Tuesday, November 8, 2016

KALIMAH YANG BERGUNA BAGI MANUSIA DALAM 3 ALAM

KALIMAH YANG BERGUNA BAGI MANUSIA DALAM 3 ALAM

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Tazkirah Tafsir ringkas (15 minit selepas solat Subuh) pagi Ahad di Surau Nur al-Syura, Bandar Baru Selayang Fasa 2B dari surah  (Ibrahim [14:27]) pada  17 Januari 2016. Antara isunya adalah kepentingan Kalimah Tawhid bagi manusia.

Kalimah itu bukan kalimah biasa. Ia menjadi punca penciptaan semua makhluk terutama sekali manusia dan jin. Ia adalah kalimah pengiktirafan bahawa “TIADA TUHAN YANG SELAYAKNYA DISEMBAH MELAINKAN ALLAH.” Kalimah ini sudah diakui oleh manusia ketika mereka dikumpulkan Allah dalam alam roh lama sebelum mereka lahir ke dunia lagi:

وَإِذْ أَخَذَ رَبُّكَ مِنْ بَنِي آَدَمَ مِنْ ظُهُورِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَأَشْهَدَهُمْ عَلَى أَنْفُسِهِمْ أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ قَالُوا بَلَى شَهِدْنَا أَنْ تَقُولُوا يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِنَّا كُنَّا عَنْ هَذَا غَافِلِينَ

Ertinya: Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firmanNya): "BUKANKAH AKU TUHAN KAMU?" Mereka semua menjawab: "Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi". Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: "Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini" (al-A’raf[7:172]).

Kalimah yang sebaris ini juga menjadi punca dan sebab perjuangan semua Rasul semenjak zaman nabi Adam. Firman Allah:

وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُولًا أَنِ اعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ فَمِنْهُمْ مَنْ هَدَى اللَّهُ وَمِنْهُمْ مَنْ حَقَّتْ عَلَيْهِ الضَّلَالَةُ فَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَانْظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُكَذِّبِينَ

Ertinya: Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam setiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): "HENDAKLAH KAMU MENYEMBAH ALLAH DAN JAUHILAH TAGHUT". Maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayah petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat yang mendustakan para rasulnya (al-Nahl [16:36]).

Juga firman Allah:

وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ مِنْ رَسُولٍ إِلَّا نُوحِي إِلَيْهِ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنَا فَاعْبُدُونِ

Ertinya: Dan Kami tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) seseorang Rasul pun melainkan Kami wahyukan kepadanya: "BAHAWA SESUNGGUHNYA TIADA TUHAN (YANG BERHAK DISEMBAH) MELAINKAN AKU; OLEH ITU, BERIBADATLAH KAMU KEPADAKU"(al-Anbiya’[21:25]).

Nabi Ibrahim AS juga berikrar penuh dalam hatinya untuk memperjuangkan kalimah Tawhid ini walau apa sahaja rintangan yang dihadapinya:

وَإِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ لِأَبِيهِ وَقَوْمِهِ إِنَّنِي بَرَاءٌ مِمَّا تَعْبُدُونَ (26) إِلَّا الَّذِي فَطَرَنِي فَإِنَّهُ سَيَهْدِينِ (27) وَجَعَلَهَا كَلِمَةً بَاقِيَةً فِي عَقِبِهِ لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ (28)

Ertinya: Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya dan kaumnya: "Sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu sembah. "Yang lain dari Tuhan yang menciptakan daku, kerana sesungguhnya Ia tetap memberi hidayah petunjuk kepadaku". “DAN NABI IBRAHIM MENJADIKAN KALIMAH TAUHID ITU TETAP KEKAL PADA KETURUNANNYA,” supaya mereka kembali (kepada tauhid itu, jika ada yang menyeleweng kepada syirik) (al-Zukhruf [43:26-28]).

Subhanallah! Manusia yang berpegang teguh dengan kalimah ini akan “MENDAPAT KEBAHAGIAAN DALAM 3 ALAM IAITU ALAM DUNIA, ALAM BARZAKH DAN ALAM AKHIRAT.”

Walaupun dibuang serta diusir jauh dari keluarganya, nabi Ibrahim AS mendapat kelebihan duniawi yang sangat hebat kerana jasanya memperjuangkan kalimah ini. Tiada ni’mat dunia yang paling besar melainkan zuriat keturunan yang berpangkat nabi serta sebutan nama yang baik di kalangan seluruh manusia sepanjang zaman sehingga hari kiamat:

فَلَمَّا اعْتَزَلَهُمْ وَمَا يَعْبُدُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ وَهَبْنَا لَهُ إِسْحَاقَ وَيَعْقُوبَ وَكُلًّا جَعَلْنَا نَبِيًّا (49) وَوَهَبْنَا لَهُمْ مِنْ رَحْمَتِنَا وَجَعَلْنَا لَهُمْ لِسَانَ صِدْقٍ عَلِيًّا (50)

Ertinya: Maka apabila ia berhijrah meninggalkan mereka dan apa yang mereka sembah yang lain dari Allah “KAMI KURNIAKAN KEPADANYA: ISHAK (ANAKNYA), DAN YAAKUB (CUCUNYA); DAN KEDUA-DUANYA KAMI JADIKAN BERPANGKAT NABI. DAN KAMI KURNIAKAN KEPADA MEREKA DARI RAHMAT KAMI, DAN KAMI JADIKAN BAGI MEREKA SEBUTAN DAN PUJIAN YANG TINGGI DALAM KALANGAN UMAT MANUSIA” (Maryam [19:49-50]).

Juga firman Allah:

وَوَهَبْنَا لَهُ إِسْحَاقَ وَيَعْقُوبَ وَجَعَلْنَا فِي ذُرِّيَّتِهِ النُّبُوَّةَ وَالْكِتَابَ وَآَتَيْنَاهُ أَجْرَهُ فِي الدُّنْيَا وَإِنَّهُ فِي الْآَخِرَةِ لَمِنَ الصَّالِحِينَ

Ertinya: Dan Kami kurniakan kepadanya: “ISHAK (ANAKNYA) DAN YAAKUB (CUCUNYA); DAN KAMI JADIKAN DALAM KALANGAN KETURUNANNYA ORANG-ORANG YANG BERPANGKAT NABI DAN MENERIMA KITAB-KITAB UGAMA; DAN KAMI BERIKAN BALASANNYA YANG BAIK DI DUNIA;” dan sesungguhnya adalah ia, pada hari akhirat, dari orang-orang yang soleh (al-‘Ankabut [29:27]).

Pejuang kalimah Tawhid juga mendapat peneguhan jiwa ketika disoal oleh malaikat sejurus melangkah ke alam barzakh (Sahih Muslim). Ia dijelaskan oleh firman Allah ini:

يُثَبِّتُ اللَّهُ الَّذِينَ آَمَنُوا بِالْقَوْلِ الثَّابِتِ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَفِي الْآَخِرَةِ وَيُضِلُّ اللَّهُ الظَّالِمِينَ وَيَفْعَلُ اللَّهُ مَا يَشَاءُ

Ertinya: Allah menetapkan (pendirian) orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat; dan Allah menyesatkan orang yang berlaku zalim (kepada diri mereka sendiri); dan Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendakiNya (Ibrahim [14.27]).

Di akhirat pula, manusia yang sudah mengikrarkan kalimah Tawhid sebagai matlamat hidupnya mendapat jaminan syurga (setelah dia bertaubat dari segala dosanya sebelum meninggal dunia) sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

مَا مِنْ عَبْدٍ قَالَ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ ثُمَّ مَاتَ عَلَى ذَلِكَ إِلَّا دَخَلَ الْجَنَّةَ قُلْتُ وَإِنْ زَنَى وَإِنْ سَرَقَ قَالَ وَإِنْ زَنَى وَإِنْ سَرَقَ قُلْتُ وَإِنْ زَنَى وَإِنْ سَرَقَ قَالَ وَإِنْ زَنَى وَإِنْ سَرَقَ ثَلَاثًا

Ertinya: “Tiada seorang hamba (Allah) pun yang berkata (mengiktiraf serta menghayati kalimah) TIADA TUHAN YANG SELAYAKNYA DISEMBAH MELAINKAN ALLAH kemudian meninggal dunia atas keyakinan itu (di samping dia bertaubat sebelum mati), dia akan masuk syurga.” Aku (Abu Dhar RA) bertanya: “Walaupun dia pernah berzina dan mencuri?” Rasulullah menjawab: “(Ya!) Walaupun dia pernah berzina dan mencuri.” Aku mengulangi lagi soalanku: “Walaupun dia pernah berzina dan mencuri?” Rasulullah mengulangi jawapannya sebanyak 3 kali: “(Ya!) Walaupun dia pernah berzina dan mencuri.” (Sahih al-Bukhari & Sahih Muslim).

Marilah kita menjadikan kalimah Tawhid ini sebagai matlamat hidup mati kita di dunia dan di akhirat. Pun begitu, ia tidak semudah melafazkannya pada lidah, sebaliknya kita wajib menghayati kalimah Tawhid ini sepenuh jiwa dengan mentaati segala arahan dan perintah Allah. Juga meninggalkan segala laranganNya. Jika putih kata Allah, maka putihlah turutan kita. Apabila kalimah Tawhid ini dijiwai sepenuhnya, maka hidup kita akan beroleh bahagia di dunia, di alam barzakh dan di akhirat kelak. Insya Allah!

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...