Thursday, March 17, 2016

USAH DIMINTA BANTUAN DARI YANG MATI DAN TIDAK PERNAH HIDUP

USAH DIMINTA BANTUAN DARI YANG MATI DAN TIDAK PERNAH HIDUP

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Sabtu (al-A’raf [7:194-195]) pada 12 Mac 2016. Antara isunya adalah logik dari Allah mengapa sang berhala tidak sepatutnya disembah kerana tersangat lemah.

“Duhai berhala al-Lata, bolehkah Tuan bawakan saya segelas air. Saya sangat keletihan sehingga tidak mampu mengambilnya dari tempayan di dapur sana.”

Sudah seharian suntuk Abu Jahil (bukan nama sebenar) terlantar menunggu berhala yang dipujanya mengambil segelas air untuknya yang sedang parah kehausan. Akhirnya Abu Jahil terpaksa meminta bantuan kawannya Abu Jahat (pun bukan nama sebenar) agar mengambil segelas air untuknya. Sejurus Abu Jahat “mendengar” permintaan Abu Jahil, “matanya melihat” tempayan di dapur, kemudian dia menuangkan air ke dalam sebuah gelas. Setelah itu, Abu Jahat “memegang kemas” gelas itu lalu mengatur langkah “kakinya” menuju Abu Jahil yang masih terlantar. Akhirnya Abu Jahat yang memiliki 4 anggota hakiki iaitu “mata, telinga, tangan dan kaki” mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi Abu Jahil.

Inilah cara Allah mengetuk keras hati si penyembah berhala agar meninggalkan benda beku yang tak mampu membantu mereka itu. Firman Allah:

إِنَّ الَّذِينَ تَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ عِبَادٌ أَمْثَالُكُمْ فَادْعُوهُمْ فَلْيَسْتَجِيبُوا لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ (194) أَلَهُمْ أَرْجُلٌ يَمْشُونَ بِهَا أَمْ لَهُمْ أَيْدٍ يَبْطِشُونَ بِهَا أَمْ لَهُمْ أَعْيُنٌ يُبْصِرُونَ بِهَا أَمْ لَهُمْ آَذَانٌ يَسْمَعُونَ بِهَا قُلِ ادْعُوا شُرَكَاءَكُمْ ثُمَّ كِيدُونِ فَلَا تُنْظِرُونِ (195)

Ertinya: Sesungguhnya benda yang kamu seru selain Allah adalah makhluk seperti kamu. Oleh itu, (cubalah) menyerunya supaya benda itu dapat memperkenankan permohonan kamu, kalau betul kamu orang yang benar. Adakah benda (yang kamu sembah) itu “MEMPUNYAI KAKI YANG MEREKA DAPAT BERJALAN DENGANNYA, ATAU ADAKAH MEREKA MEMPUNYAI TANGAN YANG MEREKA DAPAT MEMEGANG (MENYEKSA) DENGANNYA, ATAU ADAKAH MEREKA MEMPUNYAI MATA YANG MEREKA DAPAT MELIHAT DENGANNYA, ATAU ADAKAH MEREKA MEMPUNYAI TELINGA YANG MEREKA DAPAT MENDENGAR DENGANNYA?” Katakanlah (wahai Muhammad): "Panggilah benda yang kamu jadikan sekutu Allah, kemudian kamu semua jalankan tipu daya terhadapku, serta jangan pula kamu bertangguh lagi (al-A’raf [7:194-195]).

Hebat sekali Allah menggunakan logik 4 anggota utama manusia yang dapat membantu mereka dalam melaksanakan sesuatu urusan. Pastinya semua benda beku seperti berhala tidak memiliki kesemua anggota tersebut. Dalam situasi lain Allah mengetuk lagi kebodohan mereka dengan logik lalat yang berkuasa dan berhala yang lemah tak bermaya. FirmanNya:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ ضُرِبَ مَثَلٌ فَاسْتَمِعُوا لَهُ إِنَّ الَّذِينَ تَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ لَنْ يَخْلُقُوا ذُبَابًا وَلَوِ اجْتَمَعُوا لَهُ وَإِنْ يَسْلُبْهُمُ الذُّبَابُ شَيْئًا لَا يَسْتَنْقِذُوهُ مِنْهُ ضَعُفَ الطَّالِبُ وَالْمَطْلُوبُ

Ertinya: Wahai umat manusia, diberikan satu misal perbandingan, maka dengarlah mengenainya dengan bersungguh-sungguh. Sebenarnya apa yang kamu seru dan sembah selain dari Allah itu, tidak sekali-kali akan dapat mencipta seekor lalat walaupun mereka berhimpun beramai-ramai untuk membuatnya; dan JIKA LALAT ITU MENGAMBIL SESUATU DARI MEREKA, MEREKA TIDAK DAPAT MENGAMBILNYA BALIK DARIPADANYA. (KEDUA-DUANYA LEMAH BELAKA), LEMAH YANG MEMINTA (DARI MENDAPAT HAJATNYA), DAN LEMAH YANG DIMINTA (DARIPADA MENUNAIKANNYA) (al-Hajj[22:73]).

Sudah menjadi kebiasaan orang Arab Jahiliah melumur berhala pujaan mereka dengan wangian agar si berhala kekal mewangi. Jika si lalat datang bertenggek dan merampas secebis wangian itu yang melekat pada kakinya yang kecil, berhala itu tidak mampu berbuat apa-apa. Jika begini keadaannya, mereka lebih patut menyembah si lalat yang mampu merampas dan bukannya si berhala yang tidak bermaya berbuat apa-apa.

Berhala mereka juga bukan sekadar mati tetapi langsung tidak hidup sebagaimana sindiran lain yang disentap Allah dalam sebuah ayat:

وَالَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ لَا يَخْلُقُونَ شَيْئًا وَهُمْ يُخْلَقُونَ (20) أَمْوَاتٌ غَيْرُ أَحْيَاءٍ وَمَا يَشْعُرُونَ أَيَّانَ يُبْعَثُونَ (21)

Ertinya: Dan makhluk yang mereka sembah selain dari Allah itu tidak dapat menciptakan sesuatupun, bahkah merekalah yang diciptakan. “MAKHLUK ITU TETAP AKAN MATI, TIDAK HIDUP;” dan mereka tidak mengetahui bilakah masing-masing akan dibangkitkan (menerima balasan). (al-Nahl [16:20-211]).

Mengapa perlu diulang mereka “mati dan tidak hidup”? Bukankah sudah cukup jika dikata berhala itu mati? Pengulangan ini bertujuan menyedarkan si penyembah berhala bahwa berhala mereka tidak pernah hidup pun sebelum mereka dicipta. Ada sesetengah makhkluk yang mati pernah hidup suatu masa dahulu dan pernah sekali berjasa kepada orang lain. Situasi ini tidak pernah berlaku pun kepada semua berhala mereka. Lalu apa bodohnya mereka masih menundukkan kepala mengharap kepada semua berhala itu? Aduh, bisanya tempelak Allah ini.

Kisah pengislaman seorang sahabat Rasulullah yang bernama ‘Amr bin al-Jamuh sangat bagus untuk dikongsi berkenaan bodohnya akidah si penyembah berhala. Beliau adalah orang Ansar dan memeluk Islam di Madinah. Mu’adh bin Jabal RA dan anaknya Mu’adh bin ‘Amr bin al-Jamuh terlebih dahulu memeluk Islam. Mereka berpakat bertindak mencuri berhala kesayangan ‘Amr bin al-Jamuh yang bernama “MANAT” lalu membuangnya ke dalam parit kaumnya yang bercampur najis sebanyak 2 kali. Setiap kali menemui berhala itu, ‘Amr akan membersihkannya. Selepas menemuinya pada kali kedua, ‘Amr menggantung sebilah pedang pada leher si berhala dengan harapan ia mampu melawan pencurinya. Pada kali ketiga, kedua remaja itu mengikat berhala MANAT pada bangkai anjing dan membuangnya ke dalam sebuah perigi lama kaumnya. Setelah menemui si berhala, barulah ‘Amr sedar betapa bodoh tindakannya selama ini menyembah makhluk yang tidak berdaya. Berikutan itu beliau memeluk Islam (Sirah Ibn Hisyam).

Ayat dan kisah di atas berbicara tentang kebodohan para penyembah berhala pada zaman Rasulullah SAW. Pun begitu, ia sangat sesuai untuk berbicara dengan sesetengah manusia pada zaman ini yang akidahnya tersangkut pada kuasa palsu tangkal dan azimat.

Kembalilah kepada Islam yang menegakkan Tawhid; iaitu segala kuasa hanya berpusat kepada Allah semata. Mintalah padaNya dan bukan pada makhluk lain sama ada yang hidup atau yang mati dan tak pernah hidup.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...