Saturday, October 15, 2016

CINTAILAH SAUDARA SEAKIDAH KITA SEPERTI PARA MALAIKAT

CINTAILAH SAUDARA SEAKIDAH KITA SEPERTI PARA MALAIKAT

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Memang padan para malaikat pemikul arasy dan malaikat yang berada di sekitarnya diletakkan Allah berdampingan dengan arasyh. Walaupun kedudukan mereka sangat tinggi dan sangat mulia, ingatan mereka kepada makhluk Allah yang lain tidak pernah lekang. Mereka sentiasa mendoakan orang beriman yang lain. Lihat pujian Allah kepada mereka dalam ayat ini:

الَّذِينَ يَحْمِلُونَ الْعَرْشَ وَمَنْ حَوْلَهُ يُسَبِّحُونَ بِحَمْدِ رَبِّهِمْ وَيُؤْمِنُونَ بِهِ وَيَسْتَغْفِرُونَ لِلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا وَسِعْتَ كُلَّ شَيْءٍ رَحْمَةً وَعِلْمًا فَاغْفِرْ لِلَّذِينَ تَابُوا وَاتَّبَعُوا سَبِيلَكَ وَقِهِمْ عَذَابَ الْجَحِيمِ

Ertinya: Malaikat yang memikul Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya, bertasbih memuji TuhanNya; dan beriman kepadaNya; SERTA MEREKA MEMOHON AMPUN BAGI ORANG YANG BERIMAN (DENGAN BERDOA MERAYU): "WAHAI TUHAN KAMI! RAHMATMU DAN ILMUMU MELIPUTI SEGALANYA; MAKA BERILAH AMPUN KEPADA ORANG YANG BERTAUBAT SERTA MENURUT JALANMU, DAN PELIHARALAH MEREKA DARI AZAB NERAKA (Ghafir [40:7]).

Tafsiran Imam al-Baydhawi pada ayat ini sangat menarik perhatian saya. Bukan sahaja menarik perhatian tetapi menjadi “TUKUL BESAR” mengetuk jiwa saya agar lebih mencontohi para malaikat yang baik sekali interaksi mereka sesama makhluk yang “SEAKIDAH DENGAN MEREKA.” Kata Imam al-Baydhawi:

وفيه تنبيه على أن المشاركة في الإِيمان توجب النصح والشفقة وإن تخالفت الأجناس لأنها أقوى المناسبات كما قال تعالى : { إِنَّمَا المؤمنون إِخْوَةٌ }

Ertinya: Pada ayat ini (berkaitan doa para malaikat pemikul arasyh kepada orang beriman di bumi) menunjukkan bahawa kesatuan pada iman mewajibkan nasihat (kebaikan) dan kasihan belas walaupun jenis (spesis) mereka berbeza (antara manusia dan malaikat). Ini kerana kesatuan iman (akidah) menjadi penghubung terbaik (antara malaikat dan orang beriman) berdasarkan firman Allah: “Sesungguhnya orang yang beriman itu bersaudara (al-Hujurat [49:10]).” (Tafsir al-Baydhawi).

Subhanallah! Luas sekali ufuk minda Imam al-Baydhawi kerana melihat hubungan akidah antara malaikat dan manusia menyatukan mereka dalam doa.  Walaupun berlainan spesis, iman para malaikat menjadikan mereka sangat mengasihi orang beriman yang lain. Akhlak para malaikat ini sepatutnya menjadi contoh kepada kita. Dalam ayat lain Allah menyifatkan sifat orang beriman sesama mereka yang saling menyayangi antara satu sama lain:

مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللَّهِ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ

Ertinya: Nabi Muhammad (SAW) adalah Rasul Allah; dan orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang kafir yang (memusuhi Islam), DAN BERSIKAP KASIH SAYANG SERTA BELAS KASIHAN KASIHAN SESAMA SENDIRI (UMAT ISLAM) (al-Fath [48:29]).

Rasulullah SAW juga berpesan agar kita benar-benar menunaikan hak sesama Muslim dalam sabdanya:

الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ

Ertinya: Muslim yang sejati adalah orang yang selamat orang muslim lainnya dari (kejahatan) lidah dan tangannya (Sahih al-Bukhari dan Muslim).

Walaupun kita berbeza aliran, berbeza parti, berbeza pasukan, jagalah lidah dan tangan kita dari menyakiti “saudara seakidah kita.” Dunia maya yang tiada batas seperti hari ini seakan ombak fitnah yang sungguh besar melanda umat Islam dari segenap penjuru. Tangan yang menulis status pedas menyindir “saudara seakidah” yang tidak sefahaman dengan kita seakan menjadi pisau tajam menghiris jiwa. Sedih sekali melihat fenomena ini. Marilah kita semua menyintai “saudara seakidah kita” sebagaimana mulianya sikap para malaikat langit.

Jika saya pernah melukakan hati anda (para pembaca) dengan hirisan tulisan saya, saya mohon maaf kerana Tafsiran Imam al-Baydhawi di atas sangat merenggut ego saya. Saya berdoa agar tidak lagi mengulangi kesilapan dahulu. Saya juga menyeru kita semua agar mengubah cara interaksi kita dengan “saudara seakidah kita” sebagaimana mulianya akhlak para malaikat. Jika pegangan “saudara seakidah kita” tidak kita setujui, tegurlah mereka dengan berhemah dan berakhlak. Usahlah jadikan “bahasa kita yang tidak elok” sebagai pintu bagi syaitan meruntuhkan persaudaraan Islam sebagaimana firman Allah:

وَقُلْ لِعِبَادِي يَقُولُوا الَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنْزَغُ بَيْنَهُمْ إِنَّ الشَّيْطَانَ كَانَ لِلْإِنْسَانِ عَدُوًّا مُبِينًا

Ertinya: Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada hambaKu (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik (kepada orang yang menentang kebenaran); sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menghasut di antara mereka (yang mukmin dan yang menentang); sesungguhnya Syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia (al-Isra’[17:53]).

Jika mereka menolak, bahasa pedas menyindir bukanlah ubatnya untuk mereka. Ia hanya akan menjadi racun yang semakin menjauhkan “saudara seakidah kita” dari fahaman yang kita anuti. Sebaliknya berdoalah kepada Allah agar mereka diberi hidayah. Insya Allah, cara para malaikat pemikul Arasyh itu lebih berkesan dan dicintai Allah.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...