Friday, March 18, 2016

ASINGLAH KAMU PADA HARI INI WAHAI SI JAHAT

ASINGLAH KAMU PADA HARI INI WAHAI SI JAHAT

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Dhuha Selasa (Yasin [36:59]) pada 15 Mac 2016. Antara isunya adalah arahan pengasingan oleh Allah kepada makhluk jahat ketika audit berjalan di padang mahsyar kelak.

Air tidak bercampur dengan minyak. Ubat tidak bergandingan dengan penyakit. Bau yang wangi tidak boleh bersama bau busuk. Ahli syurga pastinya tidak akan duduk sebumbung dengan ahli neraka di akhirat kelak. Setelah manusia dikumpulkan di padang mahsyar, Allah menempelak manusia jahat yang sudah sebelah kakinya berada dalam neraka agar segera diasingkan. Bayangkan betapa malunya mereka pada waktu itu apabila seluruh mata manusia dan jin yang berkumpul di padang mahsyar memandang mereka dengan pandangan jijik lagi hina. Ini penghinaan pertama yang dipaku atas batang hidung ahli neraka. Firman Allah:

وَامْتَازُوا الْيَوْمَ أَيُّهَا الْمُجْرِمُونَ

Ertinya: Dan (sebaliknya dikatakan kepada orang yang kafir): "Berpisahlah kamu pada hari ini, wahai orang yang berdosa, (daripada bercampur gaul dengan orang yang beriman) (Yasin [36:59]).

Pengasingan ini dibuat menurut kumpulan serta idealogi mereka (Tafsir al-Qurtubi). Yahudi dilonggokkan bersama penganut agama mereka. Begitu juga yang Nasrani, Majusi, Budha, Hindu, Atheis, Materialis dan sebagainya. Penghinaan ini turut diulang sebut dalam ayat lain:

وَيَوْمَ نَحْشُرُهُمْ جَمِيعًا ثُمَّ نَقُولُ لِلَّذِينَ أَشْرَكُوا مَكَانَكُمْ أَنْتُمْ وَشُرَكَاؤُكُمْ فَزَيَّلْنَا بَيْنَهُمْ وَقَالَ شُرَكَاؤُهُمْ مَا كُنْتُمْ إِيَّانَا تَعْبُدُونَ
Ertinya: Dan (ingatlah) masa Kami himpunkan mereka semua (pada hari kiamat), kemudian Kami berfirman kepada orang musyrik: "Tunggulah di tempat kamu semua, kamu dan makhluk yang kamu jadikan sekutu"; sesudah itu kami putuskan perhubungan baik di antara mereka. Dan berkatalah makhluk yang mereka sembah itu (sebagai berlepas diri): "Bukanlah kami - yang kamu puja dan taat (sebenarnya kamu hanya memuja dan mentaati hawa nafsu kamu sendiri)! (Yunus [10:28]).

Juga firman Allah:

احْشُرُوا الَّذِينَ ظَلَمُوا وَأَزْوَاجَهُمْ وَمَا كَانُوا يَعْبُدُونَ (22) مِنْ دُونِ اللَّهِ فَاهْدُوهُمْ إِلَى صِرَاطِ الْجَحِيمِ (23) وَقِفُوهُمْ إِنَّهُمْ مَسْئُولُونَ (24)

Ertinya: (Allah berfirman kepada malaikat):" Himpunkanlah orang yang zalim itu, dan orang yang berkeadaan seperti mereka, serta benda yang mereka sembah - "Yang lain dari Allah serta hadapkanlah mereka ke jalan yang membawa ke neraka. "Dan hentikanlah mereka (menunggu), kerana sesungguhnya mereka akan disoal (al-Saffat [37:22-24]).

Apabila tiba masa mereka dijatuhi hukuman, para malaikat akan menyambar ubun-ubun kepala dan kaki mereka lalu dibuang ke dalam neraka. Masya Allah! Ngerinya:

يُعْرَفُ الْمُجْرِمُونَ بِسِيمَاهُمْ فَيُؤْخَذُ بِالنَّوَاصِي وَالْأَقْدَامِ

Ertinya: Makhluk yang berdosa dapat dikenal dari tandanya, lalu dipegang dari atas kepala dan kakinya (serta diseret ke neraka); (al-Rahman [55:41]).

Selain itu, ketika menanti penuh debar nasib mereka, para penjahat dalam kalangan manusia bertambah ngeri apabila melihat jin serta para syaitan derhaka yang dahulunya tidak dapat mereka lihat dihimpun bersama dalam kumpulan pemegang tiket ke neraka. Pun begitu, Allah tidak terus merenggut mereka semua tetapi mengambil yang paling jahat dahulu:

فَوَرَبِّكَ لَنَحْشُرَنَّهُمْ وَالشَّيَاطِينَ ثُمَّ لَنُحْضِرَنَّهُمْ حَوْلَ جَهَنَّمَ جِثِيًّا (68) ثُمَّ لَنَنْزِعَنَّ مِنْ كُلِّ شِيعَةٍ أَيُّهُمْ أَشَدُّ عَلَى الرَّحْمَنِ عِتِيًّا (69) ثُمَّ لَنَحْنُ أَعْلَمُ بِالَّذِينَ هُمْ أَوْلَى بِهَا صِلِيًّا (70)

Ertinya: Oleh itu, demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Sesungguhnya Kami akan himpunkan mereka yang kafir itu beserta para syaitan di Padang Mahsyar, kemudian Kami akan bawa mereka duduk berlutut di keliling neraka Jahannam. SESUDAH ITU, SESUNGGUHNYA KAMI AKAN CABUT DARI SETIAP GOLONGAN (TERLEBIH DAHULU), ORANG YANG PALING DERHAKA KEPADA (ALLAH) AR-RAHMAN, DI ANTARA MEREKA.  Kemudian, sesungguhnya Kami lebih mengetahui akan orang yang lebih patut diseksa dan dibakar dengan api neraka itu (Maryam [19:68-70]).

Ayat ini menunjukkan Allah masih ada belas kasihanNya kepada para penjahat ini kerana yang paling awal direnggut hanya yang paling jahat dahulu, atau para ketua dahulu seperti Iblis, Fir’awn dan Namrudh. Mereka ini tergolong dalam kumpulan yang MASUK NERAKA TANPA HISAB. Yang kurang jahatnya diberi peluang audit dan kira bicara walaupun sudahnya mereka tetap ke neraka. Ia dijelaskan dalam ayat lain bahawa di akhirat kelak ada yang lebih dahulu ke neraka atau terlebih dahulu rentung disalai dalam neraka:

قَالَ ادْخُلُوا فِي أُمَمٍ قَدْ خَلَتْ مِنْ قَبْلِكُمْ مِنَ الْجِنِّ وَالْإِنْسِ فِي النَّارِ كُلَّمَا دَخَلَتْ أُمَّةٌ لَعَنَتْ أُخْتَهَا حَتَّى إِذَا ادَّارَكُوا فِيهَا جَمِيعًا قَالَتْ أُخْرَاهُمْ لِأُولَاهُمْ رَبَّنَا هَؤُلَاءِ أَضَلُّونَا فَآَتِهِمْ عَذَابًا ضِعْفًا مِنَ النَّارِ قَالَ لِكُلٍّ ضِعْفٌ وَلَكِنْ لَا تَعْلَمُونَ

Ertinya: Allah berfirman: "Masuklah kamu ke dalam neraka BERSAMA UMAT YANG TERDAHULU DARIPADA KAMU, DARI JIN DAN MANUSIA. Setiap satu umat yang masuk, mengutuk akan saudaranya (golongannya sendiri); hingga apabila mereka semua berhimpun di dalamnya, berkatalah golongan yang akhir mengenai golongan yang pertama di antara mereka: "Wahai Tuhan kami, mereka inilah yang telah menyesatkan kami; oleh itu berilah kepada mereka azab seksa yang berlipat ganda dari (azab) neraka". Allah berfirman: "Bagi setiap kamu disediakan (azab seksa) yang berlipat ganda tetapi kamu tidak mengetahui" (al-A’raf [7:38]).

Pengajaran penting bagi kita semua ketika ngeri membaca ayat ini, “ASINGKAN DIRI ANDA SEBERAPA SEGERA DARI SEBARANG KUMPULAN YANG MUNGKIN MENJERUMUSKAN KITA KE DALAM NERAKA.” Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya kerana kita bakal rentung tanpa mati dalam neraka. Mohon dijauhkan Allah.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...