Wednesday, September 14, 2016

BERKORBANLAH SEIKHLAS HATI UNTUK MASUK KELAB NABI IBRAHIM AS

BERKORBANLAH SEIKHLAS HATI UNTUK MASUK KELAB NABI IBRAHIM AS
Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Jauh dari tanah air, jauh dari keluarga, hilang segala harta dan terpinggir! Demi agama Allah, baginda diusir keluar dari negeri dan hilang segala ni’mat dunia. Besar sungguh ujian Allah kepada nabi Ibrahim AS. Jika gunung yang ditimpa ujian sehebat ini, ia pun boleh runtuh berderai. Setelah lama kesepian dan terbuang, doa baginda agar dikurniakan anak dimakbulkan Allah. Firman Allah:

وَقَالَ إِنِّي ذَاهِبٌ إِلَى رَبِّي سَيَهْدِينِ (99) رَبِّ هَبْ لِي مِنَ الصَّالِحِينَ (100) فَبَشَّرْنَاهُ بِغُلَامٍ حَلِيمٍ (101)

Ertinya: "Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang yang soleh!" Lalu Kami berikan kepadanya berita yang mengembirakan, bahawa dia akan beroleh seorang anak yang penyabar (al-Safffat [37:99-101]).

Penungguan kelahiran Isma’il pula bukan sekejap tetapi sangat lama. Sehingga mencecah usia tua. Ia difaham dari lafaz syukur baginda yang difirmankan Allah ini:

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي وَهَبَ لِي عَلَى الْكِبَرِ إِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَاقَ إِنَّ رَبِّي لَسَمِيعُ الدُّعَاءِ

Ertinya: "Segala puji tertentu bagi Allah Yang telah MENGURNIAKAN KEPADAKU SEMASA AKU TUA: ISMAIL DAN ISHAK. Sesungguhnya Tuhanku Maha Mendengar dan Memperkenan doa permohonan (Ibrahim[14:39]).

Kita boleh bayangkan betapa gembiranya hati nabi Ibrahim AS yang jauh dalam buangan dengan kelahiran Isma’il. Walaupun hilang keluarga yang bergelumang dengan karat syirik, kini Allah menggantikannya dengan anak yang soleh seperti Isma’il. Sudah pasti anak ini menjadi permata hati yang sangat berharga, tambahan pula lahirnya ketika nabi Ibrahim berada pada usia tua.  Kita boleh lihat dalam masyarakat, datuk yang sudah berusia biasanya sangat cintakan cucu. Si ayah seakan hilang kuasa ke atas anak apabila datuk melangkah masuk. Apa sahaja kehendak cucu dipenuhi tanpa tangguh. Inilah darjat “rasa cinta” nabi Ibrahim kepada Isma’il. Di tengah kegembiraan ini, Allah sekali lagi menguji baginda dan ujian kali ini bisa menggugurkan jantung. Anak kesayangan mesti dikorbankan:

فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعْيَ قَالَ يَابُنَيَّ إِنِّي أَرَى فِي الْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فَانْظُرْ مَاذَا تَرَى قَالَ يَاأَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ سَتَجِدُنِي إِنْ شَاءَ اللَّهُ مِنَ الصَّابِرِينَ (102) فَلَمَّا أَسْلَمَا وَتَلَّهُ لِلْجَبِينِ (103) وَنَادَيْنَاهُ أَنْ يَاإِبْرَاهِيمُ (104) قَدْ صَدَّقْتَ الرُّؤْيَا إِنَّا كَذَلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِينَ (105) إِنَّ هَذَا لَهُوَ الْبَلَاءُ الْمُبِينُ (106) وَفَدَيْنَاهُ بِذِبْحٍ عَظِيمٍ (107) وَتَرَكْنَا عَلَيْهِ فِي الْآخِرِينَ (108) سَلَامٌ عَلَى إِبْرَاهِيمَ (109) كَذَلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِينَ (110) إِنَّهُ مِنْ عِبَادِنَا الْمُؤْمِنِينَ (111)

Ertinya: Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku bermimpi menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?". Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang yang sabar". Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim - dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami),Serta Kami menyerunya: "Wahai Ibrahim! "Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu". Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. SESUNGGUHNYA PERINTAH INI ADALAH SATU UJIAN YANG NYATA; Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar; Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang yang datang kemudian: "Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim!" Demikianlah Kami membalas orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu dari hamba Kami yang beriman.  (al-Safffat [37:102-111]).

Subhanallah! Hebat sekali iman nabi Ibrahim. Inilah bukti iman sejati! Iman yang tiada tandingan! Itulah sebabnya di hujung ayat di atas Allah memuji baginda sebagai hamba yang beriman. Apa sahaja arahan Allah dipenuhi tanpa soal walaupun terpaksa mengorbankan anak yang menjadi permata hati. Kisah ini bukan sekadar penghias dada al-Quran yang dibaca saban tahun setiap kali menjelangnya Hari Raya Korban, tetapi wajib dihayati dalam hidup setiap muslim.

Kita tak perlu menyembelih anak kita untuk membuktikan pengorbanan kita kepada Allah. Apa yang perlu kita lakukan adalah menghunus “pisau taqwa” bagi mengorbankan nafsu yang saban hari menghasut kita agar mengorbankan hak Allah dalam diri kita. Apa hak Allah yang wajib kita tunaikan? Ia adalah pengabdian yang hakiki. Apa sahaja yang disuruh Allah kita junjung tanpa soal dan apa sahaja laranganNya kita buang sejauh mungkin walaupun nafsu bergelojak mahu melakukan larangan itu. Jika kita rela berkorban kerana Allah, Allah akan menghadiahkan kita sifat taqwa yang membolehkan kita masuk kelab nabi Ibrahim di akhirat kelak. Insya Allah!

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...