Thursday, September 15, 2016

KHIDIR DIHANTAR MENYELAMAT HARTA ITU KERANA "KESOLEHAN AL-MARHUM AYAH MEREKA"

KHIDIR DIHANTAR MENYELAMAT HARTA ITU KERANA “KESOLEHAN AL-MARHUM AYAH MEREKA”

Nota ringkas Tafsir Surau Nur al-Syura pada 13 September 2014 sempena majlis ‘Aqiqah dan Tahnik seorang ahli Jemaah. Tahnik dilakukan selepas solat Isyak, tetapi selesai solat  Maghrib saya berkongsi sedikit ilmu (slides presentation) dengan para Jemaah dalam Tajuk ‘Aqiqah dan Tahnik Menurut Islam. Antara isinya:

Islam adalah agama yang sempurna kerana membimbing manusia secara lengkap dalam urusan zuriat keturunan. Anak-anak adalah ni’mat dan amanah. Pengurusan anak-anak bermula seawal hari kelahiran dengan azan, iqamah, ‘aqiqah, tahnik dan pemberian nama. Kemudiannya ibu bapa bertanggung jawab mengajarnya solat seawal 7 tahun, merotan jika enggan pada 10 tahun dan  mengasingkan tempat tidur antara anak berlainan jantina apabila meningkat dewasa.

Majlis ‘Aqiqah dan Tahnik yang dijalankan malam tadi adalah salah satu cara ibu bapa yang ingin mengikut Sunnah Rasulullah SAW dan mengamalkan Islam secara menyeluruh. Islam menegaskan ibu-bapa perlu terlebih dahulu menjadi soleh kerana kesolehan mereka sama pentingnya dengan kesolehan anak. Tambahan pula mereka juga pernah menjadi anak kepada kedua ibu bapa mereka dahulu. Bahkan kesolehan ibu bapa memberikan manafaat yang besar kepada anak-cucu walaupun selepas lama mereka meninggal dunia. Hayatilah kisah pengembaraan nabi  Musa AS dan Khidir ini:

وَأَمَّا الْجِدَارُ فَكَانَ لِغُلَامَيْنِ يَتِيمَيْنِ فِي الْمَدِينَةِ وَكَانَ تَحْتَهُ كَنْزٌ لَهُمَا وَكَانَ أَبُوهُمَا صَالِحًا فَأَرَادَ رَبُّكَ أَنْ يَبْلُغَا أَشُدَّهُمَا وَيَسْتَخْرِجَا كَنْزَهُمَا رَحْمَةً مِنْ رَبِّكَ وَمَا فَعَلْتُهُ عَنْ أَمْرِي ذَلِكَ تَأْوِيلُ مَا لَمْ تَسْطِعْ عَلَيْهِ صَبْرًا

Ertinya: Adapun tembok itu pula, adalah ia dipunyai oleh dua orang anak yatim di bandar itu; dan di bawahnya ada "harta terpendam" kepuyaan mereka; DAN BAPA MEREKA PULA DAHULU ADALAH ORANG YANG SOLEH. Maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka cukup umur dan dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu, sebagai satu rahmat dari Tuhanmu (kepada mereka). Dan (ingatlah) aku tidak melakukannya menurut fikiranku sendiri. Demikianlah penjelasan tentang maksud dan tujuan perkara-perkara yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya" (al-Kahf[18:82]).

Perhatikan perkataan yang BERHURUF BESAR dalam terjemahan itu. Allah menyatakan sifat soleh bapanya dahulu semasa hidup sebagai salah satu punca penjagaan harta mereka. Kesolehan bapanya juga menjadi sebab penghantaran Khidir menyelamatkan harta tersebut. Subhanallah! Ayuhlah kita bersama menjadi anak dan ibu bapa yang soleh kerana ia bakal menjadi legasi berpanjangan walaupun selepas kematian kita.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...