Thursday, October 20, 2016

DAKWA IBLIS: "BUKAN SALAH AKU! ALLAH YANG JADIKAN AKU SESAT."

DAKWA IBLIS: "BUKAN SALAH AKU! ALLAH YANG JADIKAN AKU SESAT."

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Iblis adalah makhluk yang sangat biadab! Setelah dilaknat Allah kerana enggan sujud pada Adam, selamba sahaja dia menyalahkan Allah. Aku sesat kerana Engkau jadikan aku sesat wahai Tuhan! Lihat ayat ini:

قَالَ فَبِمَا أَغْوَيْتَنِي لَأَقْعُدَنَّ لَهُمْ صِرَاطَكَ الْمُسْتَقِيمَ

Ertinya: Iblis berkata: "Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus; (al-A'raf [7:16]).

Iblis adalah makhluk yang tidak mengenang budi. Allah menciptanya, memberikannya peluang hidup dan tinggal dalam syurga. Apabila dia enggan sujud pada Adam sanggup dia meletakkan kesalahan itu pada Allah. Sanggup dia menyalahkan Allah yang menjadikan takdirnya sebegitu.

Kalau dia mahu bermain dengan takdir, mengapa pula para malaikat tidak engkar dengan arahan Allah sedangkan mereka semua diberikan peluang yang sama dalam peristiwa "sujud kepada Adam itu."

Analogi mudah bagi menggambarkan situasi sujud Iblis dan para malaikat adalah kisah 2 orang budak. Gurunya berkata:

"Anda berdua dikehendaki menyiapkan kerja rumah dan serah pada saya pagi esok." Apabila esoknya tiba, budak A (gambaran para malaikat) menyerahkan kerja rumah dengan jaya. Budak B pula (gambaran si Iblis) tidak melakukan apa - apa. Setelah ditanya oleh guru, budak B menyalahkan si guru dengan hujah autanya:

"Bukan salah saya cikgu! Ini salah cikgu! Cikgu yang paksa saya buat kerja rumah. Kalau cikgu tak beri pasti saya tak perlu siapkan kerja rumah. Kegagalan saya siapkan kerja rumah sudah takdir saya."

Si guru pasti naik angin dengan sikap budak B dan hukuman pasti diberikan. Akal yang sihat tahu bahawa cakap budak B bukan alasan sebenarnya tetapi lambang sombong dan auta.

Sikap suka menyalahkan orang lain terhadap kesalahan sendiri rupanya dipelopori oleh Iblis. Iblis kemudiannya membisikkan pemikiran yang sama pada manusia.  Manusia yang menelan pil racun si Iblis akan mengisi hidupnya dengan berbagai alasan. Racun pemikiran ini mulai menunjukkan kesannya apabila si manusia menjadi ego dan sukar mengaku kesalahan sendiri. Apabila diri dirasakan tiada silap, maka tenggelamlah manusia dalam rasa diri sempurna secara palsu. Sebarang teguran tidak lagi mampu menembus mindanya, jauh sekali untuk mengubahnya.

Allah menceritakan bagaimana sikap Iblis itu menjadi ikutan bukan Islam yang selalu menyalahkan takdir:

وَقَالَ الَّذِينَ أَشْرَكُوا لَوْ شَاءَ اللَّهُ مَا عَبَدْنَا مِنْ دُونِهِ مِنْ شَيْءٍ نَحْنُ وَلَا آبَاؤُنَا وَلَا حَرَّمْنَا مِنْ دُونِهِ مِنْ شَيْءٍ ۚ كَذَٰلِكَ فَعَلَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ ۚ فَهَلْ عَلَى الرُّسُلِ إِلَّا الْبَلَاغُ الْمُبِينُ

Ertinya: Dan berkatalah orang kafir musyrik: "Kalaulah Allah menghendaki, tentulah kami tidak menyembah selain daripadanya sesuatupun, - (tidak) kami dan tidak juga datuk nenek kami; - dan tentulah kami tidak mengharamkan sesuatu pun dengan ketiadaan perintahnya". Demikianlah juga yang telah dilakukan oleh orang-orang yang terdahulu daripada mereka. (Apa yang mereka katakan itu adalah salah semata-mata) kerana bukankah para Rasul semuanya tidak bertanggungjawab selain daripada menyampaikan (kehendak dan hukum Allah) dengan cara yang jelas nyata? (Al-Nahl [16:35]).

Sikap yang sama turut diulang tayang oleh Musyrikin Quraysh pada zaman Rasulullah SAW:

وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ أَنْفِقُوا مِمَّا رَزَقَكُمُ اللَّهُ قَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا لِلَّذِينَ آمَنُوا أَنُطْعِمُ مَنْ لَوْ يَشَاءُ اللَّهُ أَطْعَمَهُ إِنْ أَنْتُمْ إِلَّا فِي ضَلَالٍ مُبِينٍ

Ertinya: Dan apabila dikatakan kepada mereka:" Dermakanlah sebahagian dari rezeki yang dikurniakan Allah kepada kamu", berkatalah orang yang kafir itu kepada orang yang beriman (secara mengejek-ejek): " Patutkah kami memberi makan kepada orang yang jika Allah kehendaki tentulah Dja akan memberinya makan? Kamu ini hanyalah berada dalam kesesatan yang nyata" (Yasin [36:47]).

Iblis bukanlah ikutan kita secara langsung atau tidak langsung. Dia adalah musuh yang wajib dimusuhi. Memusuhi Iblis akan membuahkan pahala kerana ia adalah arahan Allah:


إِنَّ الشَّيْطَانَ لَكُمْ عَدُوٌّ فَاتَّخِذُوهُ عَدُوًّا ۚ إِنَّمَا يَدْعُو حِزْبَهُ لِيَكُونُوا مِنْ أَصْحَابِ السَّعِيرِ

Ertinya: Sesungguhnya Syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka (Fatir [35:6]).

Kita perlu menjadi manusia terhormat. Jika salah, akuilah salah kita dan  bersedialah menerima teguran kerana teguran adalah ubat yang akan melonjakkan kita terus ke atas. Manusia yang selalu menyalahkan orang lain serta menafikan silap sendiri sebenarnya berada dalam bahaya kerana berasa dirinya sempurna. Sikap ini ternyata pernah merosakkan Iblis dan jangan sampai ia turut merosakkan kita.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...