Wednesday, October 19, 2016

CARA FIKIR IBLIS YANG ROSAK

CARA FIKIR IBLIS YANG ROSAK

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Sekali lagi saya terkesima dengan analisis Dr Salah Abdul Fattah al-Khalidi dalam bukunya "SIRAH ADAM" ketika mengulas teknik berfikir Iblis dalam peristiwa keengganannya sujud kepada Adam.

Setelah ditanya mengapa enggan sujud kepada Adam, Iblis memberikan jawapan  "AKU LEBIH BAIK DARIPADANYA." Adakah jawapannya benar bagai didakwa? Perhatikan ayat ini:

قَالَ مَا مَنَعَكَ أَلَّا تَسْجُدَ إِذْ أَمَرْتُكَ ۖ قَالَ أَنَا خَيْرٌ مِنْهُ خَلَقْتَنِي مِنْ نَارٍ وَخَلَقْتَهُ مِنْ طِينٍ

Ertinya: Allah berfirman: "Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?" Iblis menjawab: "Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah." (Al-A'raf [7:13]).

Dakwaan aku lebih baik, aku lebih mulia atau aku lebih pandai sewajibnya mempunyai bukti. Ia tidak boleh diasaskan hanya atas andaian kosong. "ITU CARA FIKIR YANG SALAH! KITA WAJIB MENGIKUT HUJAH DAN BUKANNYA HUJAH TERPAKSA DISESUAIKAN ATAU DIACUANKAN MENGIKUT  NAFSU KITA."

Setelah disoal apa bukti kemuliaannya berbanding Adam, Iblis merujuk kepada asal kejadiannya. Aku dari api! Itu sebab aku mulia. Lalu yang mulia tidak sepatutnya sujud pada yang kurang mulia.

Kaedah Iblis ini dipanggil QIYAS FASID atau KIAS YANG SONGSANG.  Mulia atau hina bukan pada fizikal tetapi pada manafaat sesuatu perkara. Logiknya api yang bersifat pemusnah jauh lebih rendah darjatnya dari tanah yang bersifat penyubur. Ketika api merentung hangus si kayu menjadi abu, tanah pula menumbuhkan pokok yang menghasilkan kayu dan buah.

Atau, adakah kita mahu terima jika seorang bangsawan yang kerjanya merosakkan orang sebagai mulia hanya kerana darah keturunan yang diwarisinya sahaja? Adakah kita mahu hukum hina seorang rakyat bawahan yang besar jasanya pada masyarakat hanya kerana keturunannya yang sudah ditakdirkan Allah?

Bukan setakat itu, cara fikir Iblis juga sangat songsang kerana dia meletakkan keputusan terlebih dahulu, kemudian baru mencari alasan yang dijadikan fakta. Itu bukan fakta tetapi auta. Umpamanya seorang pelajar menjawab 2+2 adalah 10,  kemudian dicarinya berbagai alasan bagi membenarkan jawapannya yang nyata salah. Jika kita berfikiran seperti ini, kita sebenarnya sedang mencontohi CARA FIKIR IBLIS. IBLIS pula digelar sebagai "MAKHLUK BODOH" oleh para Jin yang sebangsa dengannya:

وَأَنَّهُ كَانَ يَقُولُ سَفِيهُنَا عَلَى اللَّهِ شَطَطًا

Ertinya: (Berkata para jin) `Dan (dengan ajaran Al-Quran nyatalah) bahawa sesungguhnya: (ketua) yang kurang akal pertimbangannya dari kalangan kita (IBLIS)  telah mengatakan terhadap Allah kata-kata yang melampaui kebenaran; (al-Jinn [72:4]).

Cara Allah dalam al-Quran sangat saintifik. Dia memberikan hujah dan fakta, selepas itu keduanya menjadi sebab kebenaran muncul dan dipegang erat membentuk hidup manusia. Contohilah cara fikir al-Quran dan elakkan cara fikir sesat si Iblis.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...