Monday, September 5, 2016

LEKEHNYA DUNIA PADA MATA NABI SAW

LEKEHNYA DUNIA PADA MATA NABI SAW

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Rabu (al-Ra’d [13:26]) pada  31 Ogos 2016. Antara isunya adalah betapa dunia yang dikejar manusia hanyalah sesuatu yang tiada nilai di sisi Allah.

Nafsu manusia sangat berbeza dengan saiz perut mereka. Apabila sudah sarat berisi, perut akan segera memberikan arahan kepada otak agar segera berhenti. Paksaan tambahan hanya menempah bahaya. Lain pula halnya dengan nafsu. Ia tidak berotak, tiada batas untuk disukat dan sukar dikekang. Ia boleh menjadi sangat tamak dan buas sehingga mengalahkan semua binatang buas yang pernah wujud di planet ini. Benarlah sabda nabi SAW:

لَوْ كَانَ لِابْنِ آدَمَ وَادِيَانِ مِنْ مَالٍ لَابْتَغَى ثَالِثًا وَلَا يَمْلَأُ جَوْفَ ابْنِ آدَمَ إِلَّا التُّرَابُ وَيَتُوبُ اللَّهُ عَلَى مَنْ تَابَ

Ertinya: Jika anak Adam memiliki 2 lembah sarat berisi harta sudah pasti dia akan mencari lembah yang ketiga. (Sebenarnya) perut anak Adam tidak akan penuh diisi melainkan dengan tanah (setelah mereka mati kelak), dan Allah akan menerima taubat orang yang kembali padaNya (Sahih al-Bukhari).

Lalu bagaimana cara mengekang nafsu dunia yang bersebati dengan manusia? Banyak caranya tapi antara kaedah yang berkesan adalah melihatnya secara lekeh berbanding akhirat. Allah berulang kali menyebut betapa dunia ini sangat kecil nilainya berbanding akhirat. Firman Allah:

اللَّهُ يَبْسُطُ الرِّزْقَ لِمَنْ يَشَاءُ وَيَقْدِرُ وَفَرِحُوا بِالْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا فِي الْآخِرَةِ إِلَّا مَتَاعٌ

Ertinya: Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Dia juga yang menyempitkannya. Dan mereka (yang ingkar): bergembira dengan kehidupan dunia, SEDANG KEHIDUPAN DUNIA ITU TIDAK LAIN, HANYALAH KESENANGAN YANG KECIL DAN TIDAK, KEKAL BERBANDING DENGAN KESENANGAN HARI AKHIRAT (al-Ra’d [13:26]).

Kecil? Sejauh mana kecilnya? Subhanallah! Dunia hanya setitik air di hujung jari berbanding lautan seluruhnya. Sabda Rasulullah SAW:

وَاللَّهِ مَا الدُّنْيَا فِي الْآخِرَةِ إِلَّا مِثْلُ مَا يَجْعَلُ أَحَدُكُمْ إِصْبَعَهُ هَذِهِ وَأَشَارَ يَحْيَى بِالسَّبَّابَةِ فِي الْيَمِّ فَلْيَنْظُرْ بِمَ تَرْجِعُ

Ertyinya: Tiadalah dunia ini jika mahu dibandingkan dengan akhirat melainkan seperti air yang melekat pada jari kamu setelah dicelup ke dalam lautan. (Nabi pun menunjukkan jari tengahnya sambil menyambung): Cubalah lihat sejauh mana (sedikit dan kecil) sahaja air yang melekat padanya (Sahih Muslim).

Pernah sekali para sahabat melihat kesan tikar pada belakang baginda. Mereka menawarkan diri untuk menyediakan alas tidur yang lebih baik kepada baginda. Perhatikan jawapan baginda:

نَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى حَصِيرٍ فَقَامَ وَقَدْ أَثَّرَ فِي جَنْبِهِ فَقُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ لَوْ اتَّخَذْنَا لَكَ وِطَاءً فَقَالَ مَا لِي وَمَا لِلدُّنْيَا مَا أَنَا فِي الدُّنْيَا إِلَّا كَرَاكِبٍ اسْتَظَلَّ تَحْتَ شَجَرَةٍ ثُمَّ رَاحَ وَتَرَكَهَا

Ertinya: Pada suatu hari Rasulullah SAW tidur atas tikar. Baginda bangun dengan kesan tikar melekat pada rusuk baginda. Setelah itu kami (para sahabat) berkata: “Jika kamu mahu kami boleh berikan kamu alas tidur yang lebih baik.” Baginda lalu berkata: “Tiadalah (bandingan) aku dengan kehidupan di dunia ini melainkan seperti seorang penunggang kuda (dalam sebuah musafir) yang berhenti berteduh seketika di bawah pokok. (Selepas beberapa ketika) penunggang itu berlalu pergi dan meninggalkannya (Sunan al-Tirmidhi).

Bukan setakat itu, Rasulullah juga mengajar kita agar berfikiran jauh tembus ke akhirat bagi menjadikan ia pancang atau tali kuat mengekang nafsu yang buas. Menurut baginda, dunia yang dikejar manusia ini jauh lebih kecil nilainya daripada “BANGKAI SEEKOR KAMBING YANG CACAT FIZIKALNYA.” Ini kisahnya:

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَرَّ بِالسُّوقِ دَاخِلًا مِنْ بَعْضِ الْعَالِيَةِ وَالنَّاسُ كَنَفَتَهُ فَمَرَّ بِجَدْيٍ أَسَكَّ مَيِّتٍ فَتَنَاوَلَهُ فَأَخَذَ بِأُذُنِهِ ثُمَّ قَالَ أَيُّكُمْ يُحِبُّ أَنَّ هَذَا لَهُ بِدِرْهَمٍ فَقَالُوا مَا نُحِبُّ أَنَّهُ لَنَا بِشَيْءٍ وَمَا نَصْنَعُ بِهِ قَالَ أَتُحِبُّونَ أَنَّهُ لَكُمْ قَالُوا وَاللَّهِ لَوْ كَانَ حَيًّا كَانَ عَيْبًا فِيهِ لِأَنَّهُ أَسَكُّ فَكَيْفَ وَهُوَ مَيِّتٌ فَقَالَ فَوَاللَّهِ لَلدُّنْيَا أَهْوَنُ عَلَى اللَّهِ مِنْ هَذَا عَلَيْكُمْ

Ertinya: Jabir bin Abdullah RA menceritakan pada suatu hari Rasulullah SAW melalui sebuah pasar melalui bahagian atasnya, sedang orang ramai mengekori baginda dari kiri dan kanannya. Baginda melewati bangkai seekor kambing kecil telinganya. Baginda menghampiri dan memegang anak kambing itu pada telinganya seraya bersabda: "Siapakah di antara kamu yang mahu membeli ini dengan satu dirham?" Mereka menjawab: "Kami tidak mahu sedikit pun. (Jika diambil sekalipiun) apa kami nak lakukan dengannya ?" Baginda betanya lagi: "Sukakah kamu jika ia diberi percuma?" Mereka menjawab: "Jika ia hidup sekalipun kami tidak mahu, kerana anak kambing itu cacat. Kedua telinganya kecil. Tambahan pula ia sudah menjadi bangkai." Rasulullah SAW menyambung: "DEMI ALLAH, SESUNGGUHNYA DUNIA INI LEBIH HINA DI SISI ALLAH TAALA DARIPADA ANGGAPANMU TERHADAP BANGKAI INI." (SAHIH MUSLIM).

Dunia ini alat dan bukan matlamat. Ia seumpama jambatan untuk kita menyeberang sungai kehidupan ketika musim tengkujuh menuju ke akhirat. Jangan sampai perjalanan kita terhenti pada jambatan itu kerana asyik melihat derasnya arus air. Bimbang nanti apabila arus deras air sungai meranapkan jambatan, lalu menenggelamkan kita bersama jambatan. Mohon dijauhkan Allah dari musibah dunia.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...