Saturday, October 29, 2016

KISAH ISTERI NABI MUSA AS YANG SOLEHAH LAGI BENAR FIRASATNYA

KISAH ISTERI NABI MUSA AS YANG SOLEHAH LAGI BENAR FIRASATNYA

Oleh: Abdullah Bukhari bun Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir (al-Qasas [28:26]) pada  27 Oktober April 2015.

“Sudahlah solehah, bijaksana pula.”

Perempuan ini memang bukan calang-calang orangnya. Jika tidak masakan Allah merekodkan kisahnya dalam al-Quran. Bukan semua orang bertuah dapat diabadikan kisahnya dalam al-Quran lalu dibaca dan diulang puji oleh seluruh umat manusia sehingga kiamat. Pengabadian kisah beliau seolah mengajar kita bahawa wanita bukan makhluk kelas kedua sebagaimana dipandang sesetengah manusia jahil.

Kisahnya, nabi Musa AS yang dalam pelarian akibat diburu bangsa Qibti iaitu bangsa Fir’awn telah ditakdirkan bertemu seorang perempuan di Madyan. Perincian kisah boleh dibaca pada ayat 15 sehingga 24 surah al-Qasas. Baginda AS telah membantu perempuan tersebut 2 beradik memberikan air kepada binatang ternak mereka. Ringkasnya nabi Musa AS kemudiannya dijemput oleh bapa perempuan tersebut ke rumah.

Walaupun ramai beranggapan bapa perempuan ini adalah nabi Syu’ayb AS, sesetengah ahli tafsir tidak bersetuju dengan pendapat itu kerana jauhnya jarak zaman antara kedua Rasul ini melebihi 400 tahun. Bahkan jika bapa perempuan ini benar nabi Syu’ayb AS sudah pasti Allah akan memasukkan namanya secara jelas dalam kisah ini (Tafsir Ibn Kathir). Menurut sesetengah riwayat Isra’iliyyat pula bapa perempuan ini adalah anak saudara nabi Syu’ayb yang bernama “YATHRUN – يثرون    atau YATHRA – يثرى – (Tafsir al-Tabari). Allahu A’lam.

Dikisahkan oleh al-Quran, ketika berbicara dengan ayahandanya, perempuan ini mencadangkan suatu cadangan yang mengangkat darjat IMAN, TAQWA, SOLEH DAN SIFAT AMANAH pada nabi Musa AS:

قَالَتْ إِحْدَاهُمَا يَا أَبَتِ اسْتَأْجِرْهُ إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِينُ

Ertinya: Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: "Wahai ayah, ambilah dia memjadi orang upahan (mengembala kambing kita), SESUNGGUHNYA SEBAIK-BAIK ORANG YANG AYAH AMBIL BEKERJA IALAH ORANG YANG KUAT, LAGI AMANAH" (al-Qasas [28:26]).

Mudah sahaja bunyinya “KUAT (mampu melaksana kerja dengan jaya) dan AMANAH”, namun begitu nilainya sangat besar kerana ia adalah kunci utama dalam pemilihan pekerja atau pemimpin.

Mendengar 2 kelayakan yang wujud pada Musa, ayah perempuan ini sangsi seketika. Bagaimana anaknya ini tahu kedua kualiti hebat itu dimiliki Musa AS sedangkan mereka baru sehari bertemu. Si anaknya menjelaskan:

قالت: إنه رفع الصخرة التي لا يطيق حملها إلا عشرة رجال، وإنه لما جئت معه تقدمتُ أمامهُ، فقال لي: كوني من ورائي، فإذا اجتنبت  الطريق فاحذفي لي بحصاة أعلم بها كيف الطريق لأتهدّى إليه.

Ertinya: Perempuan itu berkata “Beliau (seorang diri) mengangkat (batu penutup perigi Madyan) yang tak mampu diangkat melainkan dengan kekuatan 10 lelaki. Tambahan pula apabila aku berjalan di hadapannya (ketika menjemputnya ke rumah kita), beliau berkata: Saudari berjalanlah di belakangku. Apabila aku menyimpang dari jalan ke rumahmu, lontarkan batu kepadaku supaya aku tahu mana jalannya (Tafsir Ibn Kathir).

Subhanallah! Hebat sekali mata hati perempuan ini, pandangannya bukan pandangan kosong tetapi pandangan bijaksana menganalisis kewibawaan Musa. Benar sekali pujian Abdullah bin Mas’ud kepada beliau (Tafsir al-Tabari):

أفرس الناس ثلاثة: العزيز حين تفرّس في يوسف فقال لامرأته:(أكرمي مثواه عسى أن ينفعنا أو نتخذه ولدًا) = وأبو بكر حين تفرَّس في عمر = والتي قالت:( يَا أَبَتِ اسْتَأْجِرْهُ إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الأَمِينُ )

Ertinya: Manusia yang benar firasatnya ada tiga iaitu;

(1) Aziz Mesir ketika dia nampak kualiti Yusuf dan meminta isterinya memuliakan keadaan Yusuf pada firman Allah (Dan [setelah Yusuf dijual di negeri Mesir], berkatalah orang yang membeli Yusuf kepada isterinya: "Berilah dia layanan yang sebaik-baiknya; semoga ia berguna kepada kita, atau kita jadikan dia anak" (Yusuf[12:21]),

(2) Abu Bakar RA apabila beliau melihat Umar selayaknya menjadi khalifah selepasnya dan,

(3) Perempuan dalam kisah Musa (al-Qasas[28:26]).

Perempuan ini bukan sahaja bijaksana tetapi memiliki sifat solehah (pemalu) sebagaimana pujian Allah kepadanya:

فَجَاءَتْهُ إِحْدَاهُمَا تَمْشِي عَلَى اسْتِحْيَاءٍ قَالَتْ إِنَّ أَبِي يَدْعُوكَ لِيَجْزِيَكَ أَجْرَ مَا سَقَيْتَ لَنَا

Ertinya: Kemudian salah seorang dari perempuan dua beradik itu datang mendapatkannya dengan “BERJALAN DALAM KEADAAN TERSIPU-SIPU MALU” sambil berkata:" Sebenarnya bapaku menjemputmu untuk membalas budimu memberi minum binatang ternak kami” (al-Qasas [28:25]).

Indah sekali aturan Allah. Manusia hebat biasanya turut didampingi oleh pasangan hidup yang hebat. Jika Rasulullah SAW didampingi wanita hebat dan bijaksana seperti Khadijah, Aishah, Ummu Salamah dan sebagainya. Nabi Musa AS pula didampingi oleh perempuan ini yang kemudiannya dijodohkan oleh bapanya:

قَالَ إِنِّي أُرِيدُ أَنْ أُنْكِحَكَ إِحْدَى ابْنَتَيَّ هَاتَيْنِ عَلَى أَنْ تَأْجُرَنِي ثَمَانِيَ حِجَجٍ

Ertinya: Bapa perempuan itu berkata (kepada Musa): "Aku hendak mengahwinkanmu dengan salah seorang dari dua anak perempuanku ini, dengan syarat bahawa engkau bekerja denganku selama lapan tahun (al-Qasas[28:27]).

Kepada yang belum berkahwin, pilihlah calon isteri yang beragama dan bijaksana seperti isteri nabi Musa AS. Kepada yang sudah berkahwin, isilah diri anda dengan ilmu dan iman agar sifat solehah dan bijaksana turut menempati hati dan akal anda. Yakinlah kita belum terlewat untuk menjadi soleh dan bijak walaupun selepas berkahwin. Jika sudah memiliki anak lelaki, didiklah mereka agar menjadi soleh, kuat dan amanah seperti Musa. Jika kita memiliki anak perempuan, didiklah mereka agar menjadi solehah, pemalu bertempat dan bijaksana seperti isteri nabi Musa AS. Percayalah! Kualiti seperti keluarga para nabi inilah yang akan mengangkat darjat Islam di dunia.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...