Tuesday, September 20, 2016

UTAMAKAN HAK ALLAH PADA SETIAP AYAT AL-QURAN!

UTAMAKAN HAK ALLAH PADA SETIAP AYAT AL-QURAN!

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

“Tuan-tuan! Jika ada cubaan jahat jin mahu mengganggu atau sesiapa mahu menyihir kita, pasti Allah akan jadikan ia sia-sia tak berhasil. Usaha jahat mereka akan hancur bak debu berterbangan. Amalkan ayat ini:

وَقَدِمْنَا إِلَى مَا عَمِلُوا مِنْ عَمَلٍ فَجَعَلْنَاهُ هَبَاءً مَنْثُورًا

Ertinya: Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), LALU KAMI JADIKAN DIA TERBUANG SEBAGAI DEBU YANG BERTERBANGAN (al-Furqan [25:23]).

Pernah seorang Ustaz yang muncul dalam TV mengajar “cara guna” ayat tersebut. Saya menunggu sehingga akhir rancangan mengharap si Ustaz menerangkan apa maksud sebenar yang Allah mahukan pada ayat itu, tapi hampa. Boleh jadi para penonton yang menyaksikan rancangan itu terus mengatakan “INI AYAT HALAU HANTU DAN PENGHALANG SIHIR.” Jika ditanya mereka “Apa maksud sebenar ayat tersebut?” Mungkin ada yang akan menjawab: “Saya tak peduli asal saya dapat ayat ajaib untuk halau hantu itu sudah cukup bagi saya.”

Pernah sekali usai kelas Tafsir saya, seorang wanita datang dan meminta pengesahan dari saya tentang ayat sakit pinggang. Ada Ustazah yang ajar katanya:

وَإِذَا بَطَشْتُمْ بَطَشْتُمْ جَبَّارِينَ

Ertinya: "Dan apabila kamu memukul atau menyeksa, kamu melakukan yang demikian dengan kejam bengis? (al-Syu’ara’ [26:130]).

Saya tanya balik wanita tersebut. “Apa cerita sebenar di sebalik ayat ini? Apa yang Allah mahu kita faham dan kutip di sebalik ayat ini?” Wanita itu menjawab: “Saya tak tahu, tapi Ustazah itu kata ia ubat sakit pinggang.”

Saya "BUKAN TIDAK SETUJU" dengan khasiat ayat al-Quran sebagai penawar fizikal, tetapi hak Allah pada sesuatu ayat perlu terlebih dahulu diutamakan. Bagaimana hak Allah pada sesuatu ayat perlu ditunaikan? Mudah sahaja, kita perlu terlebih dahulu memahami ayat tersebut MENGIKUT MAKNANYA yang asal atau memahami mesej sebenar yang Allah mahu kita faham. Ayuh kita buat analisis terhadap 2 ayat yang dinyatakan di atas.

AYAT PERTAMA YANG DIDAKWA SEBAGAI AYAT PEMUSNAH RANCANGAN JAHAT MUSUH  dari surah al-Furqan menceritakan perihal amal kebajikan orang tidak beriman tidak diterima oleh Allah di akhirat kelak. Walau sebanyak mana sekalipun amal kebajikan mereka, ia ditiup langsung MENJADI DEBU. Banyak ayat lain menjelaskan isu ini, antaranya:

قُلْ هَلْ نُنَبِّئُكُمْ بِالْأَخْسَرِينَ أَعْمَالًا (103) الَّذِينَ ضَلَّ سَعْيُهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَهُمْ يَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ يُحْسِنُونَ صُنْعًا (104) أُولَئِكَ الَّذِينَ كَفَرُوا بِآيَاتِ رَبِّهِمْ وَلِقَائِهِ فَحَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فَلَا نُقِيمُ لَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَزْنًا (105) ذَلِكَ جَزَاؤُهُمْ جَهَنَّمُ بِمَا كَفَرُوا وَاتَّخَذُوا آيَاتِي وَرُسُلِي هُزُوًا (106)

Ertinya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang yang paling rugi amal perbuatannya? (Iaitu) orang yang sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan". Merekalah orang yang kufur ingkar akan ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan denganNya; oleh itu gugurlah amal mereka; maka akibatya Kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka, pada hari kiamat kelak. (Mereka yang bersifat) demikian, balasannya neraka Jahannam, disebabkan mereka kufur ingkar, dan mereka pula menjadikan ayatKu dan RasulKu sebagai bahan ejekan (al-Kahfi [18:103-106]).

Kita juga boleh melihat ulasan yang sama dalam (Ali ‘Imran [3:10-11, 116-117]). Lalu kita mungkin tertanya-tanya mengapa pula ayat 23 surah al-Furqan itu didakwa mampu “memusnah-debukan” amalan jahat orang lain terhadap kita? Nampaknya kita harus berfikir panjang barulah dapat mengaitkan makna ayat ini dengan khasiat yang didakwa si Ustaz.

AYAT KEDUA YANG DIDAKWA PENGUBAT SAKIT PINGGANG dari surah al-Syu’ara’ pula menceritakan perangai buruk kaum ‘Ad yang suka menindas orang lain. Bagi memahami ayat ini kita perlu lihat kisah nabi Hud dalam surah ini bermula dari ayat 121 sehingga 141. Ini cara lebih adil dalam interaksi dengan ayat al-Quran. Ayat itu menceritakan tabiat penindas yang ada pada kaum ‘Ad yang dikurniakan Allah fizikal yang jauh lebih besar berbanding bangsa lain. Firman Allah:

أَوَعَجِبْتُمْ أَنْ جَاءَكُمْ ذِكْرٌ مِنْ رَبِّكُمْ عَلَى رَجُلٍ مِنْكُمْ لِيُنْذِرَكُمْ وَاذْكُرُوا إِذْ جَعَلَكُمْ خُلَفَاءَ مِنْ بَعْدِ قَوْمِ نُوحٍ وَزَادَكُمْ فِي الْخَلْقِ بَسْطَةً فَاذْكُرُوا آلَاءَ اللَّهِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Ertinya: (Nabi Hud menasihati kaum ‘Ad dengan katanya):"Adakah kamu merasa ragu-ragu dan hairan tentang datangnya kepada kamu nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, melalui seorang lelaki dari golongan kamu, untuk memberi peringatan kepada kamu? Dan kenanglah ketika Allah menjadikan kamu pengganti sesudah kaum Nabi Nuh, dan ALLAH TELAH MENAMBAHKAN KAMU KELEBIHAN (DAN KEKUATAN) PADA BENTUK KEJADIAN TUBUH KAMU. Maka kenanglah akan nikmat-nikmat Allah supaya kamu berjaya" (al-A’raf [7:69]).

Setelah memahami ayat “sakit pinggang” di atas dalam “maksud sebenar yang Allah mahu”, kita sepatutnya berazam sepenuh hati untuk tidak menindas orang lain dengan sedikit pinjaman kuasa yang Allah berikan pada kita dan bukan hanya membacanya untuk merawat pinggang yang sakit.

KESIMPULAN?

1) Sesuatu ayat al-Quran “PERLU DIFAHAMI” mengikut konteks asal yang mahu disampaikan Allah terlebih dahulu sebelum dibawa kepada makna yang lain. Caranya adalah dengan kepada keseluruhan kisah. Rujuk kepada ayat sebelum dan selepas. Adab ini sepatutnya dibawa oleh orang agama yang berinteraksi dengan al-Quran agar ia benar-benar menjadi kitab petunjuk (al-Baqarah[2:2]) dan bukannya hanya kitab jampi atau azimat.

2) Ayat al-Quran boleh digunakan untuk perubatan fizikal atas umum al-Quran adalah penawar untuk manusia (Yunus [10:57], al-Isra’ [17:82] & Fussilat [41:44). Ia juga diakui oleh ramai ulama’ seperti Imam al-Suyuti dalam kitabnya al-Itqan Fi ‘Ulum al-Quran di bawah bab KHAWAS AL-QURAN (Khasiat al-Quran). Pun begitu, keberkesanan sesuatu ayat berkait rapat kepada “kualiti yakin dan iman” si pembaca sebagaimana kisah ini:

أن رجلا مصابًا مرَّ به عبد الله بن مسعود، فقرأ في أذنه هذه الآية: { أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لا تُرْجَعُونَ * فَتَعَالَى اللَّهُ الْمَلِكُ الْحَقُّ } ، حتى ختم السورة فَبَرَأ، [فذكر ذلك لرسول الله صلى الله عليه وسلم] (5) ، فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: "بماذا قرأت في أذنه؟" فأخبره، فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: "والذي نفسي بيده، لو أن رجلا مُوقنا قرأها على جَبَل لزال".

Ertinya: Pada suatu hari Abdullah Ibn Mas’ud bertemu dengan seorang lelaki yang ditimpa penyakit. Beliau membacakan ayat (al-Mu’minun[23:115-118]) dan lelaki tersebut sembuh dari sakitnya. Beliau kemudiannya menceritakan perkara tersebut kepada Rasulullah SAW. Baginda bertanya: Ayat apakah yang engkau bacakan pada telinganya?................................ Rasulullah SAW lalu bersabda: “DEMI YANG JIWAKU BERADA PADA TANGAN (KUASA)NYA, SEKIRANYA SEORANG LELAKI YANG YAQIN (DENGAN MUKJIZAT AL-QURAN) MEMBACANYA (WALAUPUN) KEPADA BUKIT SEKALIPUN, SUDAH PASTI BUKIT TERSEBUT AKAN HILANG (HANCUR)” (Tafsir Ibn Kathir).

3) Kita perlu menggalakkan orang awam agar berdamping dengan al-Quran secara betul iaitu membaca, memahami maksud sebenar sesuatu ayat dan menyarankan mereka agar meningkatkan ilmu, amal, takwa dan iman agar kemujaraban ayat al-Quran berkesan pada jiwa dan fizikal kita.

Al-Quran adalah kalam Allah yang suci. Ia diperjuangkan sampai mati oleh Rasulullah SAW dan para sahabat. Jika ia hanya sekadar ayat penghalau hantu atau pengubat sakit pinggang, maka perjuangan Rasulullah dan para sahabat seakan begitu murah. Ayuh kita ubah cara fikir dan interaksi dengan al-Quran agar ia benar-benar menjadi penawar HATI dan FIZIKAL. Selepas ini jika ada yang mengajar; ayat ini gunanya untuk khasiat itu dan ini, lihat dahulu apa maksud sebenar ayat tersebut kerana itulah adab yang betul untuk hidup dengan al-Quran.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...