Thursday, November 17, 2016

JANGAN BULI ORANG KERANA NABI MUSA TAK MAHU BULI ORANG

JANGAN BULI ORANG KERANA NABI MUSA TAK MAHU BULI ORANG

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Ulasan ringkas ayat pilihan juzuk 20 sempena malam ke 20 Ramadhan (24 Jun 2016). Isunya kisah nabi Musa AS yang enggan menggunakan kelebihan fizikalnya untuk membantu manusia zalim.

Nabi Musa AS bukan manusia biasa. Kekuatannya sungguh luar biasa. Pernah baginda menampar malaikat maut sehingga hilang penglihatannya. Abu Hurayrah RA menyampaikan kisah tersebut:

أُرْسِلَ مَلَكُ الْمَوْتِ إِلَى مُوسَى عَلَيْهِمَا السَّلَام فَلَمَّا جَاءَهُ صَكَّهُ فَرَجَعَ إِلَى رَبِّهِ فَقَالَ أَرْسَلْتَنِي إِلَى عَبْدٍ لَا يُرِيدُ الْمَوْتَ فَرَدَّ اللَّهُ عَلَيْهِ عَيْنَهُ وَقَالَ ارْجِعْ فَقُلْ لَهُ يَضَعُ يَدَهُ عَلَى مَتْنِ ثَوْرٍ فَلَهُ بِكُلِّ مَا غَطَّتْ بِهِ يَدُهُ بِكُلِّ شَعْرَةٍ سَنَةٌ قَالَ أَيْ رَبِّ ثُمَّ مَاذَا قَالَ ثُمَّ الْمَوْتُ قَالَ فَالْآنَ فَسَأَلَ اللَّهَ أَنْ يُدْنِيَهُ مِنْ الْأَرْضِ الْمُقَدَّسَةِ رَمْيَةً بِحَجَرٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَوْ كُنْتُ ثَمَّ لَأَرَيْتُكُمْ قَبْرَهُ إِلَى جَانِبِ الطَّرِيقِ عِنْدَ الْكَثِيبِ الْأَحْمَرِ

Ertinya: Pada suatu ketika, malaikat maut diutus Allah kepada Nabi Musa AS. Apabila dia bertemu Musa, baginda menampar malaikat maut itu sehingga buta matanya. Malaikat kembali kepada Tuhannya dan berkata: "Engkau kirimkan aku kepada seorang hamba yang tidak ingin mati." Allah mengembalikan penglihatannya dan berfirman: "Kembalilah (kepadanya), dan katakan kepadanya supaya dia meletakkan tangannya di punggung lembu. Untuk setiap bulu yang ditutup oleh tangannya, baginya satu tahun." Kata Musa. "Sesudah itu apa?" Firman Allah. "Mati!" Kata Musa, "Kalau begitu, sekaranglah!" Dia pun bermohon kepada Allah supaya mendekatkannya ke negeri suci (Jerusalem) dengan jarak satu lemparan batu. Kata Abu Hurairah menambahkan, "Nabi bersabda, kalau sekiranya aku berada di sana, akan ku tunjukkan kepada mu maqamnya, iaitu di pinggir jalan, dekat tompokan pasir merah” (Sahih al-Bukhari).

Setengah pihak menolak hadith ini kerana kelihatan tidak logik pada akal mereka. Masakan nabi Musa AS tidak kenal malaikat maut? Atau masakan baginda tak mahu mati sehingga menolak kedatangan mati dengan cara yang begitu kasar. Ini jawapan yang dinyatakan oleh para ulama hadith:

وَالْجَوَابُ أَنَّ اللَّهَ لَمْ يَبْعَثْ مَلَكَ الْمَوْتِ لِمُوسَى وَهُوَ يُرِيدُ قَبْضَ رُوحِهِ حِينَئِذٍ ، وَإِنَّمَا بَعَثَهُ إِلَيْهِ اِخْتِبَارًا وَإِنَّمَا لَطَمَ مُوسَى مَلَكَ الْمَوْتِ لِأَنَّهُ رَأَى آدَمِيًّا دَخَلَ دَارَهُ بِغَيْرِ إِذْنِهِ وَلَمْ يَعْلَمْ أَنَّهُ مَلَكُ الْمَوْتِ ، وَقَدْ أَبَاحَ الشَّارِعُ فَقْءَ عَيْنِ النَّاظِرِ فِي دَارِ الْمُسْلِمِ بِغَيْرِ إِذْنٍ ، وَقَدْ جَاءَتْ الْمَلَائِكَةُ إِلَى إِبْرَاهِيمَ وَإِلَى لُوطٍ فِي صُورَةِ آدَمِيِّينَ فَلَمْ يَعْرِفَاهُمْ اِبْتِدَاءً

Ertinya: Allah tidak menghantar malaikat maut untuk mengambil nyawa Musa pada waktu itu tetapi pengutusan itu sekadar suatu ujian lain untuk baginda. Musa menampar malaikat maut kerana dia muncul dalam rupa manusia biasa yang masuk rumahnya tanpa izin. Baginda pula tidak tahu lelaki itu adalah jelmaan malaikat maut. Tambahan pula Allah membenarkan (kita) mencungkil mata sesiapa yang mengintai ke dalam rumah orang tanpa izin. Para malaikat juga pernah datang kepada nabi Ibrahim dan Lut dalam jelmaan manusia biasa dan kedua nabi itu tidak mengenalinya pada permulaannya (Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari).

Bukan setakat itu, kekuatan baginda pernah disebut Allah dalam surah al-Qasas ketika baginda membantu teman sebangsanya mengalahkan lelaki Qibti. Ternyata satu tumbukan padu nabi Musa AS cukup meragut nyawa lelaki Qibti tersebut. Kejadian itu tidak disengajakan dan baginda tunduk bertaubat kepada Allah. Perincian kisah itu boleh dilihat di sini:

وَدَخَلَ الْمَدِينَةَ عَلَى حِينِ غَفْلَةٍ مِنْ أَهْلِهَا فَوَجَدَ فِيهَا رَجُلَيْنِ يَقْتَتِلَانِ هَذَا مِنْ شِيعَتِهِ وَهَذَا مِنْ عَدُوِّهِ فَاسْتَغَاثَهُ الَّذِي مِنْ شِيعَتِهِ عَلَى الَّذِي مِنْ عَدُوِّهِ فَوَكَزَهُ مُوسَى فَقَضَى عَلَيْهِ قَالَ هَذَا مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ عَدُوٌّ مُضِلٌّ مُبِينٌ (15) قَالَ رَبِّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي فَاغْفِرْ لِي فَغَفَرَ لَهُ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ (16)

Ertinya: Dan dia masuk ke bandar (Mesir) dalam masa penduduknya tidak menyedarinya, lalu didapatinya 2 orang lelaki sedang berkelahi, - seorang dari bangsanya dan yang seorang lagi dari bangsa musuhnya. Maka orang yang sebangsa dengannya meminta tolong kepadanya melawan orang yang dari bangsa musuhnya; Musa pun menumbuknya lalu menyebabkan orang itu mati. (pada saat itu) Musa berkata: "Ini adalah dari kerja Syaitan, sesungguhnya Syaitan itu musuh yang menyesatkan, yang nyata (angkaranya) ". Dia merayu (dengan sesalnya): "WAHAI TUHANKU, SESUNGGUHNYA AKU TELAH MENGANIAYA DIRI SENDIRI; OLEH ITU AMPUNKANLAH DOSAKU". (Maka Allah Taala menerima taubatnya) lalu mengampunkan dosanya; sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (al-Qasas [28:15-16]).

Kejadian ini berlaku ketika zaman muda baginda. Orang muda biasanya lupa atau tidak peka mengawal kekuatan diri. Setelah sedar kekuatan yang dimilikinya Musa berdoa kepada Allah agar dia tidak menyalahgunakan kekuatan tersebut. Lihat sambungan doa baginda:

قَالَ رَبِّ بِمَا أَنْعَمْتَ عَلَيَّ فَلَنْ أَكُونَ ظَهِيرًا لِلْمُجْرِمِينَ

Ertinya: (Musa) merayu lagi: "Wahai Tuhanku, demi nikmat-nikmat yang Engkau kurniakan kepadaku, (peliharalah daku) supaya aku tidak akan menjadi penyokong kepada golongan yang bersalah" (al-Qasas [28:17]).

Ini contoh manusia terbaik yang tidak mahu salah menggunakan ni’mat pinjaman Allah padanya. Perhatikan di luar sana, berapa ramai manusia yang ada sedikit kekuatan - sama ada ia berbentuk kekuatan fizikal, akal fikiran, harta, pengaruh dan kedudukan – begitu mudah menyalah gunakan kelebihan tersebut. Ada sahaja orang yang lemah dibuli, dianjingkan, dipijak, ditindas, diperah keringatnya dan sebagainya. Ternyata sikap sebegitu bukan akhlak Islam.

Usahkan berlaku zalim atau menyokong si zalim, sedikit rasa condong kepada si zalim sudah cukup untuk membuka sambaran api neraka kepada kita. Firman Allah:

وَلَا تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ وَمَا لَكُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ مِنْ أَوْلِيَاءَ ثُمَّ لَا تُنْصَرُونَ

Ertinya: DAN JANGANLAH KAMU CENDERUNG KEPADA ORANG YANG ZALIM, NANTI API NERAKA AKAN MEMBAKAR KAMU, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan (Hud [11:113]).

Menjadi balaci, barua, algojo atau anjing kurap si zalim adalah suatu langkah yang sangat bodoh. Jika si zalim yang dijunjung itu jatuh tersungkur dalam neraka, kita pasti turut disadung masuk bersama. Itulah nasib malang yang menimpa kaum dan tentera Fir’awn:

فَأَخَذْنَاهُ وَجُنُودَهُ فَنَبَذْنَاهُمْ فِي الْيَمِّ فَانْظُرْ كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الظَّالِمِينَ (40) وَجَعَلْنَاهُمْ أَئِمَّةً يَدْعُونَ إِلَى النَّارِ وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ لَا يُنْصَرُونَ (41) وَأَتْبَعْنَاهُمْ فِي هَذِهِ الدُّنْيَا لَعْنَةً وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ هُمْ مِنَ الْمَقْبُوحِينَ (42)

Ertinya: Dengan sebab itu Kami mengepungnya “BERSAMA TENTERANYA” serta Kami humbankan mereka ke dalam laut; maka perhatikanlah bagaimana buruknya kesudahan orang yang zalim. Dan Kami jadikan mereka ketua (dalam kesesatan) yang mengajak ke neraka (dengan kekufurannya), dan pada hari kiamat pula mereka tidak mendapat sebarang pertolongan. Dan Kami iringi mereka dengan laknat di dunia ini, dan pada hari kiamat pula adalah mereka dari orang yang tersingkir (dari rahmat Kami) dengan sehina-hinanya. (al-Qasas [28:40-42]).

Kekuatan, kebijaksanaan, kecantikan atau apa sahaja kelebihan yang Allah pinjamkan pada kita adalah amanah yang akan diaudit lengkap di akhirat kelak. Jangan gunakan kelebihan itu sebagai alat untuk menindas atau membuli orang lain. Bimbang nanti nasib kuncu-kuncu Fir’awn purba dan Fir’awn moden turut berulang pada kita. Mohon dijauhkan Allah!

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...