Wednesday, September 28, 2016

EMAS PERAK DIBAKAR DIDIH LALU DISIMBAH KE MUKA, RUSUK DAN BELAKANG

EMAS PERAK DIBAKAR DIDIH LALU DISIMBAH KE MUKA, RUSUK DAN BELAKANG

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Malam (al-Tawbah [9:35]) Rabu dalam Kursus Umum Tilawah al-Quran, IfLA, UIAM pada 24 September 2014. Antara isinya hukuman kepada manusia bakhil yang menyimpan harta tanpa dizakatkan.

Bayangkan muka anda terkena simbahan asid yang berbisa. Menggelupurlah anda menahan kesakitan. Di akhirat kelak, bukan asid tetapi didihan emas perak yang disimbah ke muka/dahi, rusuk dan belakang. Firman Allah:

يَوْمَ يُحْمَى عَلَيْهَا فِي نَارِ جَهَنَّمَ فَتُكْوَى بِهَا جِبَاهُهُمْ وَجُنُوبُهُمْ وَظُهُورُهُمْ هَذَا مَا كَنَزْتُمْ لِأَنْفُسِكُمْ فَذُوقُوا مَا كُنْتُمْ تَكْنِزُونَ

Ertinya: (Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): "Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu (al-Tawbah [9:35]).

Persoalannya, mengapakah MUKA, RUSUK DAN BELAKANG disebut secara khusus dalam ayat ini berbanding anggota badan yang lain? Imam al-Razi menghuraikannya panjang lebar, antaranya adalah:

“Tujuan utama mencari harta adalah adalah untuk menggembirakan diri dengan makanan dan pakaian yang mewah. Kegembiraan dari keduanya jelas terpampang pada wajah yang ceria. Keselesaan pakaian dirasai pula oleh rusuk dan belakang….orang kaya (yang kedekut) biasanya mengalihkan wajah, rusuk dan belakang apabila melihat orang miskin di sebelahnya (bimbangkan kehabisan harta membantu orang miskin)…..3 anggota ini juga sangat mudah meninggalkan kesan apabila diselar api (makin menambah kehinaan ahli neraka)…3  anggota ini juga melambangkan kecantikan serta kekuatan fizikal manusia. Apabila muka orang yang malas membayar zakat terbakar serta rusuk dan belakang mereka diselar api maka hilanglah segala kebanggaan dan kekuatannya dahulu..(Tafsir al-Razi).

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...