Friday, September 9, 2016

ZIKIR BUKAN HANYA LANTUNAN LIDAH

ZIKIR BUKAN HANYA LANTUNAN LIDAH

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Rabu (al-Ra’d [13:28]) pada 31 Ogos 2016. Antara isunya adalah maksud zikir yang sungguh luas.

Jangan sempitkan makna zikir! Sesetengah orang sibuk menghabiskan bilangan zikir harian dalam jumlah tertentu tetapi malas menjejak kaki ke majlis ilmu, tidak sensitif membantu orang susah, tidak tergerak hati untuk membantu perjuangan Islam atau seronok menjamu mata melihat benda mungkar yang berlaku di depan mata. Orang sebegini perlu “disekolahkan” dengan makna zikir yang sebenar. Zikir atau mengingati Allah mempunyai makna yang luas. Ia bukan hanya lantunan sebutan nama Allah pada lidah seperti sangkaan kebanyakan orang. Perhatikan sabda Rasulullah SAW ini mudah-mudahan ufuk minda kita mengenai makna zikir akan terbuka luas:

مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُسْلِمٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَمَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ يَسَّرَ اللَّهُ عَلَيْهِ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَاللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ وَمَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ إِلَّا حَفَّتْهُمْ الْمَلَائِكَةُ وَنَزَلَتْ عَلَيْهِمْ السَّكِينَةُ وَغَشِيَتْهُمْ الرَّحْمَةُ وَذَكَرَهُمْ اللَّهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ وَمَنْ أَبْطَأَ بِهِ عَمَلُهُ لَمْ يُسْرِعْ بِهِ نَسَبُهُ

Ertinya: Sesiapa yang melepaskan satu kesukaran duniawi yang dialami saudara Muslimnya, Allah akan melepaskan satu kesukaran yang dialaminya pada hari kiamat. Sesiapa yang menutup aib (keburukan) seorang Muslim, maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan di akhirat. Sesiapa yang memudahkan kesukaran yang dialami orang lain, maka Allah akan memudahkan kesukaran yang dialaminya di dunia dan di akhirat. Allah sentiasa membantu seorang hamba(Nya) selama mana dia membantu temannya. Sesiapa yang merintis jalan mencari ilmu pengetahuan, Allah akan memudahlan laluannya ke syurga. Tiadalah satu kumpulan (manusia) yang berkumpul di masjid Allah (dengan tujuan) membaca kitab Allah serta menghayatinya melainkan para malaikat akan menaungi mereka (dengan doa), ketenangan juga akan turun pada (jiwa) mereka, rahmat Allah juga akan meliputi mereka dan Allah akan memuji mereka bersama makhluk terpuji yang ada di sisi Allah (Allah memuji mereka di hadapan para malaikat). Sesiapa yang lambat (gerak) amal solehnya, maka kemuliaan keturunannya tidak akan bergerak cepat membantunya (di akhirat kelak) (Sunan Ibn Majah).

Aduhai! Hadith ini sangat tepat bagi meluaskan MAKSUD ZIKIR KERANA semua kebaikan yang disebut hadith DILAKUKAN KERANA ALLAH. Bukankah itu semua juga zikir?

Pada pengamatan saya, semua aktiviti murni seiring kehendak Allah dan tepat dengan ajaran Rasulullah SAW tergolong dalam zikir kepada Allah. Semua aktiviti itu boleh kita simpulkan dalam perkataan “TAAT KEPADA ALLAH.”  Apabila kita mentaati segala perintah Allah maka itu tanda mudah yang kita sedang mengingati Allah. Orang yang sentiasa mentaati Allah, jiwanya pasti tenang kerana dia yakin laluan hidupnya seiring dengan kehendak Allah sebagai Tuhan Pemilik alam semesta. Apabila pemilik alam redha dengan ketaatannya, maka tiada apa lagi yang perlu diresahkan. Inilah rangkuman ketenangan mengingati Allah yang disebut ayat ini:

الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُمْ بِذِكْرِ اللَّهِ أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ (28)

Ertinya: "(Iaitu) orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan menginati Allah". Ketahuilah dengan mengingati Allah itu, tenang tenteramlah hati manusia (al-Ra’d [13.28]).

Ketika mengulas ayat ini, Imam al-Tabari mengatakan ‘”ORANG YANG BERIMAN SERTA TENANG JIWANYA” dalam ayat ini adalah para sahabat nabi SAW kerana ayat ini diturunkan pada zaman mereka (Tafsir al-Tabari). Para sahabat nabi yang dididik terus di bawah dagu Rasulullah SAW adalah manusia yang “PALING TAAT” kepada semua perintah Allah. Taat mereka didorong oleh kesedaran mereka untuk sentiasa mengingati Allah. Sejarah membuktikan betapa mereka sentiasa tenang menghadapi ujian Allah bersama Rasulullah SAW kerana mereka sedar janji manis Allah untuk mereka di akhirat kelak.

Hayatilah Islam sepenuhnya. Jadikan ketaatan kita kepada semua arahan Allah sebagai oksigen yang kita hirup setiap hari. Apabila kita sentiasa mengingati Allah dengan mentaatiNya, Allah akan turut mengingati kita dengan menganugerahkan kita ketenangan hakiki. Firman Allah:

فَاذْكُرُونِي أَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوا لِي وَلَا تَكْفُرُونِ

Ertinya: Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mentaati serta mematuhi hukum dan arahanKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan (ketenangan hidup dunia dan akhirat); dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu) (al-Baqarah [2:152]).

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...