Wednesday, September 7, 2016

KRISIS KEUTAMAAN DALAM MEMAHAMI KARAMAH PARA WALI

KRISIS KEUTAMAAN DALAM MEMAHAMI KARAMAH PARA WALI

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Marilah kita buat ujian mudah untuk menilai sejauh mana tepatnya pemikiran kita dalam isu karamah para wali Allah. Jika kita mendengar ada 2 lelaki pada satu tempat, satunya tidak berilmu tetapi diceritakan memiliki banyak karamah ajaib dan yang seorang lagi memiliki ilmu bertimbun bertaraf mufti, mana satu yang kita akan tuju terlebih dahulu? Jika kita bersungguh mengunjungi lelaki yang banyak ajaib berbanding menumpang rahmat siraman ilmu si mufti, maka ternyata kita masih rabun ilmu dan beranggapan tingkap lebih utama dari pintu.

Jika benar lelaki itu banyak ajaib kerana karamahnya, itu anugerah Allah padanya secara individu manakala si mufti pula adalah anugerah Allah untuk semua. Umpamanya berkerumun mengharap pangkat kemuliaan yang khusus dianugerahkan si raja kepada SATU INDIVIDU, berbanding menemui si mufti yang diberi lesen oleh si raja untuk MEMULIAKAN SEMUA PENUNTUT ILMU. Masya Allah! Jangan sampai tersalah pintu.

Sebelum mendalami ilmu, saya sendiri pernah keliru tentang isu ini. Saya cepat melopong apabila mendengar cerita para wali yang mampu berjalan di atas air, terbang di udara, muncul dalam banyak tempat pada satu masa dan sebagainya. Karamah para wali Allah memang wujud dan wajib diimani kerana al-Quran menyebutnya dengan jelas seperti dalam kisah Maryam AS:

فَتَقَبَّلَهَا رَبُّهَا بِقَبُولٍ حَسَنٍ وَأَنْبَتَهَا نَبَاتًا حَسَنًا وَكَفَّلَهَا زَكَرِيَّا كُلَّمَا دَخَلَ عَلَيْهَا زَكَرِيَّا الْمِحْرَابَ وَجَدَ عِنْدَهَا رِزْقًا قَالَ يَامَرْيَمُ أَنَّى لَكِ هَذَا قَالَتْ هُوَ مِنْ عِنْدِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَرْزُقُ مَنْ يَشَاءُ بِغَيْرِ حِسَابٍ

Ertinya: Maka dia (Maryam yang dinazarkan oleh ibunya) diterima oleh Tuhannya dengan penerimaan yang baik, dan dibesarkannya dengan didikan yang baik, serta diserahkannya untuk dipelihara oleh Nabi Zakaria. Setiap kali Nabi Zakaria masuk untuk menemui Maryam dalam Mihrab, dia dapati rezeki (buah-buahanan yang luar biasa) di sisinya. Nabi Zakaria bertanya:" Wahai Maryam dari mana engkau dapati (buah-buahan) ini?" Maryam menjawab; "Ialah dari Allah, sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak dikira" (Ali ‘Imran [3:37]).

Bukan setakat kisah Maryam, ia turut disebut dalam kisah lain seperti kisah Sarah yang melahirkan Ishaq di usia tua (Hud [11:71-73]), ibu nabi Musa yang mendapat ilham cara menyelamatkan Musa (al-Qasas[28:7]), kisah lelaki soleh yang menasihati saudaranya (al-Kahf [18:37-40]), kisah 7 pemuda yang tidur dalam gua selama 300 tahun (al-kahf [18:13]) dan sebagainya.

Cuma apa yang perlu kita fahami adalah terdapat 2 jenis karamah iaitu karamah yang boleh ditanggap panca indera (Karamah Hissiyyah) dan karamah yang hanya difahami dengan akal (Karamah Maknawiyyah). Karamah Hissiyyah berada dalam kelas kedua, manakala karamah Maknawiyyah adalah karamah kelas pertama yang lebih utama untuk dikagumi.

Bahkan Imam al-Syafie memberi amaran agar jangan mudah terpedaya dengan karamah kelas kedua (yang zahir pada mata) dengan nasihatnya:

بل إذا رأيتم الرجل يمشي على الماء ويطير في الهواء فلا تغتروا به حتى تعرضوا أمره على الكتاب والسنة،

Ertinya: Jika kamu melihat seorang lelaki berjalan atas air atau terbang di udara, maka jangan terpedaya dengan kelebihan itu sehinggalah kamu menilai dirinya mengikut neraca al-Quran dan al-Sunnah (Tafsir Ibn Kathir pada tafsiran ayat 34 surah al-Baqarah).

Lain pula perihalnya dengan karamah maknawiyyah. Seorang ulama yang menghasilkan KHAZANAH ILMU yang mampu MENDEKATKAN MANUSIA KEPADA ALLAH jauh lebih besar manafaatnya kepada umat Islam. Jika seorang wali didakwa terbang di udara seperti burung, umat Islam tetap berada dalam kegelapan jahiliah, sebaliknya jika ulama menghasilkan karya ilmiah yang dibaca oleh orang awam, manusia yang jahat boleh menjadi baik dan manusia yang buta hati boleh menjadi celik iman.

Oleh itu, berfikirlah dengan cara yang betul. Letakkan KEUTAMAAN PADA TEMPATNYA dengan mengutamakan karamah ilmu. Para ulama yang sudah meninggal dunia ratusan tahun dahulu tetap hidup bersama ilmu yang mereka hasilkan. Pahala mereka juga masuk mencurah-curah ke alam barzakh selama ratusan tahun selagi karya mereka dimanaafati umat Islam walaupun usia mereka semasa hidup tak sampai pun 100 tahun. Subhanallah! Inilah KARAMAH YANG SEBENAR. Ayuh kita usahakan untuk mendapat karamah ini dengan menjadi khadam ilmu.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...