Saturday, October 22, 2016

ORANG BERILMU SENANTIASA BERADA BEBERAPA LANGKAH DI HADAPAN SI JAHIL

ORANG BERILMU SENANTIASA BERADA BEBERAPA LANGKAH DI HADAPAN SI JAHIL

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

Nota Kelas Tafsir Dhuha Selasa (al-Qasas [28:79-82]) pada 21 Oktober 2014. Antara isunya adalah kelebihan orang berilmu yang SUDAH MELIHAT HAKIKAT SEBENAR sesuatu perkara sebelum disedari orang awam yang jahil.

Apabila Qarun keluar bermegah dengan kekayaannya, orang awam yang jahil melopong dan berhasrat agar dikurniai kekayaan yang setara dengan Qarun. Kekaguman mereka digambarkan oleh al-Quran:

فَخَرَجَ عَلَى قَوْمِهِ فِي زِينَتِهِ قَالَ الَّذِينَ يُرِيدُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا يَا لَيْتَ لَنَا مِثْلَ مَا أُوتِيَ قَارُونُ إِنَّهُ لَذُو حَظٍّ عَظِيمٍ (79) وَقَالَ الَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ وَيْلَكُمْ ثَوَابُ اللَّهِ خَيْرٌ لِمَنْ آَمَنَ وَعَمِلَ صَالِحًا وَلَا يُلَقَّاهَا إِلَّا الصَّابِرُونَ (80)

Ertinya: Kemudian Qarun keluar kepada kaumnya dengan memakai perhiasannya. (Pada saat itu) berkatalah orang yang semata-mata inginkan kesenangan kehidupan dunia: "Alangkah baiknya kalau kita ada kekayaan seperti yang didapati oleh Qarun! Sesungguhnya dia adalah seorang yang bernasib baik". Dan berkata pula orang yang diberi ilmu (di antara mereka): "Janganlah kamu berkata demikian, pahala dari Allah lebih baik bagi orang yang beriman dan beramal soleh; dan tidak akan dapat menerima (pahala yang demikian) itu melainkan orang yang sabar" (al-Qasas[28:79-80]).

Jika diperhatikan dari ayat tersebut, lain perihalnya dengan sikap orang berilmu di kalangan Bani Isra’il. Mereka sudah melihat hakikat sebenar keberuntungan adalah pada Iman dan Amal Soleh. Lantas mereka menasihati orang awam yang jahil agar jangan terpedaya dengan ni’mat sementara yang menjadi ujian untuk si Qarun. Nasihat mereka ini pastinya tidak disukai oleh orang awam jahil. Orang alim akan ditohmah sebagai dengki dan hasad dengan kelebihan si Qarun. Lantas Allah berbicara dengan hukumanNya pada si Qarun. Apabila musnah ditelan bumi, maka tiada guna lagi segala harta, pengaruh dan pangkat yang dibanggakan selama ini:

فَخَسَفْنَا بِهِ وَبِدَارِهِ الْأَرْضَ فَمَا كَانَ لَهُ مِنْ فِئَةٍ يَنْصُرُونَهُ مِنْ دُونِ اللَّهِ وَمَا كَانَ مِنَ الْمُنْتَصِرِينَ (81)

Ertinya: Lalu Kami timbuskan dia bersama-sama dengan rumahnya di dalam tanah, maka tidaklah dia mendapat sebarang golongan yang boleh menolongnya dari azab Allah" dan ia pula tidak dapat menolong dirinya sendiri.  (al-Qasas[28:81])

Setelah melihat kemusnahan Qarun, barulah orang awam jahil yang kagum dengan kekayaan Qarun sedar kedangkalan mereka dalam menilai hakikat bahagia dan duka yang sebenar. Allah berfirman:

وَأَصْبَحَ الَّذِينَ تَمَنَّوْا مَكَانَهُ بِالْأَمْسِ يَقُولُونَ وَيْكَأَنَّ اللَّهَ يَبْسُطُ الرِّزْقَ لِمَنْ يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ وَيَقْدِرُ لَوْلَا أَنْ مَنَّ اللَّهُ عَلَيْنَا لَخَسَفَ بِنَا وَيْكَأَنَّهُ لَا يُفْلِحُ الْكَافِرُونَ (82)

Ertinya: Dan orang yang pada masa dahulu bercita-cita mendapat kekayaan seperti Qarun - mulai sedar sambil berkata: "Wah! Sesungguhnya Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya dari hambaNya, dan Dia lah juga yang menyempitkannya kalau tidak kerana Allah memberi pertolongan kepada kita tentulah kita akan dibinasakan dengan tertimbus di dalam tanah (seperti Qarun). Aduhai! Sesungguhnya orang yang kufurkan nikmat Allah itu tidak akan berjaya!" (al-Qasas[28:82]).

Ayat ini sangat sesuai menjadi inspirasi kemuliaan kepada kita untuk mengutamakan ilmu. Orang berilmu mampu melihat HAKIKAT SEBENAR SESUATU PERKARA SEBELUM IA DISEDARI oleh orang jahil. Ilmu juga mampu membimbing seseorang daripada terpedaya dengan tipu daya dunia yang fana.


* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...