Thursday, April 21, 2016

IBLIS ADALAH SANG PENCINTA YANG AGUNG

IBLIS ADALAH SANG PENCINTA YANG AGUNG?

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Jumaat (Sad [38:71-78]) pada 15 April 2016. Antara isunya adalah kesilapan sesetengah pihak yang cuba bersangka baik dengan Iblis dengan dakwaan cinta Iblis menjadi punca keengganannya sujud pada Adam.

“Iblis enggan sujud kepada Adam kerana dia terlalu mabuk cinta pada Allah!” Mabuk cintanya itu menyebabkan dia tidak mahu menyekutukan cintanya kepada yang lain. Sujudnya hanya pada Allah dan bukan pada Adam.

Hati saya tersentak seketika apabila membaca kenyataan ini dalam sebuah blog yang saya temui. Blog tersebut membawa satu tafsiran yang dibuat oleh seorang tokoh sufi kontroversi. Diceritakan secara terperinci keluhan hati Iblis bersama syair cintanya kepada Allah sejurus dia dilaknat. Seakan mahu dibawa satu sudut lain dalam kes Adam dan Iblis, sudut mabuk sang pencinta Allah. Huraiannya tampak logik tapi benarkah begitu?

Saya mengesan 2 kesilapan penulis blog ini yang wajib disanggah agar kisah mabuk cinta si Iblis terkutuk tidak ditelan oleh para pembaca dalam hidangan rahsia cinta. 2 Kesilapan itu sangat kuat bau “perencah Iblisnya.” Jika tafsiran ini dibiarkan, mungkin akan ada manusia jahil lain berbaik sangka dengan Iblis sedangkan Iblis serta syaitan sudah diwartakan sebagai musuh abadi manusia:

إِنَّ الشَّيْطَانَ لَكُمْ عَدُوٌّ فَاتَّخِذُوهُ عَدُوًّا إِنَّمَا يَدْعُو حِزْبَهُ لِيَكُونُوا مِنْ أَصْحَابِ السَّعِيرِ

Ertinya:  Sesungguhnya Syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka (Fatir [35:6]).

Berikut adalah kesilapan blog itu;

1) Perihal yang ghaib ada etika yang ketat dalam agama. Ia mesti bersandarkan sumber wahyu iaitu al-Quran dan Sunnah yang sahih. Masakan kisah dialog di langit itu disandarkan hanya pada khayalan sebuah kitab karangan orang sufi. Aishah RA pernah berkata (Sunan al-Tirmidhi):

وَمَنْ زَعَمَ أَنَّهُ يَعْلَمُ مَا فِي غَدٍ فَقَدْ أَعْظَمَ الْفِرْيَةَ عَلَى اللَّهِ وَاللَّهُ يَقُولُ
قُلْ لَا يَعْلَمُ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ الْغَيْبَ إِلَّا اللَّهُ وَمَا يَشْعُرُونَ أَيَّانَ يُبْعَثُونَ

Ertinya: Sesiapa yang menyangka bahawa Rasulullah SAW senantiasa mengetahui apa yang bakal berlaku pada esok harinya, MAKA DIA TELAH MELAKUKAN JENAYAH YANG BESAR TERHADAP ALLAH kerana Allah berfirman: KATAKANLAH LAGI: TIADA SESIAPAPUN DI LANGIT DAN DI BUMI YANG MENGETAHUI PERKARA YANG GHAIB MELAINKAN ALLAH!" Dan tiadalah mereka menyedari bilakah masing-masing akan dibangkitkan hidup semula (sesudah mati) (al-Naml [27:65]).

Apakah khayalan ladunni tokoh sufi ini mampu mengatasi firman Allah dalam al-Quran? Adakah tokoh sufi ini mendapat wahyu yang tidak diwahyukan kepada Rasulullah SAW? Jika benar baginda diwahyukan kisah mabuk cinta Iblis ini, sudah pasti ia akan sampai kepada kita melalui hadith baginda kerana sifat wajib baginda adalah TABLIGH iaitu menyampaikan segala wahyu tanpa sorok. Dakwaan “tahu” mengatasi Rasulullah adalah suatu dakwaan biadab kepada baginda. Jika dikata mata hati tokoh sufi ini melihat suatu hakikat yang tidak dapat dilihat oleh mata manusia bersyariat zahir, ia tetap wajib ditimbang atas neraca wahyu. Bimbang yang disangka ladunni kasysyaf tetapi sebenar campakan pemikiran jahat oleh Iblis sendiri. Mohon dijauhkan Allah.

2) Al-Quran berulang kali menyebut sebab keengganan Iblis sujud adalah sifat SOMBONG yang membuak-buak dalam dirinya dan bukannya mabuk cinta. Jauh sekali antara sombong dan mabuk cinta. Jika benar seorang hamba mabuk cinta kepada Allah, dia akan melakukan apa sahaja arahan Allah walau terpaksa mengorbankan egonya. Lihat firman Allah ini:
 

إِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي خَالِقٌ بَشَرًا مِنْ طِينٍ (71) فَإِذَا سَوَّيْتُهُ وَنَفَخْتُ فِيهِ مِنْ رُوحِي فَقَعُوا لَهُ سَاجِدِينَ (72) فَسَجَدَ الْمَلَائِكَةُ كُلُّهُمْ أَجْمَعُونَ (73) إِلَّا إِبْلِيسَ اسْتَكْبَرَ وَكَانَ مِنَ الْكَافِرِينَ (74) قَالَ يَا إِبْلِيسُ مَا مَنَعَكَ أَنْ تَسْجُدَ لِمَا خَلَقْتُ بِيَدَيَّ أَسْتَكْبَرْتَ أَمْ كُنْتَ مِنَ الْعَالِينَ (75) قَالَ أَنَا خَيْرٌ مِنْهُ خَلَقْتَنِي مِنْ نَارٍ وَخَلَقْتَهُ مِنْ طِينٍ (76) قَالَ فَاخْرُجْ مِنْهَا فَإِنَّكَ رَجِيمٌ (77) وَإِنَّ عَلَيْكَ لَعْنَتِي إِلَى يَوْمِ الدِّينِ (78)

Ertinya: (Ingatkanlah peristiwa) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia - Adam dari tanah; [72]" Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh dari (ciptaan) Ku, maka hendaklah kamu sujud kepadanya". [73] (Setelah selesai kejadian Adam) maka sujudlah sekalian malaikat, semuanya sekali, - [74] Melainkan Iblis; dia berlaku sombong takbur (mengingkarinya) serta menjadilah ia dari golongan yang kafir. [75] Allah berfirman: " Hai lblis! Apa yang menghalangmu daripada turut sujud kepada (Adam) yang Aku telah ciptakan dengan kekuasaanKu? ADAKAH ENGKAU BERLAKU SOMBONG TAKBUR, ATAUPUN ENGKAU DARI GOLONGAN YANG TERTINGGI? " [76] IBLIS MENJAWAB: " AKU LEBIH BAIK DARIPADANYA; ENGKAU (WAHAI TUHANKU) CIPTAKAN DAKU DARI API, SEDANG DIA ENGKAU CIPTAKAN DARI TANAH ". [77] Allah berfirman: " Kalau demikian, keluarlah engkau daripadanya, kerana sesungguhnya engkau adalah makhluk yang diusir. [78] " Dan sesungguhnya engkau ditimpa laknatku terus menerus hingga ke hari kiamat!" (Sad [38:71-78]).

Kesombongan Iblis diwahyukan Allah bukan hanya sekali tetapi berulang kali dalam al-Quran. Lihat sendiri dalam ayat (al-Baqarah[2:34]), al-A’raf [7:11-13], al-Hijr [15:28-35], al-Isra’[17:61-62], al-Kahf [18:50] dan Taha[20:116]). Dalam semua ayat ini Allah menyatakan dengan jelas bahawa Iblis adalah mahkluk yang sombong dan bukannya mabuk cinta.

Arahan sujud pada Adam bukan bermaksud sujud kepada makhluk tetapi melambangkan kepatuhan kepada arahan Allah. Para malaikat segera sujud tanpa soal kerana cinta mereka pada Allah yang bersulam patuh. Iblis enggan sujud bukan kerana cintanya kepada Allah tetapi kerana sombongnya. Sombong ini menjadi bahana laknat Allah terhadapnya. Ia dijelaskan Rasulullah SAW dalam sebuah hadith baginda:

قَالَ لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ

Ertinya: Tidak akan masuk syurga orang yang ada dalam hati jantungnya walau sebesar biji zarah sifat sombong (Sahih Muslim).

Sebenarnya dendam berpunca dari sombong Iblis sudah lama tercetus sebelum Allah meniupkan roh pada Adam lagi sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

لَمَّا صَوَّرَ اللَّهُ آدَمَ فِي الْجَنَّةِ تَرَكَهُ مَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ يَتْرُكَهُ فَجَعَلَ إِبْلِيسُ يُطِيفُ بِهِ يَنْظُرُ مَا
هُوَ فَلَمَّا رَآهُ أَجْوَفَ عَرَفَ أَنَّهُ خُلِقَ خَلْقًا لَا يَتَمَالَكُ

Ertinya: Ketika Allah membentuk tubuh Adam dalam syurga, Allah meninggalkannya buat beberapa ketika. Iblis lalu mengelilingi dan memperhatikan apa yang sedang dicipta Allah. Apabila melihat tubuh itu berongga, tahulah Iblis bahawa Adam dicipta sebagai makhluk yang tak dapat menguasai diri (Sahih Muslim).
Agama ini seumpama air bersih yang menghidupkan jiwa. Jarak aliran airnya antara kita dengan Rasulullah SAW sudah sangat jauh iaitu hampir 1500 tahun. Semakin jauh dari sumber air, maka kualiti airnya semakin mudah tercemar dengan berbagai sampah sarap falsafah agama lain. Cara paling selamat dalam beragama bukan melihat tafsiran yang unik atau pelik dari orang kemudian, tetapi kembali kepada sumber air yang bersih iaitu zaman awal Islam. Semoga Allah menjaga kebersihan agama kita seperti bersihnya agama pada zaman awal Islam.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...