Thursday, July 7, 2016

BERHARI RAYA DENGAN MEMETIK BUAH TAQWA SERTA PENGAMPUNAN DOSA

BERHARI RAYA DENGAN MEMETIK BUAH TAQWA SERTA PENGAMPUNAN DOSA

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Tazkirah pagi 'Idul Fitri 1436 Hijri di Surau Kg. Seribong, Kota Bharu, Kelantan.

Syawwal menjelma lagi.  Bagaimanakah agaknya tahap Taqwa kita selepas habis ramadhan?  Matlamat utama Ramadhan adalah "MENCAPAI TAQWA" sebagaimana firman Allah yang lazim kita dengar:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Ertinya: Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang dahulu daripada kamu, "SUPAYA KAMU BERTAQWA" (al-Baqarah [2:183]).

Dalam ayat ini Allah menggunakan lafaz - لعل - yang dikenali sebagai - أداة الترجي - iaitu lafaz harapan atau SESUATU YANG MAMPU DICAPAI SETELAH DIUSAHAKAN.

Apabila habis Ramadhan dan menjelang Syawwal kita sepatutnya koreksi diri tentang 2 perkara iaitu;

1) Adakah Taqwa atau RASA WASPADA MENJAGA HAK ALLAH semakin terang dalam diri.

2) Adakah Allah mengampunkan dosa kita? Renung sabda Rasulullah SAW ini:

رَغِمَ أَنْفُ رَجُلٍ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ ، وَرَغِمَ أَنْفُ رَجُلٍ أَدْرَكَ أَبَوَيْهِ عِنْدَ الْكِبَرِ فَلَمْ يُدْخِلاهُ الْجَنَّةَ ، وَرَغِمَ أَنْفُ رَجُلٍ دَخَلَ عَلَيْهِ رَمَضَانُ ، ثُمَّ انْسَلَخَ قَبْلَ أَنْ يُغْفَرَ لَهُ

Ertinya: Rugilah sesiapa yang apabila namaku  (Rasulullah SAW) disebut padanya tetapi dia tidak berselawat padaku, rugilah sesiapa yang mendapati ibu bapanya yang berusia lalu baktinya kepada keduanya tidak memberi (ganjaran pahala) yang membawanya ke syurga, dan RUGILAH SESIAPA YANG RAMADHAN MASUK DAN BERLALU PERGI SEBELUM DIAMPUNKAN DOSANYA  (Sahih Muslim & Sunan al-Tirmidhi).

Bagaimana pula kita tahu dosa kita diampunkan? Walaupun ia rahsia Allah, kita mampu melihatnya dalam pantulan cahaya iman iaitu RASA SEMAKIN JIJIK DENGAN DOSA DAN USAHA SEDAYA MAMPU UNTUK MENGHINDARINYA.

Subhanallah! Rupanya sabda Rasulullah SAW tentang Ramadhan di atas menjadi sendi menyokong perihal TAQWA dalam firman Allah ini:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ تَتَّقُوا اللَّهَ يَجْعَلْ لَكُمْ فُرْقَانًا وَيُكَفِّرْ عَنْكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ۗ وَاللَّهُ ذُو الْفَضْلِ الْعَظِيمِ

Ertinya: Wahai orang yang beriman! JIKA KAMU BERTAQWA KEPADA ALLAH, NESCAYA DIA MENGADAKAN BAGI KAMU (PETUNJUK) YANG MEMBEZAKAN ANTARA YANG BENAR DENGAN YANG SALAH, DAN MENGHAPUSKAN KESALAHAN KAMU, SERTA MENGAMPUNKAN (DOSA) KAMU. Dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar (al-Anfal [8:29]).

Kesimpulannya, WASPADA HAK ALLAH (TAQWA) adalah buah Ramadhan yang sangat berzat untuk menjadi bekal hidup sepanjang tahun. Bertakbirlah hari ini dengan doa agar latihan Taqwa kita selama sebulan tidak hangus dengan sambutan hari ini.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...