Friday, September 16, 2016

HARAPAN TINGGI YANG DIIKAT DENGAN 2 SYARAT

HARAPAN TINGGI YANG DIIKAT DENGAN 2 SYARAT
Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Jumaat (al-Zumar [39:53-55]) pada 2 September 2016. Antara isunya adalah perbincangan mengenai ayat yang PALING TINGGI HARAPAN dalam al-Quran.

Manusia memerlukan harapan. Kadangkala harapan boleh menjadi “steroid” yang mampu membangkitkan semangat luar biasa. Bagi Muslim, harapan yang dijanjikan Allah adalah harapan yang paling didambakan. Harapan yang diberikan Allah mampu menginsafkan jiwa yang penuh dosa. Islam adalah agama harapan yang menjanjikan bahagia kepada manusia di dunia dan di akhirat. Muslim yang teguh berpegang dengan Islam akan bersih hidupnya dari perkara haram yang menyesakkan dada. Allah menegaskan rahmatNya yang mengandungi harapan jauh lebih luas berbanding kemurkaanNya:

وَاكْتُبْ لَنَا فِي هَذِهِ الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ إِنَّا هُدْنَا إِلَيْكَ قَالَ عَذَابِي أُصِيبُ بِهِ مَنْ أَشَاءُ وَرَحْمَتِي وَسِعَتْ كُلَّ شَيْءٍ فَسَأَكْتُبُهَا لِلَّذِينَ يَتَّقُونَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَالَّذِينَ هُمْ بِآيَاتِنَا يُؤْمِنُونَ

Ertinya: (Nabi menyambung doanya lagi) "Dan tetapkanlah untuk Kami kebaikan di dunia ini dan juga di akhirat, sesungguhnya kami kembali (bertaubat) kepadaMu". Allah berfirman: "AZABKU AKAN AKU TIMPAKAN KEPADA SESIAPA YANG AKU KEHENDAKI, DAN RAHMATKU MELIPUTI SETIAP SESUATU; maka Aku akan menentukannya bagi orang yang bertaqwa, dan yang memberi zakat, serta orang yang beriman kepada ayat Kami (al-A’raf [7:156]).

Rasulullah SAW juga membawa agama yang penuh harapan sebagaimana sabda baginda:

إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يَبْسُطُ يَدَهُ بِاللَّيْلِ لِيَتُوبَ مُسِيءُ النَّهَارِ وَيَبْسُطُ يَدَهُ بِالنَّهَارِ لِيَتُوبَ مُسِيءُ اللَّيْلِ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ مِنْ مَغْرِبِهَا

Ertinya: Sesungguhnya Allah sentiasa membuka tanganNya (membuka rahmatNya) pada waktu malam untuk menerima taubat orang yang berbuat dosa pada waktu siang, dan sentiasa membuka tanganNya (membuka rahmatNya) pada waktu siang untuk menerima taubat orang yang berbuat dosa pada waktu malam. (Penerimaan taubat ini) berterusan sehinggalah matahari terbit dari tempat terbenamnya (saat berlakunya kiamat) (Sahih Muslim).

Ketika meneliti surah al-Zumar, saya terpaku membaca ayat yang sangat hebat menggambarkan betapa luasnya rahmat serta pengampunan Allah. Inilah harapan yang sangat diperlukan manusia. Tanpa harapan pengampunan, manusia akan menjadi SEMAKIN JAHAT. Syaitan akan membisikkan pemikiran jahat yang kreatif “Alang-alang dah jahat dan masuk neraka, buatlah dosa sebanyak mungkin. Ambillah yang sedap dan haram sebanyak mungkin kerana neraka tetap tempat kembalimu.” Untuk membunuh kemungkinan hasutan jahat syaitan itu, Allah memberikan harapan tinggi dalam firmanNya:

قُلْ يَاعِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَى أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ (53) وَأَنِيبُوا إِلَى رَبِّكُمْ وَأَسْلِمُوا لَهُ مِنْ قَبْلِ أَنْ يَأْتِيَكُمُ الْعَذَابُ ثُمَّ لَا تُنْصَرُونَ (54) وَاتَّبِعُوا أَحْسَنَ مَا أُنْزِلَ إِلَيْكُمْ مِنْ رَبِّكُمْ مِنْ قَبْلِ أَنْ يَأْتِيَكُمُ الْعَذَابُ بَغْتَةً وَأَنْتُمْ لَا تَشْعُرُونَ (55)

Ertinya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. "Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah bulat-bulat kepadaNya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan. "Dan turutlah - Al-Quran - sebaik-baik (panduan hidup) yang diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu, sebelum kamu didatangi azab secara mengejut, sedang kamu tidak menyedarinya (al-Zumar [39:53-55]).

Ayat ini digelar oleh sahabat nabi Abdullah ibn Mas’ud sebagai – أَكْثَرَ آيَةٍ فِي كِتَابِ اللَّهِ فَرَحًا- AYAT YANG PALING BANYAK MEMBERIKAN KEGEMBIRAAN dalam kitab Allah (al-Mu’jam al-Kabir Imam al-Tabrani).

Banyak sudut positif pada ayat ini yang membenarkan kata-kata Abdullah Ibn Mas’ud itu, antaranya:

- ALLAH MEMANJAKAN MANUSIA PADA PANGKAL AYAT DENGAN PANGGILAN “WAHAI HAMBAKU.” Dalam uslub al-Quran, panggilan hamba adalah panggilan manja yang melambangkan kasih Allah pada manusia. Dalam al-Quran, para nabi dan malaikat biasa dipanggil dengan panggilan ini (al-Nisa’[4:172, al-Isra’[17:1 & 3], al-Kahfi[18:65], Maryam [19:30], al-Zukhruf [43:19 & 59], al-Jinn [72:19] dan al-‘Alaq[96:10]).

2. JANGAN PUTUS ASA DARI RAHMAT ALLAH. Allah menggunakan perkataan ini bagi menyedarkan manusia bahawa Dia bukanlah Tuhan yang hanya mahu menghukum tetapi Tuhan yang sentiasa membuka pintu rahmat.

- SESUNGGUHNYA ALLAH MENGAMPUNKAN SEMUA DOSA (kecuali dosa syirik dengan sedar). Perkataan ini menjadi galakan agar manusia selalu kembali kepada Allah walau sebanyak mana dosa yang mereka lakukan.

- ALLAH MAHA PENGAMPUN DAN MAHA PENGASIH. Penutup ayat digandingkan dengan 2 nama ini bagi membulatkan tawaran bahawa rahmat ini adalah pasti dan sentiasa terbuka luas.

Walaupun begitu, harapan tinggi yang dijanjikan Allah dalam ayat ini terikat dengan 2 syarat yang disebut pada ayat 54 dan 55 iaitu:

- Taubat segera kepada Allah tanpa bertangguh dan,

- Mengikut al-Quran yang disebut sebagai sebaik-baik panduan hidup manusia.

Subhanallah! Hebat sekali tawaran harapan yang Allah bentangkan dalam ayat ini. Apa tunggu lagi? Ayuhlah kita bersama segera bergegas ke gerbang rahmat Allah bagi merebut tawaran yang sentiasa terbuka luas ini!

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...