Saturday, April 23, 2016

BENARKAH KISAH PEDANG UKASYAH YANG AJAIB?

BENARKAH KISAH PEDANG UKASYAH YANG AJAIB?

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Ketika remaja dahulu (1991 - 2000) kami biasa membaca komik alih Bahasa dari Hong Kong. Antara komik kegemaran ramai adalah Pedang Setiawan dan Wira Sakti karya pelukis kidal Hong Kong Ma Wing Shing. Watak Wira Wah, Pedang Sakti, Penjejak Awan, Penjejak Badai, Pendekar Tanpa Nama memang tidak asing pada kami. Begitu juga nama pedang mereka seperti pedang istimewa, pedang salji, pedang pendekar, pedang merah dan sebagainya. Sehingga kini ada ramai kawan memakai nama samaran dalam facebook dengan nama watak tersebut.

Ketika membaca sirah perang Badar saya terbaca sebuah riwayat “pedang yang ajaib.” Ia melibatkan kisah pedang seorang sahabat nabi yang patah. Setelah pedangnya patah, ‘Ukasyah bin Mihsan datang menemui Rasulullah SAW. Baginda mencabut sebatang ranting kayu lalu mengarahkan beliau berperang dengan ranting tersebut. Setelah berada dalam tangannya, ranting tersebut bertukar menjadi sebilah pedang panjang yang kuat, tajam menghiris dan bersinar penuh kilatan. Beliau menggunakan pedang itu bertempur menentang Muysrikin Quraysh dalam perang Badar dan akhirnya umat Islam mendapat kemenangan yang gemilang. Pedang itu kekal bersamanya dalam banyak perang lain. pedang itu kemudiannya dinamakan sebagai – العَون – PEMBANTU. Kisah ini disebut dalam banyak riwayat seperti Sirah Ibn Ishaq, Sirah Ibn Hisyam, Zad al-Ma’ad oleh Imam Ibn al-Qayyim.

Walau bagaimanapun, riwayat ini dipertikaikan kesahihannya oleh Imam al-Dhahabi dalam kitabnya Siyar A’lam al-Nubala’ kerana riwayat ini dinuqil oleh Ibn Ishaq “tanpa sanad.” Pihak yang mempertahankan kisah ini pula menyatakan ia sebahagaian dari Mukjizat Rasulullah SAW. Pun begitu, sebarang mukjizat baginda perlu disokong oleh nass yang kuat dan nass disokong pula oleh sanad atau rantaian periwayatan yang kukuh. Bak kata Abdullah ibn al-Mubarak:

الْإِسْنَادُ مِنْ الدِّينِ وَلَوْلَا الْإِسْنَادُ لَقَالَ مَنْ شَاءَ مَا شَاءَ

Ertinya: Isnad (rantaian periwayatan dalam mengukuhkan kesahihan sesuatu periwayatan) termasuk dalam tuntutan agama. Jika tiada (tangung jawab meneliti) isnad, sudah pasti sesiapa sahaja boleh berkata dan mendakwa sesuatu (tanpa bukti) (Sahih Muslim).

Ketidak-sahihan kisah “pedang ajaib ‘Ukasyah” ini juga dikritik oleh pengkaji moden seperti Muhammad bin Abdullah al-‘Awsyan dalam bukunya (ما شاع ولم يثبت في السيرة النبوية  - Apa banyak tersebar dalam kitab sirah tetapi tidak sahih).

Saya insan kerdil dan tidak berilmu. Biarlah para ulama berselisih pandangan dalam kajian dan pendapat mereka. Saya lebih suka memfokuskan kelebihan ‘Ukasyah dengan riwayat yang lebih sahih. Tanpa bantuan pedang ajaib bergelar al-‘Awn sekalipun, ‘Ukasyah tetap istimewa kerana sudah mendapat tiket ke syurga berkat doa Rasulullah SAW dalam hadith ini:

يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مِنْ أُمَّتِي زُمْرَةٌ هُمْ سَبْعُونَ أَلْفًا تُضِيءُ وُجُوهُهُمْ إِضَاءَةَ الْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ وَقَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ فَقَامَ عُكَّاشَةُ بْنُ مِحْصَنٍ الْأَسَدِيُّ يَرْفَعُ نَمِرَةً عَلَيْهِ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ ادْعُ اللَّهَ أَنْ يَجْعَلَنِي مِنْهُمْ قَالَ اللَّهُمَّ اجْعَلْهُ مِنْهُمْ ثُمَّ قَامَ رَجُلٌ مِنْ الْأَنْصَارِ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ ادْعُ اللَّهَ أَنْ يَجْعَلَنِي مِنْهُمْ فَقَالَ سَبَقَكَ بِهَا عُكَّاشَةُ

Ertinya: Sejumlah 70 ribu manusia dari umatku akan masuk syurga tanpa hisab. Wajah mereka bersinar seperti bersinarnya bulan penuh pada malam bulan purnama. … ‘Ukasyah bin Mihsan al-Asadiy lantas mengangkat baju kulitnya (seperti kulit harimau) sambil berkata: Ya Rasulullah, doakan untukku agar aku termasuk dalam kumpulan mereka. Rasulullah berdoa: Ya Allah! Jadikan dia dari kumpulan itu.  Kemudiannya seorang lelaki Ansar bangun dan berkata sama sperti Ukasyah. Baginda menjawab: “Ukasyah sudah mendahuluimu (dalam mendapat kelebihan itu) (Sahih al-Bukhari dan Muslim).

‘Ukasyah sudah pasti istimewa kedudukannya dalam Islam sama ada dengan kisah pedangnya atau tidak. Sumbangannya juga sudah terpaku kemas dalam sejarah perang Badar walaupun bukan semua ulama setuju dengan kisah pedangnya. Ayuh bersama mencontohi beliau berbakti untuk Islam. Mana tahu kita akan bertemu dengan ‘Ukasyah dalam syurga kelak. Bila bertemu nanti, tanyalah sendiri padanya “benarkah pedang anda begitu ajaib bagai yang dikata? 

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...