya. Baru saya tahu bahawa ada sejenis makhluk Allah yang bernama Melatonin dalam otak saya. Ia membantu kita untuk berasa mengantuk apabila tiba masanya. Melatonin akan bertindak balas dengan cahaya di luar mata. Pengeluarannya semakin aktif apabila malam semakin “GELAP dan LARUT.” Subhanallah! Ini antara hikmah mengapa Rasulullah SAW berpesan agar kita memadamkan lampu sebelum tidur. Sabda Rasulullah SAW:

خَمِّرُوا الْآنِيَةَ وَأَجِيفُوا الْأَبْوَابَ وَأَطْفِئُوا الْمَصَابِيحَ فَإِنَّ الْفُوَيْسِقَةَ رُبَّمَا جَرَّتْ  الْفَتِيلَةَ فَأَحْرَقَتْ أَهْلَ الْبَيْتِ

Ertinya: Tutuplah bekas makanan, tutuplah pintu rumah (dengan lafaz Bismillah), PADAMKAN PELITA kerana sesungguhnya makhluk perosak (seperti tikus) mungkin bermain dengan sumbu yang boleh membakar penghuni sesebuah rumah (Sahih al-Bukhari).

Walaupun saranan Rasulullah SAW agar kita memadamkan lampu adalah bagi mengelakkan kecelakaan yang berkait dengan pelita atau kebakaran, ia tetap mempunyai hikmah saintifik lain yang sangat hebat, iaitu kesihatan tubuh badan bagi orang yang tidur tanpa lampu. Bicara Rasulullah SAW bukan bicara biasa sebaliknya mengandungi KALAM AJAIB YANG BANYAK SUDUT MAKNANYA. Ia sejajar sabda baginda:

بُعِثْتُ بِجَوَامِعِ الْكَلِمِ

Ertinya: Aku dibangkitkan (sebagai Rasulullah dan mempunyai kelebihan) dengan KATA-KATA YANG PADAT LENGKAP (perkataan ringkas yang memiliki banyak sudut makna) (Sahih al-Bukhari).

Bukan setakat hadith di atas, ayat al-Quran banyak sekali menyebut betapa malam adalah waktu istirahat yang sesuai dengan fisiologi tubuh manusia. Antaranya:

وَمِنْ رَحْمَتِهِ جَعَلَ لَكُمُ اللَّيْلَ وَالنَّهَارَ لِتَسْكُنُوا فِيهِ وَلِتَبْتَغُوا مِنْ فَضْلِهِ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Ertinya: Dan antara rahmat pemberianNya, Dia menjadikan untuk kamu MALAM dan siang (silih berganti SUPAYA KAMU BEREHAT PADANYA dan supaya kamu berusaha mencari rezeki dari limpah kurniaNya, dan juga supaya kamu bersyukur (al-Qasas [28:73]).

Juga firmanNya:

هُوَ الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ اللَّيْلَ لِتَسْكُنُوا فِيهِ وَالنَّهَارَ مُبْصِرًا إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَسْمَعُونَ

Ertinya: Dia lah yang menjadikan malam bagi kamu supaya kamu berehat padanya, dan menjadikan siang terang-benderang (supaya kamu berusaha). Sesungguhnya perubahan malam dan siang itu mengandungi tanda-tanda (yang menunjukkan kekuasaan Allah) bagi kaum yang mahu mendengar (keterangan-keterangan yang tersebut dan mengambil pelajaran daripadanya) (Yunus [10:67]).

Dan firman Allah yang paling hampir kepada isu pengeluaran hormon Melatonin adalah:

وَجَعَلْنَا نَوْمَكُمْ سُبَاتًا (9) وَجَعَلْنَا اللَّيْلَ لِبَاسًا (10) وَجَعَلْنَا النَّهَارَ مَعَاشًا (11)

Ertinya: Dan Kami telah menjadikan TIDUR KAMU UNTUK BEREHAT? DAN KAMI TELAH MENJADIKAN MALAM (DENGAN GELAPNYA) SEBAGAI PAKAIAN (YANG MELINDUNGI)? Dan Kami telah menjadikan siang (dengan cahaya terangnya) - masa untuk mencari rezeki? (al-Naba’ [78:9-11]).

Apabila kehidupan manusia semakin maju dengan kehadiran berbagai “cahaya buatan”, kitaran fisiologi tubuh kita menjadi keliru dan ia mengganggu pengeluaran melatonin. Para saintis menyebut kitaran fisiologi tubuh kita yang bertindak balas dengan cahaya dipanggil “CIRCADIAN RHYTHM.” Rentak ini sangat sesuai dengan kitaran siang serta malam yang Allah cipta dan sebut dalam beberapa ayat terdahulu. Apabila kitaran ini diganggu oleh komponen biru dalam cahaya yang dipancarkan melalui peralatan eletronik, tidur kita menjadi tidak teratur dan ia menjadikan tubuh tidak sihat.

Subhanallah! Hebat sekali ciptaan Allah! Ia disesuaikan keadaan bumi yang kita diami. Ketika bumi terang benderang, kita digerakkan untuk berkerja, manakala ketika bumi semakin gelap kita akan tidur setelah hormon Melatonin “MASUK PEJABAT.” Manusia akan cepat pupus jika hormon Melatonin ini gagal berfungsi dek “CAHAYA YANG WUJUD SECARA BERTERUSAN.” Bayangkan apa nasib kita semua jika firman Allah ini menjadi realiti:

قُلْ أَرَأَيْتُمْ إِنْ جَعَلَ اللَّهُ عَلَيْكُمُ النَّهَارَ سَرْمَدًا إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ مَنْ إِلَهٌ غَيْرُ اللَّهِ يَأْتِيكُمْ بِلَيْلٍ تَسْكُنُونَ فِيهِ أَفَلَا تُبْصِرُونَ

Ertinya: Katakanlah lagi: BAGAIMANA FIKIRAN KAMU JIKA ALLAH MENJADIKAN SIANG KEPADA KAMU TETAP SELAMA-LAMANYA HINGGA KE HARI KIAMAT; TUHAN YANG MANAKAH YANG LAIN DARI ALLAH, YANG DAPAT MEMBAWAKAN MALAM KEPADA KAMU UNTUK KAMU BEREHAT PADANYA? Maka mengapa kamu tidak mahu melihat (dalil dan bukti keesaan dan kekuasaan Allah)?" (al-Qasas [28:72]).

Oleh itu, demi memberikan tubuh kita hak asasinya untuk rehat, kita perlu hidup secara realistik dengan fitrah alam ciptaan Allah. Kita juga perlu bersederhana dalam penggunaan teknologi moden. Cukup! Letakkan telefon dan gadget anda. Biarkan mata dan tubuh anda bergelap pada malam ini.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...