Monday, October 10, 2016

PERUBAHAN BAIK KEPADA BURUK BUKAN SEBALIKNYA!

PERUBAHAN BAIK KEPADA BURUK BUKAN SEBALIKNYA!
Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Rabu (al-Ra’d [13:11]) pada 11 Ogos 2016. Antara isunya adalah tafsiran sebenar ayat popular yang selalu digunakan ahli motivasi.

“Tiada kesudahannya hidup kita yang mundur seperti ini! Kita wajib melakukan sesuatu! Jika bukan kita yang mengubah nasib kita, siapa lagi! Tambahan pula Allah berfirman dalam al-Quran bahawa Dia tidak akan mengubah nasib (malang, mundur, buruk) sesuatu kaum sehingga kaum itu yang berusaha mengubah nasibnya itu.”

Sejurus frasa tersebut diucapkan, si penceramah motivasi dengan lancar membacakan sebuah ayat al-Quran:

إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ

Ertinya: Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri (al-Ra’d[13:11]).

Memang benar, takdir kita sudah tetap semenjak azali dalam rahsia Allah. Yang tahu nasib atau takdir kita adalah Allah dan selaku manusia kita tiada cara untuk mengetahuinya. Oleh itu, kita wajib bersangka baik terhadap ketentuan Allah dengan melakukan usaha terbaik. Biar peluh membasahi badan lalu jatuh menitis ke bumi dek usaha yang dikerah. Itu satu cara memajukan diri dengan mengubah tabiat pasif menjadi aktif, buruk menjadi baik, malas menjadi rajin.

Soalnya apakah begitu maksud sebenar ayat popular motivasi yang sering dibacakan itu? Subhanallah! Saya sendiri sebelum mendalami Tafsir al-Quran beranggapan begitu. Setelah membaca “SECARA TERUS” dari sumber asal tafsir al-Quran, lain pula tafsiran yang dibuat oleh para ulama Tafsir. Apa kata mereka? Mari kita lihat!

“Allah tidak akan mengubah ni’mat, nasib baik, ketenangan, kemajuan atau kesejahteraan sesuatu kaum yang mentaatiNya (dengan berpegang teguh kepada al-Qur’an dan Islam) sehingga kaum itu sendiri membuat pilihan lain (buruk) dengan melanggar arahanNya atau meninggalkan Islam sehingga menyebabkan hidup mereka menuju ke arah kehancuran (intisari dari beberapa kitab Tafsir seperti Tafsir al-Alusi, al-Baghawi, al-Munir, al-Razi, Jalalayn, al-Nasafi)”

Dalam Tafsir Ibn Kathir pula disebut sebuah riwayat dari Imam Ibn Abi Hatim:

أوحى الله إلى نبي من أنبياء بني إسرائيل: أن قل لقومك: إنه ليس من أهل قرية ولا أهل بيت يكونون على طاعة الله فيتحولون منها إلى معصية الله، إلا تحول لهم مما يحبون إلى ما يكرهون، ثم قال: إن مصداق ذلك في كتاب الله

Ertinya: Allah mewahyukan kepada seorang nabi Bani Isra’il supaya memberitahu kepada umatnya: “Tiadalah penduduk sebuah negeri atau sebuah keluarga yang berada dalam ketaatan kepada Allah, lalu mereka menukar (gaya hidup) itu menjadi penderhakaan kepada Allah, melainkan Allah akan mengubah (kebaikan) yang mereka miliki menjadi sesuatu (keburukan) yang mereka benci. Penjelasan mengenainya memang disebut dalam al-Quran pada ayat 11 surah al-Ra’d ini (Tafsir Ibn Kathir).

Oleh itu, demi memahami ayat surah al-Ra’d terdahulu, umat Islam PERLU MEMBACANYA BERSAMA AYAT INI:

ذَلِكَ بِأَنَّ اللَّهَ لَمْ يَكُ مُغَيِّرًا نِعْمَةً أَنْعَمَهَا عَلَى قَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ وَأَنَّ اللَّهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Ertinya: (Balasan) yang demikian itu, ialah kerana sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang telah dikurniakanNya kepada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah Maha mendengar, lagi Maha Mengetahui (al-Anfal [8:53]).

Contoh lain bagi menjelaskan maksud ayat di atas adalah kisah perang Uhud. Ketika para pemanah “MENTAATI ARAHAN RASULULLAH” untuk kekal berada atas bukit pemanah, “KEGEMILANGAN SERTA KEMENANGAN” menjadi milik umat Islam. Setelah sebahagian mereka meninggalkan lokasi mereka kerana terpukau dengan kilauan dunia dan harta yang ditinggalkan pihak musuh, keadaan baik bertukar wajah. Ia disinggung oleh Allah dalam firmanNya:

وَلَقَدْ صَدَقَكُمُ اللَّهُ وَعْدَهُ إِذْ تَحُسُّونَهُمْ بِإِذْنِهِ حَتَّى إِذَا فَشِلْتُمْ وَتَنَازَعْتُمْ فِي الْأَمْرِ وَعَصَيْتُمْ مِنْ بَعْدِ مَا أَرَاكُمْ مَا تُحِبُّونَ مِنْكُمْ مَنْ يُرِيدُ الدُّنْيَا وَمِنْكُمْ مَنْ يُرِيدُ الْآخِرَةَ ثُمَّ صَرَفَكُمْ عَنْهُمْ لِيَبْتَلِيَكُمْ وَلَقَدْ عَفَا عَنْكُمْ وَاللَّهُ ذُو فَضْلٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ (152)

Ertinya: Dan demi sesungguhnya, Allah telah menepati janjiNya (memberikan pertolongan) kepada kamu ketika kamu (berjaya) membunuh mereka (beramai-ramai) dengan izinNya, sehingga ke masa kamu lemah (hilang semangat untuk meneruskan perjuangan) dan kamu berbalah dalam urusan (perang) itu, serta kamu pula menderhaka (melanggar perintah Rasulullah) sesudah Allah perlihatkan kepada kamu akan apa yang kamu sukai (kemenangan dan harta rampasan perang). Di antara kamu ada yang menghendaki keuntungan dunia semata-mata, dan di antara kamu ada yang menghendaki akhirat, kemudian Allah memalingkan kamu daripada menewaskan mereka untuk menguji (iman dan kesabaran) kamu; dan sesungguhnya Allah telah memaafkan kamu, (semata-mata dengan limpah kurniaNya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa melimpahkan kurniaNya kepada orang-orang yang beriman (Ali ‘Imran [3:152]).

Lalu pasti akan ada yang bertanya “KALAU BEGITU, ADAKAH SALAH JIKA KITA MEMAHAMI AYAT INI SECARA TERBALIK BAGAI BIASA DISEBUT PENCERAMAH MOTIVASI?”

Tak salah! Ia boleh digunakan dengan makna lain asal sahaja tidak menyimpang jauh dari makna asal. Bahkan dalam kaedah Usul Fiqh disebut:

“ العبرة بعموم اللفظ لا بخصوص السبب – iaitu pengajaran sesuatu ayat al-Quran perlu difahami kepada maknanya yang umum, tidak hanya terikat pada sebab penurunannya yang khusus.”

Pun begitu, untuk lebih beradab dengan Allah, kita wajib terlebih dahulu mengutamakan makna sebenar yang mahu disampaikan Allah melalui firmanNya. Berlebih kurang dengan terus menggunakan kaedah di atas sehingga mengabaikan maksud sebenar sesuatu ayat dibimbangi akan menutup makna sebenar sesuatu ayat.

Dalam pengajian Tafsir, aspek SIYAQ AYAT atau KONTEKS/MAKSUD sebenar sesuatu ayat sangat penting agar sebarang firman “ALLAH DIFAHAMI DALAM MAKSUD YANG ALLAH MAHU KITA FAHAM.” Jika ini cara kita, barulah al-Quran akan mampu mengubah jiwa kita “KERANA UBATNYA DIBERI MENGIKUT DOS SEBENAR YANG DIPERLUKAN JIWA KITA.” Allah pula bukan doctor yang merawat kita, tetapi PENCIPTA KITA YANG PALING TAHU APA UBAT TERBAIK UNTUK JIWA KITA. Belajar dan dalamilah al-Quran dari sumber asalnya agar kita benar-benar faham apa yang Allah mahu kita faham.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...