Wednesday, July 27, 2016

NABI DAWUD TIDAK RAMPAS ISTERI ORANG

NABI DAWUD TIDAK RAMPAS ISTERI ORANG

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Dhuha Selasa (Sad [38:21-25]) pada 19 Julai 2016. Antara isunya adalah pembetulan kisah karut yang dipalitkan pada nabi Dawud AS oleh riwayat Isra’iliyyat yang wajib ditolak.

“Dalam injil para nabi kelihatan sangat tidak bermoral, manakala al-Quran pula senantiasa mengangkat para nabi sebagai manusia paling tinggi akhlaknya. Itulah perbezaan paling ketara antara keduanya yang saya dapati!”

Itu kata-kata murid saya Santiago Solah Mora, seorang saudara baru yang berasal dari Colombia ketika menceritakan pengalamannya mengkaji Injil dan al-Quran. Fitrah beliau meronta deras menolak kisah “kebuasan nafsu” para nabi yang tertulis dalam Injil. Ini bukti mudah betapa Injil sudah hilang kesuciannya kerana dicemari tangan manusia yang suka menggarap cerita buruk manusia lalu ditempelkan pada batang tubuh para nabi yang mulia.

Antara nabi yang difitnah dahsyat oleh cerita-ceriti tak bertanggung jawab riwayat Isra’iIiyyat adalah nabi Dawud AS. Cerita ini keluar daripada kisah baginda dalam surah Sad [38:21-25].

وَهَلْ أَتَاكَ نَبَأُ الْخَصْمِ إِذْ تَسَوَّرُوا الْمِحْرَابَ (21) إِذْ دَخَلُوا عَلَى دَاوُودَ فَفَزِعَ مِنْهُمْ قَالُوا لَا تَخَفْ خَصْمَانِ بَغَى بَعْضُنَا عَلَى بَعْضٍ فَاحْكُمْ بَيْنَنَا بِالْحَقِّ وَلَا تُشْطِطْ وَاهْدِنَا إِلَى سَوَاءِ الصِّرَاطِ (22) إِنَّ هَذَا أَخِي لَهُ تِسْعٌ وَتِسْعُونَ نَعْجَةً وَلِيَ نَعْجَةٌ وَاحِدَةٌ فَقَالَ أَكْفِلْنِيهَا وَعَزَّنِي فِي الْخِطَابِ (23) قَالَ لَقَدْ ظَلَمَكَ بِسُؤَالِ نَعْجَتِكَ إِلَى نِعَاجِهِ وَإِنَّ كَثِيرًا مِنَ الْخُلَطَاءِ لَيَبْغِي بَعْضُهُمْ عَلَى بَعْضٍ إِلَّا الَّذِينَ آَمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَقَلِيلٌ مَا هُمْ وَظَنَّ دَاوُودُ أَنَّمَا فَتَنَّاهُ فَاسْتَغْفَرَ رَبَّهُ وَخَرَّ رَاكِعًا وَأَنَابَ (24) فَغَفَرْنَا لَهُ ذَلِكَ وَإِنَّ لَهُ عِنْدَنَا لَزُلْفَى وَحُسْنَ مَآَبٍ (25)

Ertinya: Dan apakah sampai kepadamu tentang berita orang yang bertelingkah (tentang suatu perkara) ketika mereka memanjat pagar [21]. Ketika mereka masuk (menemui) Dawud, lalu dia terkejut kerana (kedatangan) mereka. Mereka berkata: Janganlah  kamu merasa takut; (Kami) adalah 2 orang yang bertelingkah yang seorang daripada kami berbuat zalim kepada yang yang lain, maka berilah keputusan antara kami dengan adil dan janganlah kamu menyimpang dari kebenaran dan tunjukkanlah kami ke jalan yang lurus [22]. Sesungguhnya saudara aku ini mempunyai 99 ekor kambing betina dan aku mempunyai seekor sahaja, maka dia berkata: Serahkanlah kambingmu itu kepadaku dan dia mengalahkanku di dalam perdebatan [23].  Dawud berkata: Sesungguhnya dia telah berbuat zalim kepadamu dengan meminta kambingmu itu untuk ditambahkan kepada kambingnya. Dan sesungguhnya kebanyakan dari orang yang bersyarikat itu sebahagian mereka berbuat zalim kepada sebahagian yang lain, kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan amat sedikitlah mereka ini. Dan Dawud mengetahui bahawa Kami mengujinya, maka dia meminta ampun kepada Tuhannya lalu menyungkur sujud dan bertaubat [24]. Maka Kami ampunkan kesalahannya itu; dan sesungguhnya ia mempunyai kedudukan yang dekat di sisi Kami serta tempat kembali yang sebaik-baiknya (pada hari akhirat kelak) (Sad[38:21-25]). 

Kononnya, pada suatu hari nabi Dawud AS terpandang isteri seorang panglima perangnya yang cantik. Mabuk dek cinta kepada isteri orang, baginda menghantar panglimanya yang dikatakan bernama Uria ke dalam beberapa buah perang dengan harapan Uria akan mati dan baginda boleh mengahwini isterinya yang cantik. Setelah lama Uria hilang dan dianggap mati, nabi Dawud berkahwin dengan isterinya bagi menggenapkan angka isteri baginda kepada 100 orang. Akibat kerakusan ini, Allah menghantar 2 malaikat menyamar dalam rupa manusia dan bertanyakan perihal perebutan kambing yang menjadi sindiran kepada baginda tentang jenayah merampas isteri orang. Setelah sedar dari kesalahannya, nabi Dawud AS lantas sujud bertaubat kepada Allah. Kisah ini disebut dalam sesetengah kitab Tafsir al-Quran.

Imam al-Baydawi menyebut, Sayyidina Ali RA menegaskan akan menyebat sebanyak 160 sebatan bagi sesiapa yang menyebarkan kisah karut nabi Dawud seperti yang biasa disebarkan oleh penglipur lara (Tafsir al-Baydawi).

Imam al-Razi pula menyatakan, jika kerakusan ini disandarkan kepada seorang manusia yang paling jahat sekalipun, dia akan bermatian menafikannya demi mempertahankan maruahnya. Lelaki jahat itu pun pasti akan melaknat orang yang membuat tuduhan palsu terhadapnya. Jika kisah ini diterima sekalipun, kesudahannya akan berakhir kepada 2 perkara yang sangat jahat iaitu (1) cubaan membunuh manusia yang tidak berdosa dan, (2) cubaan merampas isteri orang (Tafsir al-Razi). Anda rasa adakah logic jika 2 jenayah ini cuba disandarkan pada seorang nabi?

Anda mungkin tertanya-tanya, bagaimana pula kisah yang sebenar? Mudah sahaja! Ayat dalam kisah nabi Dawud itu sudah terang lagi bersuluh. Ia membicarakan kisah perebutan kambing antara 2 pihak bertelagah dan langsung tiada kaitan tentang wanita. Jika begitulah keadaannya mengapa pula nabi Dawud perlu sujud bertaubat kepada Allah sebagaimana yang disebut pada ayat 24 dan 25? Si penglipur lara akan menjadikan permohonan taubat nabi Dawud ini sebagai “pintu masuk” kepada dakwaan kononnya nabi Dawud bertaubat atas kerakusannya mahu merampas isteri orang.

Taubat nabi Dawud dalam ayat tersebut bukan merujuk kepada “KESALAHAN BAGINDA TETAPI BEBERAPA TINDAKAN KURANG TEPAT” yang tidak layak pun digelar dosa. Ia merangkumi beberapa isu, iaitu:

1) Terkejut dan buruk sangka kepada 2 orang bertelagah yang masuk ke tempat ibadatnya bukan pada waktu yang sepatutnya. Ini kerana nabi Dawud membahagikan masanya kepada beberapa bahagian iaitu masa untuk rakyat, masa untuk menyelesaikan sebarang pertikaian dan masa untuk ibadat. Rakyatnya juga sudah sedia maklum semua masa tersebut. Apabila 2 lelaki itu melompat masuk menemui baginda bukan pada waktu yang sepatutnya, memang patut pun baginda terkejut atau curiga kerana Bani Isra’il biasa membunuh para nabi mereka yang tidak disukai (al-Baqarah [2:91], Ali Imran [3:21&112]).

2) Baginda memberikan keputusan kepada pihak bertelagah tanpa mendengar penjelasan kedua pihak. Ia boleh dirujuk pada pangkal ayat 24. Walaupun keputusan baginda tepat dan tidak dibantah, kegopohan memberikan keputusan tanpa mendengar penjelasan pihak kedua dikira sangat tidak kena bagi seorang hakim dan nabi seperti baginda. Rasulullah SAW pernah menegaskan kepada Sayyidina Ali RA:

عَنْ عَلِيٍّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ بَعَثَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى الْيَمَنِ قَالَ فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ تَبْعَثُنِي إِلَى قَوْمٍ أَسَنَّ مِنِّي وَأَنَا حَدِيثٌ لَا أُبْصِرُ الْقَضَاءَ قَالَ فَوَضَعَ يَدَهُ عَلَى صَدْرِي وَقَالَ اللَّهُمَّ ثَبِّتْ لِسَانَهُ وَاهْدِ قَلْبَهُ يَا عَلِيُّ إِذَا جَلَسَ إِلَيْكَ الْخَصْمَانِ فَلَا تَقْضِ بَيْنَهُمَا حَتَّى تَسْمَعَ مِنْ الْآخَرِ كَمَا سَمِعْتَ مِنْ الْأَوَّلِ

Ertinya: Ali RA menceritakan; Rasulullah SAW menghantarku ke Yaman (atas suatu urusan). Aku berkata: Wahai Rasulullah, Tuan telah mengutusku kepada satu kaum yang jauh lebih tua dariku. Aku masih muda dan tidak pandai memberi hukuman. Baginda meletakkan tangannya ke atas dadaku dan berdoa; “Ya Allah teguhkan lidahnya dan bimbinglah hatinya. Wahai Ali! Apabila 2 orang bertelagah datang (meminta hukum) daripadamu, maka janganlah kamu memberikan keputusan sehingga kamu mendengar (hujah secara saksama) dari kedua belah pihak (Sunan Abu Dawud & Musnad Ahmad).

Walaupun begitu, ada sebahagian ulama yang lebih teliti tidak bersetuju dengan andaian kedua kerana SUDAH MAKLUM TANPA BANTAHAN bahawa para hakim biasanya akan mendengar hujahan daripada kedua pihak. Agak canggung jika seorang hakim bertaraf nabi bersikap gopoh dan tidak mengamalkan etika kehakiman apabila mendengar hanya sebelah pihak (Tafsir al-Munir).

Sebenarnya sujud taubat baginda bukanlah tanda baginda berdosa tetapi menunjukkan sikap teliti dan rendah diri baginda kepada Allah. Umpamanya seorang anak yang soleh dan taat. Walaupun tidak melakukan kesilapan, si anak tetap merendah diri dan memohon maaf kepada ibu bapanya. Sikap ini mengundang sayang berganda kepada ibu bapanya. Inilah yang berlaku pada hubungan nabi Dawud AS dan Allah.

Al-Quran sudah menyampaikan mesejnya dengan jelas lagi terang. Usahlah mencari “cerita tambahan berperisa” yang dibawa oleh riwayat Isra’iliyyat atau “perisa sedap lagi karut” hasil garapan lidah si penglipur lara yang mengejar “rating pendengar atau penonton.” Walaupun cerita itu bunyinya sedap dan menyelerakan, ia sebenarnya menjadi kapak yang akan meruntuhkan kemuliaan al-Quran. Jauhilah Isra’Iiyyat yang karut dan hadith palsu, ia tanda iman dan soleh anda.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...