Monday, October 31, 2016

SOMBONG FIRAUN DAN ANALISIS DOA NABI MUSA

SOMBONG FIRAUN DAN ANALISIS DOA NABI MUSA

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Jumaat (Ghafir [40:25-27]) pada 28 Oktober 2016. Antara isunya adalah analisis kesombongan Fir’awn dan doa nabi Musa AS.

Mahu gugur jantung para pengikut nabi Musa AS setelah mendapat tahu Fir’awn mahu mengulangi usaha penghapusan “lelaki Bani Isra’il.” Manusia jahat seperti Fir’awn sentiasa “tergamak” melakukan apa sahaja demi kelangsungan kuasanya. Mengapa pula deklarasi penghapusan lelaki Bani Isra’il mahu diarahkan Fir’awn? Tidak lain, ia berlaku selepas kekalahan ahli sihir Fir’awn kepada mukjizat nabi Musa AS. Fir’awn dan bangsawan kaumnya berasa terancam dengan kemaraan dakwah nabi Musa AS. Ubatnya mudah sahaja, bunuh Musa AS dan bakal pengikutnya dari kalangan lelaki Bani Isra’il. Jangan sampai Musa terus segar menjadi makhluk perosak yang berupaya menukar agama orang Mesir dan akan menimbulkan perpecahan dalam kalangan orang Mesir. Allah menceritakan “minit mesyuarat” Fir’awn yang dicapai selepas bermesyuarat bersama pembesarnya:

فَلَمَّا جَاءَهُمْ بِالْحَقِّ مِنْ عِنْدِنَا قَالُوا اقْتُلُوا أَبْنَاءَ الَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ وَاسْتَحْيُوا نِسَاءَهُمْ وَمَا كَيْدُ الْكَافِرِينَ إِلَّا فِي ضَلَالٍ (25) وَقَالَ فِرْعَوْنُ ذَرُونِي أَقْتُلْ مُوسَى وَلْيَدْعُ رَبَّهُ إِنِّي أَخَافُ أَنْ يُبَدِّلَ دِينَكُمْ أَوْ أَنْ يُظْهِرَ فِي الْأَرْضِ الْفَسَادَ (26)

Ertinya: Setelah Nabi Musa datang kepada mereka dengan membawa kebenaran dari sisi Kami, mereka berkata (dengan marahnya): "Bunuhlah anak lelaki orang yang beriman yang mengikutnya, dan biarkan hidup anak perempuan mereka". (Tetapi usaha) dan tipu daya orang kafir itu hanya menyebabkan mereka tenggelam dalam kesesatan dan kebinasaan sahaja. Dan berkatalah Firaun (kepada orangnya): "Biarkanlah aku membunuh Musa, dan biarlah dia memohon kepada Tuhannya (meminta pertolongan)! Sesungguhnya aku bimbang dia akan menukar ugama kamu, atau dia menimbulkan kerosakan di muka bumi" (Ghafir [40:25-26]).

Ayat lain mengulang resolusi yang sama:

وَقَالَ الْمَلَأُ مِنْ قَوْمِ فِرْعَوْنَ أَتَذَرُ مُوسَى وَقَوْمَهُ لِيُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ وَيَذَرَكَ وَآلِهَتَكَ قَالَ سَنُقَتِّلُ أَبْنَاءَهُمْ وَنَسْتَحْيِي نِسَاءَهُمْ وَإِنَّا فَوْقَهُمْ قَاهِرُونَ

Ertinya: Dan berkatalah pula Ketua kaum Firaun: "Adakah engkau (wahai Firaun) hendak membiarkan Musa dan kaumnya untuk melakukan kerosakan di bumi (Mesir) dan meninggalkanmu serta apa-apa yang dipuja olehmu?" Firaun menjawab: "Kita akan membunuh anak lelaki mereka dan kita biarkan hidup anak perempuan mereka, dan kita tetap menguasai (menundukkan) mereka" (al-A’raf [7:127]).

Rupanya ancaman ini adalah ancaman kedua (Tafsir al-Razi). Dahulunya ketika Musa AS masih bayi, para ibu Bani Isra’il ketakutan kerana Fir’awn mengeluarkan arahan bunuh semua bayi lelaki Bani Isra’il. Arahan bunuh itu kemudiannya dihentikan setelah Fir’awn mengambil Musa sebagai anak angkat. Selepas puluhan tahun, setelah Bani Isra’il mulai menerima dakwah nabi Musa, Fir’awn mengeluarkan arahan bunuh buat kali kedua bagi menyekat kemaraan dakwah nabi Musa. Di saat genting itu, nabi Musa AS memanjatkan doa kepada Allah agar mereka diberikan keselamatan dari kejahatan Fir’awn:

وَقَالَ مُوسَى إِنِّي عُذْتُ بِرَبِّي وَرَبِّكُمْ مِنْ كُلِّ مُتَكَبِّرٍ لَا يُؤْمِنُ بِيَوْمِ الْحِسَابِ

Dan (setelah mendengar ancaman itu) Nabi Musa berkata: "Sesungguhnya aku berlindung kepada Allah Tuhanku dan Tuhan kamu - dari (angkara) setiap orang yang sombong takbur, yang tidak beriman kepada hari hitungan amal!" (Ghafir [40:26-27]).

Beberapa analisis yang boleh dibuat pada doa nabi Musa ini yang jelas menunjukkan kebijaksanaan baginda dalam berdakwah dan menghadapi krisis (Tafsir al-Razi & Tafsir al-Munir):

1) Nabi Musa AS menyebut bahawa Allah adalah Tuhannya dan TUHAN BANI ISRA’IL dalam doanya "SESUNGGUHNYA AKU BERLINDUNG KEPADA ALLAH TUHANKU DAN TUHAN KAMU.” Ia bertujuan menarik perhatian Bani Isra’il agar turut bersamanya berdoa kerana Allah adalah Tuhan mereka semua. Sudah pasti doa seorang berbeza kesan penerimaannya berbanding doa sebuah ummat.

2) Nabi Musa tidak menyebut nama Fir’awn secara khusus dalam doanya kerana baginda masih mengenang jasa Fir’awn yang pernah menjaganya ketika kecil. Tambahan pula watak SI JAHAT YANG SOMBONG dalam doa baginda boleh wujud pada semua manusia sehingga kiamat. Jika baginda mengkhususkan nama Fir’awn, maka seolah hanya Fir’awn seorang sahaja yang dilaknat Allah dan bukannya manusia berperwatakan yang sama.

3) Nabi Musa menyebut 2 sifat manusia yang wujud pada Fir’awn iaitu SOMBONG MELAMPAU dan TIDAK BERIMAN DENGAN HARI KIAMAT. Ia bertujuan mengingatkan semua manusia selepas zaman baginda bahawa 2 watak ini wajib dijauhi, jika tidak ia mampu menjadikan manusia sejahat dan sekejam Fir’awn.

Kesimpulannya, situasi yang dialami nabi Musa AS dan Bani Isra’il sentiasa wujud dalam lembaran hidup manusia. Si sombong seperti Fir’awn akan sentiasa wujud dan manusia yang ditindas juga akan terus wujud. Oleh itu, kisah doa nabi Musa ini sepatutnya menjadi pedoman kepada kita dalam berhadapan dengan berbagai kitaran sejarah manusia.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...