Sunday, July 31, 2016

BELAJAR REALITI KEHIDUPAN DARI PARA DOKTOR DAN PESAKIT KANSER PAYU DARA

BELAJAR REALITI KEHIDUPAN DARI PARA  DOKTOR DAN PESAKIT KANSER PAYU DARA

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

(30 Julai 2016 - Pusat Perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia).

"Bagaimana kita sebagai perawat nak berhadapan dengan pesakit apabila si suami berkeras tidak membenarkan isteri menerima rawatan di hospital? Lebih teruk lagi ada suami yang menceraikan isteri setelah disahkan menghidap kanser payu dara?

"Bagaimana nak berhadapan dengan pesakit yang disahkan sakit kanser, tapi tak mahu meneruskan rawatan hospital kerana nak cuba rawatan alternatif dahulu? Bila gagal mereka akan kembali ke hospital untuk rawatan susulan, tapi biasanya keadaan mereka sudah kronik?"

Apabila pesakit tidak bertanya soalan, barisan para doktor yang menjadi panel sepentas dengan saya pula bertanya. Pelik juga apabila panelis bertanya kepada panelis. Barangkali mereka memerlukan jawapan dari "Ustaz!"

Itu antara soalan yang saya terima dari barisan panel doktor dalam program unit sokongan pesakit kanser payu dara HUKM pagi ini. Unit ini dipanggil T.E.M.A.N (Team Effort in Maintaining Awareness & Nurturing breast cancer patients). 

Program pagi ini di HUKM sangat bagus bagi memberi sokongan kepada pesakit kanser payu dara. 3 pembentangan dibuat iaitu;

1) Jenis kanser wanita oleh Dr Yulianti, pakar OnG HUKM.

2) Pelangi di hujung taufan oleh Dr Hazli, pakar psikiatri HUKM.

3) Saya membincangkan tajuk "Adakah perubatan Islam bercanggah dengan perubatan moden."

Tajuk saya dipinta khusus oleh pihak penganjur kerana ini antara dilema para doktor. Ramai pesakit yang mahu cuba rawatan alternatif atau "RAWATAN PERUBATAN ISLAM" dahulu seolah-olah rawatan di hospital tidak Islamik. Lalu dalam ceramah, saya jelaskan timbang-tara yang wajib kita lihat dalam isu ini. Perubatan moden yang diasaskan oleh kajian "ANATOMI TUBUH MANUSIA" sebenarnya termasuk dalam perubatan  Islam. Perhatikan firman Allah ini:

سَنُرِيهِمْ آيَاتِنَا فِي الْآفَاقِ وَفِي أَنْفُسِهِمْ حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُ الْحَقُّ ۗ أَوَلَمْ يَكْفِ بِرَبِّكَ أَنَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ شَهِيدٌ

Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) DAN PADA DIRI MEREKA SENDIRI, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu? (Fussilat [41:53]).

Juga firman Allah:

وَفِي أَنْفُسِكُمْ ۚ أَفَلَا تُبْصِرُونَ

DAN JUGA PADA DIRI KAMU SENDIRI. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil dan bukti kehebatan Allah itu)? (Al-Dhariyat [51:21]).

Bahkan nama besar dalam perubatan Islam seperti Ibnu Sina yang diiktiraf ilmu perubatan moden sendiri memajukan ilmu perubatan moden dengan KAJIAN ANATOMI TUBUH MANUSIA dan bukan jampi atau ruqyah semata.

Rasulullah SAW sendiri pun menyarankan para sahabat yang sakit bertemu seorang  tabib Arab bernama al-Harith bin Kaladah yang belajar ilmu perubatan sehingga ke Yaman serta Jandaysabur di Parsi. Ketokohannya disebut dalam sebuah hadith:

عَنْ سَعْدٍ قَالَ
مَرِضْتُ مَرَضًا أَتَانِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَعُودُنِي فَوَضَعَ يَدَهُ بَيْنَ ثَدْيَيَّ حَتَّى وَجَدْتُ بَرْدَهَا عَلَى فُؤَادِي فَقَالَ إِنَّكَ رَجُلٌ مَفْئُودٌ ائْتِ الْحَارِثَ بْنَ كَلَدَةَ أَخَا ثَقِيفٍ فَإِنَّهُ رَجُلٌ يَتَطَبَّبُ فَلْيَأْخُذْ سَبْعَ تَمَرَاتٍ مِنْ عَجْوَةِ الْمَدِينَةِ فَلْيَجَأْهُنَّ بِنَوَاهُنَّ ثُمَّ لِيَلُدَّكَ بِهِنَّ

Dari Sa’ad: Aku sakit lalu Rasulullah SAW menziarahiku. Baginda meletakkan tangannya di tengah dadaku sehingga terasa sejuk tangan baginda di dadaku. Baginda bersabda: Kamu sedang sakit dada, pergilah berjumpa al-Harith bin Kaladah dari kabilah Thaqif kerana dia tahu mengubat. Al-Harith kemudiannya mengambil 7 biji kurma Ajwah Madinah dan mengisarnya dengan bijinya kemudian menyuapnya” (Sunan Abu Dawud)

Saranan Rasulullah SAW ini memberi suatu pengiktirafan kepada profesyen doktor yang mengkaji aspek SUNNATULLAH/KESAN AKIBAT/SAINS.

Selain itu, kesan penyembuhan di sebalik ruqyah syar'iyyah atau ayat suci al-Quran yang dibaca berkait rapat dengan kualiti iman dan yakin perawat. Ia disebut dalam sebuah kisah:

أن رجلا مصابًا مرَّ به عبد الله بن مسعود، فقرأ في أذنه هذه الآية: { أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لا تُرْجَعُونَ * فَتَعَالَى اللَّهُ الْمَلِكُ الْحَقُّ } ، حتى ختم السورة فَبَرَأ، [فذكر ذلك لرسول الله صلى الله عليه وسلم] (5) ، فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: "بماذا قرأت في أذنه؟" فأخبره، فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: "والذي نفسي بيده، لو أن رجلا مُوقنا قرأها على جَبَل لزال".

Pada suatu hari Abdullah Ibn Mas’ud bertemu dengan seorang lelaki yang ditimpa penyakit. Beliau membacakan ayat (al-Mu’minun[23:115-118]) dan lelaki tersebut sembuh dari sakitnya. Beliau kemudiannya menceritakan perkara tersebut kepada Rasulullah SAW. Baginda bertanya: Ayat apakah yang engkau bacakan pada telinganya?................................ Rasulullah SAW lalu bersabda: Demi yang jiwaku berada pada tangan (kuasa)Nya, sekiranya seorang lelaki yang yaqin (dengan mukjizat al-Quran) membacanya (walaupun) kepada bukit sekalipun, sudah pasti bukit tersebut akan hilang (hancur) (Tafsir Ibn Kathir).

Pesan saya kepada para pesakit, jika mahu berubat dengan kaedah alternatif perubatan Islam sekalipun, pilihlah SIAPA PERAWATNYA. Pastikan yang soleh lagi "asli" serta berdaftar dengan KKM. Pada masa yang sama rawatan dengan hospital (yang juga diiktiraf sebagai perubatan  Islam) mesti diteruskan.

Kesimpulan saya di hujung sesi, tubuh kita ada banyak  komponen iaitu fizikal, mental dan rohani. Jika ia melibatkan fizikal bertemulah para doktor, jika melibatkan mental bertemulah Dr Psikiatri dan jika rohani tidak sihat jumpalah para perawat bertauliah.

Banyak sekali ilmu serta kesedaran baru yang saya pelajari dari para doktor pakar dan pesakit pada hari ini. Semoga program sebegini mampu menjadikan para pesakit tenang dan selamat dari godaan syaitan.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...