Friday, June 10, 2016

JADILAH HAMBA ALLAH BUKAN HAMBA RAMADHAN

JADILAH HAMBA ALLAH BUKAN HAMBA  RAMADHAN

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Ringkasan isi kuliah tadabbur al-Quran bulanan di Masjid Ibn Sina, Taman Tasik Titiwangsa pada Khamis 2 Jun 2016.

Masya Allah! Sekejap sungguh masa berlalu. Pejam celik, pejam celik kita sudah melangkah masuk ke bulan Ramadhan 1437 Hijri. Terasa masih baru berpisah dengan Ramadhan tahun lepas. Mengapakah masa dirasakan semakin laju bergerak? Adakah putaran bumi semakin laju? Tidak sama sekali! Rasa deras masa berlalu termasuk dalam rangkuman “tanda akhir zaman” yang sudah disebut oleh Rasulullah SAW:

لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يَتَقَارَبَ الزَّمَانُ فَتَكُونُ السَّنَةُ كَالشَّهْرِ وَالشَّهْرُ كَالْجُمُعَةِ وَتَكُونُ الْجُمُعَةُ كَالْيَوْمِ وَيَكُونُ الْيَوْمُ كَالسَّاعَةِ وَتَكُونُ السَّاعَةُ كَالضَّرَمَةِ بِالنَّارِ

Ertinya: Kiamat tidak akan berlaku sehinggalah masa menjadi singkat, setahun bagaikan sebulan, sebulan bagaikan satu jumaat, jumaat bagaikan sehari, sehari bagaikan satu jam, dan satu jam bagaikan api yang membakar daun kurma (Sunan al-Tirmidhi).

Oleh itu, segeralah panjatkan syukur anda kepada Allah apabila sekali lagi berjaya melangkah masuk ke bulan ini dengan sihat. Perhatikan kisah mimpi yang sungguh ajaib ini. Jadikan ia motivasi untuk melajukan pacuan ibadah pada Ramadhan ini kerana belum tentu Ramadhan tahun depan miliki kita.


عَنْ طَلْحَةَ بْنِ عُبَيْدِ اللَّهِ أَنَّ رَجُلَيْنِ مِنْ بَلِيٍّ قَدِمَا عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَكَانَ إِسْلَامُهُمَا جَمِيعًا فَكَانَ أَحَدُهُمَا أَشَدَّ اجْتِهَادًا مِنْ الْآخَرِ فَغَزَا الْمُجْتَهِدُ مِنْهُمَا فَاسْتُشْهِدَ ثُمَّ مَكَثَ الْآخَرُ بَعْدَهُ سَنَةً ثُمَّ تُوُفِّيَ قَالَ طَلْحَةُ فَرَأَيْتُ فِي الْمَنَامِ بَيْنَا أَنَا عِنْدَ بَابِ الْجَنَّةِ إِذَا أَنَا بِهِمَا فَخَرَجَ خَارِجٌ مِنْ الْجَنَّةِ فَأَذِنَ لِلَّذِي تُوُفِّيَ الْآخِرَ مِنْهُمَا ثُمَّ خَرَجَ فَأَذِنَ لِلَّذِي اسْتُشْهِدَ ثُمَّ رَجَعَ إِلَيَّ فَقَالَ ارْجِعْ فَإِنَّكَ لَمْ يَأْنِ لَكَ بَعْدُ فَأَصْبَحَ طَلْحَةُ يُحَدِّثُ بِهِ النَّاسَ فَعَجِبُوا لِذَلِكَ فَبَلَغَ ذَلِكَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَحَدَّثُوهُ الْحَدِيثَ فَقَالَ مِنْ أَيِّ ذَلِكَ تَعْجَبُونَ فَقَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ هَذَا كَانَ أَشَدَّ الرَّجُلَيْنِ اجْتِهَادًا ثُمَّ اسْتُشْهِدَ وَدَخَلَ هَذَا الْآخِرُ الْجَنَّةَ قَبْلَهُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَلَيْسَ قَدْ مَكَثَ هَذَا بَعْدَهُ سَنَةً قَالُوا بَلَى قَالَ وَأَدْرَكَ رَمَضَانَ فَصَامَ وَصَلَّى كَذَا وَكَذَا مِنْ سَجْدَةٍ فِي السَّنَةِ قَالُوا بَلَى قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَمَا بَيْنَهُمَا أَبْعَدُ مِمَّا بَيْنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ

Ertinya:  Talhah bin Ubaydillah menceritakan, pada suatu hari 2 orang lelaki dari Suku Baliyy datang bertemu Rasulullah SAW. Keduanya mereka memeluk islam secara serentak. Seorang dari mereka begitu bersemangat untuk berjihad berbanding yang seorang lagi, lalu dia menyertai perang dan gugur syahid. Kemudian yang seorang lagi terus hidup selepasnya selama setahun kemudian diapun meninggal dunia. Talhah menyambung: “Pada suatu hari aku bermimpi bersama mereka berdua di pintu syurga, kemudian keluar malaikat dari syurga lalu mengizinkan lelaki yang mati kemudian memasuki syurga, kemudian malaikat tadi keluar lagi dan mengizinkan lelaki yang gugur syahid itu memasuki surga, kemudian dia datang semula kepadaku dan berkata: “Engkau pulanglah, kerana giliranmu memasuki syurga masih belum sampai.” Menjelang pagi hari Talhah menceritakan apa yang dilihatnya dalam mimpi kepada orang ramai, maka mereka semua hairan dengan mimpinya. Lalu perkara itu sampai kepada Rasulullah SAW dan mereka menceritakannya kepada baginda. Tanya baginda: Apa yang menghairankan kamu semua? Mereka menjawab: Wahai Rasulullah SAW lelaki ini lebih bersemangat berjihad berbanding seorang lagi, kemudian dia memperoleh syahid, akan tetapi kawannya yang mati selepasnya lebih dahulu memasuki syurga. Jawab Nabi SAW: Bukankah lelaki ini telah hidup selepas kawannya yang mati syahid itu selama setahun? Jawab mereka: Benar. Sambung baginda lagi: Bukankah dia telah mendapati bulan Ramadhan dan berpuasa dalamnya dan telah mendirikan banyak rakaat solat dalam setahun itu? Jawab mereka: Benar. Sabda Nabi SAW: Maka beza antara mereka lebih jauh dari langit dan bumi.” (Sunan Ibn Majah).

Bagi memudahkan kefahaman berkaitan Hamba Allah dan hamba Ramadhan, izinkan saya beranalogi. Apa ada dengan tarikh “31 Ogos” setiap tahun bagi Malaysia tanpa adanya peristiwa kemerdekaan Tanah Melayu? Begitulah juga dengan Ramadhan, apa ada dengan Ramadhan tanpa penurunan al-Quran? Bukan setakat al-Quran, Ramadhan turut dimasyhurkan Allah dengan penurunan banyak wahyu langit. Sabda Rasulullah SAW:

أُنْزِلَتْ صُحُفُ إِبْرَاهِيمَ عَلَيْهِ السَّلَام فِي أَوَّلِ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ وَأُنْزِلَتْ التَّوْرَاةُ لِسِتٍّ مَضَيْنَ مِنْ رَمَضَانَ وَالْإِنْجِيلُ لِثَلَاثَ عَشْرَةَ خَلَتْ مِنْ رَمَضَانَ وَأُنْزِلَ الْفُرْقَانُ لِأَرْبَعٍ وَعِشْرِينَ خَلَتْ مِنْ رَمَضَانَ

Ertinya: Suhuf Ibrahim diturunkan pada malam pertama Ramadhan, Tawrat pada 6 Ramadhan, Injil pada 13 Ramadhan, Zabur pada 18 Ramadhan dan al-Quran pada 24 Ramadhan (Musnad Ahmad).

Walaupun bulan Ramadhan begitu istimewa berbanding bulan lain, jangan pula kita tersilap menyembah Tuhan. Jangan jadi hamba Ramadhan tetapi jadilah hamba Allah yang melimpahkan siraman rahmatNya dalam bulan ini. Petanda mudah mengenal hamba Ramadhan adalah orang yang hanya mengenal Allah pada bulan ini sahaja. Setelah berlalunya Ramadhan, rasa gerun, takut dan cinta kepada Allah menyusut kecil lantas hilang ditelan masa. Bagi menjelaskan lagi symptom hamba Ramadhan saya perincikannya dalam 3 sudut iaitu;

1. CARA MENYAMBUT DAN BERPISAH DENGAN RAMADHAN. Hamba Ramadhan melihat ketibaan bulan ini sebagai satu “tempoh berlapar” yang perlu dilalui demi mendapat hari raya di hujung. Kegembiraan mereka mencanak naik apabila Ramadhan hampir habis. 10 malam terakhir Ramadhan yang sepatutnya diisi dengan pecutan ibadah bagi merebut hadiah Malam al-Qadr diganti dengan persiapan melampau hari raya. Mereka tersungkur atas litar lumba Ramadhan sebelum sampai garisan penamat “kerana tersadung kaki” dengan segala bagai persiapan menyambut hari raya.

2. SIKAP SERTA PENGISIAN SEMASA DALAM RAMADHAN. Hamba Ramadhan menjadi sedikit baik atau sopan kerana menghormati yang mulia ini. Sikap mereka sama seperti si perokok tegar yang segera membuang puntung rokoknya setelah melihat seorang tokoh ternama menghampirinya. Setelah si tokoh berlalu pergi, terus sahaja dilahapnya puntung rokok seterusnya walaupun dia tahu rokok itu haram di sisi agama lagi memudaratkan kesihatan. Hakikat kenajisan rokok tetal kekal sama ada dengan kehadiran tokoh tersebut atau tidak.

Hamba Ramadhan juga hanya kenal solat, masjid, menutup aurat dan membaca al-Quran dalam bulan Ramadhan. Setelah berlalunya Ramadhan jalan ke surau pun perlu dicari dalam aplikasi “WAZE” kerana mereka bimbang tersesat jalan. Kalau berselisih dengan imam Masjid selepas Ramadhan, si imam disangka sebagai penjual goreng pisang di tepi jalan. Kopiah serta kain pelikatnya dilipat masuk ke dalam almari sebagai bahan arkib tahunan. Al-Quran pula akan pulang ke rak buku dan kembali disalut oleh timbunan habuk. Baju sopan menutup aurat diganti dengan pakaian menjolok mata seksi lagi seksa pada mata orang lain. Seakan malaikat pencatat amalan hanya "masuk pejabat" dalam bulan Ramadhan sahaja.

3. KESAN SELEPAS RAMADHAN. Ramadhan sepatutnya menjadi sekolah rohani yang mampu mendidik Muslim menjadi baik. Tanda mudah mengenalpasti orang yang diterima amalannya sepanjang Ramadhan adalah perubahan sikap ke arah kebaikan. Ia disinggung secara umum oleh Allah dalam ayat ini:

وَالَّذِينَ اهْتَدَوْا زَادَهُمْ هُدًى وَآَتَاهُمْ تَقْوَاهُمْ

Ertinya: Dan (sebaliknya) orang yang menerima petunjuk (ke jalan yang benar), ALLAH MENAMBAHI MEREKA DENGAN HIDAYAH PETUNJUK, SERTA MEMBERI KEPADA MEREKA (DORONGAN) UNTUK MEREKA BERTAQWA (Muhammad[47:17]).

Madrasah Ramadhan yang penuh berkat mampu melahirkan Muslim yang bertaqwa. Contoh mudah adalah situasi ini; ketika siang hari Ramadhan anda tinggal seorang diri di rumah. Air liur anda jatuh terkecur apabila teringat jus mangga yang diperam sejuk lagi nyaman dalam peti ais di dapur. Jika jus itu ditelan masuk bagi membasahkan tekak yang kekeringan dek puasa, tiada siapa pun tahu. Ketika gelojak nafsu menggelegak ganas mendesak agar jus mangga itu dibaham, hati kecil anda bersuara menegah “JANGAN! KAMU SEDANG BERPUASA!” Berikutan itu gelojak nafsu segera terpadam tanpa bekas. Subhanallah! Tahukah anda, inilah “buah taqwa” yang memperlihatkan hasilnya dalam jiwa kita dalam bulan Ramadhan. Ia juga disebut sebagai “Ihsan” iaitu rasa sedar dengan kewujudan Allah yang sentiasa memerhatikan gerak laku kita di mana sahaja kita berada walaupun tanpa rakaman CCTV atau intaian orang.

Hamba Allah yang sebenar akan mendapat kesan Taqwa dari madrasah Ramadhan yang sebulan ini, manakala hamba Ramadhan akan melangkah keluar dari madrasah ini dengan kegagalan rohani. Lebih teruk, sedikit pahala yang mereka kutip dalam bulan Ramadhan langsung "rentung hangus" pada hari raya. Mohon dijauhkan Allah!

Akhirnya, rebutlah bonus tahunan yang Allah berikan pada bulan ini dengan benar-benar menjadi hambaNya dan bukannya menjadi hamba makhlukNya. Ketahuilah, jika kita menyembah Ramadhan maka Ramadhan akan berlalu meninggalkan kita. Sebaliknya jika kita menyembah Allah, maka Allah adalah Tuhan Yang Maha Berkuasa lagi Hidup kekal. Allah juga yang melimpahkan ganjaranNya pada kita dalam bekas Ramadhan. Ayuh segera mempertuhankan Allah dalam bulan ini kerana belum tentu Ramadhan tahun depan milik kita.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...