Friday, April 22, 2016

MASUK SYURGA DENGAN RAHMAT ATAU AMAL?

MASUK SYURGA DENGAN RAHMAT ATAU AMAL?

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Dhuha Selasa (al-Saffat [37:57-61]) pada 19 April 2016. Antara isunya adalah kekeliruan sebab membawa manusia ke syurga antara rahmat Allah atau amalan hamba.

“Ustaz selalu cakap kita masuk syurga dengan rahmat Allah dan bukannya amalan. Engkau beribadat tunggang tonggek sekalipun belum tentu dapat tempat dalam syurga. Mungkin aku yang malas beribadat ni masuk syurga dulu sebelum kamu.”

Ayat si fulan ini ada benarnya tapi bukan semuanya benar. Ia masih ada timbang tara yang perlu dihitung mengikut neraca al-Quran dan al-Sunnah. Benar sekali kita masuk syurga bukan kerana amalan semata. Jika amalan menjamin tempat kita dalam syurga, seakan Allah sudah hilang kuasa mutlakNya kerana terpaksa tunduk akur membayar upah terhadap ibadah hambaNya. Masakan Tuhan terpaksa tunduk kepada hamba? Rasulullah SAW bersabda:

لَنْ يُدْخِلَ أَحَدًا عَمَلُهُ الْجَنَّةَ قَالُوا وَلَا أَنْتَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ لَا وَلَا أَنَا إِلَّا أَنْ يَتَغَمَّدَنِي اللَّهُ بِفَضْلٍ وَرَحْمَةٍ 

Ertinya: Amalan seseorang itu tidak akan (menjadi sebab) dia dimasukkan ke dalam syurga. Sahabat bertanya: (Adakah) Engkau juga (terikat dengan perkara ini) wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Ya, aku juga (tidak terjamin), melainkan Allah menyampaikan padaku dengan kurniaan serta rahmatNya (Sahih Bukhari dan Muslim)

Walaupun begitu, timbul sedikit kekeliruan mengenai hadith di atas yang seakan bercanggah dengan banyak ayat al-Quran yang mengesahkan manusia masuk syurga kerana amalan mereka. Banyak sekali ayatnya, antaranya:

وَنَزَعْنَا مَا فِي صُدُورِهِمْ مِنْ غِلٍّ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهِمُ الْأَنْهَارُ وَقَالُوا الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي هَدَانَا لِهَذَا وَمَا كُنَّا لِنَهْتَدِيَ لَوْلَا أَنْ هَدَانَا اللَّهُ لَقَدْ جَاءَتْ رُسُلُ رَبِّنَا بِالْحَقِّ وَنُودُوا أَنْ تِلْكُمُ الْجَنَّةُ أُورِثْتُمُوهَا بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ

Ertinya: Dan Kami cabutkan segala dendam dan hasad dengki dari hati mereka, (dalam Syurga) yang mengalir beberapa sungai di bawah (tempat) masing-masing, dan mereka pula bersyukur dengan berkata: "Segala puji tertentu bagi Allah yang telah memberi hidayah petunjuk untuk (mendapat nikmat) ini, padahal Kami tidak akan memperoleh petunjuk kalau Allah tidak memimpin kami (dengan taufiqNya); sesungguhnya telah datang Rasul Tuhan kami dengan membawa kebenaran". Dan mereka diseru: "ITULAH SYURGA YANG DIBERIKAN KAMU MEWARISINYA DENGAN SEBAB APA YANG KAMU TELAH KERJAKAN".(Al-A'raf [7:43

Juga firman Allah:

الَّذِينَ تَتَوَفَّاهُمُ الْمَلَائِكَةُ طَيِّبِينَ يَقُولُونَ سَلَامٌ عَلَيْكُمُ ادْخُلُوا الْجَنَّةَ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ

Ertinya: (Iaitu) mereka yang diambil nyawanya oleh malaikat dalam keadaan mereka bersih suci (dari kufur syirik dan maksiat), sambil malaikat itu berkata kepada mereka: "Selamat sejahtera kepada kamu; MASUKLAH KE DALAM SYURGA DISEBABKAN AMAL BAIK YANG TELAH KAMU KERJAKAN" (al-Nahl [16:32]).

Juga firman Allah:

أَمَّا الَّذِينَ آَمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ فَلَهُمْ جَنَّاتُ الْمَأْوَى نُزُلًا بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Ertinya: Adapun orang yang beriman dan beramal soleh, MAKA MEREKA AKAN BEROLEH SYURGA TEMPAT TINGGAL YANG TETAP SEBAGAI BALASAN BAGI APA YANG MEREKA TELAH KERJAKAN (al-Sajdah [32:19]).

Juga firman Allah:

ادْخُلُوا الْجَنَّةَ أَنْتُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ تُحْبَرُونَ (70) يُطَافُ عَلَيْهِمْ بِصِحَافٍ مِنْ ذَهَبٍ وَأَكْوَابٍ وَفِيهَا مَا تَشْتَهِيهِ الْأَنْفُسُ وَتَلَذُّ الْأَعْيُنُ وَأَنْتُمْ فِيهَا خَالِدُونَ (71) وَتِلْكَ الْجَنَّةُ الَّتِي أُورِثْتُمُوهَا بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ (72)

Ertinya: (Mereka diberi sebaik-baik balasan dengan dikatakan kepada mereka): "Masuklah kamu ke dalam Syurga bersama isteri kamu (yang beriman), dengan menikmati kegembiraan dan kesenangan". Diedarkan kepada mereka pinggan besar dan piala dari emas; dan dalam Syurga itu pula disediakan segala yang diingini oleh nafsu serta di pandang indah oleh mata; dan (dikatakan kepada mereka): "Kamu adalah tetap kekal dalamnya". Dan (dikatakan lagi kepada mereka): "INILAH SYURGA YANG DIBERIKAN KAMU MEWARISINYA, DISEBABKAN APA YANG KAMU TELAH KERJAKAN" (al-Zukruf [43:70-72]).

Sebenarnya hadith Rasulullah SAW dan ayat di atas tidak bercanggah bagai yang dilihat mata zahir, tetapi saling melengkapi antara satu sama lain. Amalan manusia ada yang ikhlas berisi semangat rohani dan ada pula yang riyak lompong isinya. Sudah pasti Allah hanya menerima yang ikhlas berisi iman. Jika gerakan fizikal pada amalan sudah menjadi tiket ke syurga bermakna Allah sangat lemah dalam menilai mana yang suci dan mana yang keji. Mustahil ia berlaku pada Allah.

Syurga dicapai dengan rahmat Allah, namun apa yang menjadi sebab limpahan rahmat Allah itu? Sudah pasti amalan yang tulus ikhlas menjadi sebab paling kukuh mengundang rahmat Allah. Analogi mudah adalah hubungan antara 3 anak dan ayahnya. Anak sulung terkenal soleh dan rajin membantu. Tanpa disuruh tulang 4 keratnya dibaktikan untuk si ayah. Anak tengah dan bongsu pula sungguh liat membantu. Ada sahaja alasan diberi yang menghiris jiwa si ayah. Tiba-tiba pada suatu hari ketiga anak ini meminta sesuatu yang khusus dari ayahnya. Hak memenuhi permintaan mereka menjadi hak mutlak si ayah, namun kasih sayangnya sudah pasti lebih mudah tertumpah pada anak sulung yang soleh lagi rajin.

Kasih sayang Allah, ketulusan hati serta ketekunan hamba saling lengkap melengkapi dalam bicara ganjaran syurga. Ayat dari surah al-Saffat ini mengharmonikan antara pertembungan ini:

وَلَوْلَا نِعْمَةُ رَبِّي لَكُنْتُ مِنَ الْمُحْضَرِينَ (57) أَفَمَا نَحْنُ بِمَيِّتِينَ (58) إِلَّا مَوْتَتَنَا الْأُولَى وَمَا نَحْنُ بِمُعَذَّبِينَ (59) إِنَّ هَذَا لَهُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ (60) لِمِثْلِ هَذَا فَلْيَعْمَلِ الْعَامِلُونَ (61)

Ertinya: "Dan kalaulah tidak disebabkan NIKMAT (RAHMAT) PEMBERIAN TUHANKU (dengan hidayah petunjuk), nescaya jadilah aku dari orang yang dibawa hadir (untuk menerima balasan azab)". (Kemudian ahli syurga berkata lagi kepada rakan yang sedang menikmati kesenangan di Syurga bersama): " Bukankah kita (setelah mendapat nikmat ini) tidak akan mati lagi, "Selain kematian kita yang dahulu (semasa di dunia), dan kita juga tidak akan terkena seksa?" Sesungguhnya (nikmat kesenangan Syurga) yang demikian, adalah kemenangan yang besar. UNTUK MEMPEROLEH (KEJAYAAN) YANG SEPERTI INILAH HENDAKNYA ORANG YANG BERAMAL MELAKUKAN AMAL USAHANYA DENGAN BERSUNGGUH (SEMASA DI DUNIA) (al-Saffat [37:57-61]).

Syurga itu sangat mahal nilainya. Walaupun kita memiliki harta bernilai RM 2.6 billion sekalipun, kita masih tak mampu membeli sekadar “sekaki” tanah syurga. Nilai amalan kita yang seumur hidup sekalipun belum mampu untuk membayar walau satu sedutan oksigen segar syurga. Jika yang kuat beramal pun belum tentu  tempatnya dalam syurga, bagaimana pula nasib orang malas yang kuat berangan? Sungguh! Syurga dicapai dengan rahmat dan amalan dan bukan angan-angan.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...