Wednesday, May 25, 2016

KISAH SEBENAR BUDAK TAHFIZ

KISAH SEBENAR BUDAK TAHFIZ

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Sedutan isi tazkirah motivasi di Ma’ahad Integrasi Tahfiz Selangor, Alam Impian pada 23 Mei 2016.

“Sudah berapa juzuk adik hafaz?”

Dengan bangga si budak Tahfiz menjawab: “Sudah 23 juzuk Pakcik.”

Mendengar jawapan itu, langsung Pakcik yang bertanya melopong kagum. Wajah si budak Tahfiz yang asalnya kelihatan biasa tiba-tiba menyerlahkan sinar luar biasa, sinar seri iman dan soleh. Faktor psikologi dek kekaguman melampau mengubah struktur retina matanya sehingga melihat khayalan cahaya iman terpancar dari wajah si budak Tahfiz. Kalau boleh mahu sahaja budak Tahfiz ini dirangkul, dicium dan dijadikan menantu angkat. Itulah senario biasa yang berlaku dalam hidup budak Tahfiz. Mereka dipandang sebagai jelmaan malaikat di bumi. Saya sudah biasa mengalaminya sejak 23 dahulu.

Lain halnya pula jika si budak Tahfiz ini bertemu dengan seorang hafiz sejati. Soalan si hafiz sejati akan berlapis 2. Ia bukan hanya terhenti setakat “Berapa juzuk sudah dihafaz?” tapi disusuli dengan soalan kedua yang biasanya memuramkan wajah si budak tahfiz:

“BERAPA JUZUK YANG MASIH KEKAL DALAM INGATAN ATAU MAMPU DIBACA?’

Menghafaz al-Quran memang kerja mulia kerana masanya dihabiskan siang malam menghadap setiap patah ayat al-Quran. Apa lagi aktiviti yang lebih mulia berbanding menjamu mata dan lidah dengan kalam Allah ini.  Sungguh! Menghafaz al-Quran bukan kerja mudah tetapi menjaga hafazan jauh lebih sukar. Setakat pemerhatian saya yang menghafaz al-Quran pada tahun 1993 di Institut Pengajian Tahfiz al-Quran (nama lama Darul Quran, JAKIM), budak Tahfiz akan melalui 2 tapisan yang disusun dalam jadual Allah.

“TAPISAN PERTAMA” adalah berjaya terpilih untuk masuk menjadi pelajar Tahfiz. Contohnya pada tahun 1993, saya bersama 40 calon lain dari seluruh Kelantan menghadiri temuduga pemilihan di Kompleks Balai Islam, Lundang, Kota Bharu. Dari keseluruhan calon, hanya 4 orang diterima masuk. Perkara sama turut berlaku pada semua Ma’ahad Tahfiz terpilih lain di seluruh Malaysia. Pun begitu, perlu diketahui bahawa ia “BARU LULUS DARI TAPISAN PERTAMA.” Belum tentu kita lulus dalam tapisan yang jauh lebih kritikal iaitu “TAPISAN KEDUA.”

“TAPISAN KEDUA” adalah pemilihan oleh Allah untuk kekal menjaga hafazan 30 juzuk sehingga ke akhir hayat. Ternyata ramai yang gagal atau “BELUM LULUS” dari tapisan ini. Ramai sekali budak Tahfiz yang lupa hafazannya selepas meninggalkan pusat pengajian Tahfiz. Firman Allah ini sangat sesuai menggambarkan perjuangan budak Tahfiz dalam menjaga hafazannya:

ثُمَّ أَوْرَثْنَا الْكِتَابَ الَّذِينَ اصْطَفَيْنَا مِنْ عِبَادِنَا فَمِنْهُمْ ظَالِمٌ لِنَفْسِهِ وَمِنْهُمْ مُقْتَصِدٌ وَمِنْهُمْ سَابِقٌ بِالْخَيْرَاتِ بِإِذْنِ اللَّهِ ذَلِكَ هُوَ الْفَضْلُ الْكَبِيرُ (32)

Ertinya: Kemudian Kami jadikan Al- Quran itu diwarisi oleh orang yang Kami pilih dari kalangan hamba Kami; maka antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengindahkan ajaran Al-Quran), dan ada yang bersikap sederhana, dan pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah semata-mata). (Fatir[35:32]).

Bagi budak Tahfiz yang masih berjaya mengekalkan hafazan walaupun setelah lama meninggalkan pusat pengajian Tahfiz, usahlah sombong dengan “REZEKI AL-QURAN” kurniaan Allah pada anda itu. Ini kerana ia berlaku dengan “IZIN ALLAH.” Hadam betul-betul hujung ayat di atas “DAN PULA ADA YANG MENDAHULUI (ORANG LAIN) DALAM BERBUAT KEBAIKAN DENGAN IZIN ALLAH.” Ia adalah pinjaman Allah untuk anda. Apabila ia barang pinjam boleh sahaja Allah mengambilnya kembali melalui berbagai cara. Hadam juga amaran Allah dalam ayat ini:

وَلَئِنْ شِئْنَا لَنَذْهَبَنَّ بِالَّذِي أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ ثُمَّ لَا تَجِدُ لَكَ بِهِ عَلَيْنَا وَكِيلًا

Ertinya: Dan sesungguhnya jika Kami kehendaki, tentulah Kami akan hapuskan apa yang Kami telah wahyukan kepadamu (al-Quran yang diwahyukan kepada Rasulullah SAW), kemudian engkau tidak akan beroleh sebarang pembela terhadap Kami untuk mengembalikannya (al-Isra’ [17.86]).

Para penghafaz al-Quran biasanya akan menghadapi 3 masalah utama iaitu;

(1) lupa hafazan,

(2) pudar semangat untuk mengulangkaji hafazan, dan

(3) kemalasan berganda.

Fenomena lupa apa yang pernah dihafaz sudah lama disinggung oleh Rasulullah SAW dalam sabda baginda:

إِنَّمَا مَثَلُ صَاحِبِ الْقُرْآنِ كَمَثَلِ الْإِبِلِ الْمُعَقَّلَةِ إِنْ عَاهَدَ عَلَيْهَا أَمْسَكَهَا وَإِنْ أَطْلَقَهَا ذَهَبَتْ…. وَإِذَا قَامَ صَاحِبُ الْقُرْآنِ فَقَرَأَهُ بِاللَّيْلِ وَالنَّهَارِ ذَكَرَهُ وَإِذَا لَمْ يَقُمْ بِهِ نَسِيَهُ

Ertinya: Perumpamaan para penghafaz al-Quran adalah seperti unta yang ditambat. Sekiranya dia berterusan menambatnya unta itu dapat dipegang dan sekiranya unta itu dilepaskan maka ia akan lari meninggalkan tuannya….apabila penghafaz al-Quran bangun solat dan membacanya pada waktu siang dan malam, dia akan mengingati (hafazannya) manakala jika dia mengabaikannya, dia akan lupakan hafazannya (Sahih al-Bukhari dan Muslim).

Dalam tazkirah serba ringkas itu, saya memberikan beberapa panduan yang dikutip dari pengalaman sendiri agar ketiga masalah itu dapat diatasi, antaranya:

1) DOA KEPADA ALLAH AGAR DIBERI KEKUATAN MAMPU MENGHAFAZ DAN MENJAGA HAFAZAN AL-QURAN SEHINGGA AKHIR HAYAT. Inilah rutin doa yang saya amalkan ketika mula menghafaz al-Quran dahulu. Doa ini juga terus dipanjatkan sehingga kini. Kenapa perlu berdoa? Tidak lain kerana takdir kita ditentukan sepenuhnya oleh Allah. Kita berharap agar takdir kita sebagai penghafaz al-Quran sentiasa cantik. Tambahan pula hati kita yang menjadi lubuk berkumpulnya hafazan dipegang sepenuhnya oleh Allah. Oleh itu, mohonlah kepada pemilik hati kita:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا اسْتَجِيبُوا لِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ إِذَا دَعَاكُمْ لِمَا يُحْيِيكُمْ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ
يَحُولُ بَيْنَ الْمَرْءِ وَقَلْبِهِ وَأَنَّهُ إِلَيْهِ تُحْشَرُونَ

Ertinya: Wahai orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan RasulNya apabila keduanya menyeru kamu kepada perkaraperkara yang menjadikan kamu hidup sempurna; DAN KETAHUILAH BAHAWA SESUNGGUHNYA ALLAH BERKUASA MENGUBAH ATAU MENYEKAT DI ANTARA SESEORANG ITU DENGAN (PEKERJAAN) HATINYA, dan sesungguhnya kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan (al-Anfal[8:24]).

2) BERKORBAN UNTUK AL-QURAN DAN MENGETATKAN DISIPLIN DIRI DALAM MENJAGA HAFAZAN. Tanpa disiplin dan pengorbanan masa, mustahil ayat al-Quran yang berjumlah 6236 itu dapat ditambat erat dalam hati kita. Saya sendiri mendisiplinkan diri selama 9 tahun selepas keluar Tahfiz untuk mengkhatamkan al-Quran dalam solat terawih. Pengalaman 9 tahun ini sangat perit tetapi SANGAT BERBALOI untuk mengekalkan hafazan.

3) CIPTA SUASANA MENGHAFAZ DAN MENGULANG AL-QURAN. Jangan sesekali tunduk pada suasana sekeliling. Ramai budak Tahfiz yang pernah menghafaz al-Quran menjadikan “ketiadaan suasana Tahfiz” sebagai alasan tidak dapat menjaga hafazan. Masih segar dalam ingatan, saya pernah bertanya soalan perihal suasana Tahfiz yang hilang selepas tamat belajar di Tahfiz kepada al-Marhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Ringkas sahaja jawapan Tuan Guru “KITA KENA CIPTA SUASANA DAN BUKANNYA TUNDUK PADA SUASANA.” Kata-kata Tuan Guru ini saya pegang kemas sehingga sekarang. JADILAH SEPERTI IKAN, WALAU TINGGAL DALAM LAUTAN YANG MASIN, DAGINGNYA TETAP TAWAR.

4) CARI TEMAN BERSAING DALAM MENGHAFAZ DAN MENJAGA HAFAZAN. Ketika masih belajar, budak Tahfiz wajib mencari teman yang cemerlang hafazan dan ulangannya. Tanam rasa iri hati dengan semangat dan kerajinan mereka. Saya sendiri semasa belajar dahulu selalu mengenalpasti “jumlah hafazan dan ulangan” rakan pelajar yang cemerlang. Saya jadikan kerajinan mereka sebagai cabaran buat diri saya. Ikmal Zaidi Hashim, Adlan Saidin, Rahimi Ramli Ramli dan Rosdee Dalee adalah “saingan” yang selalu membakar semangat saya. Hasilnya kami berlima berjaya khatam hafazan lebih awal  dari waktu yang ditetapkan oleh pihak pusat pengajian. Kejayaan kami pada waktu itu disambut gemilang dan setiap seorang dianugerahkan “hadiah insentif oleh Pusat Islam bernilai RM 1000.”

Selepas habis belajar, kadangkala semangat untuk mengulangkaji al-Quran boleh pudar. Pada ketika itu, saya akan segera berbual dan berdamping dengan rakan hafiz yang mantap hafazan serta ulangannya. Insya Allah! Semangat yang pudar mampu dibugar kembali dengan mendampingi mereka. Benar sabda Rasulullah SAW:

مَثَلُ الْجَلِيسِ الصَّالِحِ وَالْجَلِيسِ السَّوْءِ كَمَثَلِ صَاحِبِ الْمِسْكِ وَكِيرِ الْحَدَّادِ لَا يَعْدَمُكَ مِنْ صَاحِبِ الْمِسْكِ إِمَّا تَشْتَرِيهِ أَوْ تَجِدُ رِيحَهُ وَكِيرُ الْحَدَّادِ يُحْرِقُ بَدَنَكَ أَوْ ثَوْبَكَ أَوْ تَجِدُ مِنْهُ رِيحًا خَبِيثَةً

Ertinya: Perumpamaan kawan yang baik dan kawan yang jahat adalah seperti berkawan dengan penjual minyak wangi atau tukang besi. Berkawan dengan penjual minyak wangi akan menjadikanmu membeli darinya atau terkena tempias wangiannya. Berkawan dengan tukang besi pula sama ada akan membakar badan atau pakaianmu atau juga menempiaskan baunya yang busuk kepada badanmu (Sahih al-Bukhari dan Muslim)

Ketika menutup tazkirah itu, saya mengingatkan para pelajar agar “jangan tidur atau leka, jangan berdalih dan jangan malas.” Waktu muda adalah zaman emas bagi para penghafaz al-Quran. Apabila usia semakin meningkat dengan segala tanggungjawab baru, kita akan merindui zaman muda “KETIKA MASA TERLALU BANYAK KITA BAZIRKAN.”

Pelajar Tahfiz juga sudah sekian lama menumpang tuah al-Quran seperti tuah duniawi dengan insentif kewangan oleh pihak penaja dan sanjungan orang awam. Oleh itu, kita perlu muliakan al-Quran yang sudah sekian lama memuliakan kita dengan lebih tekun menghafaz, mengulang kaji hafazan, mendalami, menghayati dan menyebarkan isi al-Quran kepada dunia. Rebutlah peluang berharga menjadi manusia pilihan Allah yang disabdakan Rasulullah SAW:

إِنَّ لِلَّهِ أَهْلِينَ مِنْ النَّاسِ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ مَنْ هُمْ قَالَ هُمْ أَهْلُ الْقُرْآنِ أَهْلُ اللَّهِ وَخَاصَّتُهُ

Ertinya: Allah mempunyai ramai manusia pilihanNya. Sesungguhnya (antara) manusia pilihan Allah (Ahlullah) yang sangat istimewa adalah ahli al-Quran (para penghafaz al-Quran atau orang yang mendalami serta menghayatinya) (Sunan Ibn Majah dan Musnad Ahmad).

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...