Friday, September 23, 2016

BATU PERMATA LEBIH HEBAT ATAU HAJAR ASWAD?

BATU PERMATA LEBIH HEBAT ATAU HAJAR ASWAD?

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Usai kuliah Maghrib bertajuk “WALI ALLAH MODEN DI NUSANTARA” (yang menyentuh sumbangan HAMKA, Datok Haji Mohammad Noor Ibrahim mantan mufti Kelantan, Syeikh Abdullah Basmeih penterjemah Tafsir Pimpinan al-Rahman dan Ustaz Ahmad Sonhaji), di Surau Nur al-Syura, Bandar Baru Selayang Fasa 2B (22 September 2016) saya disapa seorang lelaki.

Soalannya sangat menarik:

“Ustaz! Nak tanya pandangan Ustaz! Ada seorang lelaki memberikan saya sebentuk batu permata sebagai pendinding. Ketika menerimanya saya diarahkan berzikir dan berselawat. Selepas itu batu itu jatuh ke tangan saya. Lelaki itu juga pesan agar jangan taksub dengan kuasa batu permata itu, bimbang nanti jadi syirik.”

Saya bertanya padanya: “Awak rasa, batu permata yang awak dapat itu lebih hebat atau Hajarul Aswad yang melekat pada Ka’abah?”

Lelaki itu menjawab: “Mestilah Hajarul Aswad Ustaz!”

Saya menyambung: “Awak tahu apa yang dilakukan Sayyidina ‘Umar bin al-Khattab RA ketika berhadapan dengan Hajarul Aswad? Ini katanya (lalu saya menyebut sebuah hadith):

عَنْ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّهُ جَاءَ إِلَى الْحَجَرِ الْأَسْوَدِ فَقَبَّلَهُ فَقَالَ إِنِّي أَعْلَمُ أَنَّكَ حَجَرٌ لَا تَضُرُّ وَلَا تَنْفَعُ وَلَوْلَا أَنِّي رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُقَبِّلُكَ مَا قَبَّلْتُكَ

Ertinya: ‘Umar RA datang ke penjuru Hajar al-Aswad kemudian menciumnya seraya berkata: Sesungguhnya aku tahu engkau adalah batu yang TIDAK BOLEH MENGHALANG MUDARAT ATAU (TIDAK BOLEH) MEMBERI MANAFAAT. Jika bukan kerana aku melihat nabi SAW menciummu, aku pasti tidak akan menciummu (Sahih al-Bukhari).

Saya menyambung nasihat: “Saya bimbang jika awak simpan batu permata itu kemungkinan awak terjerumus ke dalam lubang syirik sangat tinggi. Mulanya awak anggap ia sekadar suatu usaha, tapi lama kelamaan ia boleh bertukar menjadi TUHAN YANG DIRASA MAMPU MELINDUNGI AWAK, sedangkan batu itu tidak dapat pun mempertahankan dirinya jika awak ketuk sampai hancur. Lalu mana mungkin ia melindungi awak? Logik ini banyak disebut al-Quran, antaranya:

وَيَعْبُدُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ مَا لَا يَنْفَعُهُمْ وَلَا يَضُرُّهُمْ وَكَانَ الْكَافِرُ عَلَى رَبِّهِ ظَهِيرًا

Ertinya: Dan mereka (yang musyrik) menyembah benda yang lain dari Allah, YANG TIDAK MEMBERI MANFAAT KEPADA MEREKA (YANG MENYEMBAHNYA) DAN TIDAK PULA MENDATANGKAN MUDARAT KEPADA MEREKA (YANG TIDAK MENYEMBAHNYA); dan orang yang kafir selalu menjadi pembantu (bagi golongannya yang kafir) untuk menderhaka kepada tuhannya (al-Furqan [25:55]).

“Allah suruh kita agar bergantung harap hanya padaNya secara terus. Itulah juga yang diajar oleh Rasulullah SAW dalam hadithnya:

مَا مِنْ عَبْدٍ يَقُولُ فِي صَبَاحِ كُلِّ يَوْمٍ وَمَسَاءِ كُلِّ لَيْلَةٍ بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ لَمْ يَضُرَّهُ شَيْءٌ .

Ertinya: Seorang hamba yang membaca doa ini sebanyak 3 kali pada waktu pagi dan petang tidak akan ditimpa apa-apa mudarat: "Dengan nama Allah yang tidak akan memberi mudarat (bahaya dan kesusahan) bersama namaNya sesuatu apa pun baik di bumi atau (yang turun) dari langit, dan Dialah (Allah) Yang Maha mendengar lagi Maha Mengetahui" (Sunan al-Tirmidhi & Sunan Abu Dawud).

Sebelum berpisah lelaki itu berjanji akan menyimpan batu permata itu hanya sebagai perhiasan dan bukannya pendinding.

Setakat yang saya perhatikan modus operandi pencinta tangkal azimat dalam berbagai versinya sangat mirip dengan akidah penyembah berhala. Sesetengah mereka cuba berhujah dengan mengatakan tangkal mereka sebenarnya bersifat saintifik seperti Panadol atau ubat Hospital. Jika kita makan ubat dan yakin bahawa ubat yang menyembuhkan kita, maka IA TETAP SYIRIK.

Apa jawapan kita atas hujah mereka itu? Mudah sahaja, Islam tidak menolak aspek sains atau Sunnatullah! Ubatan hospital dihasilkan melalui proses kajian yang mendalam terhadap bahan mentah yang Allah sediakan di alam ini. Tangkal azimat pula hanya ubat khayalan yang tidak berasas serta boleh menjadi peluru syaitan untuk menembak jatuh manusia ke jurang neraka. Mohon dijauhkan Allah.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...