Tuesday, November 15, 2016

DOA DI KALA MELIHAT "SUPERMOON?"

DOA DI KALA MELIHAT “SUPERMOON?”

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Malam ini (14 November 2016) mesej berkaitan “BACAAN DOA” sempena fenomena “SUPERMOON” masuk ke dalam sebuah group WHAT’S APP yang saya sertai. Bunyinya:

“DOA SAAT KETIKA MELIHAT BULAN PURNAMA”:

رَبَّنَا أَتْمِمْ لَنَا نُورَنَا وَاغْفِرْ لَنَا إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Ertinya: "Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami, dan limpahkanlah keampunan kepada kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu" (al-Tahrim [66:8]).

Doa itu nampak logik dan sesuai dengan fenomena ini. Soalannya, adakah benar doa dari ayat tersebut menyentuh perihal “CAHAYA BULAN?” atau ia membicarakan soal lain yang langsung berlainan konteksnya?

“Alah Ustaz! Apa salahnya, lagipun maknanya sangat seiring dengan sinaran luar biasa si bulan?”

Mungkin itu yang akan dikatakan sesetengah orang yang melihat Pak Ustaz kerjanya tiada lain, menegur sahaja. Semua yang dibuat orang awam dinilai salah, tidak kena dan tidak cocok seakan mereka adalah pemegang lessen agama. Ketahuilah! Orang agama yang mendalami al-Quran bukanlah malaikat pencatat amalan yang kerjanya mencari salah orang. Sebaliknya mereka adalah pemegang amanah ilmu Allah. Tambahan pula Al-Quran yang diturunkan kepada kita bukannya rekaan mana-mana Presiden atau Raja sesebuah negeri. Ia adalah “KALAM SUCI RAJA DAN TUHAN SEMESTA ALAM.” Jika kita salah faham atau lapor kalam mana-mana pemimpin besar dunia pun kita bakal berhadapan ancaman saman atau teguran keras, inikan pula KALAM TUHAN SEMESTA ALAM. Oleh itu, langkah berhati-hati atau WARAK lebih selamat untuk jiwa dan agama kita.

Benarkah kita digalakkan membaca doa di atas ketika bulan mengambang? Setakat carian saya berdasarkan ilmu yang cetek, tidak pula saya temui doa tersebut disaran baca oleh Rasulullah SAW. Dalam sebuah hadith, lain pula bunyinya doa baginda tatkala melihat bulan sabit di awal bulan:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا رَأَى الْهِلَالَ قَالَ اللَّهُمَّ أَهْلِلْهُ عَلَيْنَا بِالْيُمْنِ وَالْإِيمَانِ وَالسَّلَامَةِ وَالْإِسْلَامِ رَبِّي وَرَبُّكَ اللَّهُ

Ertinya: Sesungguhnya nabi SAW apabila melihat bulan sabit (pada awal bulan) akan berdoa “YA ALLAH! TERBITKAN BULAN INI KEPADA KAMI BERSAMA KEBERKATAN, IMAN (YANG BERTERUSAN), KESELAMATAN (DARI SEBARANG BAHAYA), DAN ISLAM (YANG DIJIWAI SECARA BERTERUSAN), KERANA SESUNGGUHNYA TUHANKU DAN TUHANMU (WAHAI BULAN SABIT) ADALAH ALLAH! (Sunan al-Tirmidhi).

Jika begitu, apa pula maksud sebenar doa meminta penyempurnaan cahaya dari “riwayat kitab What’s App” di atas? Untuk lebih adil dengan kalam Allah. Kita wajib membacaya dari awal ayat dan memahaminya dalam konteks sebenar yang dimaksudkan Allah. Ayuh kita analisis firman Allah itu dari pangkalnya:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا تُوبُوا إِلَى اللَّهِ تَوْبَةً نَصُوحًا عَسَى رَبُّكُمْ أَنْ يُكَفِّرَ عَنْكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيُدْخِلَكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ يَوْمَ لَا يُخْزِي اللَّهُ النَّبِيَّ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ نُورُهُمْ يَسْعَى بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَبِأَيْمَانِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا أَتْمِمْ لَنَا نُورَنَا وَاغْفِرْ لَنَا إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Ertinya: Wahai orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan " Taubat Nasuha", mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang yang beriman bersama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang munafik meraba-raba dalam kegelapan): "Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami, dan limpahkanlah keampunan kepada kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu" (al-Tahrim [66:8]).

Jelas sekali ayat ini meminta agar kita semua agar segera bertaubat secara tulus dan benar kepada Allah. Taubat nasuha akan membasuh suci dosa yang pernah dilakukan dan membuahkan ni’mat syurga dari Allah. Orang yang diterima taubat nasuhanya akan dimuliakan Allah pada hari kiamat. Antara bukti kemuliaan ini adalah “WUJUDNYA CAHAYA GEMILANG DARI BAHAGIAN HADAPAN DAN KANAN MEREKA” ketika meniti titian sirat. Berikutan itu, mereka memohon tambahan cahaya tersebut agar ia berterusan menemani mereka ke pintu syurga.

Mengapa orang beriman memohon agar cahaya mereka disempurnakan? Ia berlaku berikutan nasib malang yang mereka lihat menimpa orang Munafik. Ia dijelaskan Allah dalam firmanNya yang lain:

يَوْمَ تَرَى الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ يَسْعَى نُورُهُمْ بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَبِأَيْمَانِهِمْ بُشْرَاكُمُ الْيَوْمَ جَنَّاتٌ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا ذَلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ (12) يَوْمَ يَقُولُ الْمُنَافِقُونَ وَالْمُنَافِقَاتُ لِلَّذِينَ آَمَنُوا انْظُرُونَا نَقْتَبِسْ مِنْ نُورِكُمْ قِيلَ ارْجِعُوا وَرَاءَكُمْ فَالْتَمِسُوا نُورًا فَضُرِبَ بَيْنَهُمْ بِسُورٍ لَهُ بَابٌ بَاطِنُهُ فِيهِ الرَّحْمَةُ وَظَاهِرُهُ مِنْ قِبَلِهِ الْعَذَابُ (13) يُنَادُونَهُمْ أَلَمْ نَكُنْ مَعَكُمْ قَالُوا بَلَى وَلَكِنَّكُمْ فَتَنْتُمْ أَنْفُسَكُمْ وَتَرَبَّصْتُمْ وَارْتَبْتُمْ وَغَرَّتْكُمُ الْأَمَانِيُّ حَتَّى جَاءَ أَمْرُ اللَّهِ وَغَرَّكُمْ بِاللَّهِ الْغَرُورُ (14) فَالْيَوْمَ لَا يُؤْخَذُ مِنْكُمْ فِدْيَةٌ وَلَا مِنَ الَّذِينَ كَفَرُوا مَأْوَاكُمُ النَّارُ هِيَ مَوْلَاكُمْ وَبِئْسَ الْمَصِيرُ (15)

Ertinya: (Ingatlah) ketika engkau melihat (pada hari kiamat): orang yang beriman, lelaki dan perempuan, CAHAYA (IMAN DAN AMAL SOLEH) MEREKA BERGERAK CEPAT DI HADAPAN MEREKA DAN DI SEBELAH KANAN MEREKA (semasa mereka berjalan, serta dikatakan kepada mereka): "Berita yang mengembirakan kamu pada hari ini, (kamu akan beroleh) Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, kekal kamu di dalamnya; yang demikian itu adalah kemenangan yang besar".  (Ingatlah) semasa orang munafik, lelaki dan perempuan (yang sedang meraba-raba dalam kegelapan pada hari kiamat), berkata kepada orang yang beriman: "TUNGGULAH KAMI, BIARLAH KAMI MENGAMBIL SEDIKIT DARI CAHAYA KAMU". (Lalu) dikatakan (kepada mereka secara mengejek): "BALIKLAH KAMU KE BELAKANG, KEMUDIAN CARILAH CAHAYA (DI SANA)", serta diwujudkan antara mereka (yang beriman dan yang munafik itu) sebuah tembok yang mempunyai pintu, dari sebelah dalamnya mengandungi rahmat (Syurga dan nikmat), dan di sebelah luarnya, dari situ terdapat (neraka) dan azab seksa. (Pada saat itu) mereka (yang munafik) menyeru orang yang beriman (sambil berkata): "Bukankah kami bercampur gaul dengan kamu (di dunia dahulu)?" Orang yang beriman menjawab: "Benar! Akan tetapi kamu telah membinasakan diri kamu (dengan perbuatan munafik) dan kamu selalu menunggu (kebinasaan umat Islam), dan kamu pula ragu-ragu (terhadap isi agama) serta kamu diperdayakan oleh angan-angan kosong (untuk mencapai maksud kamu), sehinggalah datangnya (maut) yang ditetapkan oleh Allah (kepada kamu). Dan (selain itu), kamu pula diperdayakan oleh bisikan Syaitan dengan (pengampunan) Allah (semata-mata dan melupakan azabNya). "Oleh itu, pada hari ini tidak diterima penebus diri dari kamu, dan tidak juga dari orang kafir. Tempat tinggal kamu ialah neraka, nerakalah sahaja penolong kamu, dan itulah seburuk-buruk tempat kesudahan kamu!"  (al-Hadid[57:12-15]).

Mengapa Allah memadamkan cahaya palsu yang diberikan kepada orang munafik semasa mereka sangat memerlukannya atas titian sirat? Tidak lain, ia adalah suatu cara Allah MEMBALAS TIPU DAYA MEREKA semasa di dunia dahulu (Tafsir Ibn Kathir). Ia dijelaskan oleh Allah dalam firmanNya yang lain:

إِنَّ المُنٰفِقينَ يُخٰدِعونَ اللَّهَ وَهُوَ خٰدِعُهُم وَإِذا قاموا إِلَى الصَّلوٰةِ قاموا كُسالىٰ يُراءونَ النّاسَ وَلا يَذكُرونَ اللَّهَ إِلّا قَليلًا

Ertinya: Sesungguhnya orang munafik itu MELAKUKAN TIPU DAYA (terhadap agama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya) dan Allah pula tetap “MEMBALAS TIPU DAYA” mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik). Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman) dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang) (al-Nisa'[4:142]).

Setelah melihat tafsiran atau makna sebenar ayat di atas yang berkait rapat antara 3 surah berbeza iaitu surah al-Tahrim, al-Hadid dan al-Nisa’, adakah anda nampak kaitannya dengan fenomena “SUPERMOON?” Jika benar doa itu sesuai dibaca ketika bulan mengambang penuh, sudah pasti Rasulullah SAW yang terlebih dahulu membacanya atau mengajar kita untuk membacanya.

Pun begitu, adakah salah jika kita membaca doa riwayat What’s App itu atas umum maknanya yang menggambarkan cahaya iman kita diharap menjadi seperti terangnya cahaya bulan dalam fenomena supermoon? Saya jawab secara sederhana, ia tidak menjadi kesalahan kerana setiap patah ayat al-Quran sesuai dijadikan doa. Cuma penjelasan dalam nota Tafsir kali ini bertujuan mengajar adab kepada kita semua dalam berinteraksi dengan al-Quran. Masuklah ke gedung al-Quran secara terhormat dengan menggunakan kunci yang betul. Fahamilah sebarang firman Allah sebagaimana yang Dia mahu kita faham dan bukannya mengikut selera atau kehendak kita yang serba kekurangan.

Ya Allah! Bimbinglah kami dengan PEMAHAMAN AL-QURAN YANG SEBENAR” untuk mendapat cahaya sebenar yang membimbing kami di dunia dan akhirat seterang cahaya Supermoon pada malam ini.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...